Jiwang Corner :)

Jumaat, 28 Oktober 2011

Cerita Tentang Kuku Siri 3

Tak sangka cerita tentang kuku ini berlarutan hingga siri ketiga. Kali ini, saya kongsikan pula tips penjagaan kuku dan tanda-tanda pada kuku untuk kenalpasti sama ada anda ada masalah kesihatan atau tidak.


Enam Tips Penjagaan Kuku

  • Jangan gunakan kuku jari untuk mencungkil atau menyucuk sesuatu benda. Kuku akan cepat rosak.
  • Elakkan dari menggigit kuku atau cungkil kutikel pada kuku. Ia akan merosakkan dasar kuku anda. Kecederaan juga boleh berlaku.
  • Kuku mestilah kering dan bersih. Ianya untuk elakkan bakteria dan kuman dari membiak. Bawah kuku perlu dibersihkan dengan kerap, dan pastikan ia sentiasa kering terutama selepas mandi atau selepas membasuh tangan.
  • Rapikan kuku anda dengan kerap. Gunakan alat khas seperti gunting manikur atau pengetip kuku untuk merapikan kuku. Jangan gunakan pisau belit, gunting yang bukan untuk tujuan ini. Kayu pengasah kuku digunakan untuk meratakan kuku, dan lakukan selepas mandi atau selepas merendam kaki.
  • Jangan tarik kuku yang terkeluar atau tergantung. Ia akan menyebabkan anda tertarik tisu hidup.
  • Gunakan pelembap untuk lembapkan kuku dengan kerap, bukan basahkan dengan air!
Saya harap anda di luar sana telah pun faham tentang tips penjagaan kuku yang saya kongsikan pada kali ini. Semoga ianya menjadi pedoman untuk anda supaya memelihara kesihatan kuku anda. Bagi seorang muslim, adalah tidak digalakkan menyimpan kuku panjang kerana dikhuatiri membawa penyakit selain boleh memberikan mudarat yang lain.

Sekarang, cuba lihat kuku anda, apa yang anda nampak? Ketahuilah bahawa masalah kesihatan anda boleh diketahui dengan melihat kuku. So, jangan terkejut apabila anda berjumpa dengan doktor, ada masanya mereka akan suruh anda hulurkan jari untuk tengok kuku anda.

Kuku terbentuk daripada satu lapisan protein keras yang dinamakan keratin. Ia merupakan protein yang sama yang membentuk rambut dan kulit. Kerana keratin, kuku juga antara anggota badan yang paling lambat diuraikan sekiranya ditanam.

Kuku boleh menjadi petunjuk kepada kesihatan pemiliknya. Perubahan rupa bentuk serta warna boleh memberi gambaran tentang jenis penyakit yang ada pada tuan punya kuku. Di sini, saya akan kongsikan 10 tanda-tanda pada kuku yang boleh menunjukkan masalah kesihatan yang serius.


10 Tanda Pada Kuku Kenalpasti Masalah Kesihatan


  • Kuku putih - Penyakit hati seperti hepatitis.
  • Kuku kekuningan, tebal dan tumbuh perlahan - Penyakit peparu seperti emfisema.
  • Kuku kekuningan dengan dasar sedikit merah - Diabetes.
  • Kuku separuh warna putih dan separuh merah jambu - Penyakit buah pinggang.
  • Dasar kuku warna merah - Penyakit jantung.
  • Dasar kuku pucat atau berwarna putih - Penyakit anemia.
  • Permukaan kuku berlekuk - Psoriasis atau radang arthritis.
  • Clubbing, iaitu penebalan tisu pada dasar kuku - Penyakit paru-paru.
  • Garisan merah tidak sekata pada dasar lipatan kuku - Lupus atau penyakit pada tisu penyambung.
  • Garisan hitam bawah kuku - Melanoma.
Moga dengan sedikit info ini, anda akan sentiasa memberi perhatian kepada keadaan kuku-kuku anda, baik yang ada di tangan mahupun kaki. Jangan abaikan kebersihan kuku anda.

Sumber: http://www.hasrulhassan.com melalui Majalah Kesihatan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan