Jiwang Corner :)

Ahad, 20 November 2011

Luahan Seorang Guru

Ekoran daripada isu guru kerja 9 jam sehari, guru semakin diperkatakan. Ini lah nasib guru-guru pada zaman teknologi.  Sesiapa sahaja boleh mengata dan sepantas kilat, maklumat tersebar luas. Almaklumlah, maklumat di hujung jari...


Namun, kami sebagai warga guru merasakan isu ini agak sensitif. Ibarat kata, hati kami ini dijentik-jentik. Orang yang bukan dalam kalangan guru, sememangkan tidak tahu apa sebenarnya tugas seorang guru. 


SUDAH kerap kali saya membaca surat di ruangan yang memperkecil-kecilkan profesion perguruan. Guru dituduh sebagai kakitangan kerajaan yang mengada-ada dan sering meminta-minta. Memang mudah orang berkata jika dia tidak mempunyai pengalaman sebagai seorang guru. Kakitangan kerajaan lain enak nikmat di dalam pejabat yang sejuk, mempunyai ruang kerja luas serta boleh menyiapkan tugasan tanpa gangguan.

Cubalah selami sehari kerja seorang guru. Masa bekerja bermula seawal pukul 7.15 pagi. Kalau ditempatkan bekerja jauh dari rumah, ada yang terpaksa keluar seawal jam 6 pagi. Kakitangan kerajaan lain boleh menangguh kerja atau bekerja mengikut masa yang mereka tetapkan sendiri. Guru tidak boleh bertangguh kerja. Bertangguh kerja bermakna mengundang bencana. 

Bertangguh kerja bermakna guru tidak masuk ke kelas. Pelajar yang akan menjadi mangsa. Ada yang mempertikaikan waktu kerja guru yang kononnya hanya dari pukul 7.30 hingga 1.30 tengah hari. Itu bukanlah masa bekerja guru. Itu waktu persekolahan pelajar.

Cubalah anda buat kajian di sekolah-sekolah di Kuala Lumpur. Kebanyakan sekolah berakhir pada pukul 2.30 petang dan kadangkala sehingga 4.00 petang. Itu tidak mengambil kira mesyuarat guru dan pentadbiran yang sering diadakan hingga lewat petang. Bagaimana pula waktu hujung minggu dan cuti persekolahan yang diisi dengan kursus dan kegiatan kokurikulum yang padat ? Orang di luar sana masih kabur nampaknya...

Selain itu, guru perlu mengiring aktiviti perkhemahan pelajar, masuk ke hutan berhari-hari, meninggalkan keluarga. Pengalaman ini bagaimanapun tidak dilalui oleh kebanyakan kakitangan kerajaan yang lain. Mereka selesa menginap di bilik hotel berhawa dingin, sedangkan guru kadangkala terpaksa tidur di dalam bilik asrama atau khemah bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin.


Risiko dalam perjalanan turut ditanggung oleh guru. Pengangkutan khas membawa murid-murid ke pertandingan-pertandingan yang dianjurkan oleh PPD dan JPN tidak disediakan malah menggunakan kenderaan guru sendiri.

Masyarakat sering mempertikaikan tempoh cuti sekolah yang panjang dan kerap yang kononnya turut dinikmati oleh golongan pengajar. Sedarkah anda, pada cuti pertengahan semester pertama, guru-guru bertungkus lumus menanda kertas peperiksaan pelajar di rumah. Tugas memeriksa mesti disiapkan dalam tempoh seminggu cuti persekolahan tersebut. Cuti pertengahan tahun pada bulan Mei selama dua minggu, guru sibuk menanda kertas peperiksaan pertengahan tahun, juga di rumah. Cuti pertengahan semester kedua, guru sibuk menanda kertas peperiksaan percubaan pelajar di rumah.

Sekiranya anda prihatin, anda akan dapati guru kerap melakukan kerja di rumah, masyarakat tidak nampak hal ini kerana anak-anak mereka tidak ke sekolah. Pernahkah mereka terfikir mengapa anak-anak mereka sering memperoleh markah peperiksaan selepas cuti sekolah? 


Beralih kepada isu yang lebih sensasi, cuti akhir tahun. Sedarkah mereka peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dijalankan pada masa cuti akhir tahun? Sedarkah mereka, skrip-skrip jawapan itu juga perlu ditanda semasa waktu cuti akhir tahun? Menurut pekeliling Kementerian Pelajaran, guru-guru boleh dipanggil balik bekerja untuk 2/3 tempoh cuti sekolah akhir tahun. Bayangkanlah berapa baki cuti yang tinggal untuk menanda kertas peperiksaan dan juga untuk menyediakan bahan-bahan untuk semester persekolahan yang baru.

Kakitangan kerajaan yang lain diperuntukkan cuti tahunan selama 30 hari yang boleh diambil bila-bila masa sepanjang tahun. Guru pula diperuntukkan cuti rehat selama 7 hari setahun. Cuti ini pula tidak boleh diambil sesuka hati. Masyarakat sedia maklum masalah kekurangan guru yang dihadapi di sesetengah negeri. Apabila seorang guru mengambil cuti pada hari persekolahan, ia akan memberi kesan yang serius kepada proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Bebanan guru lain akan bertambah, oleh itu agak sukar juga bagi guru untuk menggunakan hari cuti yang diperuntukkan.

Guru juga bekerja dalam suasana yang kurang selesa berbanding kakitangan awam yang lain, bilik pejabat sejuk sehingga perlu memakai jaket di pejabat. Guru pergi ke kelas pada waktu tengah hari dan mengajar di dalam kelas yang hanya mempunyai kipas sahaja dan perlu berdiri sepanjang masa. Guru tidak mempertikaikan itu semua. Memang suasana kerja kami begini dan kami memang sentiasa ikhlas dan memberikan tumpuan sepenuh masa untuk mendidik dan mengajar anak bangsa kami untuk menjadi insan yang berguna.


Saya bangga menjadi seorang guru kerana banyak kerja yang dilakukan oleh seorang guru tidak dilakukan oleh pekerja lain. Pengalaman kami amat berharga.


Sebelum tu mari kita tengok apa tugas sebenar sebagai seorang guru yang dikatakan gaji tidak berbaloi dengan kerja seperti yang  digambarkan oleh golongan yang kurang matang ini.

Time pertandingan bola.. cikgu jadi REFEREE 
Time budak nak bertanding apa2 acara... cikgu jadi JURULATIH
Time aktiviti KH.. cikgu jadi PETANI
Time kutip yuran.. cikgu jadi AKAUNTAN
Time RMT.. cikgu jadi PELAYAN
Time budak sakit.. cikgu jadi DOKTOR
Time ceramah.. cikgu jadi MOTIVATOR
Time hias kelas.. cikgu jadi PELUKIS SENI
Time persembahan hari guru.. cikgu jadi KOMPOSER
Time baiki kerusi rosak.. cikgu jadi TUKANG KAYU
Time budak muntah/berak dlm kelas.. cikgu jadi TUKANG CUCI
Time budak mencuri.. cikgu jadi DETEKTIF
Time budak buat persembahan... cikgu jadi PHOTOGRAPHER
Time perkhemahan.. cikgu jadi TENTERA
Time hari kantin.. cikgu jadi PENIAGA PASAR MALAM
Time hari Guru... cikgu jadi PENYANYI
Time gotong royong sekolah... cikgu jadi TUKANG KEBUN
Time masuk waktu solat.. cikgu jadi TOK IMAM
Time mak bapak ambil lambat... cikgu jadi BABY SITTER
Time budak bergaduh.. cikgu jadi HAKIM MAHKAMAH
Time budak sakit kecemasan.. cikgu jadi PEMANDU AMBULANS
Time merentas desa.. cikgu jadi POLIS TRAFIK
Time budak sedih.. cikgu jadi PELAWAK

Bersusun kerja guru. Tak penah kenal erti lelah sebagi seorang pendidik anak bangsa. Tanpa dedikasi guru-guru siapalah anda sekarang dan juga saya sekarang. Kalau anda rasa apa yang saya katakan di atas ini tidak betul, cuba anda bayangkan balik zaman anda sekolah dulu. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan