Jiwang Corner :)

Rabu, 2 November 2011

Usah layan desakan kaji semula pemansuhan dasar PPSMI

NAMPAKNYA masih ada beberapa kerat pihak dan badan bukan kerajaan (NGO) enggan berputus asa mahu merujuk semula Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ke dalam sistem pendidikan negara walaupun Kementerian Pelajaran sudah memansuhkannya dua tahun lalu.


NGO ini termasuk Kumpulan Tindakan Ibu-Bapa bagi Pendidikan (PAGE), mewakili kelompok kecil orang Melayu - yang dilabel sebagai Melayu elit oleh pejuang bahasa Melayu, disifatkan seperti orang ‘gila talak’ kerana masih mahu menjodohkan semula PPSMI dengan sistem persekolahan walaupun dicerai talak tiga oleh kementerian.
Soalnya sekarang, mengapakah NGO ini begitu beriya-iya sangat mendesak PPSMI supaya diteruskan termasuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan mencadangkan ia dilaksanakan secara pilihan di sekolah.
Apakah tujuan sebenar kumpulan ini menuntut kerajaan melaksanakan dasar PPSMI di sekolah? Apakah keuntungan yang mereka peroleh, sedangkan kementerian memperkenalkan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) selepas PPSMI dimansuhkan?

Adakah ia tidak cukup lagi lantas menggunakan alasan `PPSMI cukup elok dan diterima masyarakat' sudah memadai untuk menguatkan hujah dalam mengemukakan tuntutan itu?

Sudah sampai masa Kementerian Pelajaran bertegas dan tidak bermain tarik tali lagi dalam isu ini kerana ia membabitkan aspek integriti, ketelusan dan keikhlasan dalam mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu.

Jika ditinjau lebih mendalam juga, tuntutan NGO terbabit bertentangan Perlembagaan, Dasar Pendidikan Negara dan semangat memartabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. 
Perkara 152 Perlembagaan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 162/167 (semakan 1971) menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tunggal dan bahasa rasmi negara.

Akta Pelajaran 1961 pula memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di sekolah tetapi mata pelajaran bahasa Inggeris perlu dijadikan mata pelajaran ‘wajib’ di sekolah rendah.

Akta itu juga menetapkan bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib dipelajari di semua Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK).

Maka, apa lagi yang dimahukan PAGE dan NGO lain dalam isu PPSMI ini kerana segala perkara berkaitan bahasa Melayu dan kedudukannya di negara ini termaktub dan dijamin dalam perundangan negara.

Mengulas isu ini, pakar bahasa, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, berkata semua pihak di negara ini terutama orang Melayu perlu menghormati keputusan kementerian kerana ia bertujuan mendaulatkan bahasa Melayu di negara ini.

Katanya, keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI bukan bermakna menidakkan kepentingan bahasa Inggeris, sebaliknya meletakkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Beliau berkata, keputusan itu tidak seharusnya menimbulkan masalah kepada ibu bapa yang bimbang anak mereka tidak boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Mereka mempunyai pilihan untuk mengatasinya seperti menghantar anak ke tuisyen, mengikuti kelas tambahan dan menyertai kempen bahasa Inggeris di sekolah.

“Dalam isu PPSMI, apa yang kita cakap selama ini ialah dasar negara... soal pendidikan negara dan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu,” katanya.

Beliau yang juga Karyawan Tamu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), turut menempelak PAGE yang dianggap sengaja enggan memahami keputusan Kementerian Pelajaran memansuhkan PPSMI.

Katanya, pendirian pejuang bahasa seperti beliau dalam isu PPSMI amat jelas iaitu penguasaan bahasa Inggeris tidak dapat diatasi menerusi pelaksanaan PPSMI, sebaliknya dengan meningkatkan mutu pengajaran bahasa Inggeris di sekolah.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM), Dr Fadzilah Amzah, berkata pelaksanaan PPSMI antara 2003 hingga 2009 tidak banyak membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid terutama luar bandar.

Jelasnya, apabila ia tidak membantu pelajar secara menyeluruh, ia sebenarnya satu diskriminasi terhadap pelajar kerana perlu menguasai bahasa Inggeris menerusi pembelajaran Sains dan Matematik.

Justeru, beliau mahu Kementerian Pelajaran tegas dengan keputusannya sebelum ini dan tidak melayan lagi sebarang tuntutan mana-mana pihak yang mendesak PPSMI dilaksanakan semula.

“Kita tidak boleh terlalu tunduk dan bertolak ansur dalam isu ini kerana ia akan merugikan bahasa dan bangsa. Bahasa adalah pakaian bangsa, kita takut ia cair dan luntur disebabkan tuntutan pihak tidak patriotik ini,” katanya.

Oleh Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my
2011/11/01


Tiada ulasan:

Catat Ulasan