Jiwang Corner :)

Jumaat, 21 Oktober 2011

Pembaharuan Lesen Memandu


KUALA LUMPUR: Mulai pertengahan bulan depan, pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL) akan dibuat mengikut tarikh lahir pemegang lesen bagi memudahkan mereka mengingati tarikh memperbaharui lesen masing-masing, sekali gus menyaksikan tarikh tamat tempoh lesen sama dengan tarikh lahir.


Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata inisiatif yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu bertujuan mengurangkan kes pemegang lesen tidak aktif dan rayuan untuk memperbaharui lesen memandu tamat tempoh melebihi tiga tahun.

Selain itu, katanya, kaedah baru itu juga alternatif kepada sistem penyampaian notis peringatan dilaksanakan jabatan terbabit.

Pelaksanaan pembaharuan lesen memandu melalui penyelarasan tarikh tamat CDL mengikut tarikh lahir ini akan membabitkan agensi seperti JPJ, Jabatan Pendaftaran Negara, Pos Malaysia dan e-Khidmat, katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Bagi tarikh lahirnya pada 29 Februari, tarikh tamat sah lesen memandu dicadangkan pada 28 Februari dan tarikh pembaharuan pada 1 Mac.

Bagaimanapun, jika pemegang lesen tidak mahu menggunakan tarikh itu, mereka hendaklah memperbaharui lesen memandu bagi tempoh empat tahun berdasarkan tahun lompat yang berikutnya.

Sejajar penyelarasan tarikh tamat lesen memandu, bayaran juga akan diselaraskan melalui dua kaedah iaitu bagi pemegang lesen yang tempoh pembaharuannya antara tarikh tamat sah lesen hingga tarikh lahir antara 12 hingga 18 bulan termasuk tempoh lanjutan, kerajaan akan menanggung bayaran lesen bagi tempoh lanjutan itu.

Sebagai contoh, bagi tempoh sah lesen sedia ada iaitu 20 Februari 2011 hingga 19 Februari 2012 dan tarikh lahir pemegang lesen adalah 10 Oktober 1980, hanya bayaran RM30 dikenakan iaitu bagi tempoh 20 Februari 2012 hingga 19 Februari 2013. 

Baki lanjutan selama lima bulan 20 hari (kurang daripada enam bulan) adalah percuma iaitu antara 20 Februari 2013 hingga 10 Oktober 2013. 

Cho Ha berkata, bagi pemegang lesen yang tempoh pembaharuannya antara tarikh tamat sah lesen hingga tarikh lahir antara 19 hingga 24 bulan termasuk tempoh lanjutan, mereka perlu membayar untuk lanjutan tempoh melebihi enam bulan tetapi kurang daripada 12 bulan. 

Kadar bayaran lesen memandu masih RM30 setahun, katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan