Rentetan kisah yang aku tulis pada entri sebelum ini belum berkesudahan rupanya. Aku masih mahu berkongsi kisah tentang dunia kerjaya aku. Mengapa aku memilih untuk menjadi guru dan terus menjadi guru ?
Hakikatnya aku
sangat mensyukuri atas rezeki yang Allah berikan pada aku. Kerjaya aku adalah
ketentuanNYA. Dalam usia yang muda aku terus diterima untuk menjalani latihan
perguruan di ibu kota. Aku sendiri tidak dapat bayangkan jika aku bekerja di
sektor lain. Adakah aku lebih puas bekerja ? atau kerjaya itu lebih
menyeronokkan berbanding bekerja mendidik murid-murid ?
Aku akui
kadang-kadang penat dengan kerja-kerja perkeranian. Macam-macam data yang perlu
dikemaskini. Walaupun sudah ada sistem secara atas talian dan kemudahan
perkomputeran, namun masih ada lagi borang-borang tertentu yang perlu diisi
secara manual. Namun, apakan daya ‘ kami yang menurut perintah’.
Ada masanya langkah
jadi longlai bila semangat belajar murid sentiasa terkulai. Mana tidaknya,
ketika kaki melangkah ke kelas tambahan kelihatan kerusi yang kosong lebih
banyak berbanding murid yang hadir. Itu belum lagi ditambah dengan hasil kerja
murid yang dibuat ala kadar, malah tulisannya pula bagaikan cakar ayam. Argh,
geramnya !!!
Lazimnya, masyarakat
di luar sana nampak cikgu sudah berada di rumah sekitar 2.00 petang. Itupun
jika tiada aktivti lain mahupun mesyuarat di sekolah. Tetapi mereka tidak tahu,
dalam pada mengurus keluarga, guru-guru masih memikirkan strategi pengajaran
untuk P&P keesokkan harinya, menyemak buku latihan malah ada masanya
ditambah dengan kerja-kerja perkeranian. Bagi seorang guru kerja lebih masa
tanpa bayaran sudah jadi lumrah dalam kerjaya. Selain menyemak buku latihan, guru turut menyediakan
soalan peperiksaan, menyemak kertas jawapan peperiksaan, dan membuat pendokumentasian.
Guru juga perlu
mengiring aktiviti perkhemahan pelajar, masuk ke hutan berhari-hari, malah
turut terpaksa meninggalkan keluarga. Mereka selesa menginap di bilik
hotel berhawa dingin, sedangkan guru kadangkala terpaksa tidur di dalam bilik
asrama atau khemah bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin.
Teringat pula aku
satu masa dahulu. Waktu itu aku mengiring murid-murid ke perkhemahan. Mendaki
Gunung Angsi di Kuala Pilah. Tidur di dalam khemah dalam keadaan hujan
renyai-renyai. Mulalah mata terkelip-kelip, mulut terkumat kamit tidak berhenti
berzikir. Bila teringat kenangan itu aku tersenyum sendiri. Dalam hati
berbisik, “ Bagaimana nak jaga murid, jika diri sendiri pun penakut.
Huhuhu....” Namun, aku bangga kerana daripada pengalaman aku banyak belajar
tentang kehidupan sebenar. Mungkin pengalaman
sebegini tidak dapat dikutip oleh pekerja sektor awam yang lain. Anda setuju ?
Aku tahu kerjaya seorang guru memerlukan komitmen yang kuat,
tenaga yang banyak dan kesabaran yang tinggi dalam menghadapi karenah pelajar,
ibu bapa, dan masyarakat. Dahulu guru dihormati, ditakuti, digeruni, disegani.
Kini guru sering dikritik, dicela dan dikasari. Ilmu yang diberi kurang
dihargai. Akibatnya, tidak hairanlah jikalau disiplin pelajar semakin teruk
bila perasaan hormat pada guru sudah hilang.
Kini, pelajar tidak
boleh dirotan lagi. Semuanya terbatas. Bagaimana mahukan jati diri yang
cemerlang jika sahsiah diri tidak dapat dikawal lagi. Bagi aku, niat guru merotan
itu murni hanya semata untuk mendidik pelajar. Namun, secara tidak langsung
ianya boleh mendatangkan mudarat dan menjadi mimpi ngeri kepada guru jika
dilakukan secara berlebihan. Setakat ini aku akui memang ada masa tertentu aku
akan merotan pelajar aku. Aku merotan bersebab. Aku kesal dan aku sedih bila
melihat pelajar aku yang tidak minat untuk belajar. Mereka ke sekolah untuk
berjumpa rakan-rakan dan hanya memenuhi kehendak ibu bapa mereka. Di manakah
arah tuju mereka ? Apakah nasib mereka pada masa akan datang jika bukan aku
yang bantu ?
Teringin pula aku
kongsikan pengalaman aku ketika berhadapan dengan seorang murid tahun 6
baru-baru ini. Sikapnya memang aku anggap kurang ajar dan biadab. Waktu itu aku
masuk ke kelas itu untuk ajarkan subjek Matematik. ‘ Si Polan itu tidak membawa
modul Matematik dan mula mengganggu rakan lain yang sedang belajar.
“ Si Polan, mana
modul Matematik awak ?” tanya aku. “ Kat rumah, cikgu,” jawabnya bersahaja.
Bukan sehari dua dia tinggalkan modul itu, malah seringkali. Pernah juga aku
merotannya kerana hilang sabar dengan sikapnya. “ Kalau perangai kamu seperti
ini, bagaimana kamu nak berjaya dalam pelajaran? Lama-lama, cikgu tengok muka
kamu pun rasa nak muntah,” marah aku padanya. Aku mula hilang sabar. Kemarahan
aku semakin membuak apabila dia menjawab percakapan aku. Katanya, “
Kawan-kawan, cikgu nak muntah. Siapa ada minyak cap kapak. Leh, bagi kat cikgu
sikit.” Subhanallah...tersentap jantung aku. Hampir mengalir airmata aku.
Ikutkan hati aku nak halau dia keluar dari kelas pada waktu itu juga. “ Kurang
ajar !” Suaraku mula meninggi. Aku cuba kawal kemarahan dengan beristiqfar. Aku
takut aku bertindak di luar kawalan. “Ya, Allah...lembutkanlah hati murid ini.
Dia kurang kasih sayang daripada ibu bapanya. Dia anak yatim,” bisik hati aku.
Inilah kerjaya aku.
Aku perlu bangga dan bersyukur kerana Allah masih bersama aku untuk melawan
semua cabaran itu. Pernah juga airmata ini mengalir bila mahukan mereka
berubah. Aku tahu aku lemah. Kekuatan yang aku ada perlu aku simpul rapi agar
ianya utuh bersama semangat yang ada.
Bagi aku setiap usaha
yang aku lakukan adalah untuk pelajar aku. Aku bawa harapan agar mereka dapat
menerima ilmu dengan baik dan menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab.
Aku tidak perlukan mata tajam para pentadbir
untuk memantau kerja aku. Tetapi aku hanya cuba pastikan aku dapat
berikan komitmen yang terbaik. Aku bekerja bukan untuk mendapat nama atau
pangkat, tetapi dengan penuh kesedaran bahawa setiap apa yang aku lakukan akan dicatat sebagai amal atau
dosa.
“
Jika tidak sanggup berkorban sedikit masa,
tenaga
dan wang ringgit untuk kebaikan murid,
Jangan
jadi guru...
Jika
tidak sanggup berpanas di dalam kelas,
bermalam
di hutan, berjemur di padang, maka
Jangan
jadi guru...
Jika
tidak sanggup bantu murid cuci muntah dan berak,
Jangan
jadi guru...
Jika
sudah hilang minat mengajar
dan
hanya bekerja semata-mata kerana tiada kerja lain yang terbuka,
Jangan
jadi guru...dan,
Jika
bekerja hanya untuk mendapatkan gaji bulanan setiap 25hb,
Jangan
jadi guru...”
Aku selalu
berfikir, “ Adakah kerjaya aku sebagai satu ibadah buatku? Adakah kerjaya yang
aku lakukanku ini hanya kerana khuatir gaji dianggap syubhah andai tidak
dilaksanakan dengan baik? Berapa banyakkah ilmu yang aku sampaikan tersemat di
hati anak didikku? Dan yang paling utama, berapa ramaikah di antara mereka yang
mengamalkan ilmu yang telah ku sampaikan selama ini?”