Assalammualaikum....
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan baginda Nabi Muhammad SAW, keluarga, serta sahabat-sahabat baginda.
Cepatnya masa berlalu. Hari ini sudah pun 9 Syawal 1432H. Rasanya sempat lagi untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin buat semua pengunjung blog ini. Semoga lebaran kali ini dapat disambut dengan penuh keberkatan dan kesyukuran.
Hakikatnya bulan Syawal telah mengembalikan kita kepada fitrah, diampuni segala dosa setelah melakukan ibadah Ramadan sebulan penuh. Kita seolah-seolah baru kembali dengan hati dan jiwa yang bersih setelah berperang dan berjuang selama sebulan menentang hawa nafsu yang merupakan musuh yang paling besar dalam diri kita.
Munculnya Syawal kita anggap sebagai bulan kemenangan kepada kita. Fitrah ini harus dipelihara, kesuciannya perlu dijaga dan bukannya dicemari. Bahkan, Syawal seharusnya dijadikan sebagai dorongan untuk kita meneruskan perjuangan dan meraih ganjaran yang lebih besar pada bulan-bulan seterusnya.
Kedatangan Syawal juga disambut dengan penuh kegembiraan di seluruh dunia.Di bulan inilah kita seharusnya kembali mengukuhkan silaturrahim. Yang jauh didekatkan, yang dekat dikukuhkan, malah yang telah terputus perlu disimpul kembali. Mungkin hubungan yang terputus itu tidak boleh disimpul sekukuh dahulu, tetapi sesungguhnya kedatangan Syawal mengajak kita untuk kembali menjalin silaturrahim.
Ketahuilah bahawa pergaulan yang baik itu merupakan intipati daripada murninya budi pekerti, sementara perpecahan itu adalah intipati daripada keburukan budi pekerti. Maka, sama-samalah kita bermaafan antara satu sama lain agar hubungan yang telah terputus kembali terjalin. InsyaAllah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan