Jiwang Corner :)

Isnin, 31 Oktober 2011

Minggu Peperiksaan Akhir Tahun

Minggu ini minggu peperiksaan. Bermula pada 1hb November 2011 semua murid sekolah rendah dalam negeri Johor akan menduduki peperiksaan akhir tahun. 


Kepada anak didik semua, saya doakan agar kalian dapat menjawab soalan dengan tenang. Fokus dan ingat semula semua ilmu yang telah disampaikan oleh guru-guru anda sebelum ini. Curahkan idea dalam penulisan jawapan kalian, moga hasilnya membanggakan. Insyaallah...

Macam ni pun ada ke ? Anak murid siapalah ni ? Huhuhuhuhuhu...



Ahad, 30 Oktober 2011

Akuarium Puyu Dah Bersih

Aktiviti saya sebelum pulang ke tempat bertugas tadi adalah membersihkan akuarium ikan puyu di dapur rumah. sebelum ini, akuarium ini dipenuhi oleh ikan-ikan emas. Namun, disebabkan masing-masing tidak ada kesempatan menjaga ikan-ikan tersebut, maka kesemuanya telah disemadikan...



Jadi, sekarang ini terbentuklah akuarium ikan puyu yang dipancing oleh abang saya. Apapun ada baiknya juga membela ikan puyu ini.



 Inilah akuarium yang saya bersihkan tadi. Lupa pulak nk ambil gmbr sebelum cuci td. Boleh juga saya banding sebelum dan selepas.


Orang-orang tua ada pesan memang elok untuk kita bela ikan puyu di rumah. Katanya ikan ini dapat menghalau hantu atau makhluk halus. Selain itu ikan ini dapat menghalang perbuatan pukau dan sihir yang hendak ditujukan pada penghuni dalam rumah itu. 




Terbaca pula sebuah cerita ini. Jom, kita baca...



Seorang polis yg ditugaskan setiap waktu perbicaraan dalam mahkamah jenayah di Hulu Selangor berkata:


Ada kes dimana melibatkan siri kecurian berantai di Serendah Hulu Selangor. Kes ini sangat lama dah akhirnya tertangkap dan dibicara di mahkamah Hulu Selangor. Hakim bertanya kepada pencuri warga Indon tersebut. “ Kenapa kamu masuk 3 rumah sekali gus pada satu malam ? Dan kenapa kamu tak masuk rumah yang di tengah yang lebih besar?” “Saya tidak boleh masuk Pak kerna dalamnya ada ikan puyu ( tuan rumah ada bela ikan puyu ) dan ilmu saya tidak menjadi”, jawab pemuda Indon tadi. Seluruh mahkamah riuh dengan kenyataan Pak Indon ini.

Benar atau tidak dan mungkin juga adalah kebetulan saja kisah yang diceritakan tadi. Wallahhualam tetapi yang pasti hanya dengan izin Allah sahaja ikan itu mampu menjadi pendinding sihir.

Walaubagaimana pun jika Allah berkehendakkan seseorang itu jatuh sakit atau sihir tetap terkena kepadanya juga.

Wallahulam...




Singgah Nurseri Bunga

Pagi-pagi lagi hajat di hati nak singgah ke nursery bunga sekitar bandar BP. Lama sungguh tidak ke sana. Kalau tidak, arwah mak rajin betul ajak saya kunjung ke sana. Arwah mak memang suka tanam pokok-pokok bunga. Mungkin saya ada sedikit pengaruhnya :)


Ini nursery yang saya pergi tu. Suka tengok pokok-pokok orkid ni...

..


Sampai rumah, terus tanam pokok. Benih kacang dan terung yang sedia ada di rumah kurang elok pula. Lastly, tanamlah pokok bawang, pokok daun sop, dan pokok kesum. Pokok limau purut, kunyit, limau kasturi memang dah hidup subur hasil tinggalan arwah mak. 


Sebenarnya kita akan rasa seronok bila lihat tanaman kita hidup subur 
tambahan pula membuahkan hasil. Selain untuk kegunaan sendiri, 
ia dapat disedekahkan pada jiran-jiran.

Bukan tak pernah tanam pokok-pokok ni tapi usianya tak panjang. Nampak gayanya hajat nak tanam pokok-pokok lain terpaksa ditunda  pada cuti sekolah akan datang. Harap-harap hajat kali ini tercapai selain kemaskini pokok-pokok bunga tinggalan arwah mak. Banyak yang dah terbiar. Huhuhu...



Motivasi : Bagaimana Diri Kita Diasuh ?

Kongsi bersama...hari ini perkongsian saya masih berkisar tentang muhasabah diri sebagai santapan rohani.




Jika diri diasuh dengan KEANGKUHAN,
dia belajar erti TAKABBUR,
Jika diri diasuh dengan KELEMAHAN,
dia belajar erti HINA DIRI,
Jika diri diasuh dengan PERMUSUHAN,
dia belajar MEMBENCI,
Jika diri diasuh dengan PENTINGKAN DIRI,
dia belajar erti MENGKHIANATI.

Namun........

Jika diri diasuh dengan NILAI INSANI,
dia belajar HARGA DIRI,
Jika diri diasuh dengan KEPAYAHAN,
dia belajar erti MENGASIHI,
Jika diri diasuh dengan BELAS BUDI,
dia belajar erti MENSYUKURI,
Jika diri diasuh dengan MENUKIL KARYA,
dia belajar MANFAAT ILMU,
Jika diri diasuh dengan DIDIKAN TAQWA,
dia belajar erti HAYATI AGAMA.
Jika diri diasuh dengan JIWA RAKYAT,
dia belajar MUAFAKAT,
Jika diri diasuh dengan PENGALAMAN,
dia belajar erti HAKIKAT KEHIDUPAN.

Sabtu, 29 Oktober 2011

Jika Semuanya Milik Allah.. Apakah Sebenarnya Yang Aku Ada ?


Assalam...selamat berhujung minggu. Awal pagi Sabtu ini saya hanya nak kongsikan sedikit santapan rohani sebagai menu sarapan kita bersama. Dikongsikan oleh seorang rakan mengenai cerita berikut sebagai peringatan kita bersama. Ikuti kisahnya :

Suatu hari seorang guru bertanya kepada murid-muridnya.

Guru : Siapa yang jadikan mata kita ?

Murid : Allah

Guru : Lalu apakah yang telah kita buat dengan dua biji mata ini ? Adakah sebagai alat untuk melihat perkara yang baik ataupun perkara yang jahat ?

Murid : (terdiam)

Guru : Apa yang akan jadi sekiranya penglihatan ini diambil olehNya? Selama ini Allah memberi nikmat mata untuk melihat pemandangan yang cantik dan indah. Alam ini dilimpahi dengan pelbagai warna yang menarik hati serta pelbagai hidupan yang menghiasinya.

Suatu hari nanti... jika kita bangun. Alam ini terasa gelap dan pekat. Rupa-rupanya sudah hilang nikmat penglihatan yang diberikan. Sedangkan selama ini kita tidak bersyukur dengan pemberianNya. Adakah selepas ini baru hendak menyesal.

Guru : Cuba awak rasa lidah dengan menggunakan jari.

Murid : (memegang lidah masing-masing)

Guru  : Allah memberi rasa masam, masin, manis, pahit dan pelbagai lagi rasa yang berlainan melalui lidah.

Murid : Ya Ustaz.. benar (masing-masing menganggukkan kepala)

Guru  : Tetapi mengapa kita gunakan lidah untuk berkata kesat, memaki hamun, berkata bohong ? Bukankah dengan lidah ini kamu pernah menghina guru-guru yang mengajarkanmu ? Bukankah dengan lidah ini kamu telah membentak dan menjawab kata-kata ibu dan ayahmu serta berkali-kali membohongi mereka berdua ?

Bukankah sudah diperingatkan oleh Rasulullah agar menjaga lidah ? Bukankah kita perlu menjaga apa yang ada di antara 2 rongga mulut manusia iaitu lidah ? Dengan lidah ini juga boleh menyebabkan kita dicampakkan ke dalam neraka ?

Murid  : (tertunduk dan perlahan-lahan mengalirkan air mata)

Guru : Cuba lihat dua tangan yang Allah beri, dan lihat baik-baik alangkah cantiknya kurniaan Allah. DIA memberi tangan agar kita dapat merasa, memegang, menyentuh dan sebagainya.

Murid : (melihat tangan masing-masing, diperhati telapak tangan sambik berfikir)

Guru : Adakah kita sudah menggunakan tangan dengan betul ? Bukankah ada tangan-tangan yang merosakkan meja sekolah ? memukul kawan ? menulis surat cinta ? mencuri ?

Murid : Benar ustaz... Ya Allah... ampunkanlah dosa kami....


Guru : Allah memberi sepuluh jari tangan, sepuluh jari kaki dalam keadaan yang sempurna. Sudahkah kita menadahkan tangan meminta keampunan kepadaNya ? Menyatakan syukur terhadapNya atas segala nikmat yang tidak mampu ditulis walaupun kering 7 lautan ?

Murid : (air mata semakin meluncur laju). Ya Allah... Aku sudah banyak buat dosa kepadaMu.. Aku sombong padaMu Ya Allah.....

Guru : Lihatlah pula kedua kaki yang dikurnia oleh Allah. Kita boleh berjalan, berlari, bergerak dengan mudah ke sana sini.

Murid  : (memegang kaki masing-masing sambil mengusap-usap jejari kaki)

Guru : Lalu apa yang kita perbuat dengan kaki yang ada ? Kita gunakan untuk ponteng sekolah, pergi ke tempat-tempat maksiat, menendang kawan dan sebagainya. Adakah itu tujuan kaki kita dijadikan ?

Murid : (menutup mata sambil teresak-esak, semakin kuatlah jerit tangis memikirkan kesalahan yang telah dilakukan selama ini).

Guru : Jika Allah ambil balik mata kepunyaanNya ? Jika Allah tarik balik kaki yang dipinjamkanNya? Jika Allah hilangkan rasa pada lidah ? Jika Allah ambil satu jari dari apa yang kita ada ?

Wahai diri... engkau faqir dan Allah itu Maha Kaya. Maka mengapa engkau masih menyombongkan diri kepadaNya ?
 

Jumaat, 28 Oktober 2011

Cerita Tentang Kuku Siri 3

Tak sangka cerita tentang kuku ini berlarutan hingga siri ketiga. Kali ini, saya kongsikan pula tips penjagaan kuku dan tanda-tanda pada kuku untuk kenalpasti sama ada anda ada masalah kesihatan atau tidak.


Enam Tips Penjagaan Kuku

  • Jangan gunakan kuku jari untuk mencungkil atau menyucuk sesuatu benda. Kuku akan cepat rosak.
  • Elakkan dari menggigit kuku atau cungkil kutikel pada kuku. Ia akan merosakkan dasar kuku anda. Kecederaan juga boleh berlaku.
  • Kuku mestilah kering dan bersih. Ianya untuk elakkan bakteria dan kuman dari membiak. Bawah kuku perlu dibersihkan dengan kerap, dan pastikan ia sentiasa kering terutama selepas mandi atau selepas membasuh tangan.
  • Rapikan kuku anda dengan kerap. Gunakan alat khas seperti gunting manikur atau pengetip kuku untuk merapikan kuku. Jangan gunakan pisau belit, gunting yang bukan untuk tujuan ini. Kayu pengasah kuku digunakan untuk meratakan kuku, dan lakukan selepas mandi atau selepas merendam kaki.
  • Jangan tarik kuku yang terkeluar atau tergantung. Ia akan menyebabkan anda tertarik tisu hidup.
  • Gunakan pelembap untuk lembapkan kuku dengan kerap, bukan basahkan dengan air!
Saya harap anda di luar sana telah pun faham tentang tips penjagaan kuku yang saya kongsikan pada kali ini. Semoga ianya menjadi pedoman untuk anda supaya memelihara kesihatan kuku anda. Bagi seorang muslim, adalah tidak digalakkan menyimpan kuku panjang kerana dikhuatiri membawa penyakit selain boleh memberikan mudarat yang lain.

Sekarang, cuba lihat kuku anda, apa yang anda nampak? Ketahuilah bahawa masalah kesihatan anda boleh diketahui dengan melihat kuku. So, jangan terkejut apabila anda berjumpa dengan doktor, ada masanya mereka akan suruh anda hulurkan jari untuk tengok kuku anda.

Kuku terbentuk daripada satu lapisan protein keras yang dinamakan keratin. Ia merupakan protein yang sama yang membentuk rambut dan kulit. Kerana keratin, kuku juga antara anggota badan yang paling lambat diuraikan sekiranya ditanam.

Kuku boleh menjadi petunjuk kepada kesihatan pemiliknya. Perubahan rupa bentuk serta warna boleh memberi gambaran tentang jenis penyakit yang ada pada tuan punya kuku. Di sini, saya akan kongsikan 10 tanda-tanda pada kuku yang boleh menunjukkan masalah kesihatan yang serius.


10 Tanda Pada Kuku Kenalpasti Masalah Kesihatan


  • Kuku putih - Penyakit hati seperti hepatitis.
  • Kuku kekuningan, tebal dan tumbuh perlahan - Penyakit peparu seperti emfisema.
  • Kuku kekuningan dengan dasar sedikit merah - Diabetes.
  • Kuku separuh warna putih dan separuh merah jambu - Penyakit buah pinggang.
  • Dasar kuku warna merah - Penyakit jantung.
  • Dasar kuku pucat atau berwarna putih - Penyakit anemia.
  • Permukaan kuku berlekuk - Psoriasis atau radang arthritis.
  • Clubbing, iaitu penebalan tisu pada dasar kuku - Penyakit paru-paru.
  • Garisan merah tidak sekata pada dasar lipatan kuku - Lupus atau penyakit pada tisu penyambung.
  • Garisan hitam bawah kuku - Melanoma.
Moga dengan sedikit info ini, anda akan sentiasa memberi perhatian kepada keadaan kuku-kuku anda, baik yang ada di tangan mahupun kaki. Jangan abaikan kebersihan kuku anda.

Sumber: http://www.hasrulhassan.com melalui Majalah Kesihatan

Cerita Tentang Kuku Siri 2

Ekoran cerita tentang kaedah memotong kuku yang betul pada entry saya sebelum ni, saya tertarik pula nak kongsikan tentang Rekod Dunia Kuku Wanita Terpanjang 2011 . Anugerah ini jatuh kepada seorang wanita yang berasal Last Vegas USA. 


Sebenarnya saya mendapat idea ini melalui rancangan Nasi Lemak kopi O di saluran TV9 yang disiarkan pagi tadi. Saluran tersebut turut menyiarkan video melalui YouTube tentang wanita yang memiliki kuku terpanjang itu.

Chris Walton dinobatkan sebagai pemegang rekod bagi kuku terpanjang dunia pada tahun 2012 dengan kepanjangan kukunya yang berukuran 10 kaki 2 inches (309.8cm). Dia tidak pernah memotong kukunya selama 21 tahun. ( Eeee...geli plak aku nengoknyer ! )

img

Walton dianugerah gelar wanita dengan kuku terpanjang di dunia oleh Guiness Book of Records. Pemberian gelaran tersebut dilakukan di New York, Rabu (14/9/2011). Kuku-kuku Walton tampak dihias dengan cat kuku berwarna emas dan dibubuhi glitter. Kuku-kuku itu tampak melingkar-lingkar di seluruh jarinya.

Semua jari Walton memiliki kuku yang panjang. Panjang kuku jari manisnya sama dengan panjang lengan manusia. Sedangkan panjang kuku kelingkingnya setara dengan panjang hydran pemadam kebakaran.



Juru bicara Guinness Book of Records, Stuart Clacxton mengatakan apa yang dimiliki Walton adalah sebuah 'kecantikan unik'. Bagaimana wanita 45 tahun itu boleh memiliki kuku sepanjang enam meter?


Walton yang memiliki nama panggung The Dutchess mengaku memanjangkan kukunya selama 18 tahun. Ia pun menjalani diet yang baik untuk kukunya seperti tidak minum susu. Ketika melihat kuku Walton, semua orang terfikir akan kesulitan beliau dalam menjalani kegiatan sehari-hari. Namun ternyata hal itu tidak mendatangkan masalah kepada wanita yang menyanyi di kelab di Las Vegas itu.

* tidak ke menyusahkan diri sendiri ? tak selesanya....





Cerita Tentang Kuku

Pejam celik, pejam celik hari ini dah hari Jumaat. Dah hampir seminggu berada di kampung halaman. Nak pergi bercuti namun cuaca tidak mengizinkan. Jadi, buatlah apa yang patut di rumah. Apapun bersyukur kita dapat berjumpa lagi dengan hari penghulu segala hari iaitu hari Jumaat. Bergandalah pahala ibadah yang dilakukan jika dituruti dengan niat yang betul. InsyaAllah...



Memandangkan hari ini hari Jumaat, saya cuba kongsikan cara mendapatkan pahala sunat dalam adab memotong kuku dalam kaedah Islam.


Inilah cara memotong kuku yang betul mengikut sunnah Nabi. Moga kita sama-sama dapat mengamalkannya.



Dikatakan bahawa menyimpan sebatang jari kuku yang panjang, dosanya sama seperti memelihara sekandang babi oppss khinzir ( lembutlah sikit bahasanya yea ). So, jika kesemua jejari anda menyimpan kuku yang panjang, berapa ekor khinzir yang anda ternak ? Bayangkanlah dosa yang telah kita tanggung untuk menternak kesemua khinzir tersebut ? Makan, potonglah kuku anda :)

Jangan ada niat simpan kuku panjang walaupun hanya 1 mm atau pun hanya pada jari kelingking ( yang kebanyakannya saya ternampak ). Bagi orang Islam adalah tidak sesuai berkuku panjang atas apa alasan sekalipun kerana ia tidak membayangkan kesucian dan ia juga bukan budaya kita apatah lagi menggunakan tangan untuk beristinjak.


Orang Melayu yang berkuku panjang biasanya mempunyai anak yang bodoh atau pun degil dan suka buat onar sebab diberi makan bahan kotor yang ada di kuku jari emaknya. Perkara ini berlaku terutamanya semasa si emak tadi menyediakan makanan untuk anak-anakanya. Biasanya mereka memerah santan kelapa, buat cokodok pisang, uli tepung, dan sebagainya menggunakan jari yang berkuku panjang tadi. Menurut sumber pembacaan juga, ilmu yang di ajar kepada anak tersebut turut sukar diterima masuk ke dalam otak. Wallahulam...


Kepada golongan bujang-bujang diluar sana, ( termasuklah diri saya sendiri ) sama-samalah kita beringat. Bukan apa, jika hendak cari pasangan dan mahu anak yang pandai, dan mendengar kata, maka pilihlah wanita atau lelaki yang sentiasa berkuku pendek.
( sudah semestinya saya tidak pilih yang berkuku panjang )


Khamis, 27 Oktober 2011

SMK Jeram, Kubang Bemban juara kantin bersih


PASIR MAS 26 Okt. - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram, Pasir Puteh dan SMK Kubang Bemban di sini diumumkan sebagai juara kategori kantin serta dewan makan bersih pada Pertandingan Kantin dan Dewan Makan Sekolah Menengah Bersih Peringkat Negeri Kelantan 2011.


Tempat kedua kategori kantin dimenangi oleh SMK Pengkalan Chepa dan ketiga, SMK Kubang Golok, Bachok manakala kategori dewan makan pula, naib johan SMK Cherang Ruku, Pasir Puteh dan SMK Badak, Bachok di tempat ketiga.

Majlis yang diadakan di Dewan Bestari SMK Kubang Bemban di sini, disempurnakan oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Datuk Hanapi Mamat. Kemenangan itu melayakkan SMK Jeram, Pasir Puteh dan SMK Kubang Bemban mewakili Kelantan ke Pertandingan Kantin dan Dewan Makan Sekolah Menengah Bersih Peringkat Kebangsaan.



Sementara itu Wan Mansor berkata, secara keseluruhan tahap kebersihan kantin dan dewan makan sekolah-sekolah menengah di negeri ini meningkat. Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr. Wan Mansor Hamzah.


"Bagaimanapun masih ada ruang yang boleh diperbaiki dan ditingkatkan agar makanan yang disajikan benar-benar bersih. Jabatan Kesihatan negeri akan terus memantau dan memberi kerjasama kepada Jabatan Pelajaran negeri bagi memastikan aspek kebersihan dapat ditingkatkan," katanya.

Utusan Malaysia Online: 27 Oktober 2011

Tahniah daripada saya. Semoga sekolah-sekolah yang lain turut mencontohi kantin sekolah SMK Jeram.

Ilmu Pengasih Melalui Asap Rokok

Ini pula risiko kepada perokok di luar sana. Baru-baru ini harian metro mencatatkan tentang ilmu pengasih melalui asap rokuk ok. Bagi saya, perkara ini bukan baharu berlaku tetapi dah lama berlaku di luar sana. Cuma, tiada mangsa yang mahu tampil unt melaporkan kejadian ini.


Ikuti kisah ini yang mungkin anda sendiri telah membacanya. Saya masukkan entry saya ini sempena topik saya sebelum ini adalah tentang perokok :)


JOHOR BAHRU: “Din mengamalkan ilmu pengasih menggunakan asap rokok dan bagi menjadikannya lebih mujarab, ia perlu dihembus kepada mangsa di hentian bas,” kata seorang guru sebuah sekolah di bandar raya ini yang mendakwa menjadi mangsa kasanova berjari 17 dikenali sebagai ‘Din Kudung’, semalam.


Mangsa mahu dikenali sebagai Siti, 32, berkata, melalui pengalaman dan cerita mangsa lain, semua perkenalan mereka dengan Din Kudung bermula sama ada di Terminal Pengangkutan dan Pasar Awam Larkin mahupun hentian bas lain.

Menurut Siti, pertemuan pertama dengan Din Kudung serta pengalaman mangsa lain membuktikan lagi telahan lelaki terbabit akan bertindak menghembus asap rokok ke muka mereka.

“Saya berkenalan dengan Din Kudung menerusi panggilan telefon dibuatnya pada awal September 2010 sebelum kami bertemu di hentian bas berhampiran sekolah tempat saya mengajar,” katanya.

“Kali pertama bertemu, Din Kudung banyak bercerita berkaitan diri saya seperti kehidupan peribadi serta mata pelajaran yang saya ajar, membuatkan saya menyenanginya dan mahu berkenalan lebih rapat,” katanya.

Lebih menghairankan, katanya, Din Kudung beberapa kali menghembuskan asap rokok ke mukanya dan mulanya terasa seperti mahu marah tetapi akhirnya hanya mendiamkan diri.

“Sejak pertemuan itu, saya kerap bertemu Din Kudung yang turut mendakwa bertugas sebagai kontraktor dan mempunyai beberapa projek dalam pembinaan sekitar bandar raya ini.
“Lelaki terbabit turut membawa saya ke beberapa lokasi projek pembangunan sekitar bandar raya ini yang konon miliknya.

“Din Kudung mendakwa berdepan pelbagai masalah seperti pekerja ditahan Jabatan Imigresen dan kekurangan wang untuk meneruskan projek.

“Terpedaya dengan helah lelaki berkenaan, saya bersetuju membuat pinjaman bank RM50,000 di sebuah institusi kewangan di pusat bandar raya ini, pertengahan September 2010,” katanya.

Bagaimanapun, Siti terkejut kerana kurang tiga jam, urusan pinjaman itu diluluskan dan dia menyerahkan wang berkenaan kepada lelaki itu.

Menurutnya, dua minggu kemudian, Din Kudung menghubunginya dan memaklumkan perlu RM50,000 lagi untuk menyelesaikan masalah kewangannya.

“Saya akhirnya setuju membuat pinjaman itu selepas didesak, ia diluluskan pada hari sama dan cek pula dikeluarkan atas nama seorang lelaki yang juga rakan kepada Din Kudung.
“Pertengahan Oktober pula, Din Kudung sekali lagi meminta saya membantunya dan saya menggunakan kad kredit untuk mengeluarkan RM8,000 sebelum menyerahkan wang berkenaan kepadanya,” katanya.

Menurut Siti, tidak lama kemudian, lelaki terbabit menghilangkan diri, malah turut menukar nombor telefon bimbitnya. Siti juga tertekan kerana Din Kudung berjanji konon mahu menjadikannya rakan niaga selain mengahwininya.

Siti berkata, awal tahun ini, dia mendapatkan rawatan di sebuah pusat rawatan Islam sebelum dimaklumkan sebenarnya terkena ayat guna-guna dan diminta mengamalkan bacaan ayat suci al-Quran.

Katanya, selepas beberapa kali berubat, baru dia dapat berfikir dengan waras. “Saya akhirnya berjaya mendapatkan beberapa nombor telefon wanita lain yang menjadi mangsa Din Kudung dan apabila dihubungi, mereka turut mendakwa ditipu lebih RM100,000 seorang selain berkenalan di Terminal Pengangkutan dan Pasar Awam Larkin.

“Akibatnya, saya kini terpaksa menjelaskan hutang sebanyak RM1,200 sebulan kepada tiga bank dengan tempoh bayaran pinjaman antara 15 hingga 20 tahun,” katanya.
Menurutnya, disebabkan jumlah hutang yang banyak, dia tidak boleh membeli rumah mahu pun menukar kereta kerana separuh daripada gajinya digunakan untuk melunaskan bayaran terbabit.

Berikutan itu, Siti membuat laporan di Balai Polis Taman Perling, 25 Ogos lalu, dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Din Kudung bagi mengelak lebih ramai wanita menjadi mangsanya.

Sumber :Mymetro online


P/s : Terutama kepada wanita di luar sana, hati-hati kepada perokok yang anda tidak kenali. Tidak mustahil mereka akan gunakan taktik ini. 

Pangkat-pangkat Perokok


Kali ini, saya kongsikan pula entry tentang rokok. Bila cerita bab rokok ni saya memang berkobar-kobar sebab saya memang tak suka rokok. Bau asapnya sahaja dah buat saya sesak nafas apatah lagi mahu mencubanya ? Ohhh, tidak !!!


So, kat bawah ni saya kongsikan pada anda semua terutamanya kepada perokok-perokok. Tak sangka pula, perokok-perokok ini ada pangkat tersendiri. Huhuhu....

1. Newbie

Orang yang baru belajar merokok, masih batuk-batuk lagi. Biasanya hisap rokok sebatang pun tak habis, hisap rokok berkongsi dengan orang lain. Kebanyakannya terjadi kepada kanak-kanak sekolah dan remaja.

Jumlah rokok dihisap: : 1-2 minggu sebatang sekali

2. Smoker sambilan

Orang yang sudah mengenali rokok, tapi masih rasa pahit-pahit kalau dah habis merokok , orang ini belum pernah membeli sekotak rokok, pasti dia hanya ‘mengepau’ kawan-kawannya.

Jumlah rokok dihisap: : Bergantung kepada keihklasan kawan-kawannya tapi biasanya 2/3 hari sekali

3. Aktivis smoke

Orang ini sudah membeli rokok di kedai. Biasanya sekali beli 1 batang atau 2-3 batang. Semasa merokok dia sudah tidak rasa pahit-pahit lagi apalagi batuk batuk.

Jumlah rokok dihisap: : 1 hari ~ 1-3 batang

4. Smokeholic

Orang ini sudah tahap ketagih merokok. Biasanya kalau rokok dia habis dia cepat-cepat ke kedai untuk membeli sekotak lagi walaupun sekotak biasanya habis dalam 2-3 hari. Namun jika dia menghisap rokok yang keras seperti m*rlboro merah dan sepertinya masih batuk-batuk lagi.

Jumlah rokok dihisap: : 1 kotak = 2/3/5 hari atau 5-6 batang sehari

5. Smoke addict /smoker

Kalau sudah menjadi penagih rokok memang susah nak berhentikan kebiasaannya ini. Semua jenis rokok sudah pasti dia boleh hisap. Orang ini sudah merasai nikmatnya rokok plus kopi.Biasanya di kalangan mahasiswa atau pekerja.

Jumlah rokok dihisap: : 1 kotak 2 hari malah boleh jadi sehari. Sehari tidak merokok hangin satu badan.

6. smoke maniac

Orang ini bukan lagi menjadi penagih tetapi boleh dinamakan perokok tegar. Hidupnya tanpa merokok seperti sudah tidak bermakna dan kekurangan sesuatu.

Jumlah rokok dihisap: : Sehari sekotak dan kadang-kadang lebih.

7. Smoke geek

Pangkat ini dah memasuki tahap awal dewa smoke. Sehari boleh 1 kotak lebih malah kadang-kadang 2 kotak, dia boleh habiskan. Sebelum atau selepas melakukan sesuatu pasti rokok di tangan, sudah terikat dengan rokok.Kalau dia tidak ada duit pasti melakukan apa cara untuk merokok.

Jumlah rokok dihisap: : 1 hari 1 atau 2 kotak.

8. Smoke freak

Sudah boleh dipanggil dewa buat pangkat ini. Seperti susah giler nak berhenti merokok. Mungkin juga untuk pangkat ini jika sakit jantung atau batuk-batuk darah baru boleh berhenti. Orang ini lebih memilih rokok dari makanan, sanggup tidak makan janji boleh merokok. Sehari boleh 2 kotak rokok dia habiskan.

Jumlah rokok dihisap: : 1 hari 2 kotak rokok kretek atau lebih

9. Made in smoke

Jika tidak ada duit rokok daun malah kertas pun boleh dihisap jika tidak ada duit nak beli rokok. Dalam sehari susah nak mengira berapa kotak batang sehari. Mungkin sejam boleh 3/4 batang dia merokok. Pendek kata kalau tengok orang ini pasti sedang pegang rokok

Jumlah rokok dihisap: : tidak diketahui banyaknya yang pastinya lebih dari 2 kotak sehari

FATWA ROKOK

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.

Keputusan (English):

Smoking From The Perspective Of Islam

Decision:

The 37th Muzakarah (Conference) of the Fatwa Committee National Council of Islamic Religious Affairs Malaysia held on 23rd March 1995 has discussed on smoking from the perspective of Islam. The Committee has decided that smoking is prohibited in Islam because it is harmful.

Keterangan/Hujah:

1. Keputusan yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tersebut adalah bersandarkan kepada hujah-hujah berikut:

i. Rokok mengandungi pelbagai jenis racun. Fakta daripada kajian-kajian perubatan telah membuktikan bahawa setiap batang rokok mengandungi 6-8 mg. nikotian dan pelbagai bahan kimia lain. Setiap sedutan asap rokok sebenarnya kita telah menghidu sebanyak 4,000 jenis bahan kimia yang boleh memudharatkan badan.

ii. Ketagihan tembakau bukan hanya menimbulkan masalah kepada perokok, malah ia berada di tempat keempat dalam senarai faktor risiko bagi penyakit serius yang menular di seluruh dunia. Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko barah, penyakit jantung dan masalah pernafasan. Terdapat beberapa jenis penyakit yang berpunca dari merokok, antaranya ialah kanser kerongkong, kanser mulut, katarak (sejenis kerosakan mata yang menyebabkan kanta mata berselaput dan rabun), ulser perut, penyakit jantung, strok, penyakit paru-paru, emfisema paru-paru dan banyak lagi.

iii. Pada masa kini jumlah perokok sama ada dinegara maju atau negara membangun masih begitu besar, walaupun berbagai usaha telah dibuat oleh Kerajaan serta badan-badan sukarela bagi menyedarkan orang ramai tentang bahayanya merokok kepada orang ramai. Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30% daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esophagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut. Sebanyak 50% kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok. Kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk merawat berbagai jenis penyakit yang dikaitkan dengan tabiat merokok dan negara juga mengalami kerugian kira-kira RM 20 billion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.

iv. Imam al-Syafi’e telah mengeluarkan fatwa dalam kitabnya yang masyhur al-Umm iaitu:” Jika mereka mengambil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu dan disedut) yang boleh memabukkan, maka perbuatan itu adalah jelas haram. (Termasuklah) yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku tetap menganggap (menfatwakan) ia adalah haram. Allah swt mengharamkan (apapun jenis) pembunuhan kerana pembunuh bermakna membunuh diri sendiri”.

v. Para ulama’ sepakat menyatakan bahawa merokok hukumnya haram kerana ianya jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara keji, berdasarkan nas-nas berikut:

a. Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.

b. Firman Allah swt dalam Surah al-A’raf ayat 157 yang bermaksud; “ Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.

c. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “ Tidak boleh memberi mudharat dan membalas dengan kemudharatan”. (Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)

d. Kaedah Usul Fiqh: درء المفاسد مقدم على جلب المصالح yang bermaksud “ menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”

e. Imam Ibn. Hazm dalam kitabnya al-Muhalla, jilid 7, halaman 503 (masalah no. 1027) menegaskan bahawa : “Pemborosan adalah haram”. Yang dimaksudkan dengan pemborosan di sini ialah:

i. Membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah swt, samada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.

ii. Pembaziran yang tidak ada keperluannya.

iii. Membuang wang, betapa kecilpun jumlahnya kerana dengan membuang tanpa tujuan itu menjadikannya sia-sia.

vi. Beberapa negara Islam dan beberapa ulama’ muktabar telah mengeluarkan fatwa tentang amalan merokok.

Antaranya seperti berikut:

a. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya adalah hukumnya haram kerana daripadanya terdapat kemudharatan.

b. Ulama’-ulama’ semasa Mesir seperti Dr. Abdul Jalil Shalaby mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan masyarakat.

c. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya “Fatawa al-Imam Abdul Halim Mahmud” telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan.

2. Hukum pengharaman arak dan khinzir tidak boleh disamakan dengan hukum haram merokok kerana hukum pengharaman terhadap arak dan khinzir telah dinyatakan secara jelas dan qat’ie oleh Allah swt dalam kitab suci al-Quran. Manakala hukum pengharaman terhadap perbuatan merokok telah diistinbatkan oleh para jumhur ulama’ terdahulu dan masa kini bersandarkan hujah-hujah kepada nas-nas syarak yang jelas dinyatakan seperti al-Quran, al-Hadith, Ijma’ Ulama’, Qaedah-qaedah Fiqhiyah dan sebagainya. Ayat-ayat al-Quran dan hadith seperti yang dinyatakan di atas jelas telah memperincikan isu ini.

3. Al-Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, bekas Mufti Mesir dalam Kitabnya Fatawa Syariyyah Wa Buhuth Islamiyah menyatakan:

“ Sesungguhnya tumbuhan (tembakau) ini dahulunya belum dikenali. Apabila ia diperkenal dan digunakan oleh manusia untuk merokok, maka ulama’-ulama’ fiqh daripada pelbagai mazhab Islam telah membincangkannya untuk menetapkan hukumnya berdasarkan prinsip (qaedah fiqhiyyah) yang telah ditetapkan.”

“Sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu harus. Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal melainkan adanya perkara-perkara yang mengubah hukumnya menjadi haram atau sebagainya.”

Dalam isu merokok ini, sebab yang menjadikannya haram ialah kesan mudharat dan bahayanya sehingga meruntuhkan lima asas utama (al-Kulliyatul Khams) yang wajib dipelihara oleh setiap manusia iaitu agama, jiwa, maruah keturunan, akal dan juga harta.


So…? Sendiri  mau ingat la ye ? Jangan marah Pak Perokok ek. Ini fakta bukan auta :)


Sumber : myfriend2u

Info Susulan Penyakit Batu Karang

Berakhirlah entry saya tentang rawatan tradisional di Kampung Permatang Duku. Harapan saya moga rawatan yg diperoleh beroleh kesihatan yang positif. InsyaAllah...

Susulan entry yg lepas berkisar rawatan batu karang tu, terlintas dalam fikiran untuk kongsikan sedikit maklumat mengenai penyakit batu karang ni. Ikuti maklumat lanjut di bawah. Apapun, terima kasih Pak Google.

PENYAKIT batu karang dalam buah pinggang dan hempedu (kidney dan gall bladder) bukan penyakit baru tetapi juga dihadapi oleh orang tua-tua kita dan mereka telah menemukan banyak kaedah dan rawatan untuk penyakit ini.


Batu karang di buah pinggang dan saluran kencing.

Batu karang dikenali dalam istilah perubatan sebagai kalkulus dan penyakitnya disebut nefrolitiasis.

Batu karang terbentuk daripada pemendapan jasad-jasad hablur garam kalsium, asid urik dan beberapa zat lain. Bentuk dan saiznya berbeza; ada yang serupa bujur telur ayam, lonjong, tajam, halus atau berbutir-butir. Penyumbang atau kerosakan yang disebabkan wujudnya batu karang ini boleh menimbulkan rasa yang amat sakit di kawasan pinggang atau kawasan organ seks.

Rasa sakit ini disebut kolikrenal (renal colic). Batu karang yang pecah juga boleh menjadi punca berlakunya pengumpulan bakteria.

Penyakit batu karang lebih cenderung berlaku pada mereka yang sudah lanjut usia, penghidap gout, mereka yang alami jangkitan bakteria di saluran kencing dan mereka yang menghidap penyakit metabolik (penyakit yang disebabkan oleh ketiadaan atau kekurangan enzim tertentu yang diperlukan untuk metabolisme asid amino, karbohidrat dan lain-lain.

Kemudian saya terbaca pula satu entry tentang petua nak mengelakkan penyakit batu karang  ni. Sebenarnya banyak rawatan lain untuk memecahkan batu karang ni selain daripada proses pembedahan.

Jom, kita lihat apa petua tersebut :

Untuk mengelakkan kencing kotor atau penyakit batu karang, amalkan selalu minum air bali



atau

lobak putih yang dihiris halus dan direbus . Minum airnya dan lobak putih selalu pagi dan petang



Rabu, 26 Oktober 2011

Perjalanan ' Maut ' Guru Curah Bakti


DAERAH Penampang terletak bersebelahan dengan bandar raya Kota Kinabalu. Namun, siapa sangka daerah itu masih mempunyai sekolah pedalaman yang begitu terpencil iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan dan SK Terian.

Untuk ke sekolah-sekolah tersebut cuma terdapat dua pilihan sahaja iaitu melalui jalan balak dan berjalan kaki yang mengambil masa sehingga enam jam.

SK Buayan dan SK Terian yang terletak di Banjaran Crocker, masing-masing hanya mempunyai 43 dan 33 orang murid sahaja. Bagaimanapun, dasar pendidikan negara adalah amat jelas iaitu tanpa sebarang kompromi, akan tetap memastikan semua lapisan rakyat meskipun jauh di pedalaman diberikan pendidikan terbaik.

Baru-baru ini, petugas media Sabah berpeluang bersama-sama dengan Timbalan Menteri Pelajaran, DR. MOHD. PUAD ZARKASHI berpeluang melalui pengalaman perit menggunakan dua jalan itu untuk ke sekolah berkenaan.

PENAMPANG 25 Okt. – Pertama kali mendengar mengenai lawatan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi ke dua buah sekolah di Penampang, penulis merasakan ia pasti biasa dan kurang mencabar.

Ini kerana pada firasat penulis, sekolah yang akan dilawat tidaklah terlalu jauh dan mencabar kerana terletak di Daerah Penampang, bersebelahan dengan Kota Kinabalu. Namun segala-galanya berubah apabila kami memulakan perjalanan pada pukul 1 petang, menaiki kenderaan pacuan empat roda penduduk Kampung Sugud yang bermula dengan merentas sungai dan melalui jalan balak.


Malah tidak sampai 10 minit perjalanan, dua daripada lima pacuan empat roda yang disewa berkenaan mengalami kerosakan. Kerosakan awal yang tidak dijangka itu menyebabkan kira-kira 30 peserta lawatan terpaksa berhimpit-himpit termasuk duduk mencangkung di belakang pacuan empat roda lain bersama beg dan barangan keperluan.

Keadaan ini membuatkan para petugas media berasa agak gusar kerana terpaksa melalui jalan berbukit, licin dan berisiko, menaiki kenderaan yang terlebih muatan pula. Degupan jantung semakin kencang apabila seorang pegawai kementerian memaklumkan bahawa tiada kenderaan sokongan kerana hanya pacuan empat roda penduduk kampung sahaja yang ‘berani’ melalui jalan balak berkenaan.

Sepanjang melalui jalan balak menerusi cerun bukit selama dua jam itu, ia amat mencabar seumpama ‘perjalanan maut’ yang boleh mengundang risiko hanya pada bila-bila masa. Kegagalan kereta pacuan empat roda dinaiki penulis mendaki bukit dan hampir-hampir terbalik sebelum terbabas ke tebing, tambah merunsingkan kami.


Pada masa itu, hanya kepada tuhan kami bertawakal dan berdoa agar tiada sebarang kesilapan pemanduan yang boleh mengundang tragedi yang tidak diingini. Namun, perjalanan dua jam yang membuatkan semua anggota badan peserta mula terasa sakit berakhir pada kira-kira pukul 3.30 petang apabila kami tiba di tebing sebatang sungai yang berarus deras.

Bagaimanapun, perjalanan kami masih belum sampai ke destinasinya. Sebaliknya ia merupakan permulaan ujian berjalan kaki pula. Semua peserta terpaksa berjalan kaki melalui denai di tebing bukit, mendaki dan menuruni bukit selain melintasi beberapa batang sungai dengan rakit dan juga melalui jambatan gantung uzur.

Berjalan kaki pada masa itu membuatkan semua peserta terpisah kepada beberapa kumpulan berdasarkan kepada stamina masing-masing.

Pada masa itu, kumpulan Mohd. Puad mendahului peserta lain manakala kumpulan penulis yang disertai oleh jurugambar Berita Harian, jurugambar Jabatan Penerangan, wartawan New Straits Times dan beberapa wakil kementerian berada di belakang sekali kerana ‘tidak cukup stamina’. Semasa perjalanan, penulis menyedari laluan kami pada masa itu amat berbahaya kerana melalui cerun bukit yang licin - sedikit sahaja kesilapan boleh menyebabkan terjatuh ke bawah yang pastinya boleh menukar perjalanan kepada tragedi.

Sepanjang perjalanan menyaksikan ada antara kami yang tergelincir, malah seorang peserta kehilangan tapak kasut dan terpaksa berjalan tanpa tapak kasut.

Perjalanan kali ini juga begitu meletihkan sehingga menyebabkan ada di antara kami yang mengalami kekejangan. Namun, setelah tiga jam berjalan kaki termasuk dalam kegelapan hutan, rombongan akhirnya sampai ke destinasi iaitu SK Buayan pada pukul 7.30 malam.

Selain gembira dengan kejayaan itu, fikiran penulis pada masa itu terbayangkan bagaimana kesusahan dialami guru-guru yang juga terpaksa melalui laluan sama. Selain itu mereka juga berisiko bertembung dengan haiwan liar dan berbisa. Dalam satu majlis yang diadakan di sekolah itu pada sebelah malamnya, Mohd. Puad berkata, biarpun terpaksa melalui laluan berbahaya dan meletihkan, ia sebenarnya menjadi pembakar semangat kepadanya untuk terus melawat kawasan pedalaman.

Katanya, dengan cara itulah beliau akan dapat menghayati dan melihat sendiri keadaan sekolah di kawasan pedalaman seterusnya berusaha memajukan tahap pendidikan di kawasan terbabit. “Jadi apabila mengetahui pelajar yang duduk jauh di sini terpaksa ambil periksa di SK Tampasak Tegudon, timbul tanggungjawab bagi saya untuk membela anak-anak tuan-puan.

“Malah di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerajaan sentiasa memberi perhatian besar kepada pendidikan khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Tegas Mohd. Puad, perjalanan yang mencabar dan berisiko itu tidak pernah mematahkan semangat warga kementerian untuk terus melakukan lawatan bagi meningkatkan prasarana luar bandar.

Katanya, pada masa akan datang, pihaknya merancang melawat lebih banyak sekolah pedalaman di seluruh negeri.

Utusan Malaysia Online: 26 Oktober 2011