Hari ini hari kedua calon-calon SKTM menjawab soalan Matematik kertas 1 UPSR. Bagi mereka yang telah cukup bersedia, maka tersenyumlah mereka saat keluar dari bilik peperiksaan. Kedengaran ada yang mengeluh susah dan ada juga yang tersenyum mengatakan soalan yang telah dijawab tadi senang.Bagi saya, apa yang telah diusahakan pasti akan mencapai hasilnya. InsyaAllah...Itulah harapan dan doa daripada setiap guru.
Bagi murid-murid tahun 4, saya mengambil kesempatan ini untuk mendedahkan kepada mereka tentang permainan Catur Bistari ( memandangkan pengajaran ditangguhkan memandangkan suara murid-murid sedikit sebayak boleh mengganggu suasana peperiksaan UPSR yang sedang dijalankan.
Bagi yang masih belum terdedah dengan permainan Catur Bistari ini, saya cuba kongsikannya di sini. Saya pernah sertai permainan ini semasa saya menyertai program Didik Bistari anjuran Johor Corperation dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Johor pada tahun 2006 dan 2007 dahulu. Sekarang program ini diteruskan di peringkat sekolah namun dikendalikan oleh guru penasihat yang lain.
Monopoly, Checkers dan Scrabble memang popular sejak dulu sebagai permainan menguji minda dan kemahiran berstrategi yang boleh disertai semua dan 'board games' ini boleh melibatkan sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur.
Menggunakan konsep dan pendekatan serupa, "Catur Bistari" mahu dikenali seperti itu, dengan menyediakan pelbagai jenis dan tahap kesukaran permainan, daripada yang paling asas untuk kanak-kanak hinggalah yang lebih kompleks.
Johor Corporation membangun dan memperkenal permainan Catur Bistari ini yang bukan sekadar permainan yang menyeronokkan, tetapi mempunyai matlamat sampingan bernilai tinggi.Istilah "catur" digunakan untuk memberi maksud ciri peraturan atau penyusunan strategi dalam perniagaan. Petak dan perjalanan permainan umpama "monopoli", memerlukan bilangan peserta empat hingga enam orang.
Istilah juruwang, jurubank, kad fitrah, pelaburan, bisnes amal, barakah, wang tunai dan gaji adalah ciri-ciri utama di dalam permainan perniagaan ini yang sesuai untuk seisi keluarga.Rangkaian restoran perkhidmatan makanan segera KFC Holdings (Malaysia) Bhd membantu mempromosi dan menjual set Catur Bistari ini dan mempopularkannya dengan menganjurkan Cabaran Catur Bistari. Cabaran Catur Bistari KFC ini akan dijadikan acara tahunan.
Catur Bistari diperkenal dan dikaryakan bukan sahaja untuk menanam minat menjadikan bisnes sebagai kerjaya pilihan, lebih penting lagi ia membentuk ciri-ciri kecemerlangan usahawan berdasarkan nilai-nilai Islam.
Catur Bistari juga menyedarkan betapa pentingnya mendapatkan hikmah bisnes untuk berjaya selain mendedahkan hubung kait bisnes dengan beramal jariah.Catur Bistari juga dicipta dengan hasrat mendidik bakal usahawan memikirkan tindakan secara jangka panjang dan mengambil tindakan strategik.
Johor Corporation mengambil masa setahun untuk membangunkan Catur Bistari dengan menghimpunkan semua pengalaman sebenar perniagaan Johor Corporation dan syarikat di bawahnya.
Johor Corp juga sedang mengusahakan versi junior untuk Catur Bistari yang dijangka siap menjelang akhir tahun selain mengkaji prospek untuk mengalih bahasa Catur Bistari kepada Bahasa Inggeris dan Arab untuk pasaran antarabangsa. Set Catur Bistari boleh dibeli dengan harga RM89.90 satu set di semua Restoran KFC seluruh negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan