Jiwang Corner :)

Jumaat, 28 Disember 2012

Aku dan Dunia Pendidikan ( siri 2 )


Rentetan kisah yang aku tulis pada entri sebelum ini belum berkesudahan rupanya. Aku masih mahu berkongsi kisah tentang dunia kerjaya aku. Mengapa aku memilih untuk menjadi guru dan terus menjadi guru ?

Hakikatnya aku sangat mensyukuri atas rezeki yang Allah berikan pada aku. Kerjaya aku adalah ketentuanNYA. Dalam usia yang muda aku terus diterima untuk menjalani latihan perguruan di ibu kota. Aku sendiri tidak dapat bayangkan jika aku bekerja di sektor lain. Adakah aku lebih puas bekerja ? atau kerjaya itu lebih menyeronokkan berbanding bekerja mendidik murid-murid ?

Aku akui kadang-kadang penat dengan kerja-kerja perkeranian. Macam-macam data yang perlu dikemaskini. Walaupun sudah ada sistem secara atas talian dan kemudahan perkomputeran, namun masih ada lagi borang-borang tertentu yang perlu diisi secara manual. Namun, apakan daya ‘ kami yang menurut perintah’.

Ada masanya langkah jadi longlai bila semangat belajar murid sentiasa terkulai. Mana tidaknya, ketika kaki melangkah ke kelas tambahan kelihatan kerusi yang kosong lebih banyak berbanding murid yang hadir. Itu belum lagi ditambah dengan hasil kerja murid yang dibuat ala kadar, malah tulisannya pula bagaikan cakar ayam. Argh, geramnya !!!

Lazimnya, masyarakat di luar sana nampak cikgu sudah berada di rumah sekitar 2.00 petang. Itupun jika tiada aktivti lain mahupun mesyuarat di sekolah. Tetapi mereka tidak tahu, dalam pada mengurus keluarga, guru-guru masih memikirkan strategi pengajaran untuk P&P keesokkan harinya, menyemak buku latihan malah ada masanya ditambah dengan kerja-kerja perkeranian. Bagi seorang guru kerja lebih masa tanpa bayaran sudah jadi lumrah dalam kerjaya.  Selain menyemak buku latihan, guru turut menyediakan soalan peperiksaan, menyemak kertas jawapan peperiksaan, dan membuat pendokumentasian.

Guru juga perlu mengiring aktiviti perkhemahan pelajar, masuk ke hutan berhari-hari, malah turut terpaksa meninggalkan keluarga. Mereka selesa menginap di bilik hotel berhawa dingin, sedangkan guru kadangkala terpaksa tidur di dalam bilik asrama atau khemah bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin. 

Teringat pula aku satu masa dahulu. Waktu itu aku mengiring murid-murid ke perkhemahan. Mendaki Gunung Angsi di Kuala Pilah. Tidur di dalam khemah dalam keadaan hujan renyai-renyai. Mulalah mata terkelip-kelip, mulut terkumat kamit tidak berhenti berzikir. Bila teringat kenangan itu aku tersenyum sendiri. Dalam hati berbisik, “ Bagaimana nak jaga murid, jika diri sendiri pun penakut. Huhuhu....” Namun, aku bangga kerana daripada pengalaman aku banyak belajar tentang kehidupan sebenar. Mungkin  pengalaman sebegini tidak dapat dikutip oleh pekerja sektor awam yang  lain. Anda setuju ?

Aku tahu kerjaya  seorang guru memerlukan komitmen yang kuat, tenaga yang banyak dan kesabaran yang tinggi dalam menghadapi karenah pelajar, ibu bapa, dan masyarakat. Dahulu guru dihormati, ditakuti, digeruni, disegani. Kini guru sering dikritik, dicela dan dikasari. Ilmu yang diberi kurang dihargai. Akibatnya, tidak hairanlah jikalau disiplin pelajar semakin teruk bila perasaan hormat pada guru sudah hilang.

Kini, pelajar tidak boleh dirotan lagi. Semuanya terbatas. Bagaimana mahukan jati diri yang cemerlang jika sahsiah diri tidak dapat dikawal lagi. Bagi aku, niat guru merotan itu murni hanya semata untuk mendidik pelajar. Namun, secara tidak langsung ianya boleh mendatangkan mudarat dan menjadi mimpi ngeri kepada guru jika dilakukan secara berlebihan. Setakat ini aku akui memang ada masa tertentu aku akan merotan pelajar aku. Aku merotan bersebab. Aku kesal dan aku sedih bila melihat pelajar aku yang tidak minat untuk belajar. Mereka ke sekolah untuk berjumpa rakan-rakan dan hanya memenuhi kehendak ibu bapa mereka. Di manakah arah tuju mereka ? Apakah nasib mereka pada masa akan datang jika bukan aku yang bantu ?

Teringin pula aku kongsikan pengalaman aku ketika berhadapan dengan seorang murid tahun 6 baru-baru ini. Sikapnya memang aku anggap kurang ajar dan biadab. Waktu itu aku masuk ke kelas itu untuk ajarkan subjek Matematik. ‘ Si Polan itu tidak membawa modul Matematik dan mula mengganggu rakan lain yang sedang belajar.

“ Si Polan, mana modul Matematik awak ?” tanya aku. “ Kat rumah, cikgu,” jawabnya bersahaja. Bukan sehari dua dia tinggalkan modul itu, malah seringkali. Pernah juga aku merotannya kerana hilang sabar dengan sikapnya. “ Kalau perangai kamu seperti ini, bagaimana kamu nak berjaya dalam pelajaran? Lama-lama, cikgu tengok muka kamu pun rasa nak muntah,” marah aku padanya. Aku mula hilang sabar. Kemarahan aku semakin membuak apabila dia menjawab percakapan aku. Katanya, “ Kawan-kawan, cikgu nak muntah. Siapa ada minyak cap kapak. Leh, bagi kat cikgu sikit.” Subhanallah...tersentap jantung aku. Hampir mengalir airmata aku. Ikutkan hati aku nak halau dia keluar dari kelas pada waktu itu juga. “ Kurang ajar !” Suaraku mula meninggi. Aku cuba kawal kemarahan dengan beristiqfar. Aku takut aku bertindak di luar kawalan. “Ya, Allah...lembutkanlah hati murid ini. Dia kurang kasih sayang daripada ibu bapanya. Dia anak yatim,” bisik hati aku.

Inilah kerjaya aku. Aku perlu bangga dan bersyukur kerana Allah masih bersama aku untuk melawan semua cabaran itu. Pernah juga airmata ini mengalir bila mahukan mereka berubah. Aku tahu aku lemah. Kekuatan yang aku ada perlu aku simpul rapi agar ianya utuh bersama semangat yang ada.

Bagi aku setiap usaha yang aku lakukan adalah untuk pelajar aku. Aku bawa harapan agar mereka dapat menerima ilmu dengan baik dan menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab. Aku tidak perlukan mata tajam para pentadbir  untuk memantau kerja aku. Tetapi aku hanya cuba pastikan aku dapat berikan komitmen yang terbaik. Aku bekerja bukan untuk mendapat nama atau pangkat, tetapi dengan penuh kesedaran bahawa setiap apa yang  aku lakukan akan dicatat sebagai amal atau dosa.

“ Jika tidak sanggup berkorban sedikit masa,
tenaga dan wang ringgit untuk kebaikan murid,
Jangan jadi guru...
Jika tidak sanggup berpanas di dalam kelas,
bermalam di hutan, berjemur di padang, maka
Jangan jadi guru...
Jika tidak sanggup bantu murid cuci muntah dan berak,
Jangan jadi guru...
Jika sudah hilang minat mengajar
dan hanya bekerja semata-mata kerana tiada kerja lain yang terbuka,
Jangan jadi guru...dan,
Jika bekerja hanya untuk mendapatkan gaji bulanan setiap 25hb,
Jangan jadi guru...”

Aku selalu berfikir, “ Adakah kerjaya aku sebagai satu ibadah buatku? Adakah kerjaya yang aku lakukanku ini hanya kerana khuatir gaji dianggap syubhah andai tidak dilaksanakan dengan baik? Berapa banyakkah ilmu yang aku sampaikan tersemat di hati anak didikku? Dan yang paling utama, berapa ramaikah di antara mereka yang mengamalkan ilmu yang telah ku sampaikan selama ini?”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan