Jiwang Corner :)

Rabu, 2 November 2011

Pendidikan Adil dan Saksama

APABILA kerajaan mengumumkan pelajar sekolah rendah dan menengah menikmati pendidikan percuma mulai sesi persekolahan tahun depan, sejarah pendidikan negara tercipta, sekali gus menjengah frasa baru.

Pengumuman itu membuktikan keprihatinan kerajaan meringankan bebanan rakyat dan bagi jangka panjang melahirkan generasi berilmu serta berpengetahuan.

Ia sekali gus memberi dimensi baru kepada sistem pendidikan negara yang pertama kali melaksanakan pendidikan percuma seperti dilaksanakan di negara maju.

Justeru, apakah implikasi yang boleh dinikmati masyarakat rentetan pengenalan itu?
Adakah pelaksanaannya tidak mengganggu gugat perjalanan sekolah secara total?

Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim berkata, pengenalan itu akan menjadi perintis terhadap peningkatan taraf pendidikan dan sosial masyarakat menimba ilmu secara adil dan saksama.

Beliau berkata, sistem itu melahirkan masyarakat berpendidikan tinggi terhadap pembudayaan ilmu.

“Meskipun ada berpendapat pengenalan ini sebagai ‘alternatif’ kecil, sumbangannya besar jika ditafsirkan secara kolektif kerana membabitkan perjalanan institusi masyarakat dan pendidikan masa depan“Kesannya bukan sekelip mata, namun implikasinya sangat besar dan bermanfaat. Masyarakat tidak lagi berdepan masalah keciciran atau diskriminasi dalam mendapat pendidikan.

“Ia meningkatkan taraf hidup dan mewujudkan gaya berpengetahuan positif sebagai sumber penjanaan terpenting ekonomi dan sosial negara,” katanya.

Bermula tahun depan, rakyat negara ini akan menikmati sesi persekolahan percuma apabila bayaran yuran RM24.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah dimansuhkan.

Malaysia adalah negara tunggal di Asia Tenggara mencipta sejarah memperkenalkan sistem sekolah percuma yang mengikut langkah negara maju seperti Kanada dan Jepun .

Penawaran itu membantu membangunkan sektor pendidikan negara dalam tempoh panjang dengan kaedah komprehensif dan kompetitif.

Langkah itu juga, katanya, sebagai batu loncatan untuk menerapkan proses pembudayaan ilmu baru di kalangan masyarakat.


Ia juga bukti negara mampu melonjakkan kecemerlangan dalam aspek penerapan ilmu pengetahuan tanpa sempadan dan kekangan bagi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.

“Pendidikan adalah ‘pemberian’ tanpa syarat kepada semua yang menjadi tonggak kesinambungan usaha negara dalam pembangunan masyarakat.

“Sistem ini ibarat isyarat kepada masyarakat supaya merebut peluang memperbaiki taraf hidup dan meninggikan penguasaan ilmu bagi memacu perkembangan ekonomi negara.

“Justeru, implikasinya perlu dilihat dengan konteks lebih luas, bukan semata-mata gembira kerana kerajaan sudah memansuhkan pembayaran,” katanya.

Beliau juga mengaitkannya sebagai satu aspirasi berani kerajaan yang prihatin terhadap perubahan dunia pendidikan global yang kini banyak menumpukan kepada pendidikan dan kehidupan seimbang.

“Perubahan ini menjadi lonjakan paradigma baru bagi dunia pendidikan masa kini. Dibandingkan dulu, segalanya mengikut aturan tertentu yang tidak menjurus kepada kebajikan menyeluruh.

“Pendekatan ini membuktikan kerajaan peka dan mempunyai aspirasi baru mencorakkan sistem pendidikan negara. Bukan mudah, namun masih sanggup melakukan,” katanya.

Ditanya mengenai implikasi kepada sekolah sama ada boleh mengganggu perbelanjaan, beliau berkata, setiap sekolah disediakan peruntukan namun pada masa sama perlu aktif mencari sumber perbelanjaan lain.

Menurutnya, dalam menjana keperluan institusi, kerajaan tidak boleh membantu sepenuhnya dan memerlukan sokongan pihak tertentu seperti ibu bapa.

“Apabila sistem ini diperkenalkan, bukan bermakna sekolah menanggung bebanan akibat kekangan kewangan keseluruhan kerana kerajaan sudah menyediakan peruntukan asas setiap tahun.

“Sekolah boleh mengadakan aktiviti atau program tertentu asalkan tidak membebankan. Saya percaya ibu bapa tiada masalah asalkan untuk kebaikan.

“Jangan jadikan sistem ini sebagai isu atau konflik yang boleh menggoyahkan institusi sekolah tapi lihat kepada keperluannya mewujudkan masyarakat berpengetahuan dinamik,” katanya.

Katanya, sistem pengenalan ini wadah baru kerajaan membudayakan proses intelektual ilmu di kalangan masyarakat dan pengharapan terhadap kejayaannya sudah pasti tinggi.

“Sebelum ini banyak pengenalan baru dilaksanakan, namun implementasi kurang sempurna menjadikan perjalanannya agak kucar-kacir.

“Justeru, pihak bertanggungjawab perlu memastikan apa dicanangkan itu mampu direalisasikan dengan baik bagi mengelak konflik atau salah faham,” katanya.
Masyarakat pula perlu melihat pengenalan sistem ini langkah optimis melonjakkan pencapaian negara memartabatkan sektor pendidikan.

“Pendidikan adalah asas kelangsungan hidup sepanjang hayat dan pembaharuan diperkenalkan usaha jitu bagi melahirkan masyarakat dinamik yang mampu meneroka lebih jauh pada masa depan.

“Sistem ini anjakan paradigma alaf baru bagi melonjakkan lagi integriti sektor pendidikan negara ke peringkat global,” katanya.

INFO

Sistem persekolahan percuma sudah lama diperkenalkan di negara maju iaitu pada zaman Renaissance di Amerika Syarikat.
Pada akhir kurun ke-19, menjadi satu tanggungjawab kepada kerajaan menyediakan sistem persekolahan percuma di Amerika Syarikat dan kemudian diperluaskan ke seluruh dunia mulai 1920-an.
Antara negara lain di dunia yang turut mewujudkan sistem persekolahan percuma termasuk Finland, Jerman, Norway, Greece, Argentina dan Sri Lanka

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan