Jiwang Corner :)

Rabu, 21 September 2011

SEKOLAH AMANAH

Angkat status sekolah kebangsaan

SEKOLAH 'separa korporat' akan menjadi kenyataan apabila pihak korporat dibenarkan terlibat secara langsung mengangkat status quo sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan - sama ada menengah atau rendah - di bawah inisiatif Sekolah Amanah mulai tahun depan.

Hal ini akan menjadikan sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan - menengah atau rendah - setanding dengan sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina, atau sekolah swasta dari segi status elitis dan pembiayaan kewangannya, sekali gus mengubah topografi pendidikan dan tanggapan terhadap sekolah kebangsaan di negara ini.
Apakah pula perbezaan Sekolah Amanah dengan sekolah swasta?

Perbezaan besar ialah Sekolah Amanah merupakan sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan yang bakal mendapat penajaan syarikat, sementara sekolah swasta ialah sekolah yang dimiliki secara berdaftar oleh sebuah pegangan swasta sepenuhnya.

Inisiatif Sekolah Amanah akan mencakupi sekolah kerajaan iaitu sekolah kebangsaan harian, sekolah menengah harian, sekolah agama, sekolah vokasional, sekolah berasrama, sekolah pendidikan khas, sekolah Orang Asli, Sekolah Sukan dan Sekolah Seni.Turut mendapat tempias ialah sekolah bantuan kerajaan yang meliputi sekolah aliran dan sekolah mubaligh.

Turut diberi jaminan ialah, tiada bayaran tambahan - sama ada berbentuk yuran, aktiviti atau yang tersembunyi - yang akan dikenakan kepada pelajar atau ibu bapa untuk memasuki Sekolah Amanah. Hal ini berbeza dengan sekolah swasta yang mengenakan yuran yang tinggi kepada pelajar.

Namun begitu, hal ini tidak bermakna pihak swasta yang menjadi penaja bakal mempunyai kuasa autonomi ke atas pentadbiran sedia ada di sekolah. Pengetua atau guru besar masih berkuasa penuh.

Sebagai permulaan, Khazanah Nasional melalui perbadanannya, Yayasan Amir - sebuah organisasi bukan komersial yang baru diperbadankan - akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelajaran merintis pelaksanaan di 10 sekolah rintis, yang akan diumumkan kelak.

''Kita akan cuba menerapkan budaya korporat dalam budaya sekolah dan mempercepatkan keberhasilan yang dirancang di bawah inisiatif utama Kementerian Pelajaran Malaysia pada 2010," kata Pengarah Eksekutif Pengurusan Strategik Pembangunan Sumber Manusia Khazanah Nasional, Shahnaz Al-Sadat.

Inisiatif tersebut ialah program prasekolah, tawaran baru kepada pentadbir dan pengetua sekolah, program sekolah berprestasi tinggi, program literasi dan numerasi (LINUS) dan program penambahbaikan sekolah.

Beliau menggambarkan, Khazanah Nasional akan mengeluarkan belanja yang besar bagi merintis program Sekolah Amanah.

''Mungkin RM4,000 bagi setiap pelajar," ujar Shahnaz sambil membayangkan penerapan budaya korporat melalui corak pentadbiran, serta pengenalan beberapa kurikulum sampingan baru yang ada 'sentuhan' korporat.

Kepada pertanyaan yang lebih mendalam, khususnya yang menyentuh tentang 'imbuhan' kepada guru dalam persekitaran dan kesesuaian terma gaji korporat, beliau menjawab: ''Terlalu banyak perkara yang hendak diteliti dan kalau soal itu, ia tertakluk pula kepada terma Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)."

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan tentang insiatif Sekolah Amanah itu hari ini.

Kepada satu soalan pemberita pada taklimat khas tentang Sekolah Amanah di Kuala Lumpur baru-baru ini, Shahnaz menekankan bahawa projek rintis telah dijalankan selama lebih setahun ke atas sembilan kesatuan dan persatuan guru, seramai 60 pengetua dan guru serta 10 pakar subjek selain kumpulan guru dan orang awam.

''Rata-rata positif, dan Khazanah Nasional sendiri tidak mahu merosakkan anak bangsa dengan projek ini," tegasnya.

Tambah beliau, objektif Sekolah Amanah ialah merapatkan jurang elitis, menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran (P&P), memantapkan program pedagogi, menambah baik jaringan pentadbiran antara sekolah primer dengan sekolah yang kurang berkemampuan, merangsang guru untuk lebih berinovatif dan seterusnya menjadi contoh kepada transformasi sekolah.

Jika berdasarkan pelan asal yang dibentangkan oleh Khazanah Nasional yang bakal mengambil 10 sekolah sulung sebagai sekolah angkatnya bagi projek berkenaan mulai tahun depan, peranan pihak swasta lebih kepada menaja sebarang program untuk kebaikan sekolah.

Khazanah Nasional turut menganggap program berkenaan sebagai melangkaui program tanggungjawab sosial korporat (CSR), kerana ia melibatkan pertaruhan pembangunan modal insan.

Secara teknikalnya, pihak Kementerian Pelajaran serta penaja akan mengadakan perjanjian pelaksanaan dan pengurusan (OMA) - satu ikatan perjanjian yang akan menentukan had autonomi, indeks utama pencapaian (KPI) serta terma yang menggariskan bidang pelaksanaan dan pengurusan oleh pihak swasta.

Pihak Kementerian Pelajaran mempunyai kuasa penuh untuk memilih dan menjalin kontrak dengan mana-mana penaja, memilih sekolah yang layak serta menentukan prestasi berdasarkan sasaran awal.

Bagi penaja atau yayasan yang telah dilantik, mereka akan terlibat secara langsung dengan aspek pengurusan berasaskan sekolah, perkhidmatan nilai tambah dan pembiayaan tambahan.

Hal ini bermakna pihak berkenaan akan menetapkan garis panduan dan piawaian bagi bidang autonomi yang telah dipersetujui, memastikan kemapanan kewangan sekolah, menyediakan kawalan kualiti dalaman dan memilih penyediaan perkhidmatan jika difikirkan perlu.

Apa pula peranan pengetua sekolah?

Mereka akan meneruskan rutin tugas harian seperti sekarang dalam hal berkaitan dasar pengajaran dan pembelajaran, dasar staf dan pelajar serta pengurusan bajet.

Shahnaz menambah, pihaknya membuat kajian terperinci tentang program Sekolah Amanah daripada beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), India dan Sweden, yang ada keperluan khusus masing-masing.

Katanya, model perkongsian pintar sektor awam dan swasta (PPP) wujud di lebih 50 buah negara di seluruh dunia.

Di AS, katanya, Sekolah Amanah berfungsi menangani 'sekolah yang gagal' di kawasan yang 'paling sukar', memenuhi keperluan pelajar yang tidak mendapat cukup perhatian dan meningkatkan keseluruhan aspek persekolahan melalui persaingan.

Di UK pula, konsep yang sama dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan, seperti mana juga di India. Di Sweden, konsep yang sama telah berjaya merapatkan jurang pendidikan antara sekolah yang berprestasi tinggi dan sekolah yang berprestasi rendah khususnya di kawasan ramai anak penghijrah.

Di atas premis yang lebih kurang sama, kata Shahnaz, Yayasan Amir akan memilih berdasarkan kriteria berikut: lima sekolah adalah berdasarkan prestasi yang rendah , prestasi sederhana (3) dan prestasi tinggi (2)

''Dengan pemilihan ini, kita akan mewujudkan rangkaian supaya sekolah berprestasi rendah boleh belajar daripada rakan mereka di tahap yang lebih baik," kata Shahnaz.

INFO

Sekolah Amanah atau Trust Schools akan diperkenalkan untuk memudah cara perkongsian awam swasta dalam pengurusan sekolah kerajaan yang terpilih.
Sekolah terbabit akan diberi autonomi oleh kerajaan dan dengan itu dipertanggungjawabkan bagi meningkatkan prestasi pelajar.
Autonomi yang akan diberikan termasuk keanjalan untuk mengubah suai kurikulum pembelajaran, menggunakan peruntukan mengikut keperluan, memberi insentif kepada guru mengikut tahap prestasi serta memilih guru dan staf sokongan.


Sumber: Utusan Malaysia, 10 Disember 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan