SERDANG – Kementerian Pelajaran bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses pengeluaran dan pengagihan wang bantuan persekolahan RM100 kepada kira-kira 5.5 juta pelajar untuk menjamin keselamatan guru besar dan pengetua sekolah.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, guru besar dan pengetua yang diiringi guru-guru penolong kanan berkemungkinan menjadi sasaran penjenayah dan atas faktor keselamatan adalah lebih elok jika mereka diiringi polis untuk mengeluarkan wang dari bank sehingga mengagihkan wang bantuan persekolahan di sekolah.
“Kita tidak mahu apa-apa (kejadian tidak diingini) berlaku dan sebab itu kita melakukan langkah-langkah pencegahan,” katanya pada satu sidang media selepas menghadiri Hari Keluarga Warga KPM 2011 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di MAEPS di sini.
Khamis lalu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata, wang bantuan persekolahan RM100 seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Belanjawan 2012 akan disalurkan kepada akaun sekolah masing-masing dengan serta-merta.
Wang bantuan itu yang akan diagihkan kepada pelajar Tahun Satu hingga Tahun Lima dan dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat bagi sesi persekolahan 2011.
Bayaran kepada pelajar Tahun Satu dan Tingkatan Satu sesi persekolahan 2012 akan dibayar pada Januari depan.
Wang bantuan persekolahan RM100 kepada ibu bapa, penjaga atau pelajar mula diagihkan pada minggu lepas.
Kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan