Jiwang Corner :)

Khamis, 26 Mei 2011

Alat Berfikir : Soalan dan Penyoalan

Teknik soal jawab merupakan teknik yang paling lama dan paling popular digunakan dalam bidang pendidikan. Pemilihan teknik ini dalam pengajaran dan pembelajaran dapat melahirkan interaksi antara guru dan pelajar secara berkesan. Di samping itu, ia dapat dijadikan teras kepada pembinaan konsep-konsep, kesanggupan memberi pernyataan dan melahirkan perasaan, penglibatan dan percaya diri sendiri di kalangan pelajar. 

Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran dan pelajar dikehendaki memberi tindak balas yang sewajarnya. Kejayaan penggunaan teknik ini dalam pengajaran dan pembelajaran bergantung kepada kebolehan guru untuk menguasai teknik menyoal. 

Secara umumnya teknik menyoal merupakan teknik yang penting dalam aktiviti pengajaran guru kerana hampir kesemua proses pengajaran dan pembelajaran melibatkan teknik penyoalan.
Tujuan utama penggunaan teknik penyoalan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah:

  •  Untuk mengesan pengetahuan berbahasa pelajar.
  • Untuk menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif, inovatif, logik dan juga kritis
  • Untuk mendorong pelajar menyusun dan menghuraikan bahan yang    diajar.

Teknik soal jawab dianggap teknik terpenting dalam pengajaran dan pembelajaran kerana soalan yang terancang dan bermutu dapat membantu menajamkan pemikiran pelajar di samping dapat mewujudkan iklim pembelajaran yang lebih dinamik dan berkesan.


Prinsip-Prinsip Panduan Penyoalan

Bagi memastikan kelancaran pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, guru perlulah menyediakan soalan-soalan yang dapat mengasah pemikiran kreatif di kalangan pelajar. Berikut ini merupakan ciri-ciri teknik penyoalan yang sesuai digunakan bagi memungkinkan kejayaan teknik ini dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

i. Soalan-soalan yang hendak dikemukakan hendaklah dirancang
ii. Soalan-soalan hendaklah bersesuaian dengan peringkat kebolehan pelajar
iii. Aras soalan hendaklah tidak terlalu senang dan tidak pula terlalu sukar
iv. Perkataan atau istilah yang hendak digunakan haruslah boleh difahami oleh pelajar
v. Beri peluang kepada pelajar untuk memikirkan jawapan
vi. Kemukakan soalan kepada seluruh kelas dan elakkan daripada mengemukakan soalan kepada murid tertentu sahaja.
vii. Kemukakan soalan terlebih dahulu sebelum menentukan nama murid.
viii. Bentuk soalan hendaklah berubah-ubah untuk menarik perhatian murid.
ix. Tentukan bahawa soalan itu dapat didengar dengan jelas oleh pelajar seluruh kelas
x. Soalan yang dibentuk harus mampu mendorong pelajar untuk berfikir
xi. Elakkan soalan yang mengandungi jawapan di dalamnya
xii. Soalan hendaklah ringkas dan jelas.


Ciri-ciri Soalan yang Sesuai Digunakan

Soalan-soalan yang diolah perlulah bersifat pelbagai. Sifat semula jadi soalan yang boleh dipelbagaikan bertujuan untuk memastikan tindak balas yang berbeza di kalangan pelajar.
Ini bermakna soalan-soalan harus dapat dikategorikan dengan baik. Umpamanya:


i. Pengetahuan
Soalan-soalan berbentuk pengetahuan merupakan soalan yang dapat mencerna ingatan mudah. Kategori soalan jenis ini perlulah dipilih oleh guru terutamanya ketika menyampaikan tajuk, topik atau idea baru kepada pelajar.

ii. Pemahaman
Setelah didedahkan dengan sesuatu konsep dan pengetahuan, guru seharusnya menyoal soalan-soalan yang berbentuk pemahaman. Ini bermakna aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan berlangsung dalam dimensi memahami atau kegiatan memaham.

iii. Aplikasi
Seterusnya ciri-ciri soalan yang berikut ini melibatkan penggunaan informasi yang diberikan kepada pelajar. Soalan-soalan aplikasi bertujuan untuk membantu pelajar menggunakan pengetahuan menerusi informasi-informasi yang disalurkan semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

iv. Analisis
Ciri-ciri soalan analisis ialah soalan bentuk ini berfungsi untuk memisahkan idea. Pada peringkat yang lebih tinggi, pelajar akan dikemukakan dengan soalan-soalan menganalisis dan guru perlulah berhati-hati agar pelajar dapat mengikuti isi pembelajaran dan menggunakan semua kemahiran yang diterapkan kepada mereka.

v. Sintesis
Soalan sintesis merupakan soalan-soalan yang boleh membantu pelajar mencantum dan mewujudkan suatu idea baru menerusi maklumat awal yang didedahkan kepada mereka. Kemahiran ini juga menghendaki kemahiran yang tinggi di mana guru dapat membimbing pelajar sehingga mereka mampu mensintesis maklumat.

vi. Menilai
Pada peringkat yang paling tinggi, soalan berbentuk menilai akan diberikan kepada pelajar. Menilai bermakna pelajar harus dapat membuat dan juga mempertahankan justifikasi mereka.

Kategori-kategori Soalan lain

Terdapat juga cara lain untuk mengkategorikan soalan. Ia boleh dilakukan menurut fungsinya yang utama, umpamanya:


i. Soalan-soalan mengikut urutan (First-Order Question)
Soalan bentuk ini adalah soalan mudah yang biasa digunakan. Soalan ini dikatakan mengikut urutan kerana ia mengikut urutan pendedahan maklumat yang diberikan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

ii. Soalan-soalan mencungkil
Soalan-soalan mencungkil merupakan jenis soalan yang dapat mencungkil pengetahuan pelajar secara beransur-ansur. Teknik ini juga menghendaki guru untuk menghasilkan soalan-soalan yang kreatif serta jelas dan mudah agar pelajar tidak berasa bosan.

iii. Soalan-soalan terbuka
Soalan-soalan terbuka merupakan bentuk soalan bebas yang berupaya menilai keupayaan dan pengetahuan pelajar. Di samping itu pelajar juga boleh menyoal guru sebaliknya bagi tujuan mendapatkan kepastian dan penjelasan lebih lanjut. Tindak balas seperti ini adalah sesuatu yang diharapkan agar guru dapat mengenal pasti kedudukan pemahaman pelajar.

iv. soalan-soalan bercapah
Soalan-soalan bercapah merupakan soalan yang mampu menjana pemikiran secara meluas. Soalan-soalan yang subjektif akan membantu pelajar meluaskan skop pemikiran dan ini sangat penting bagi mereka.



Before we can understand a concept we have to remember it.
Before we can apply the concept we must understand it.
Before we analyse it we must be able to apply it.
Before we can evaluate its impact we must have analysed it.

Before we can create we must have 
remembered, understood, applied, analysed, and evaluated







1 ulasan: