Jiwang Corner :)

Isnin, 23 April 2012

Rombongan Ilmu

Hari ini aku ditugaskan sebagai pengiring murid ke program Panitia Matematik Daerah Zon Johor Jaya. Program ini sebenarnya berfokuskan kepada calon2 UPSR tahun ini. 



Seramai 40 orang murid GALUS dan 40 orang murid nearmiss cemerlang mengikuti program ini. Ia di adakan di dua sekolah yang berbeza iaitu di SK Tmn Mohor Jaya 1 dan SK Tmn Johor Jaya 5. 

Teknik menjawab soalan telah didedahkan kepada calon2 dari 4 buah sekolah ini oleh guru-guru matematik di sekolah berkenaan. Apa yang aku harapkan peluang ini dapat membuka minda murid-murid aku untuk menjawab soalan dengan lebih serius.

Ahad, 22 April 2012

Penanda Buku dan Kerongsang Hari Guru

Tidak lama lagi, sambutan Hari Guru akan tiba. Dikesempatan ini aku mengambil peluang untuk pasarkan Kraf Felt dalam bentuk kerongsang dan penanda buku. 

Usahawan Muda daripada Hybrid Bistari Enterprise akan ditugaskan untuk mempromosikan produk ini kepada murid-murid. Kepada murid-murid sekolah aku khasnya dan peminat-peminat kraf di luar sana bolehlah membuat tempahan jika berminat.

Produk ini boleh dijadikan cenderamata kepada guru-guru kesayangan anda. Selain itu, ia boleh dijadikan cenderamata untuk ahli keluarga anda sendiri. Hari ibu pun semakin tiba, So, apa tunggu lagi. 

Antara rekabentuk kerongsang











Jika berminat untuk membuat tempatan sila email ke mimisha_9347@yahoo.com.my

Pendaftaran Permata Pintar UKM

Hari ini sempat aku daftarkan murid sekolah aku untuk Program Pendidikan PERMATApintar UKM. Pihak JK telah bersetuju untuk mendaftarkan seramai 39 orang murid tahun 6 untuk mengikuti program ini jika berkelayakan.

Meraka akan melayari http://ukm1.permatapintar.edu.my/ dan menjawab soalan-soalan yang disediakan untuk menyaring darjah kecerdasan (IQ) pelajar dari umur 8 hingga 15 tahun. Ujian saringan ini dijalankan bermula 1 Februari 2012 dan berakhir pada 30 April 2012 nanti. Masih ada masa lagi untuk mendaftar bagi mereka yang masih belum berbuat demikian.


Program Pendidikan PERMATApintar UKM, merupakan satu program pendidikan pelajar pintar cerdas yang permata di Malaysia yang dilahirkan oleh sebuah institusi pendidikan tinggi tempatan. Universiti Kebangsaan Malaysia telah diberi kepercayaan oleh Jabatan Perdana Menteri untuk melaksanakan program pendidikan ini melalui Pusat PERMATApintar Negara, UKM yang ditubuhkan pada bulan Januari 2010. 

ppmt


Program ini akan bermula pada bulan 17 Januari 2011. Pengambilan pertama pelajar pintar cerdas untuk program ini ialah seramai 116 orang pelajar berumur 16 tahun dari seluruh Malaysia yang telah melalui tiga ujian saringan iaitu Ujian PERMATApintar UKM1, Ujian PERMATApintar UKM2 dan Ujian Kompetensi Matematik dan Sains (Ujian UKM3).

ppmt

Program ini memberikan tumpuan pendidikan serta pembelajaran yang bersifat holistik dan berlandaskan Falsafah Pendidikan Negara. Ia juga memberi penekanan kepada perkembangan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial yang seimbang. Justeru, program ini akan memberikan tumpuan kepada pembangunan pelajarnya berlandaskan falsafah serta prinsip hidup sejahtera yang seimbang dalam kelima-lima aspek yang dinyatakan.

Untuk maklumat lanjut, bolehlah layari laman sesawang berikut :



Sabtu, 21 April 2012

Simulasi Cilik Bistari anjuran Johor Corperation & JPNJ

Hari ini merupakan hari persekolahan seperti biasa bagi menggantikan cuti raya haji akan datang. Aku dan seorang rakan lain dilantik sebagai guru pembimbing bagi program Didik Bistari daerah Pasir Gudang. Seramai 10 orang peserta telah terlibat dengan program ini. Bermula jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang di Dewan SMK Agama Johor Bahru. 

Beberapa aktiviti secara berkumpulan dijalankan mengikut syarikat masing-masing. Semua ahli perniagaan sekolah aku berketerampilan menonjolkan kewujudan Hybrid Bistari Enterprise mereka kepada penganjur. Ini disebabkan ada ahli yang telah mempunyai pengalaman menyertai program ini pada tahun sebelum. Alhamdulillah, markah untuk syarikat mereka akan dikreditkan oleh pihak penganjur dari semasa ke semasa.

 Agenda satu : Membentuk carta organisasi syarikat 

 Masing-masing memberikan kerjasama yang baik

 Perasmian oleh Pegawai Pelajaran Daerah Pasir Gudang iaitu Hjh. Fatimah Binti Ahmad


 Simulasi permainan catur Cilik Bistari

 Mengisi hasil dapatan bengkel. Murid ini ceria dalam letih sementara nak menamatkan program. Waktu ini jam menunjukkan kira-kira jam 4.15 petang.

 Taklimat awal sebelum aktiviti kumpulan dijalankan

Pembentangan mengenai syarikat dan produk pengeluaran semasa. Syabas kepada Eksekutif Kewangan kerana dapat membuat pembentangan dengan cemerlang.

Secara tidak langsung, aku sempat jumpa dengan x-student aku yang belajar di SMKA Johor Bahru ini. Masing-masing dah meningkat remaja. Mereka sempat bertanyakan khabar aku. Sedar tak tak sedar ada yang nak ambil SPM tahun ini. Aku doakan agar mereka terus cemerlang baik di dunia mahupun di akhirat. Amin...


Rabu, 11 April 2012

PROGRAM PENAJAAN BAGI LULUSAN SPM 2011

Kenyataan akhbar ini adalah untuk menjelaskan pendekatan Kerajaan mengenai kaedah pengurusan dan penawaran penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia 2011 untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan di luar negara di peringkat Ijazah Pertama dan persediaan pra-universiti.

Sebagaimana yang telah dipersetujui oleh Kabinet, Kerajaan melalui JPA dan KPM telah meneruskan penajaan biasiswa kepada pelajar cemerlang untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan di luar negara pada tahun ini.

Program penajaan JPA dan KPM bagi tahun 2012 adalah seperti berikut :

(i) Program Biasiswa Nasional (PBN)

Penajaan kepada 50 orang pelajar paling cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 di kalangan yang terbaik atau crème de la crème mengikut senarai Kementerian Pelajaran Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka dunia berasaskan kepada merit akademik. Calon-calon yang terpilih akan ditawarkan biasiswa dari peringkat persediaan sehingga ke peringkat Ijazah Pertama tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan dan pengiktirafan bidang pilihan yang menjadi minat pelajar di universiti dalam dan luar negara seperti yang disenaraikan oleh JPA.

ii) Bursary

Bursary adalah merupakan bantuan kewangan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk mengikuti pengajian di peringkat persediaan (pra-universiti) sebelum pelajar melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Pertama di universiti dalam atau luar negara.

Pada tahun ini, bagi mengiktiraf kecemerlangan pelajar lepasan SPM pada tahun 2011, semua pelajar cemerlang yang mendapat keputusan sekurang-kurangnya 9A+ dan ke atas akan ditawarkan Bursary secara AUTOMATIK oleh KPM tanpa mengira etnik, kaum, keturunan dan latarbelakang.

Kerajaan sentiasa prihatin dengan keluhan ibu bapa pelajar yang menunjukkan keputusan peperiksaan yang cemerlang tetapi tidak berjaya untuk mendapat penajaan untuk melanjutkan pelajaran setiap kali keputusan penajaan diumumkan kerana persaingan yang amat sengit dan bilangan yang ramai mendapat keputusan yang cemerlang. Pada masa yang sama, Kerajaan juga mempunyai kekangan dari segi peruntukan kewangan berikutan kos pendidikan yang semakin meningkat.

Walau bagaimamanapun, pada tahun ini, Kerajaan telah mengambil keputusan untuk menawarkan Bursary kepada semua 1,609 pelajar yang telah mendapat keputusan cemerlang iaitu sekurang-kurangnya 9A+ dan ke atas. Statistik pencapaian 1,609 pelajar adalah seperti berikut: 

9A+ : 1,020 orang 
10A+ : 492 orang 
11A+ : 90 orang 
12 A+ : 7 orang 
 
Program- program persediaan dalam negara seperti berikut : 

  • Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 
  • STPM adalah program pra-universiti di semua sekolah-sekolah bantuan Kerajaan. 
  • Kelayakan STPM boleh digunakan untuk permohonan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Pertama. 
  • Matrikulasi 
  • Matrikulasi adalah program pra-universiti anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia yang menawarkan kursus persediaan jurusan Sains dan jurusan Perakaunan bagi melayakkan pelajar melanjutkan pengajian Ijazah Pertama pelbagai bidang di IPT dalam negara. 
  • Kelayakan ini turut diterima pakai untuk memohon kemasukan ke IPT luar negara TERHAD kepada universiti yang menerima kemasukan lepasan Matrikulasi 
  • Asasi 
  • Program persediaan Asasi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi adalah lebih menjurus kepada pengajian di IPT tertentu di dalam negara. 
  • International Baccalaurate (IB) atau A-Level 
  • Kursus persediaan IB (2 tahun) dan A-Level (12 hingga 24 bulan) ini merupakan program persediaan universal yang diterima pakai sebagai kelayakan masuk ke IPT dalam dan luar negara untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Pertama. 
Walau bagaimanapun, bagi kemasukan ke IPT Awam dalam negara kelayakan IB dan A-Levelhanyalah terhad kepada bidang SELAIN daripada bidang kompetitif (Perubatan, Pergigian dan Farmasi). 

Bagi kesemua program pra-universiti yang tersenarai di atas, pemberian Bursary tertakluk kepada pelajar telah ditawarkan/ditempatkan di pusat persediaan yang ditetapkan oleh Kerajaan. Sila layari laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia di www.moe.gov.my untuk membuat semakan dan pengemaskinian profil pelajar program busary mulai 16 April, 2012.

Pelajar lepasan Bursary akan ditawarkan penajaan peringkat ijazah Pertama di dalam atau luar negara mulai tahun 2014 di bawah anjuran JPA sekiranya memenuhi syarat-syarat seperti berikut:

SYARAT PENAJAAN PROGRAM IJAZAH LUAR NEGARA 

Mencapai sekurang-kurangnya CGPA 3.5 dan setara di peringkat persediaan; dan 
bagi pelajar bidang perubatan, pergigian dan farmasi, telah mendapat tawaran tanpa syarat dari mana-mana 10 universiti terkemuka dunia berdasarkan kepada senarai yang dikemas kini setiap tahun seperti di Lampiran A dan telah mendapat pengiktirafan; atau 

bagi pelajar bidang lain, telah mendapat tawaran tanpa syarat dari mana-mana 50 senarai universiti terkemuka berdasarkan kepada senarai yang dikemas kini setiap tahun seperti diLampiran B mengikut bidang dan telah diiktiraf. Syarat tempat mengikut bidang seperti di Jadual 3. 

SYARAT PENAJAAN PROGRAM IJAZAH DALAM NEGARA 

Mencapai sekurang-kurangnya CGPA 3.5 dan setara di peringkat persediaan; dan telah mendapat tawaran dalam program yang telah diiktiraf di Institusi Pengajian Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) berikut: 

  • Semua Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) [kecuali Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI)]; 
  • IPTS yang bertaraf GLC iaitu Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Multimedia (MMU); 
  • Kampus-kampus cawangan universiti luar negara di Malaysia iaitu University of Nottingham, Monash University, Swinburne University of Technology, Curtin University of Technology dan Newcastle University Medicine (NUMed) Malaysia; 
  • IPTS-IPTS lain seperti AIMST University, UniKL-Royal College of Medicine Perak, University College Sedaya International, Cyberjaya University College of Medical Sciences, International Medical University dan Universiti Perdana; dan 
  • IPT lain yang dipersetujui oleh Kerajaan dari semasa ke semasa. 
(iii) Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman

Program penajaan anjuran JPA kepada 300 pelajar dalam bidang kejuruteraan ke negara Jepun, Korea, Perancis dan Jerman. Pelajar akan ditindik bagi mengikuti program bahasa sebelum melanjutkan pengajian peringkat Ijazah pertama di negara berkenaan. Program penajaan ke negara-negara tersebut amat diperlukan oleh negara dalam menyediakan modal insan yang mempunyai daya cipta, kreativiti dan daya saing yang tinggi di samping transfer of knowledge / teknologi tinggi. Seperti yang diketahui umum, negara-negara ini amat terkenal dengan daya cipta dan kepakaran dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan industri.

Selain itu, program ini diteruskan bagi menghormati persefahaman dan kerjasama antara negara serta mengeratkan hubungan dua hala yang telah sedia terjalin. Memandangkan syarat kelayakan masuk ke IPT di negara berkenaan menekankan kemahiran bahasa masing-masing selain pencapaian akademik, maka pelajar perlu mengikuti persediaan yang menekankan ciri-ciri khas yang diperlukan berbanding kelayakan biasa seperti IB dan A-Level .

Pelajar yang ingin mengikuti program ini perlu mengemukakan permohonan secara dalam talian (on-line) melalui laman sesawang JPA, dan kriteria pemilihan adalah berdasarkan 4 kategori dengan mengambil kira faktor ko-kurikulum, latar belakang sosioekonomi keluarga dan temu duga. Kriteria pemilihan program mengikut kategori adalah seperti di Jadual 1 berikut: 

Semasa proses temu duga pelajar akan turut dinilai di bawah Student Assessment Centre (SAC). SAC adalah satu kaedah penilaian dan pemilihan pelajar yang lebih komprehensif berdasarkan kompetensi-kompetensi yang ditetapkan meliputi minat, tata kelakuan, kepimpinan, patriotisme, kreativiti, ketahanan dan keyakinan diri. Panel penilai terdiri daripada pegawai-pegawai Kerajaan pelbagai kaum dari pelbagai profesion dan gred jawatan.

(iv) Program Ijazah Luar Negara (PILN) – mulai tahun 2014

Penajaan PILN di bawah anjuran JPA adalah juga terbuka kepada pelajar cemerlang lepasan program persediaan (diantaranya STPM, A-Level, IB) yang tidak ditaja di bawah Bursary. Semua calon PILN perlu memenuhi syarat serta telah mendapat tempat di universiti terkemuka dunia.

Pelajar perlu mengemukakan permohonan secara dalam talian (on-line) melalui laman sesawang JPA, dan kriteria pemilihan adalah berdasarkan 4 kategori dengan mengambil kira faktorko-kurikulum, latar belakang sosioekonomi keluarga dan temu duga. Kaedah pemilihan PILN mengikut kategori adalah seperti di Jadual 2 berikut:


Pelajar lepasan persediaan yang ingin memohon PILN perlu memenuhi kriteria berikut:
  • Mencapai sekurang-kurangnya CGPA 3.5 dan setara di peringkat persediaan; dan 
  • bagi pelajar bidang perubatan, pergigian dan farmasi, telah mendapat tawaran tanpa syarat dari mana-mana 10 universiti terkemuka dunia berdasarkan kepada senarai yang dikemas kini setiap tahun dan telah mendapat pengiktirafan; atau 
  • bagi pelajar bidang lain, telah mendapat tawaran tanpa syarat dari mana-mana 50 senarai universiti terkemuka berdasarkan kepada senarai yang dikemas kini setiap tahun mengikut bidang dan telah diiktiraf. 
Bidang tajaan PILN meliputi bidang kritikal iaitu perubatan, pergigian, farmasi bidang profesionalseperti kejuruteraan, seni bina, perancang bandar serta bidang keutamaan dan strategik seperti sains tulen, perakaunan, undang-undang, pentadbiran, ekonomi dan bidang-bidang lain yang ditetapkan oleh Kerajaan melalui 12 bidang utama di bawah Aktiviti Ekonomi Utama Nasional atauNational Key Economic Area (NKEA).

Pecahan perancangan penajaan mengikut bidang adalah di Jadual 3 seperti berikut:


Program Ijazah Dalam Negara (PIDN)

Penajaan oleh JPA kepada 10,300 orang pelajar lepasan mana-mana program persediaan untuk mengikuti pengajian peringkat Ijazah Pertama dalam program yang telah diiktiraf di Institusi Pengajian Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) tempatan. Kriteria penajaan adalah seperti berikut:

  • Mencapai sekurang-kurangnya CGPA 3.5 dan setara di peringkat persediaan; dan 
  • telah mendapat tawaran dalam program yang telah diiktiraf di Institusi Pengajian Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) berikut: 
  1. Semua Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) [kecuali Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI)]; 
  2. IPTS yang bertaraf GLC iaitu Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Multimedia (MMU); 
  3. Kampus-kampus cawangan universiti luar negara di Malaysia iaitu University of Nottingham, Monash University, Swinburne University of Technology, Curtin University of Technology dan Newcastle University Medicine (NUMed) Malaysia; 
  4. IPTS-IPTS lain seperti AIMST University, UniKL-Royal College of Medicine Perak, University College Sedaya International, Cyberjaya University College of Medical Sciences, International Medical University dan Universiti Perdana; dan 
  5. IPT lain yang dipersetujui oleh Kerajaan dari semasa ke semasa. 

Kerajaan membelanjakan sejumlah RM2.12 billion untuk membiayai kos keseluruhan pengajian pelajar di universiti dalam dan luar negara bagi pengambilan tahun ini.

LAMPIRAN A

SENARAI UNIVERSITI TERKEMUKA MENGIKUT BIDANG BAGI TAHUN 2011 – 2012

Bidang Klinikal, Pra-Klinikal & Kesihatan



SPM 2011: 1,609 pelajar dapat 9 A+ hingga 12 A+ ditawar bursary

KUALA LUMPUR - Semua 1,609 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang 9 A+ hingga 12 A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 ditawarkan "bursary" (bantuan kewangan pengajian) secara automatik untuk mengikuti pengajian di peringkat persediaan atau prauniversiti dalam negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan kewangan itu disediakan Kementerian Pelajaran untuk pengajian di peringkat prauniversiti sebelum pelajar melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Pertama di universiti dalam atau luar negara.


Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata tawaran bantuan kewangan pengajian kepada 1,020 pelajar yang memperoleh 9A+, 492 pelajar 10A+, 90 pelajar 11 A+ dan tujuh pelajar 12 A+ adalah secara automatik tanpa mengira etnik, kaum, keturunan dan latar belakang itu adalah tanda keprihatinan kerajaan mengiktiraf kecemerlangan pelajar berkenaan.

"Kerajaan sentiasa prihatin dengan keluhan ibu bapa pelajar yang menunjukkan keputusan peperiksaan cemerlang tetapi tidak berjaya mendapat penajaan untuk melanjutkan pelajaran setiap kali keputusan penajaan diumumkan kerana persaingan amat sengit dan bilangan yang ramai mendapat keputusan cemerlang.

"Pada masa sama, kerajaan juga mempunyai kekangan daripada segi peruntukan kewangan berikutan kos pendidikan yang semakin meningkat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, bagi pengambilan tahun ini, kerajaan membelanjakan sejumlah RM2.12 bilion untuk membiayai kos keseluruhan pengajian pelajar di universiti dalam dan luar negara.

Beliau berkata, program prauniversiti dalam negara yang ditawarkan bantuan kewangan ialah Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Program Asasi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, yang menjurus kepada pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) tertentu di dalam negara dan International Baccalaurate (IB) atau A-Level.

Namun, katanya bagi kemasukan ke IPT awam dalam negara kelayakan IB dan A-Level terhad kepada bidang selain daripada bidang kompetitif membabitkan perubatan, pergigian dan farmasi.

Timbalan Perdana Menteri berkata pemberian bantuan kewangan itu tertakluk kepada pelajar telah ditawarkan atau ditempatkan di pusat persediaan ditetapkan kerajaan di mana semakan dan pengemaskinian profil pelajar Program Bursary boleh dibuat di www.moe.gov.my mulai 16 April ini.

Muhyiddin berkata bagi mendapatkan penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) program ijazah luar negara bermula 2014, pelajar lepasan Program Bursary perlu mencapai sekurang-kurangnya Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 dan setara di peringkat persediaan. - Bernama 


Isnin, 9 April 2012

Projek Niaga Kecil-kecilan...

Hujung minggu di kampung halaman menyempatkan aku mengisi masa aku dengan seni kraftangan daripada kain felt. Maklumlah kraftangan daripada kain felt ini semakin popular sekarang. InsyaAllah, kraftangan ini akan diusahakan oleh anak-anak kelab Didik Bistari aku dalam aktiviti perniagaan sempena Hari Guru nanti. Harap-harap apa yang guru-guru Didik Bistari usahakan ini dapat dijayakan dengan sempurna. InsyaAllah...

Inilah seni kraf daripada kain felt yang aku maksudkan tuh...ada yang nak order ? Hehehehe....

1) Brooch pelbagai rekabentuk bunga mengikut warna pilihan

 2) Keychain berbentuk itik yang sedang diusahakan


Ini pula antara bentuk2 yang ada dalam perancangan aku. Aku ambil foto ni daripada sumber rakan2 niaga yang gilakan seni kraf daripada kain felt ni. Cantik kan ?


 3) Keychain mengikut nama pembeli



4 Arif Menang Lagi !

Minggu kedua pelaksanaan program kelas terceria terus dijalankan. Pada minggu kedua ini, kemenangan tidak berpihak kepada kelas 4 Arif tetapi kepada jiran sebelah kelas aku iaitu kelas 4 Aktif. Huhuhu...murid aku tak menyapu gamaknya. 

Apapun, aku bukannya cemburu, tak puas hati apatah lagi tamak. Biasalah, kehidupan kita adakalanya kita berada di atas dan ada kalanya kita berada di bawah. Ibarat pepatah, kehidupan umpama roda. Jadi tak salah jika kita beri peluang pada kelas lain pulak. Kan, kan, kan ! Hehehehe....

Namun, apabila penilaian minggu ketiga dibuat, ia menjadi milik kelas 4 Arif semula. Alhamdulillah...bukan mudah nak kekalkan kemenangan. Tapi dari semasa ke semasa aku sentiasa ingatkan murid2 kelas aku agar sentiasa bekerjasama untuk membersihkan kelas. Bukannya apa, budak2 ni bukannya boleh dipercayai sangat. Jika tak disuruh, tak dihambat, maka berehat santai lamalah mereka. Bak orang kata, " naik lemak gamaknya."

Hadiah untuk murid kelas aku. Bukan semua yang dapat beri kerjasama yg terbaik dengan aku, namun rezeki memihak kepada mereka. Alhamdulillah....

Pada dasarnya aku menghias kelas aku sebagai satu tanggungjwab sebagai seorang guru kelas. Namun kini aku seakan dicabar oleh guru-guru kelas yang lain. Mana taknya anugerah guru proaktif dan ceria anjuran JK Keceriaan bulan Mac menjadi milik aku. Persoalannya mampukah aku untuk bertahan ! Caiyok2....

Khamis, 5 April 2012

Yuk, Baca Karangan Lucu !

Petang tadi aku sempat blogwalking. Maka, terjumpalah aku akan imej ini. Kandungannya memang hebat hingga buat aku senyum sorang-sorang depan lappy aku nih. Adehh...lawak antarabangsa sungguhlah karangan murid nih. 

Antara ayat yang buat aku tersenyum sorang tu aku cuba senaraikan kat bawah nih. Hehehehe....

1) suara orang menetak pintu ( pintu tu boleh tetak macam nak tetak kepala orang kot. Huhuhu... )
2) seekor hantu ( betul ke penjodoh bilangan hantu = seekor. Aku sendiri tak pasti. Hehe...)
3) Hantu itu sangat takut. ( ayat ini sangat kelakarrrrrr..... )

[a1.jpg]

Beginilah gayanya hasil karangan sebahagian murid. Ada masanya buat kita marah. Ada masanya buat kita tersenyum kerana kelucuan karangan mereka. Maka, guru-guru BM lah yang memainkan peranan penting dalam memperbaiki kelemahan murid-murid begini. 



Isnin, 2 April 2012

Kelas Ceria Mingguan

Aku menulis bukan kerana nama dan 
aku menghias bukan kerana nama....


Syukur alhamdulillah, minggu pertama anugerah kelas ceria pada tahun ini menjadi milik kelas 4 Arif. Kali ini kemenangan berpihak kepada kelas 4 Arif mungkin kerana kelas-kelas yang lain belum siap menceriakan kelas mereka. 

Anugerah minggu pertama : Kapur dan pemadam papan kapur

Bagi aku, banyak lagi kurangnya keceriaan kelas 4 Arif. Jadi, aku perlu lakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa supaya suasana ceria terus wujud dalam kelas aku. Hakikatnya apa yang aku usahakan adalah atas dasar tanggungjawab sebagai seorang guru kelas. Tiada niat untuk bertanding tetapi untuk mendapatkan kepuasan dalam pengurusan kelas. 

Mudah-mudahan Allah permudahkan urusan aku. Amin...

Ahad, 1 April 2012

Aktiviti Hujung Minggu Aku

Hujung minggu ini, kami berpeluang merehatkan diri masing-masing. Bagi aku pula, nak rehat lama-lama tu tiada dalam kamus hidup aku. Ada sahaja yang akan aku usahakan selain membaca majalah mahupun blogwalking.

Hah, aku sebenarnya dah seminggu himpun buku murid-murid aku di rumah. Maka hujung minggu beginilah aku mesti selesaikan misi aku. Misi pertama aku adalah menanda buku. Misi kedua aku pula sambung aktiviti ceriakan kelas.

Semalam seharian aku menanda buku. Lebih semangat sebab ada cop-cop komen yang baru aku beli bulan lepas. Bolehlah aku gunakan untuk cop komen-komen pada buku-buku murid aku. Hehehe....

Sumber gambar daripada Pak Google...Aku punya cop lebih kurang macam ni lah...

Pagi tadi plak aku singgah ke sekolah pula...Tumpang limanate bahan untuk di tampal kat papan kenyataan kelas aku.

 Keratan Peribahasa Bergambar yang dah siap aku limanate



 Kata-kata motivasi 


Ini pula pengalaman baru aku ketika mesin limanate makan kertas aku. Nasib baik boleh jadi technician. Huhuhu...

Sempat juga aku gubah bunga terpakai yang aku masih simpan. Majoriti bunga2 itu aku terima semasa Hari Guru dan majlis perkahwinan rakan-rakan.


Beginilah tugas guru...Bukan sekadar mengajar di dalam kelas, malah boleh juga jadi pereka dalaman. Serba boleh, gitu. Hehehe...




Sabtu, 31 Mac 2012

Pendidikan Negara Bertaraf Dunia

Di sini saya kongsikan pula artikel yang ditulis oleh Cikgu Abd Bashid Harun tentang Pendidikan Negara Bertaraf Dunia. Saya cuba copy dan paste pendapatnya sebagai rujukan kita bersama. Jom, kita baca sama2...


1.SAYA mulakan tulisan ini dengan mengulangi kepercayaan saya selama ini bahawa sistem pendidikan bertaraf dunia bermula daripada amalan Pengajaran dan Pembelajaran (P & P) di dalam bilik darjah itu sendiri.

2. Bagi saya sebuah bilik darjah adalah sebuah dunia kecil. Apa yang patut berlaku kepada dunia akan datang, seharusnya dimulakan dalam dunia kecil itu.

3. Guru adalah “global player” dan sebagai pemain global, taktik dan teknik guru ‘bermain’ dalam tempoh 40 minit untuk satu waktu, adalah faktor kritikal yang bakal menentukan kejayaan sebuah dunia yang kita semua idamkan.

4. Dunia itu bermula di sini, iaitu di bilik darjah di mana guru subjek memimpin sebuah pasukan yang berbeza dalam banyak hal yang jumlah ahlinya rata-rata antara 30 hingga 40 orang.

5. Sebagai guru, yang patut tertanam dalam minda tuan/puan ialah kepercayaan bahawa perubahan bermula dari dalam bilik darjah. Di sinilah sebuah dunia dan isinya didedahkan. Di sinilah juga tempatnya di mana para guru berkongsi aspirasi negara bersama pelajarnya. Dan di sinilah juga dunia diteropong daripada kaca mata yang betul. Bilik darjah adalah ruang yang di dalamnya guru beraksi dan pelajar-pelajar di dalamnya adalah peluang.

6. Saya sedar untuk membantu negara mencapai hasrat menjadikan negara ini sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dengan pendidikan bertaraf dunia sebagai matlamatnya bukanlah kerja mudah.

7. Tentu menjadi lebih sulit lagi jika guru-gurunya masih dikejar dengan masalah asas yang belum selesai-selesai seperti disiplin pelajarnya, kelemahan dalam kawalan kelas, ketidakcekapan dalam Pengajaran & Pembelajaran, motivasi guru yang ada pasang surutnya, guru-gurunya yang mudah tertekan dengan kerja lebih masa dan kurangnya kesediaan minda pelajar luar bandar untuk belajar.

8. Walau apa pun alasannya misi kerajaan ini tidak boleh dibiarkan tertangguh hanya semata-mata kerana masalah yang disebutkan tadi. Menangguhkannya umpama menutup satu masalah dengan satu masalah yang lain. Kesannya masalah sedia ada tidak selesai, masalah baru pula muncul.

9. Langkah pertama, tentulah menerima misi kementerian pelajaran untuk menjadikan sistem pendidikan negara ini bertaraf dunia menjadi misi para guru . Misi itu harus dikongsi, bukan sahaja dengan perasaan, tetapi tindakan. Maknanya para guru tidak akan membiarkan kementerian pelajaran bersendirian dalam melangsungkan misi ini.

10. Kendatipun ada guru yang akan menggunakan alasan yang kerja guru akan bertambah, namun kerja mengangkat martabat negara ke kedudukan yang sepatutnya di dunia tidak wajar diabaikan. Kaum guru bertanggungjawab meletakkan negara berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara lain. Ini adalah sebahagian tugas sakral para guru yang perlu dilakukan secara jujur dan holistik. Dan tentu semua ini bermula di bilik darjah.

11. Para guru mesti memastikan bahawa perkara-perkara asas yang menjadi bidang tugas utama dijalankan, dan langkah-langkah yang smart perlu diambil untuk membantu mencapai misi kementerian. Ini termasuklah memastikan dasar 60:40 dijalankan, dan bahasa Inggeris digunakan sepenuhnya (bukan lagi berperingkat-peringkat) dalam subjek Sains dan Matematik terutama oleh guru-guru PPSMI.

12. Apabila bercakap tentang pendidikan bertaraf dunia, itu bermakna yang kita terpaksa akur tentang kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia. Guru harus meyakinkan pelajar-pelajarnya bahawa menguasai bahasa Inggeris itu suatu kemestian pada zaman sekarang, bukan lagi satu pilihan. Guru sebagai pemudahcara mesti berupaya menunjukkan kepada pelajar-pelajarnya bahawa bahasa Inggeris mudah dikuasai.

13. Jika kita ingin menjadikan pendidikan kita bertaraf dunia, dan pada masa yang sama kita berkeras untuk mengabdi kepada satu bahasa ibunda, seperti bahasa Melayu per se, kita tidak akan ke mana-mana. Justeru, para guru mesti menjadi contoh dalam hal ini, bukan sahaja dalam penggunaan tetapi berupaya membuktikan yang mereka memang serius untuk menambahkan pengetahuan dan meningkatkan penguasaan bahasa mereka. Jika tidak, ketika orang lain telah lama mencecah permukaan bulan, kita akan tetap menjadi sang pungguk yang merenung bulan.

14. Selain itu, sebagai orang paling hadapan dalam menentukan kejayaan sesuatu dasar kerajaan, guru mesti mengikis perasaan bimbang tentang pencapaian pelajar dalam peperiksaan apabila bahasa Inggeris dikuatkuasakan. Guru-guru mesti sedar bahawa penggunaan bahasa Inggeris akan menjadikan pelajar kita akan lebih berdaya maju dan berdaya saing dalam dunia global. Oleh kerana penggunaan itu ditanam sejak awal, iaitu sejak dari sekolah rendah, saya tidak fikir, bahasa ini tidak akan dapat dikuasai oleh pelajar

15. Walaupun teraju kepemimpinan negara telah lama bertukar, namun tidak nampak petanda yang jelas bahawa dasar mewajibkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris akan diubah. Pendirian kerajaan ini sepatutnya melegakan ramai pihak. Kita memulakannya pada mata pelajaran yang tepat, iaitu Sains dan Matematik. Bukankah kejayaan negara-negara maju ditandai oleh penguasaan yang meluas dan mendalam oleh warga negaranya dalam kedua-dua bidang ini.

16. Perkembangan tamadun kebendaan yang diwarnai oleh kemunculan bangunan, perkembangan ICT, bioteknologi, perindustrian moden, perdagangan, satelit, sains angkasa, robotic, digital, telekomunikasi dan banyak lagi dikembangkan melalui Sains dan Matematik.

17. Apa yang boleh dibuat oleh guru subjek sebagai golongan pelaksana paling penting ialah menjadikan subjek sains dan matematik merentasi kurikulum. Maksudnya jika dia guru sejarah, ia harus membuktikan kepada pelajarnya tentang sejarah kemajuan sesebuah tamadun bermula dengan penguasaan ilmu pengetahuan, khususnya sains dan matematik.

18. Pembinaan monumen, kota, dan arca seperti piramid di Mesir dan Tembok Besar di China semuanya berhubungan dengan kepakaran perekanya dalam mengaplikasi pengetahuan mereka dalam bidang sains dan matematik.

19. Begitu juga halnya dalam subjek Pendidikan Islam. Para ustaz dan ustazah harus berupaya membakar semangat pelajar muslim di hadapan mereka agar mencintai sains dan matematik kerana dua mata pelajaran ini bukan sahaja akan membantu meningkatkan pencapaian orang Islam di seluruh dunia, tetapi telah terbukti mengangkat peradaban Tamadun Fatimiyah di Mesir, Sepanyol, Turki dan Baghdad sehingga berupaya menjadi rujukan dunia pada waktu itu.

20. Selain penggunaan bahasa Inggeris, penyelidikan dan pembangunan (R & D) di peringkat sekolah, khususnya dalam bilik darjah harus dijadikan agenda utama dalam organisasi sekolah. Amalan syarikat gergasi dunia sejak sekian lama ini patut diperluaskan kepada dunia pendidikan.

21. Mula-mula ia mungkin dimulakan oleh sekolah, kemudian dikembangkan di peringkat jabatan dan akhirnya diperluaskan di peringkat unit. Ini termasuklah di bilik darjah. Tetapi jika itu tidak berlaku, atas sebab skop penyelidikan terlalu luas, maka guru subjek dan guru kelas harus memulakan untuk subjeknya dan pelajarnya.

22. R & D yang dijalankan haruslah berakhir dengan satu matlamat iaitu untuk mengenal pasti keperluan sebenar kita pada masa akan datang agar setiap agenda yang digerakkan berorientasikan masa depan. Adalah menjadi tanggungjawab tuan puan untuk mengenal pasti keperluan sebenar sekolah, mempunyai fokus dalam tindakan, membuat perancangan jangka panjang atau lebih dikenali sebagai perancangan strategik dan menangani sesuatu masalah secara tekal dan bersistem.

23. Agenda lawatan ke sekolah-sekolah tertentu untuk membuat penanda patut menjadi amalan setiap sekolah. Aktiviti lawatan ke lokasi sebenar dan membuat penanda arasan memang patut dilakukan oleh para guru dari semasa ke semasa. Mereka boleh mempelajari perkara terbaik dari organisasi sekolah di luar atau daripada unit-unit di dalam sekolah itu sendiri. Ia tentunya harus bermula dengan mengenal pasti kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman atau lebih dikenali sebagai analisis SWOT.

24. Sekolah harus menumpukan tindakan strategik berasaskan petunjuk semasa bagi memenuhi tuntutan akan datang. Bukan sekadar buat apa yang hendak dibuat. Pada pendapat saya guru yang lebih memerlukan R & D dan benchmarking atau penandaarasan ini ialah guru-guru subjek dan guru-guru kelas. Alasannya kerana mereka berdepan dengan wajah pelajar yang sebenar dan merekalah yang bakal mendedahkan kandungan sebenar sesuatu ilmu. Merekalah yang lebih arif tentang keperluan sebenar murid-murid mereka, termasuk kekuatan dan kelemahan.

25. Di sinilah letaknya kepentingan TOV dan pelan taktikal. Amalan mengukur sesuatu pencapaian yang tentunya melibatkan angka dan peratusan adalah budaya negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun. Sudah sampai masanya kita menggantikan “tembakan” secara rambang kepada angka-angka dan indikator yang bersifat objektif. Kita mahukan tindakan kita tepat melalui penggunaan cara yang tepat dan terkena pada sasaran yang tepat. Kita sepatutnya menembak dengan satu peluru tetapi terkena sepuluh, daripada menembak dengan beberapa butir peluru tetapi seekor pun belum tentu kena.

26. Usaha mengangkat martabat profesion perguruan khususnya dan pendidikan di Malaysia amnya tidak akan tercapai jika para guru berpuas hati dengan pencapaian sekarang dan selesa dengan cara yang sedia ada. Input yang diperoleh daripada pelbagai kajian yang dilakukan, seperti kajian tindakan, kajian keperluan, dan soal-selidik hanya berguna jika ia dijadikan landasan untuk tindakan berikutnya. Selain follow up, follow through mesti dilakukan. Usaha untuk menambah baik dalam apa jua segmen di sekolah patut dilakukan secara berterusan. Di sinilah pengorbanan daripada para guru diperlukan dan kerjasama komuniti dialu-alukan.

27. Kita tentu ingin melihat hasil keputusan peperiksaan sekolah kita meningkat setelah usaha dibuat ke atas lompang yang benar-benar memerlukan perubahan sebagai lawan kepada agakan, sangkaan dan rasa-rasa sahaja.

28. Para guru juga mesti bersikap dinamik dan proaktif. Apabila disebut warga pendidikan yang proaktif saya bermaksud yang guru-guru dalam organisasi sekolah harus mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap apa yang akan berlaku, mengenal pasti kekuatan dan kelemahan, di samping menjana pendekatan yang bersesuaian di samping bersedia dengan segala kemungkinan.

29. Jika seorang pengetua sentiasa bertanyakan soalan apa lagi yang patut saya lakukan untuk sekolah saya, guru-guru wajar bertanya apa lagi yang patut aku lakukan untuk murid-murid dalam kelas saya. Apakah kemungkinan-kemungkinan yang akan terjadi dalam kelas. Jika semua guru memikirkan apa yang patut dilakukan untuk yang terbaik bagi anak murid mereka, saya fikir 80% masalah sekolah akan selesai.

30. Pengamatan saya mendapati kebanyakan masalah sekolah berpunca daripada pengabaian di dalam kelas. Apa yang sepatutnya diurus dalam kelas tidak diurus seperti yang sepatutnya . Apa yang sepatutnya berlaku tidak berlaku di dalam kelas. Jika gejala ini dibiarkan terus berlaku bererti sebuah dunia kecil yang dilambangkan melalui sebuah kelas akan gagal dibentuk. Oleh itu bagaimana dunia sebenar boleh dibentuk.

31. Sebab itu saya tetap mempertahankan pernyataan bahawa sistem pendidikan bertaraf dunia bermula dari dalam bilik darjah. Dan yang menentukannya ialah guru subjek itu sendiri, bukan pengetua atau guru besar per se.

32. Sebagai contoh jika pelajar didapati ponteng kelas, hal yang demikian berlaku kerana ketidakcekapan guru menguatkuasakan sistem kawalan dalam kelas dan sistem keluar masuk kelas pada waktu itu. Jika pelajar sampai bergaduh dalam kelas, jawapannya kerana ada lompang yang membolehkan mereka berbuat begitu yang antara sebabnya ialah kelewatan guru masuk ke kelas.

33. Begitu juga kalau pelajar bising. Apakah kerana pelajar bising dalam kelas yang guru-guru ada di dalamnya, kesalahan harus ditunjuk kepada pengetua atau penyelia petang. Jika bukan, maka para guru tiada pilihan lain selain menjalankan P & P secara berkesan yang turut meliputi langkah-langkah kawalan kelas. Maka Pengetua dan Guru Besar mesti memastikan hanya P & P yang terbaik dan berkualiti sahaja yang berlaku di dalam kelas.

34. Maka saya menyeru kepada barisan pemimpin sekolah agar sentiasa memastikan pembentukan sebuah dunia kecil benar-benar berlaku di dalam bilik darjah.Langkah-langkah yang diambil dalam bilik darjah itulah yang harus diperkemaskan. Ini termasuklah amalan menghormati guru yang masuk dan keluar kelas, kebersihan dan keceriaan dalam kelas, penguatkuasaan tugasan pelajar, sistem keluar masuk kelas, pematuhan kepada arahan, memberi tumpuan, pematuhan terhadap jadual waktu, dasar menjadikan buku teks sebagai pegangan utama, perkakasan belajar, dan P & P itu sendiri.

35. Ternyata sekali tugas guru subjek bukannya kecil. Jangan sampai Pengetua terlepas pandang dalam hal ini. Sebahagian tugasan guru subjek ialah mententeramkan pelajar agar pelajar memberi tumpuan terhadap pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Dalam erti kata lain ialah memastikan disiplin dipatuhi di dalam kelas itu agar pembelajaran dalam kelas itu berlangsung dengan lancar dan aman.

36. Disiplin dalam bilik darjah ini amat penting kerana pendidikan berkualiti ialah pendidikan yang bukan sahaja mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik, tetapi juga pelajar yang bermoral dan berakhlak.

37. Dalam erti kata lain, pendidikan berkualiti yang bertaraf dunia itu mestilah menurut acuan negara kita seperti yang digagaskan dalam Wawasan 2020, Islam Hadari dan modal insan.

38. Saya ingin menegaskan di sini bahawa langkah memperkasa sekolah jangan sampai melupakan guru-guru subjek. Lokasi tempat mereka beraksi begitu kecil saiznya, tetapi apa yang mereka lakukannya kesannya besar dan berpanjangan untuk dunia akan datang. Sebab itu langkah memperkasa sekolah mesti turut melibatkan aktiviti memperkasa guru subjek. Biarlah amalan yang berlaku di bilik darjah benar-benar mencerminkan amalan menjadikan sistem pendidikan kita bertaraf dunia.

39. Proaktif juga bermaksud mendahului. Guru-guru wajar terkehadapan dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Dalam hal ini guru-guru mesti menjadikan budaya ilmu sebagai cara hidup, iaitu dengan berusaha mempelajari perkara-perkara baru dalam hidupnya di samping memahirkan subjek yang diajarnya. Topik perbualan guru sepatutnya berkisar pada perkara-perkara yang berfaedah sahaja.

40. Dalam subjek yang diajarnya, guru subjek wajib menjadi pakar dan rujukan kepada anak muridnya. Tentunya amat malang jika banyak pertanyaan murid gagal dijawab dengan sempurna oleh guru yang akhirnya boleh merosakkan keyakinan pelajar kepada guru berkenaan yang implikasinya akan menjejaskan keyakinan pelajar kepada organisasi sekolah seluruhnya.

41. Dalam pengamatan saya pelajar akan lebih menghormati guru yang mempunyai kebolehan tertentu dan dapat berkongsi kebolehan itu dengan para pelajarnya daripada guru yang hanya mengulang benda yang serupa untuk beberapa tahun. Guru yang baik pada saya ialah guru yang bukan sahaja benar-benar menguasai subjek yang diajar, tetapi mampu mengaitkan isi kandungan yang diajar itu dengan ilmu-ilmu yang lain dan maklumat-maklumat terbaru bersama para pelajarnya.

42. Perancangan strategik penting, tetapi yang menentukan kejayaan pelajaran anda pada hari itu ialah taktik dan teknik yang digunakan dalam tempoh mengajar itu. Ia seumpama sebuah permainan bola sepak. Pemain dihantar selama beberapa tahun untuk berlatih di luar negeri, tetapi kejayaan pasukannya ditentukan dalam tempoh 90 minit masa bermain. Kekuatan pelan taktikal ialah kerana ia lebih diperhalusi melalui head count dan TOV.

43. Bagaimana kita menukarkan pencapaian semasa kepada target-target tertentu yang diterjemahkan kepada angka dan peratusan, menggantikan frasa yang kerap kita gunakan sebelum ini seperti lebih kurang, sebahagian besar, kebanyakannya dan selalunya. Di sinilah kuasa “angka” dan “peratus” sebenar ditunjukkan dan menjadi bukti kepada pencapaian seseorang pelajar.

44. Setiap pelajar sepatutnya adalah dalam pengetahuan kita, dan tiada yang terlepas daripada pandangan kita. Di sinilah budaya matematik bermula di mana bilangan menggunakan jari dan sempoa bertukar kepada kalkulator dan rumus matematik.

45. Sebagai guru kita tidak patut curiga tentang maklum balas klien (pelajar) terhadap kita. Sebaliknya pendekatan ini akan melatih kita agar berfikiran lebih terbuka dan berlapang dada berdepan dengan apa jua pandangan klien terhadap kita kerana dapatan berbentuk empirikal itu nanti amat berguna untuk kita mengubah taktik dan teknik kita agar P & P yang berlangsung dalam kelas akan menjadi bertambah baik dari semasa ke semasa.

46. Sebagai guru yang mahu melihat sistem pendidikan di negara kita bertaraf dunia, kita wajar mendokumenkan langkah demi langkah yang kita ambil untuk melaksanakan sesuatu program, termasuk menjalankan P & P. Pendokumentasian adalah elemen penting dalam pelaksaan ISO 9000.

47. Kita sebagai guru mesti bersedia ke arah standard antarabngsa itu jika kita inginkan pendidikan kita diiktiraf di peringkat dunia. Inilah antara langkah mencapai kualiti dalam pendidikan. Tentunya ia bukan cara untuk bermegah-megah tetapi satu keperluan untuk pengiktirafan yang implikasinya menguntungkan organisasi kita bagi jangka panjang.

48. Saya percaya tidak ada ahli yang akan menghindari organisasinya daripada diiktiraf di peringkat global kerana pengiktirafan itu sendiri akan membawa keuntungan kepada seluruh anggota organisasi. Marilah kita mulakannya dalam organisasi kelas kita sendiri.

49. Dalam merealisiasikan misi untuk menjadikan sistem pendidikan kita bertaraf dunia, kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi harus dimanfaatkan secara optimum oleh seseorang guru khususnya dalam penyampaian sesuatu pengajaran, apatah lagi jika guru itu terlibat dalam PPSMI.

50. Kemudahan makmal komputer di sekolah yang disambung dengan talian internet sepatutnya digunakan sebaik mungkin oleh guru untuk mendapatkan maklumat tentang sesuatu topik, dan menambahkan ilmu pengetahuan mereka. Terlalu banyak sebenarnya perkara yang boleh diakses melalui internet. Ia adalah talian perhubungan antara dunia kecil (kelas) kepada dunia yang lebih besar (dunia sebenar).

51. Kalau selama ini guru bergantung kepada perisian yang dibekalkan oleh PPK, sudah sampai masanya guru memperluaskannya kepada penggunaan internet dalam pengajaran. Guru terlebih dahulu sudah merancang laman-laman tertentu yang patut dilayari untuk memperkayakan maklumat pelajar.

52. Dalam hal ini guru mestilah memperuntukkan masa untuk membuat penyelidikan terlebih dahulu dan menyenaraikan URL laman-laman tertentu untuk diedarkan kepada pelajar. Pelajar mesti diberi kepercayaan untuk mengakses sendiri laman-laman itu sebagai memperkayakan maklumat yang sedia ada.

53. Tentunya matlamat ini tidak akan tercapai sekiranya guru sendiri ragu-ragu tentang kemampuan ICT dalam membantu P & P, menaruh syak yang bukan-bukan kepada ICT konon-kononnya ICT lebih banyak keburukan daripada kebaikan dan diburu rasa bimbang yang tidak berasas kepada pelajar-pelajar yang menggunakan kemudahan ICT ini.

54. Model pengkayaan kurikulum atau the curriculum enrichment model difikirkan paling tepat untuk mencapai misi menjadikan Malaysia bertaraf dunia. Model ini menekankan peri mustahaknya kesinambungan pembelajaran antara sekolah dan rumah melalui perkongsian pintar antara ibu bapa dan komuniti luar dengan pihak sekolah. Ia seolah-olah memberi gambaran kepada kita hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan meletakkan sisem pendidikan kita bertaraf dunia tidak akan berjaya jika ibu bapa sebagai tuan punya sebenar anak-anak tidak berkongsi hasrat itu.

55. Dalam perkara-perkara tertentu guru mesti akur tentang kepakaran ibu bapa yang kalau tidak melebihi pun sekurang-kurangnya menyamai kepakaran mereka. Di luar sana sebenarnya ada ibu bapa dan komuniti yang bersedia untuk membantu dalam bilik darjah tetapi kerana “perceived their involvement as not wanted or valued” atau “confused and often do not know what is expected of them or how they might contribute to their child’s schooling” seperti pandangan Davies, 1988 dan Epstein, 1990 mereka tidak bersedia untuk membantu.

56. Mereka ini mungkin terdiri daripada golongan profesional dan orang yang telah berjaya dalam bidang masing-masing. Bukan pihak sekolah tidak pernah menjemput mereka, cuma sekali sekala dalam aktiviti tertentu, tetapi apa salahnya jika mereka ini dibawa ke dalam kelas semasa sesi p & p berlangsung. Saya berpendapat dengan cara itu sumbangan mereka lebih dihargai dan menjadikan perkongsian sekolah-rumah lebih bermakna.

57. Selain yang sebutkan tadi, guru-guru hendaklah sentiasa mengekalkan etika kerja yang mantap, bersifat luhur, bersedia berkorban, bertanggungjawab dan berakauntabiliti untuk membantu mencapai hasrat ini.

58. Berkorban bermaksud bersedia untuk diberikan tugasan yang lebih, bekerja di luar masa, tidak terikat dengan tugasan rutin, tidak pernah berpada dengan pencapaian sedia ada, tidak menyerahkan tanggungjawab itu kepada orang lain, atau berdiam diri sahaja jika ada sebarang masalah.

59. Guru juga mesti berupaya menjadi contoh kepada anak muridnya dari segi ketepatan waktu, penggunaan bahasa, amalan berkomunikasi yang baik, penampilan diri dan penguasaan ilmu dan pengamalan budaya ilmu.

60. Guru-guru juga hendaklah sentiasa menambahkan ilmu pengetahuan sejajar dengan keperluan belajar sepanjang hayat. Bersama-sama mendokong sekolah sebagai institusi pembelajaran yang menjadikan budaya ilmu sebagai budaya teras di mana setiap ahlinya menjadi manusia yang menghabiskan masa dengan bercakap, bertindak berdasarkan ilmu, termasuk menghormati orang yang lebih berilmu termasuk para intelektual dan ulamak.

61. Guru hendaklah sentiasa melaksanakan penambahbaikan yang berterusan melalui muhasabah ke atas diri sendiri dan menjadi contoh terbaik kepada orang lain

62. Akhir kata, selain mampu menguasai bidangnya sendiri, para guru diharapkan berani menampilkan idea-idea terkini kepada pihak sekolah dan murid-muridnya. Mereka mesti terbuka dalam banyak perkara. Ketahuilah dengan menutup mata daripada perkembangan dunia masa kini dan mengekang diri dengan idea dan cara lama tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Hakcipta Abd Bashid Harun