Bidang perguruan @ pendidikan bukanlah seperti yang orang luar sana sangkakan. Orang sangka guru kerjanya senang...balik kerja pukul 2 petang, cuti banyak, cuti hujung tahun duduk di rumah pun dapat gaji penuh ( erm....ada pula yang berkata cikgu makan gaji buta pada cuti hujung tahun ). Namun, sebagai guru kita perlu terus tingkatkan semangat dan tabah dalam melalui dunia pendidikan yang sebenar. Semua sangkaan tersebut perlu kita sangkal segera kerana ia adalah cerita dongeng semata-mata.
Arus perubahan dalam dunia pendidikan sebenarnya telah berubah. Perkembangan sains dan teknologi yang pesat mengandaikan Malaysia dapat melahirkan pekerja mahir untuk memenuhi permintaan pasaran tenaga. Bagi memenuhi matlamat tersebut, beberapa kajian telah dijalankan di mana hasilnya mendapati pekerja yang mahir perlu mempunyai kemahiran berfikir kritis, kreatif dan inovatif.
Jadi, selari dengan kemahuan dan kehendak tersebut, satu keperluan yang mendesak agar kemahiran berfikir diajarkan di sekolah secara langsung dan menyeluruh. Ini dikuatkan dengan pendapat bahawa pengajaran yang menggunakan kemahiran berfikir merupakan kemahiran asas yang kukuh dalam melahirkan generasi berfikir.
Justeru, kelas pengajaran berfikir terutama dari sudut kemahiran berfikir kritis dan kreatif perlu diterapkan dalam proses P&P. Kelas seperti ini sebenarnya membawa pendidik ke arah penghasilan kualiti pembelajaran murid bergantung kepada sejauh mana murid itu dapat berfikir tentang apa yang mereka lakukan.
Contohnya : murid dapat menggabungkan idea dengan perkara-perkara yang mereka tahu, mencari perkara yang tersirat daripada sesuatu maklumat yang diterima selain dapat mendalami sesuatu perkara yang disampaikan.
Secara tidak langsung, guru perlu memainkan peranan sebagai pemudah cara untuk melahirkan murid berfikir. Ini disebabkan sebahagian besar murid-murid kita tidak cenderung untuk berfikir dan hanya sekadar mempelajari bahan-bahan biasa yang tradisional.
APAKAH CIRI-CIRI BERFIKIR YANG BAIK ?
- ambillah masa untuk berfikir ( take think time )
- hasilkan banyak pilihan ketika membuat keputusan
- mengambil kira jangkauan yang lebih jauh
- buat cabaran sendiri bagi setiap andaiaan
- cari masalah dan cuba selesaikannya dengan sebaik mungkin
- cari alternatif penyelesaian dan perspektif
- buat pemerhatian dengan teliti untuk mencapai pemahaman yang mendalam
Sama-sama kita lahirkan generasi bijak pandai yang kritis dan kreatif bagi memenuhi permintaan negara satu masa nanti.....
( Saya hanya guru biasa yang mengajar di sekolah biasa. Tapi mampukah saya menghasilkan sesuatu yang luar biasa ? )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan