Jiwang Corner :)

Rabu, 19 Oktober 2011

Isu PPSMI: Kedegilan yang Tak Sudah-sudah


Apa komen rakan-rakan ?


Tampaknya, “keberia-iaan” kumpulan tertentu untuk mempertahankan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran-pemelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) di sekolah-sekolah masih belum mereda. Kumpulan itu, yang khabarnya mewakili suara ibu bapa, masih ingin mempertahankan kaji selidik yang dilakukan mereka — bahawa 54% (daripada 15,000 responden yang ditemui mereka) menyokong pelaksanaan PPSMI.



Mereka, khabarnya, akan mengadakan sidang akhbar pada 25 Oktober 2011 ini untuk memohon kerajaan “mendengar suara ibu bapa” — bahawa anak mereka hendaklah diberi pilihan untuk mengikuti PPSMI di sekolah.

Tentang kaji selidik itu, sudah banyak pihak yang mempertikaikannya. Hal ini berlaku demikian kerana kaji selidik itu hanya menyasarkan 15,000 responden sahaja (walhal di negara kita ada 5.3 juta pelajar)! Sesetengah pihak mempersoalkan, apakah istimewanya yang 54% itu sehingga perlu pula mengesampingkan yang 48% lagi? 48% bukan jumlah yang sedikit!

Pada hemat saya, pihak yang paling layak untuk menilai sama ada PPSMI ini wajar diteruskan ataupun sebaliknya ialah guru kerana mereka inilah kumpulan atau kelompok yang berdepan dengan pelajar saban tahun. Mereka inilah yang tahu akan tahap daya serap, kebolehan, dan pencapaian para pelajar (malah tahap diri mereka sendiri) dalam hal pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik (PPSM)!

Semasa berlaku protes tentang PPSMI dahulu (sehingga ada yang dimandikan dengan gas pemedih mata dsb), antara rasional perjuangan mereka ialah perlunya bahasa Melayu didaulatkan dalam sistem pendidikan negara selain menyedari hakikat betapa pencapaian murid dalam subjek ini semakin menurun.

Dalam hal ini, kalaupun pihak yang beria-ia untuk mempertahankan PPSMI itu enggan melibatkan diri dalam isu pendaulatan bahasa Melayu (yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang bahasa itu) dan beranggapan bahawa isu ini sebagai sesuatu yang remeh, cuba-cubalah memikirkan hal ini daripada sudut keperluan pelajar pula (yang kebanyakan mereka langsung tidak mahir berbahasa Inggeris!)


Cubalah tuan-tuan fikirkan, adakah kejayaan kaum Cina di negara kita ini dalam bidang perniagaan bersebab daripada tindakan mereka mempelajari Matematik dalam bahasaInggeris semasa mereka bersekolah rendah dahulu? Saya percaya bahawa kejayaansebahagian besar daripada mereka adalah kerana mereka mempelajarinya dalam bahasa ibunda mereka di SJKC.

Oleh sebab itulah, memang sangat wajar kalau 412,042 guru yang mewakili 27 kesatuan dan persatuan di negara ini berdiri teguh di belakang Menteri Pelajaran yang menetapkan bahawa kedua-dua subjek ini akan diajarkan dalam bahasa Melayu semula. Guru lebih tahu akan hakikat bahawa sepanjang pelaksanaan PPSMI sejak 2003 dahulu, pencapaian sebilangan besar pelajar dalam kedua-dua subjek ini merudum.

Usaha YAB Menteri Pelajaran merangkap Timbalan PM dalam isu PPSM itu sangat murni. Jadi, mengapakah orang membawa jarum disambut dengan gunting?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan