Jiwang Corner :)

Sabtu, 10 Disember 2011

Solat sunat: GERHANA BULAN

Bismillahirrahmaanirrahiim.. 

Rasulullah s.a.w telah bersabda:

Sesungguhnya matahari dan bulan tidaklah menjadi gerhana disebabkan kematian seseorang atau kerana dihidupkan seseorang tetapi kedua-duanya adalah termasuk ayat-ayat (tanda-tanda) dari Allah. Oleh itu apabila kamu semua melihatnya maka dirikanlah sembahyang. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Menurut hadis di atas jelas, bahawa ada suatu sunnah yang harus dijalankan ketika terjadi gerhana. Sunnah yang kini dilupakan. Bahkan terasa asing tatkala dilaksanakan ditengah kalangan masyarakat. Benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW 14 abad silam, bahawa Islam akan kembali menjadi asing sebagaimana awal kedatangannya.



Gerhana Bulan adalah tertutupnya sinar matahari oleh bumi sehingga bulan berada di dalam bayang-bayang bumi. Gerhana bulan terjadi saat matahari, bumi dan bulan berada pada garis lurus di mana bulan terletak di belakang bumi dan dan bumi berada di antara matahari dan bulan. Saat terjadinya gerhana bulan adalah pada malam purnama.


Setiap dari kejadian Tuhan itu pasti ada kelebihan padanya. Maka telah disarankan kepada kita ummat Nabi Muhammad SAW untuk berlumba lumba merebut peluang yang ada bagi sama-sama meningkatkan saham akhirat kelak. Menerusi sekian banyak hadis berkaitan gerhana, terdapat beberapa perkara sunat yang dianjurkan supaya dilakukan semasa kejadian gerhana. Di antaranya ialah:

Solat dan berdoa.

Solat gerhana matahari dan bulan ini boleh dilakukan dengan 3 cara : Bagi gerhana matahari, bacaan dalam solat dibaca dengan diperlahankan suara ; manakala gerhana bulan bacaan hendaklah dibaca dengan dikuatkan suara seperti mana-mana solat malam.

Cara Pertama: Cara yang paling ringkas. Iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat sepertimana solat sunat zuhur atau mana-mana solat sunat.

Cara Kedua: Disebut dengan “ ال أدنى ” iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat, dengan dua kali qiam dan dua ruku’ pada tiap-tiap satu rakaat, disertai dengan bacaan al-Fatihah dan surah dalam tiap-tiap qiam itu.

Bagi kita di Malaysia ini, cara yang kedua inilah yang paling mudah dilaksanakan. Selepas takbir, dibaca doa iftitah dan al-Fatihah. Selepas selesai al-Fatihah, dibaca surah (mana-mana surah yang mampu). Kemudian ruku’ dan bangkit semula (qiam kedua). Di dalam qiam kedua ini dibaca al-Fatihah dan juga surah. Kemudian ruku’ semula (dipanggil ruku’ kedua). Apabila bangkit I’tidal, terus sujud sebanyak dua kali. Apabila selesai sahaja dari sujud kedua dan bangkit barulah selesai rakaat yang pertama. Begitulah caranya bagi rakaat yang kedua.

Cara Ketiga: Cara yang paling sempurna. Caranya adalah seperti juga yang kedua akan tetapi dalam rakaat yang pertama dan qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Baqarah ataupun mana-mana surah yang sama panjang dengannya. Di dalam rakaat yang pertama juga tetapi qiam yang kedua dibaca surah ali-Imran. Dalam rakaat yang kedua qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Nisa’, dan dalam qiam yang kedua pada rakaat kedua dibaca surah al-Maaidah. Kemudian hendaklah bertasbih dalam ruku’ yang pertama dengan kadar bacaan 100 ayat, dalam ruku’ yang kedua 80 ayat, ruku’ ketiga 70 ayat dan ruku’ yang keempat 50 ayat.

Waktu

Waktu bagi solat gerhana matahari dan bulan ialah bermula dari ketika berlakunya gerhana sehinggalah selesai.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu melihat kedua-duanya (gerhana matahari dan bulan), maka dirikanlah solat dan berdoalah sehingga dihapuskan apa yang kamu hadapi”.
Syari’at Solat Kusuf (gerhana matahari) & Khusuf (gerhana bulan), hukumnya adalah sunat muakkadah atau pun sunat yang digalakkan.

Dari ’Aisyah r.a. berkata : ”Telah terjadi gerhana matahari pada zaman Rasulullah saw. Lalu Nabi mengutus seorang munadi (penyeru) mengumandangkan: “As-solatu Jami’ah”. Kemudian baginda solat 4 kali ruku’ pada 2 raka’at dan 4 kali sujud.”


Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut :

Rakaat pertama

1. Niat solat Gerhana, Takbir
2. Baca Surah Al-Fatihah dan surah
3. Rukuk
4. I’tidal
5. Baca Al-Fatihah dan surah
6. Rukuk.
7. I’tidal.
8. Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.

Rakaat kedua

1. Niat solat Gerhana, Takbir.
2. Baca Al-Fatihah dan surah.
3. Rukuk.
4. I’tidal,
5. Baca Al-Fatihah dan surah.
6. Rukuk.
7. I’tidal.
8. Sujud
9. Tahiyyat Akhir
10. Salam
11. Selepas itu dibacakan khutbah khas sempena gerhana. Dua kali khutbah (seperti khutbah Hari Raya).


Berzikir dan beristighfar.



Abu Musa berkata: “Telah berlaku gerhana matahari. Maka Rasulullah SAW berdiri dalam keadaan cemas kerana bimbang akan berlaku Kiamat. Lalu Baginda SAW tergesa-gesa pergi ke masjid dan solat dengan berdiri yang terlalu panjang serta rukuk dan sujud yang panjang, yang tidak pernah aku lihat Baginda SAW melakukan seperti itu.


Berlindung daripada azab kubur.

Diriwayatkan oleh Aisyah ra: “Setelah Nabi SAW selesai menyampaikan khutbah gerhana matahari, maka Baginda SAW memerintahkan para sahabat supaya memohon perlindungan dari azab kubur.”


Bersedekah.

Sabda Rasulullah SAW: “Apabila kalian melihat gerhana, maka hendaklah kalian berdoa kepada Allah, mengerjakan solat dan bersedekah.”


Memerdekakan hamba.

Asma’ ra berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW menyuruh memerdekakan hamba ketika berlaku gerhana matahari. “Dalam satu riwayat: “Gerhana bulan.”

Inilah sunnah Baginda SAW ketika berlakunya peristiwa gerhana bulan atau matahari. Sudah menjadi kewajiban kita selaku ummat Rasulullah saw untuk kembali menghidupkan sunnahnya. Rasulullah saw telah berwasiat kepada ummatnya agar kita sentiasa berpegang teguh pada Al-Quran & sunnah.

Persoalan gerhana hanyalah satu dari sunnah fi’liyyah (perbuatan) Rasulullah yang kini kian dilupakan. Menjadi tugas kita ummat baginda untuk kembali menghidupkan sunnahnya. Wahai sahabatku bangkitlah, kerana hanya ditangan kitalah pewaris Al-ghuraba’ itu ada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan