Jiwang Corner :)

Rabu, 4 Januari 2012

Minda Pengarang: Pendidikan percuma buka lembaran baru sistem persekolahan

SESI baru persekolahan 2012 yang bermula semalam di Kedah dan negeri Pantai Timur, manakala hari ini di negeri lain benar-benar mencatat sejarah, berikutan buat pertama kalinya pendidikan rendah dan menengah di sekolah kerajaan disediakan secara percuma. Perkembangan ini adalah berikutan pemansuhan bayaran RM24.50 mulai tahun ini bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2012, 7 Oktober lalu.


Hasrat kerajaan memansuhkan bayaran berkenaan adalah bagi membolehkan setiap rakyat negara ini, tanpa mengira latar sosioekonomi, mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Bayaran dimansuhkan itu membabitkan bayaran kokurikulum, kertas ujian dalaman, yuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan insurans takaful. Adalah difahamkan surat pekeliling berhubung penghapusan itu sudah dihantar ke sekolah agar tidak timbul kekeliruan apabila sesi pelajaran bermula. 

Selain pemansuhan bayaran terbabit, kerajaan juga sudah melaksanakan pemberian bantuan persekolahan RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima bagi tujuan membeli peralatan sekolah. Walaupun bantuan berkenaan menyasarkan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, mereka yang berkemampuan turut menerimanya, membuktikan keikhlasan kerajaan membantu semua rakyat. Menerusi kedua-dua langkah ini – ditambah pula dengan skim buku bantuan percuma yang dinikmati pelajar – ia sudah tentu meringankan beban perbelanjaan kira-kira 5.3 juta pelajar.

Bagaimanapun, harapan kita hasrat murni kerajaan ini tidaklah dijejaskan pula oleh tindakan segelintir sekolah mengenakan perbelanjaan tambahan tidak sepatutnya. Sebelum ini banyak rungutan didengar mengenai pembelian buku kerja, amali, selain buku tulis yang tertera cap berkaitan majlis perguruan tertentu, yang tidak pun digunakan sehingga ke akhir tahun. Bagi mengelakkan perkara ini berlaku dan terus menjadi rungutan, Kementerian Pelajaran menerusi Pejabat Pelajaran Daerah memantau bayaran tambahan ini dan memastikan ia dikenakan pada kadar berpatutan.

Bayaran yang dimaksudkan ini termasuk baju-T dan seluar trek sukan, apron, tali leher, beberapa fail tertentu, kad penilaian kurikulum, bayaran koperasi dan juga buku peraturan yang keseluruhannya boleh melebihi RM50. Langkah mengurangkan beban ibu bapa dalam memberi pendidikan kepada anak ini, membuktikan kerajaan serius memastikan setiap kelompok masyarakat mempunyai peluang saksama dalam menentukan masa depan lebih baik. Ia juga menjamin setiap rakyat akan mempunyai tempat apabila negara mencapai aspirasi negara berpendapatan tinggi kelak. 

Berita Harian Online: 4 Januari 2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan