Jiwang Corner :)

Khamis, 19 Januari 2012

SEKOLAH Menengah Sains Batu Pahat Operasi Jun Depan

BATU PAHAT 17 Jan. - Sekolah Menengah Sains Batu Pahat yang sebelum ini disenaraikan sebagai 'projek sakit' dua tahun lalu, akhirnya berjaya disiapkan dan dijadual mula beroperasi Jun depan.


Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sekolah yang dibina dengan kos RM45 juta pada 2007 itu akan menerima kemasukan pertama seramai 150 pelajar tingkatan satu.


Menurutnya, kemasukan sepenuhnya pelajar dijangka pada Januari tahun depan dan sekolah itu mampu menempatkan 900 pelajar tingkatan satu hingga lima bersama 68 guru.

Beliau berkata, sekolah itu dilengkapi dengan kemudahan 30 kelas, stadium mini dan sebuah dewan untuk kegunaan warganya.

"Sekolah ini sepatutnya disiapkan pada September 2009 dan dilanjutkan hingga April tahun lalu tetapi pihak kontraktor masih gagal berbuat demikian kerana menghadapi masalah kewangan.

"Dulu ia dianggap sebagai projek sakit, tetapi kita telah lantik kontraktor penyelamat yang berjaya menyiapkan projek ini seperti dijanjikan," katanya selepas melawat sekolah itu hari ini.

Mohd. Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, sekolah itu yang siap sepenuhnya kini dalam proses memasukkan kelengkapan sekolah termasuk perabot.

Sekolah Menengah Sains Batu Pahat adalah salah sebuah daripada 64 sekolah berasrama penuh di seluruh negara dengan jumlah pelajar melebihi 39,000 orang.

Menurutnya, sebanyak 50,000 permohonan untuk memasuki sekolah menengah sains diterima di seluruh negara pada 2009 tetapi kementeriannya hanya mampu mengambil 6,000 pelajar akibat masalah kekurangan kemudahan termasuk disebabkan projek terbengkalai.

Katanya, sebanyak enam kontraktor disenarai hitam kerana gagal menyiapkan projek pembangunan Kementerian Pelajaran di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) membabitkan peruntukan keseluruhan RM180 juta.

Syarikat tersebut terlibat dalam enam projek dan ia merupakan sebahagian daripada 45 projek 'sakit' daripada keseluruhan 14,181 projek di bawah kementerian tersebut.

Utusan Malaysia Online: 18 Januari 2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan