Jiwang Corner :)

Isnin, 17 Oktober 2011

Murid SJK Boleh Terus ke Tingkatan 1

MURID Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil yang memperoleh sekurang-kurangnya gred C bagi mata pelajaran bahasa Melayu dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau Penilaian Kemajuan Berasaskan Sekolah (PKBS) di Tahap Dua boleh memasuki tingkatan satu tanpa melalui kelas peralihan.



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kumpulan murid itu juga perlu mampu berkomunikasi dengan baik dalam bahasa kebangsaan sebelum melayakkan mereka terus memperoleh pendidikan menengah.

Katanya, perkara itu diputuskan melalui surat KP/KPPM/5(64) bertarikh 14 Oktober 2010 bertajukKemasukan Murid-Murid SJKC dan SJKT ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tanpa Melalui Kelas Peralihan Bagi Sesi Persekolahan 2011. “(Sebelum ini) Akta Pendidikan dipinda dan berkuatkuasa mulai 1961 meletakkan semua murid SJK Cina dan Tamil dikehendaki mengikuti kelas peralihan selama satu tahun (sebelum boleh memasuki sekolah menengah).

“Keputusan mengadakan kelas peralihan pula adalah berdasarkan cadangan yang dikemukakan Laporan Rahman Talib (1960) yang kemudiannya diterima pakai,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Manogaran Marimuthu (DAP-Teluk Intan).

Manogaran meminta Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan sama ada kelas peralihan selama setahun bagi murid yang gagal peperiksaan UPSR dimansuhkan dan murid berkenaan dibenarkan terus ke tingkatan satu dengan perhatian dan pengajian rapi diberi kepada mereka.

Menjawab lebih lanjut, Muhyiddin berkata, kelas peralihan adalah satu rancangan khusus di sekolah menengah yang berfungsi sebagai perantaraan untuk melicinkan proses peralihan bahasa pengantar daripada bahasa ibunda di sekolah rendah kepada bahasa kebangsaan di sekolah menengah.

“Ia bertujuan membolehkan murid dari SJK mampu menguasai bahasa Malaysia dengan baik sebagai persediaan mengikuti pendidikan di sekolah menengah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan