Jiwang Corner :)

Sabtu, 4 Februari 2012

Pengiktirafan jadi perangsang tingkat kecemerlangan

PUTRAJAYA: Sekolah Menengah Sains (SMS), Kota Tinggi, Johor (SMSKT) yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), semalam berhasrat meningkatkan kecemerlangan pelajar bukan saja di peringkat kebangsaan tetapi ke arena antarabangsa.

Pengetuanya, Mohamad Mahadi, berkata usaha untuk mencapai pengiktirafan berkenaan banyak dilakukan bekas pengetuanya, Hassan Taufik yang menjalankan perancangan strategik SBT setiap tiga tahun sekali.

Beliau berkata, sepanjang tempoh tiga tahun kebelakangan ini, SMSKT bukan hanya dapat diiktiraf SBT tetapi terlebih dahulu diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK).

“Kami bersyukur kerana SMSKT berjaya diiktraf sebagai SBT dan terima kasih kepada bekas pengetua Hasan Taufik yang banyak membawa kecemerlangan kepada sekolah selama ini.

“Menerusi pengiktirafan ini, kita harap sekolah akan terus cemerlang, gemilang dan terbilang, sekali gus menepati hasrat SBT meneroka ke peringkat antarabangsa, pada masa sama diharap kecemerlangan pelajar akan sentiasa dijana secara berterusan dan menepati falsafah pendidikan negara,” katanya ketika ditemui selepas menerima watikah pengiktirafan SBT daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini, semalam.

Sementara itu, seorang lagi pengetua Datin Azizah Ahamad Tan Sekolah Kebangsaan (SK) Infant Jesus Convent, Johor Bahru, Johor berkata, pengiktirafan terbabit menjadi perangsang kepada sekolah untuk terus mengembangkan kapasiti tenaga pengajar di sekolah selaras usaha meningkatkan kecemerlangan murid.

myMetro: 4 Februari 2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan