Aku teringat akan
jawapan aku, “ Saya suka nak jadi cikgu sebab saya nak didik anak bangsa saya. Saya
nak mereka jadi insan berguna satu masa nanti. ” Wah, begitu yakinnya aku
dengan jawapan itu. Pakcik aku yang juga seorang guru memang berpesan kepada
aku. Begini katanya, “ jika disoal, kita kena tunjukkan keyakinan ketika
menjawab.” Jadi, aku praktiklah.
Pengalaman belajar
di maktab banyak mematangkan hidup aku. Kami dididik untuk menjadi insan
cemerlang jasmani, emosi, rohani dan intelek agar dapat membentuk generasi
cemerlang. Pelbagai teori dan praktikal menjadikan kami lebih matang dalam
dunia pendidikan. Dunia remaja aku dihiasi dengan pelbagai pengalaman tatkala
praktikum. Kami terpaksa tinggal menyewa rumah di negeri orang. Waktu itulah
pengalaman untuk hidup berdikari bermula. Aku syukur dengan pengalaman indah
itu.
Kini, hampir 13
tahun aku berada dalam dunia pendidikan. Bilangan yang memohon menjadi guru
turut bertambah. Beribu-ribu calon yang memohon tetapi hati ini sering
tertanya, “ Antara yang ramai-ramai itu berapa ramaikah yang benar-benar
komited dengan kerjaya guru di sekolah?” Hakikatnya bukan mudah untuk menjadi
seorang guru. Ada yang berpendapat nak jadi guru ni sebab kerja seorang guru
itu mulia. Tapi bagaimana pula dengan kerjaya lain? Adakah tidak mulia? Bagi
aku semua kerja itu mulia asalkan apa yang kita usahakan itu dengan niat hati
yang ikhlas. InsyaAllah semuanya akan jadi satu ibadah.
Namun, tidak
disangkalkan bahawa kerjaya guru ini ada keistimewaannya tersendiri. Mana
tidaknya dari usia enam tahun kita dah melangkah ke TABIKA ataupun prasekolah.
Enam tahun kemudiannya pula kita berada
di sekolah rendah. Sambung pula 5 tahun lagi di sekolah menengah. Wah...hari-hari
ke sekolah lah kita selagi tidak jejak ke usia 60 tahun, Namun aku bangga
selamanya kalimat ‘ cikgu’ itu akan digunapakai pada gelaran semua guru oleh
masyarakat di luar sana.
“ Cikgu, nak ke
mana tu ?” Begitulah teriakan jiran-jiran aku ketika aku nak keluar berjalan
mengisi masa. Dulu aku janggal dengan panggilan itu. Mana tidaknya itu bukan
nama aku. Itu hanya gelaran. Namun, kini panggilan itu sudah menjadi sebati dan
lali buat aku.
Aku juga sering
terdengar masyarakat mengatakan kerja guru ini terjamin masa depannya. Masuk
maktab, belajar hingga tamat, kemudian tunggu panggilan penempatan. Tidaklah
seperti graduan lain yang terpaksa mencari kerja sesuai dengan bidang mereka.
Guru juga tidak perlu khuatir tentang risiko dibuang kerja seperti kakitangan
swasta yang lain jika tidak komited. Pelbagai andaian yang sering berbisik di
gegendang telinga aku. Namun aku biarkan ianya berlalu kerana ada ketikanya
tanggapan itu adalah benar belaka.
Aku bersyukur saat
mengingatkan kembali kata-kata pensyarah aku semasa di maktab dulu. “ Di Sabah
dan Sarawak banyak kekosongan jawatan guru. Tidak mustahil kamu akan di
tempatkan di sana. ” Seram sejuk juga aku mendengarkannya. Mana mungkin aku
akan berjauhan dengan keluarga aku? Mana mungkin aku mengajar di pedalaman ?
Naik rakit ? Naik bot ? Merentas hutan rimba paya bakau ? Oh, tidak...
Ini adalah
penempatan kedua aku. Kedua-dua penempatan aku adalah di kawasan bandar raya. Syukurlah
Allah beri aku peluang dan permudahkan urusan aku. Pengalaman mengajar di
sekolah di kawasan bandar raya semestinya memberi pengalaman yang berbeza
berbanding di luar bandar. Namun dalam masa yang sama aku mengambil peluang mendengar
kisah pengalaman rakan yang ditempatkan di luar bandar mahupun di pedalaman.
Sungguh unik kehidupan mereka di sana. Yang pastinya aku tidak akan dapat
pengalaman seperti itu !
Masih banyak yang
perlu aku pelajari untuk cari pengalaman dalam kerjaya aku. Budaya kerja yang berbeza
dari satu tempat ke satu tempat sebenarnya lebih memberi aku timba pengalaman
hidup dan pengajaran. Jadi tidak mustahillah jika aku berhijrah untuk
mendapatkan sesuatu yang lebih baik. InsyaAllah rezeki yang luas itu akan jadi
milik kita sedikit demi sedikit.
Menghadapi kerenah
murid dahulu berbanding murid sekarang memang jauh jurang bezanya. Semasa zaman
aku bersekolah dahulu tidak pernah pula
menjawab atau membuat memek muka bila ditegur oleh guru. Tetapi sekarang, aku
biasa melihat gelagat itu. Dalam hati
sering berbisik, “Argh...inikah anak-anak zaman siber?”
Zaman ini, kuasa
guru terhakis. Ibu bapa yang lebih mendengar kata-kata anak tidak teragak-agak
untuk mengeluarkan surat saman kepada cikgu. Teringat aku akan kisah seorang
sahabat guru yang disaman. Bagi aku sahabat aku itu seorang yang komited
terhadap kerjaya. Dia memang bersungguh dan tidak pernah duduk diam. Malah ada
sahaja kerja yang nak dilakukannya termasukkan menceriakan kelas mahupun
sekolah.
Suatu hari, sahabat
tersebut yang juga rakan guru Matematik aku, menegur seorang anak didiknya. “
Aina, kenapa tidak siapkan kerja kamu ? Mana lembaran kerja yang saya beri
semalam?” Murid tersebut hanya diam membatu sedangkan murid itu bukanlah murid
yang lemah. Dari sehari ke sehari murid tersebut semakin malas walaupun telah
dikaunselorkan. Maka, rakan aku tadi telah merotannya hinggalah berbekas pada
lengannya. Tanpa di duga ibu bapa murid tersebut pun datang ke sekolah. Wah,
saat yang sungguh mencemaskan !!!
Alkisahnya, datuknya
punya ramai kenalan yang bekerja di Kementerian Pelajaran Malaysia. “ Ini sudah
jadi kes berat ,” hati aku berbisik. Hah, rupa-rupanya apa yang disangka jadi
kenyataan. Rakan aku itu di saman ! Atas rayuan guru besar, saman tersebut
dikecualikan dengan syarat. Akhirnya sahabat aku tadi terlepas. Dalam pada itu,
sahabat tadi terpaksa menulis laporan setiap hari. Pihak Jabatan Pelajaran
Negeri pun sentiasa bertanya khabar memandangkan sekolah aku waktu itu
berstatus Sekolah Harapan Negara.
Siapa kata mudah
menjadi seorang guru ? Bagi aku, guru yang lalai dalam tugasnya bukan sahaja
membunuh semangat pelajar untuk belajar malah perlu menjawab kepadaNYA di
akhirat sana. Hakikatnya, Ikrar dan janji telah dilafaz. Lagu pun telah
dinyanyikan “ Kami guru Malaysia, berikrar dan berjanji, mendidik dan memimpin,
putra putri negara kita...Pada Seri Paduka, kami tumpahkan setia, rukun negara
kita,panduan hidup kami semua...
Di bidang
pembangunan, kami tetap bersama, membantu, membina, negara yang tercinta...amanah
yang diberi, kami tak persiakan,
apa yang kami janji, tunai tetap kami tunaikan...”
apa yang kami janji, tunai tetap kami tunaikan...”
Besarnya
tanggungjawab menjadi seorang guru. Tapi kenapa aku memilih untuk menjadi guru
dan terus mahu menjadi guru ?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan