Jiwang Corner :)

Selasa, 31 Julai 2012

Teks Pengerusi Majlis Sambutan Ambang Merdeka

Yang berusaha, Tuan Syed Sulaiman bin Syed Ariffin, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Molek, Yang dihormati Puan Rosni binti Ghani, Pen Kanan Kurikulum, Yang dihormati Encik Sahak bin Mohd Don, Pen Kanan HEM, Puan Hajah Rokiah binti Md Isa, Pen Kanan Kokurikulum, rakan-rakan guru serta murid-murid yang dikasihi sekalian. 


Assalammualaikum dan salam 1Malaysia…. 

Dengan limpah kurnia dan izinNya, dapatlah kita sama-sama berkumpul pada pagi Isnin ini. 

Irama beralun gendang dipalu, 
langkah diayun berpasang-pasangan, 
55 tahun telah berlalu, 
Malaysia megah menyambut kemerdekaan. 
55 tahun, Janji ditepati…begitulah tema kemerdekaan Malaysia pada tahun ini. 


Hadirin sekalian, 

Sedar tak sedar negara kita, Malaysia, kini sudah menjangkau usia 55 tahun. Banyak perubahan maju yang boleh kita nampak terhadap negara ini dari semasa ke semasa. 

Namun, kita harus akui kejayaan dan tranformasi yang kita kecapi hari ini bukanlah datang dalam sekelip mata. Tetapi, hakikatnya ia berlaku atas usaha gigih pemimpin-pemimpin terdahulu yang banyak berkorban jiwa dan raga. 

Sempena hari kemerdekaan yang akan disambut pada tahun ini, saya berharap agar kita semua dapat menghayati erti sebenar kemerdekaan yang kita kecapi hari ini. 

Hadirin sekalian, 

Jika kita imbas semula sejarah kemerdekaan Tanah Melayu, negara kita mungkin tidak boleh merdeka kalau rakyatnya sendiri tak bersatu-padu. Dasar pecah dan perintah oleh penjajah telah menyebabkan rakyat berpecah-belah. Melayu sama Melayu, Cina sama Cina dan India sama India. 

Tapi atas perjuangan Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T. Sambanthan kita semua disatukan. Maka wujudlah bangsa 1Malaysia yang ada pada hari ini. 

Justeru, bangsa 1Malaysia yang melata di muka bumi Malaysia inilah yang mampu membentuk ke mana hala tuju Malaysia. Sehubungan itu, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu memainkan peranan penting untuk mempertahankan kemakmuran, keharmonian, dan keselesaan, yang sedia ada sekarang. 

Murid-murid sekalian… 

Jika kita lihat, pelbagai perubahan dari segi pembangunan, teknologi telah kita lalui. Kita semestinya bersyukur dengan kemerdekaan negara kita. Negara Malaysia aman, damai dan bebas daripada sebarang ancaman dan jajahan seperti Palestin. 

Bagi memberkati majlis perasmian ambang merdeka ke-55 pada hari ini, dijemput Ustaz ___________________________ untuk membacakan doa. Dipersilakan…. 

Alhamdulillah semoga kita, mendapat keberkatan, sepanjang hayat. Bagi meneruskan atur cara pada pagi ini, marilah kita sama-sama menyanyikan lagu Bangsa Johor, dan Ke Puncak Jaya 

Hadirin sekalian, untuk meneruskan majlis pada pagi ini, saya bagi pihak majlis mempersilakan ________________________________________________________ 

Mengetuai bacaan ikrar. 


dunia belajar erti merdeka sejati 
mempelajari dan menerima segala perbezaan 
merdeka mentafsir hidup 
tanpa paksaan kuasa 
kita tawarkan dunia menaja kemanusiaan 
dan bukan alat peperangan 


Hadirin sekalian, 

Majlis diteruskan dengan laporan guru bertugas pada minggu lepas. 

Terima kasih. 


Sebelum saya teruskan dengan acara perasmian, dengan ini saya menjemput Cik Rosliana binti Rosli selaku penyelaras program sambutan kemerdekaan untuk menyampaikan sepatah dua kata. 

Terima kasih. Diharap murid-murid yang berminat untuk menyertai aktviti yang dirancangkan dapat memberikan komitmen yang baik. 

Bagi melengkapkan majlis kita pada pagi ini, dipersilakan Tuan Syed Sulaiman bin Syed Ariffin , Guru Besar SK Taman Molek untuk menyampaikan ucapan sekaligus merasmikan Majlis Sambutan Ambang Merdeka Yang ke-55. 

Terima kasih diucapkan kepada Tuan Syed Sulaiman bin Syed Ariffin atas ucapan perasmian itu tadi. 

Sebelum mengakiri majlis pada pagi ini, diminta semua hadirin berdiri supaya kita sama-sama dapat menyanyikan lagu Janji Ditepati, Jalur Gemilang dan Tanggal 31, dan Negaraku. 

Akhir kata, tamatlah sudah majlis kita pada pagi ini. Sekali lagi syabas dan tahniah kepada warga SK Tmn Molek kerana dapat sama-sama meraikan majlis sambutan ambang kemerdekaan ini. 


Degupkanlah Jantung Kita… 
Nyatakanlah Dalam Hati… 
Kita Berbangga Menjadi Rakyat Malaysia… 
Marilah Kita Bertepuk Tangan… 
Memberi Sokongan 55 Tahun Kemerdekaan 


Terima kasih…

Isnin, 30 Julai 2012

Logo Merdeka 2012 beserta keterangan

Lusa aku ditugaskan menjadi pengacara majlis ambang merdeka. So, hari ni aku skodenglah  lagu, tema dan logo untuk sambutan merdeka tahun ini. So, inilah hasilnya. Jom, sama-sama kita ambil tahu.





Sabtu, 28 Julai 2012

Telefon Bimbit Di Sekolah Beri Kesan Negatif Kepada Pelajar

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemilik-pemilik Telefon Bimbit (PERBIT) Malaysia berpendapat kebenaran bagi pelajar menggunakan telefon bimbit di sekolah lebih banyak memberi kesan negatif daripada positif. 

Presiden Perbit, Ali Ibrahim, berkata selain mengganggu pelajaran, telefon bimbit yang menyediakan pelbagai akses internet akan memberi peluang kepada pelajar mengakses laman pornografi di sekolah, yang mana akan menggalakkan aktiviti sumbang dan membawa implikasi negatif kepada masyarakat.


"Pelbagai perkara yang tidak baik boleh berlaku termasuk mencuri, merompak, rogol, berzina, terbabit kegiatan samseng dan ponteng sekolah. Yang paling parah perkara ini banyak berlaku kepada remaja Islam," katanya di sini, hari ini.

Ali berkata, pelajar berpendapat mereka bebas melayarai internet dan juga menghubungi sesiapa saja kerana tiada siapa tahu apa yang mereka buat selain tiada siapa yang memantau aktiviti mereka. 

"Ini memberi satu impak negatif kepada pelajar, terutama pelajar Islam kerana kebanyakan mereka, walaupun di peringkat tingkatan lima, masih lagi belum matang," katanya 

Ali berkata, penggunaan telefon bimbit di kalangan pelajar akan hanya mendatangkan pembaziran wang kerana terpaksa menjelaskan bil yang sepatutnya boleh digunakan untuk perkara lain yang lebih perlu. 

"Pelajar juga akan terleka dengan hiburan yang tersedia dalam telefon bimbit hingga mengabaikan pelajaran," katanya. 
Walaupun kebenaran untuk penggunaan telefon bimbit bagi pelajar adalah atas faktor keselamatan, beliau tetap bimbang penyalahgunaannya oleh pelajar. 

Beliau berkata, seharusnya setiap sekolah perlu menyediakan satu bilik telefon khas untuk pelajar membuat panggilan kecemasan kepada ibu bapa mereka bagi menggelakkan perlunya pengunaan telefon bimbit di sekolah. 

Katanya, PERBIT akan menjalankan kempen kesedaran penggunaan telefon bimbit kepada pelajar di seluruh Malaysia pada bulan depan. 

- BERNAMA: 27 Julai 2012

Jumaat, 27 Julai 2012

Patut atau tidak pelajar sekolah dirotan?

Petikan daripada akhbar

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.

"BAGI saya boleh … 'anytime' cikgu boleh merotan atas kesalahan yang difikirkan perlu, syarat merotan di bawah paras lutut dan kemudian harus dirotan di hadapan murid lain." Demikian pandangan seorang pembaca dalam ruangan 'facebook.com/utusan_online' yang disiarkan dalam akhbarUtusan Malaysia baru-baru ini.

Kini cadangan guru dibenarkan merotan pelajar yang melanggar disiplin sekolah telah banyak dibincangkan dalam akhbar dan media sosial. Walaupun ada pendapat yang menentang namun ada juga yang menyokong kerana merasakan guru mempunyai peranan besar membantu menangani salah laku pelajar.


Menurut mereka jika masalah disiplin tidak ditangani dengan betul ketika pelajar berada di bangku sekolah dikhuatiri boleh menimbulkan masalah lebih besar apabila mereka meninggalkan sekolah nanti.
Sesungguhnya amat merisaukan apabila melihat angka statistik dan pemaparan melalui media massa gejala sosial di kalangan remaja. Misalnya isu 'mat rempit,' apa yang mereka lakukan bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi turut menjejaskan keselamatan orang lain. Lebih membimbangkan mereka sudah berani mencabar pihak berkuasa dan merempit di tempat yang terbuka. Ada ketikanya orang awam turut dikasari hanya kerana cuba menasihati perbuatan yang tidak berfaedah itu. 

Ini belum lagi dikira jumlah penagih dadah yang kian bertambah. Kesan daripada penagihan dadah boleh menimbulkan gejala sosial lain seperti berlaku kes jenayah, penyakit HIV dan kemerosotan nilai diri sebagai seorang insan. 

Penagihan bukan sahaja menjadikan diri mereka tidak terurus tetapi sanggup pula mencederakan orang lain malah ibu bapa sendiri sekiranya apa yang dikehendaki tidak ditunaikan terutama keinginan mendapatkan wang.

Jenayah lain seperti pecah rumah, curi motosikal, meragut, bergaduh dan gengsterisme kerap dilaporkan dalam akhbar. Perbuatan ini bukan sahaja berlaku di bandar besar tetapi turut berlaku di kampung dan kawasan pedalaman. Tidak dinafikan gejala itu mungkin mula bertunas ketika mereka berada di bangku sekolah. 

Sering kita mendengar isu ponteng, membuli, mencuri, vandalisme dan bergaduh berlaku di kalangan pelajar. Sekiranya tidak dicegah daripada awal ia boleh memudaratkan apabila mereka terus melakukannya selepas meninggalkan bangku sekolah nanti.

Bagi mencegah dan mendidik pelajar yang melanggar disiplin ada yang mencadangkan dikembalikan semula hukuman rotan ataucorporal punishment. Tambah mereka semua guru seharusnya dibenarkan merotan pelajar. Bagi mereka hukuman itu tidak akan menimbulkan tentangan jika dilakukan dengan betul. Buat masa ini hanya pengetua atau guru yang diberikan kuasa boleh merotan pelajar dengan syarat dilakukan di tempat tertutup, direkodkan dan ibu bapa dimaklumkan akan hukuman itu.

Namun demikian ada yang mempertikaikan pendapat tersebut mempersoalkan mengapa peraturan lapuk itu ingin dihidupkan semula. Menurut mereka keadaan dan zaman telah banyak berubah. Hukuman rotan boleh menimbulkan banyak mudarat dibandingkan dengan kebaikan. 

Dari sudut psikologi emosi pelajar yang dirotan boleh terganggu, malu kepada rakan dan merasa rendah diri terutama apabila bersua dengan guru yang merotan mereka. Lebih bahaya boleh menimbulkan perasaan dendam terhadap guru dan sekolah. 

Kerap kita mendengar kereta guru dirosakkan, perbuatan vandalisme dan perasaan benci kepada sekolah. Walaupun tujuannya murni iaitu untuk mendisiplinkan pelajar tetapi boleh memberi kesan sebaliknya. Lebih parah mungkin boleh berlaku kejadian mencederakan guru dan merosakkan harta benda sekolah.

Sesungguhnya untuk menangani salah laku pelajar Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan garis panduan melalui Peraturan- Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, iaitu Perkara 8.3.1. (b) di mana guru boleh merotan pelajar lelaki sahaja dihadkan di tapak tangan atau di punggung dengan arahan Guru Besar tanpa mendatangkan kecederaan. 

Hukuman rotan semata-mata bertujuan mendidik dan dilakukan di tempat tertutup. Dijelaskan juga kebenaran merotan ini bermakna hukuman deraan lain seperti menampar, mencubit, menumbuk, mengetuk atau tindakan lain yang seumpamanya adalah dilarang sama sekali.

Berbeza di negara maju di mana terdapat peraturan yang dinamakan student rights atau 'hak asasi pelajar' di mana mereka diberi perlindungan ketika berada di sekolah termasuk tidak boleh dikenakan sebarang deraan fizikal. 

Ini bermakna pelajar tidak boleh dirotan dan menjadi suatu kesalahan sekiranya dilakukan oleh guru atau pentadbir sekolah. Mereka ada kaedah tertentu bagi menangani pelajar yang bermasalah seperti melalui sesi kaunseling atau merujuk terus kepada ibu bapa pelajar tersebut.

Sesungguhnya dalam sistem pendidikan kita kaedah merujuk pelajar kepada kaunselor telah lama dipraktikkan. Setiap sekolah mempunyai kaunselor yang terlatih. Melalui Surat Pekeliling Iktisas Bil. 1/1985 Penubuhan Jawatan Kuasa Bimbingan Pelajar Sekolah bertujuan memberi peluang kepada pelajar yang bermasalah termasuk melanggar disiplin mendapat perkhidmatan kaunseling. Melalui perbincangan dan bimbingan secara profesional dijangkakan pelajar itu akan sedar kesalahan yang dilakukan dan tidak mengulangi lagi perbuatan tersebut.

Hakikatnya guru perlu berhati-hati ketika merotan pelajar kerana jika mendatangkan kecederaan serius mereka boleh didakwa di mahkamah sekiranya ibu bapa membuat aduan polis. 
Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali. 
Walaupun niat merotan itu murni iaitu untuk mendidik pelajar tetapi boleh mendatangkan mudarat dan menjadi mimpi ngeri kepada guru jika dilakukan secara berlebihan.

Justeru semua guru adalah guru disiplin. Ini bermakna semua guru bertanggungjawab dan berperanan membimbing, menasihati dan menunjuk ajar pelajar. Ibu bapa dan komuniti pula perlu terlibat dalam menangani permasalahan tersebut. 

Keprihatinan semua pihak terhadap salah laku pelajar hari ini akan berupaya mengurangkan jumlah gejala sosial di kalangan remaja di masa akan datang.

Utusan Malaysia Online: 25 Julai 2012

Khamis, 26 Julai 2012

Ke tepi, ke tepi....ambulans nak lalu

Hari ini pengalaman pertama aku menaiki ambulans. Sebenarnya bukan aku yang sakit tetapi salah seorang murid tahun 4 sekolah aku. Memandangkan aku merupakan salah seorang guru bertugas pada minggu ini, maka aku terpaksa handle semua ni.

Bergoncang-goncang duduk dalam ambulans bersama seorang doktor. Kebetulan kedudukan sekolah dan hospital tidak jauh, maka semuanya jadi cepat. Aku jangkakan tidak sampai 5 minit aku telah sampai ke hospital.

Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru

Apa yang aku diberitahu murid itu sering pening kepala. Guru kelasnya ada memberitahu bahawa murid tersebut ada migrain. Tanpa diduga dia telah pengsan di bilik kesihatan sekolah kira-kira 1 jam sebelum ambulans sampai.

Mujurlah urusan dipermudahkan. Seorang rakan lain menjemput aku pulang memandangkan ibu bapa murid berkenaan telah sampai di hospital tersebut. Semoga kesihatan murid tersebut pulih seperti sediakala. InsyaAllah... 

Rabu, 25 Julai 2012

Cuepacs minta segera naikkan gred guru PJJ

GEORGETOWN: Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempercepatkan kenaikan gred penjawat awam termasuk guru yang memperoleh ijazah menerusi program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ).


Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, penangguhan kenaikan gred penjawat awam berijazah hanya akan mendatangkan lebih banyak masalah selain turut menyebabkan mereka beranggapan dilayan dengan tidak adil.

“Cuepacs tidak mahu masalah membabitkan penjawat awam mendapat ijazah melalui PJJ timbul pada masa akan datang dan mereka ini sudah lama belajar untuk mendapat segulung ijazah.

“Kerajaan harus mempertimbangkan kenaikan taraf mereka supaya mereka ada semangat untuk bekerja lebih cepat, tepat dan berintegritri,” katanya ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng di sini semalam.

myMetro: 24 Julai 2012

Bonus Raya Kakitangan Awam 2012

Alhamdulillah, PM dah umumkan bonus setengah bulan gaji. Moga dengan bonus yang bakal diterima pada 9 hb Ogos nanti akan membantu kakitangan awam dalam membuat persiapan sempena lebaran nanti.


Namun, bagi aku bonus kali ini sedikit sebanyak kena simpan sebagai persiapan masuk rumah baru aku nanti. Namun, sedekah pada kanak-kanak dan yang kurang mampu terutamanya kepada warga emas tetap aku utamakan. InsyaAllah, mudah-mudahan rezeki aku sentiasa dalam berkat Allah.

Selasa, 24 Julai 2012

Duit, duit, di mana kau duit ?

Inilah rupa sebenar wang kertas baharu Malaysia. Hari ini anak-anak didik aku mula tayang wang kertas baharu ini kat aku. Maklumlah, ada antara mereka yang ibu bapanya bekerja di syarikat kewangan atau bank. Erm...menilik jugaklah aku akan wang kertas itu sebab aku sendiri masih tidak memperolehinya. Huhuhu...


Teringat pula aku akan kisah seorang daripada rakan aku semasa menerima syiling baharu daripada seorang peniaga. Rakan aku berkata kepada pekedai tersebut, " Eh, ni duit negara mana ? Saya tak nak. Bukannya laku nak berurusniaga nanti. " Gelak besar aku mendengar ceritanya. Rupa-rupanya rakan tadi kurang peka akan kewujudan wang syiling baharu itu. Mungkin sibuk dengan urusan kerja dan keluarga.

Selepas peniaga itu menjelaskan keadaan sebenar, barulah rakan tadi rasa termalu pulak. Lucu jugak rakan aku tu kan ? hihihi

Sabtu, 21 Julai 2012

2013 : Bawa telefon bimbit dan gajed ke sekolah ?

Berita semasa membuatkan semua tenaga pengajar tersentak sebentar daripada kesibukan bekerja. Apa pendapat kalian ? Aku memang bantah ! Alasannya lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Rasanya kalian sendiri boleh beri sebabnya kan ?


Apapun, ini adalah cadangan yang terkandung dalam Draf Peraturan Pendidikan Displin Murid 2012, yang kini di peringkat akhir, sebelum dibawa kepada pejabat Peguam Negara dan diluluskan. Jika mendapat pandangan yang positif kemungkinan besar usul ini akan diluluskan dan berkuatkuasa mulai tahun depan. Jika dipandang dari sudut positif, memang lah ia sangat berguna untuk tujuan keselamatan dan komunikasi yang paling mudah. Tapi bagi murid yang memegang telefon bimbit akan menyumbang lebih kepada keburukan berbanding kebaikan.

Telefon Bimbit : Sudahkah kajian baik dan buruk diambil kira?

MOHD. KHAIRI MD. JAAFAR
Kulim, Kedah

JIKA keadaan ekonomi mengizinkan, saya percaya ramai ibu bapa akan menyediakan gajet terkini, terutama telefon bimbit yang menjadi keperluan dewasa ini. Tetapi persoalannya, adakah wajar anak-anak di sekolah dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah?

Pada hari ini kes jenayah yang memangsakan pelajar sekolah sedang berleluasa. Ini tidak termasuk isu sosial lain yang melanda pelajar sekolah yang tidak perlu saya nyatakan di sini.


Sebagai ibu bapa kita semua bimbang kiranya pulang dari sekolah anak-anak berhadapan dengan bahaya dan sebagainya, bagaimanakah anak-anak ini dapat menghubungi keluarga ketika kecemasan? Pelbagai persoalan dan kebimbangan telah meletakkan idea membenarkan pelajar membawa telefon bimbit kelihatan sangat wajar.

Tetapi sudahkah perkiraan dan kajian baik buruknya diambil kira? Hanya pihak berwajib mampu menjawab persoalan ini. Sebagai rakyat biasa yang tidak mempunyai statistik baik buruknya membenarkan pelajar membawa telefon ke sekolah mungkin boleh untuk saya kongsikan bersama isu yang pada hemat saya mungkin timbul apabila pelajar bersama telefon di sekolah:

l Tumpuan pelajar terganggu

Bolehkah seorang guru mengawal pelajarnya agar tidak melayan SMS yang masuk keluar pada setiap detik dan ketika? Mungkin juga pelajar sibuk melihat kecanggihan gajet yang dimiliki oleh rakan dan membandingkan dengan gajet miliknya. Bukankah ini semua akan mengganggu pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

2 Jurang stratifikasi sosial di sekolah

Sekolah diprogramkan dengan keseragaman dan kesamarataan. Baju tidak berbeza pada warna mahupun gayanya. Tetapi jika gajet yang dibawa iPhone, Samsung, BlackBerry sudah tentu tidak sama dengan gajet tidak berjenama. Apakah kita inginkan jurang stratifikasi sosial berlaku di dalam persekitaran sekolah. Sombong, memperlekehkan yang lain mungkin akan menjadi budaya sekolah. Adakah matlamat ke sekolah akan tercapai kiranya begini keadaan persekitarannya?

3 Jenayah kecil-kecilan

Gajet yang dibawa ke sekolah seperti telefon bimbit mungkin terdedah kepada kecurian. Disebabkan godaan yang tinggi gajet yang dicuri boleh membawa kepada masalah lain seperti bergaduh sesama pelajar dan tidak kurang menyusahkan para guru yang terpaksa membuat siasatan bagi kecurian tersebut.

4 Isu sosial

Anak remaja sedang dalam proses mengenali diri dan membentuk peribadi. Banyak kes pada hari ini telefon bimbit berkamera digunakan sebagai bahan untuk bereksperimen dalam melihat tubuh badan sendiri, mengendap, merekodkan aksi buli dan aksi terlarang lain atas dasar ingin tahu yang kuat dalam diri remaja. Bukan itu sahaja, gajet canggih yang dilengkapi akses kepada internet juga memungkinkan pelajar leka bermain permainan dalam talian dan lain-lain lagi. Sanggupkah para guru warga pendidik dan ibu bapa melayani serta berhadapan dengan semua isu ini yang mana kadar penyalahgunaannya begitu tinggi?

5 Akademik tidak bebas lagi

Guru-guru mungkin mengalami kesukaran untuk berkongsi contoh dan bercakap mengenai perkara yang sensitif kerana khuatir gajet canggih yang dimiliki pelajar merekodkan perkara itu serta mentafsirnya secara salah. Guru juga mungkin tidak akan menggayakan atau berdemonstrasi dalam membentuk kefahaman pelajar bagi mengelakkan ia direkodkan, disunting dan dimuatkan di internet yang akan menjadikan guru terbabit bahan lawak jenaka. Lebih malang ia mungkin jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab dan secara tidak langsung mengekang kebebasan akademik di sekolah.

Mungkin bagi membendung kebimbangan ibu bapa akan ancaman bahaya yang ada pada hari ini, pihak berwajib perlu memperkenalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang membolehkan pihak sekolah dan ibu bapa mengambil tindakan perlu apabila berlaku kecemasan. Butiran untuk dihubungi ketika kecemasan sama ada oleh pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah perlulah jelas.

Pemantauan dari semua pihak memungkinkan persekitaran yang lebih baik kepada semua.

Pelajar perlu dididik agar lebih bertanggungjawab dengan tidak melencong ke tempat lain selepas meninggalkan sekolah. Sentiasa memaklumkan ibu bapa dan guru kiranya mempunyai aktiviti.

Tetapi keadaan dan suasana semasa mungkin mendesak agar pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah. Biarlah keputusan yang dibuat kelak merupakan risiko yang paling minimum untuk ditanggung oleh ibu bapa, pelajar, sekolah dan juga masyarakat.

Utusan Malaysia Online: 20 Julai 2012

Jumaat, 20 Julai 2012

Luluskan segera kenaikan DG41

Isu ini telah lama dipersoalkan. Saya sendiri jadi mangsa kepada keadaan ini. Bila ada kenyataan seperti ini, rasa lega lah sedikit. Tapi sampai bilakan perasaan lega ini terpaut dalam hati? kenyataan telah dikeluarkan tetapi apa tindakan pihak berkenaan ?

Teringat pula semasa saya menelefon pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan ( SPP ) awal tahun lalu. Soalan saya dijawab dengan baik namun jawapannya masih ada tanda tanya. Pihak SPP memberi jawapan yang lantikan dan temuduga PJJ ke gred DG41 dibekukan buat sementara. Pihak SPP pula hanya menunggu arahan KPM agar proses lantikan dibuka semula. 


Erm...itulah jawapan yang aku terima. Hingga ke hari ini masih menunggu dan terus menunggu...

Telefon: Minta kaji semula

RAKYAT PRIHATIN
Taiping

TIDAK dinafikan telefon bimbit atau seumpamanya sangat penting dalam dunia masa kini. Telefon bimbit sering dikaitkan dengan kemudahan untuk berhubung antara satu sama lain. Kini, telefon bimbit bukan hanya dimiliki oleh orang dewasa, malah pelajar-pelajar sekolah, termasuk pelajar sekolah rendah mahupun prasekolah. Begitulah pentingnya penggunaan telefon bimbit pada masa kini.


Namun, hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah mulai tahun 2013 adalah tidak sesuai, meskipun kita menyedari pentingnya penggunaan telefon bimbit. Ini kerana ia menimbulkan 1001 persoalan.

Jika alasan ibu bapa digunakan untuk memantau pergerakan anak-anak bagi memastikan anak-anak berada di sekolah ia bukanlah satu alasan yang baik.

Hal ini kerana, saya yakin dan percaya sekolah sentiasa memaparkan nombor telefon yang boleh dihubungi oleh ibu bapa. Malah terdapat juga sekolah yang memberikan nombor telefon guru kelas kepada ibu bapa bagi memberi ruang dan peluang untuk ibu bapa bertanyakan tentang perkembangan anak-anak mereka di sekolah.

Malah, pelajar turut diberi kebenaran menggunakan telefon pejabat jika diperlukan.

Begitu juga jika alasan keselamatan diberikan sebagai cara untuk membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah ia juga turut tidak relevan.

Sebabnya, selama ini, kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa organisasi kerajaan, termasuklah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama pihak media sentiasa mengingatkan para pelajar tentang tindakan yang patut dilakukan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini seperti didekati oleh individu tidak dikenali dan sebagainya.

Apa yang saya ingin saya utarakan di sini adalah kebenaran membawa telefon bimbit tersebut walaupun mempunyai draf undang-undang penggunaannya sewaktu di sekolah, namun saya yakin dan percaya ia sukar dikawal.

Saya sangat bimbang kebenaran itu akan memberi kesan negatif kepada pihak sekolah sama ada daripada segi penguatkuasaan disiplin, malah lebih memburukkan ia mengganggu proses Pengajaran & Pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah.

Ia juga akan menggagalkan pihak sekolah mengesan masalah disiplin dalam kalangan pelajar kerana pelajar-pelajar lain akan menghubungi rakan-rakan yang lain bagi mengelak daripada dikenakan tindakan oleh pihak sekolah.

Lebih membimbangkan gambar-gambar guru akan dirakam malah kawasan larangan sekolah seperti bilik kebal, pejabat dan sebagainya yang menjadi kawasan larangan pelajar akan tersebar di Internet.

Saya sekali lagi menyeru pihak KPM menarik balik kebenaran penggunaan telefon bimbit di sekolah bagi mengelakkan perilaku negatif dalam kalangan pelajar menjadi lebih buruk.

Utusan Malaysdia Online: 20 Julai 2012

Khamis, 19 Julai 2012

Ramadhan Menjelma Lagi

Syukur alhamdulillah, insyaAllah lusa kita semua masih berkesempatan untuk menemui Ramadhan yang mulia. Tiada apa yang dapat saya kongsikan pada hari ini kecuali sedikit renungan untuk kebaikan bersama...


Ramadan akan menjelma lagi, musim ibadah yang menjanjikan rahmat dan keberkatan kepada orang yang berpuasa. Setiap detiknya mengandungi keampunan dan keberkatan. Kedatangannya dinanti oleh orang yang bertaqwa. Rasulullah SAW biasa berdoa bermaksud, ‘Ya Allah berkati kami dalam Rejab dan Sya’aban dan sampaikan kami Ramadhan.’ (Hadis riwayat at-Tabrani dan Ahmad). Apabila sampai Ramadhan para sahabat saling mengucapkan Ahlan wa sahlan ya Ramadhan’ bererti selamat datang Ramadhan!

Berpuasa Ramadhan bertujuan menambahkan Taqwa. Taqwa ialah kekuatan dalaman anugerah Allah untuk manusia berhadapan dengan fitnah hidup ini dengan selamat hingga ke akhirat. Kesannya mendalam hingga ke Ramadhan akan datang. Rasulullah telah menjanjikan kita dengan sabdanya, “Solat yang lima. Jumaat hingga Jumaat, dan Ramadhan hingga Ramadhan menghapuskan dosa-dosa yang di antaranya apabila (dengan syarat) dijauhi dosa-dosa besar” (Riwayat Muslim), 

Hati dibersihkan dari dosa dan nafsu dapat dijinakkan. Asalnya nafsu berguna untuk mengurus diri dan alam keliling. Dengan nafsu manusia sukakan kebersihan, keindahan. makan minum. dan berkeluarga hingga berkembang biak memenuhi bumi. Namun, nafsu mudah menjadi liar hingga membahayakan diri dan alam. Betapa kecantikan terjebak kepada kelucahan. Urusan makan minum menjadi perebutan harta dan takhta. Kesihatan, kekuatan dan kemudaan sering disalahgunakan hingga tergadai usia muda kerana lupa kepada Allah.

Berlapar penting untuk menjinakkan nafsu. Itu adalah peraturan Allah yang Maha Mengetahui. Apabila berpuasa mengikut sunnah Rasul SAW, hati Muslim menjadi lembut dan takut kepada azab Allah. Muslim lebih teliti dalam tindak tanduknya. Selain berlapar, berpuasa ialah menahan diri daripada perkara yang berdosa, tidak bermoral dan sia-sia. Berpuasa pada perut ialah tidak makan, berpuasa pada Iidah ialah tidak bercakap sia-sia atau mengumpat. Berpuasa telinga ialah tidak mendengar muzik rock dan perbuatan lucah. Berpuasa mata ialah tidak memandang yang berdosa seperti aurat, atau memandang seseorang dengan marah.

Nabi bersabda, “Bukanlah puasa itu semata-mata meninggalkan makan dan minum tetapi puasa ialah meninggalkan perbuatan sia-sia dan cakap kosong. Jika sesiapa dimaki atau diperbodoh oleh seseorang katakanlah;’Saya berpuasa, saya berpuasa”(Riwayat lbnu Khuzaimah dan lbnu Hibban).

Menurut hadith ini, orang yang berpuasa perlu kuat bersabar apabila dalam situasi genting atau bertelingkah. Disebutnya, ‘Saya berpuasa’ beberapa kali untuk mengingatkan diri agar tidak merosakkan pahala puasa. Puasa begitu penting dijadikan latihan mengubah sikap hingga Rasulullah mengingatkan kita, “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dan amalan sia-sia maka Allah tidak memerlukannya meninggalkan makan dan minumnya.” (Riwayat Bukhari).

Puasa Ramadhan menjanjikan perubahan bagi mereka yang mengisi masa dengan kebaikan dan ibadah. Kesemua amalan dibuat dengan penuh ilmu dan faham. Membaca al-Qur’an ialah membaca perintah dan hukum Allah. Tarawih ialah merehatkan hati dengan mendengar bacaan qari mengimami solat tarawih itu. Bertaubat ialah menyesali dosa dan ingin berubah menjadi taat. Beribadah pada Lailatul Qadar membawa keampunan dan kebajikan yang kekal seumpama seribu bulan. Beriktikaf ialah mengasingkan diri di dalam masjid dengan mengimbau kesalahan Iampau untuk membaiki diri dan umat. Zakat fitrah ialah tanda kesyukuran atas nikmat Allah yang melimpah, hingga ingin dikongsi kepada orang yang memerlukan.

Pada akhir Ramadhan, orang yang berpuasa mengikut adabnya akan menjadi orang baru kerana berjaya membuang segala kelemahan diri. Ramadhan di akhiri dengan kesedihan kerana berpisah dengan limpahan rahmat dan keampunan Allah. Alangkah gembiranya jika Ramadhan itu sepanjang tahun. Dari Abi Mas’ud Al-Ghifari r.a, katanya,’Rasulullah SAW bersabda;’Jikalau para hamba itu mengetahui apa dia Ramadhan,nescaya umatku berangan agar setahun itu kesemuanya Ramadhan.’ (Riwayat Ibnu Khuzaimah).



Rabu, 18 Julai 2012

Perhimpunan Bulanan Kokurikulum Kali Ke-3

Perhimpuan Bulanan kokurikulum kali ke-3 dikendalikan oleh Puteri Islam selepas Tunas Puteri dan Pengakap. Semua murid bersiap sedia dengan pakaian uniform mereka setiap Rabu.

Alhamdulillah, dengan cuaca yang mengizinkan perhimpuan dapat dijalankan seperti biasa. Almaklumlah, sekolah kami tidak ada dewan. Berpanas dan berhujan renyai dah jadi lumrah semasa  perhimpunan dijalankan.

Pasukan uniform : Tunas Puteri, TKRS, Silat, Pengakap, Puteri Islam dan PBSM
Dimulakan dengan kawat kaki dan seterusnya kami dihiburkan dengan 4 buah lagu. Sesekali dihidangkan dengan persembahan, terasa teruja juga aku dibuatnya. Hehehe....

Kawat kaki

Nyanyian nasyid

Rabu, 11 Julai 2012

Tuisyen Malam

Tuisyen malam hari ini catat cerita baru dalam berdepan sikap negatif murid aku. Bukan aku nak memalukan sahsiah mereka tapi apa yang terlintas di hati aku ialah bagaimana didikan mereka di rumah ?

Tuisyen malam dijalankan selama dua jam dari jam 8.00 hingga 10.malam bermula hari Isnin hingga Rabu. Malam tadi giliran aku mengendalikannya. Kelas 3 dan 4 jadi sasaran. Mereka terdiri daripada murid sederhana hingga lemah. 

Semasa rehat aku dikejutkan oleh pekikan dari tandas perempuan. Rupa-rupanya ada murid lelaki yang masuk ke dalam tandas itu. Ada pula yang mengendap dari belakang tandas tersebut. MasyaAllah...apa nak jadi dengan mereka ! Aku sempat menjenguk mereka maka berkeliaranlah mereka.

Aku sendiri tidak pasti apa yang mereka hajatkan. Mungkin ada kaitan dengan perkara yang berlaku pada hari persekolahan pada siang tadi. Kejadian itu menyebabkan seorang guru lelaki menampar mereka  yang terlibat. Semua murid terdiam atas tindakan tersebut. Aku turut terkesima....

Waktu itu aku berada dalam kelas 4. Seorang murid lelaki pula buka cerita. " Alah cikgu....tak salah jika mereka masuk ke dalam tandas perempuan tu tadi...Kan ada si ........ Budak tu kan gedik. Patutlah kena ngendap !" Aku terdiam sambil fokus apa yang cuba dia sampaikan.

Tetiba terkejut aku murid lelaki itu berkata, " Cikgu, Si...... pernah cakap kat sorang budak laki. Kau kalau nak raba aku, boleh...Bayarlah RM100." Subhanallah...berderau aku dengar. Aku bertanya padanya semula untuk mendapatkan kepastian. 


Kemudian, bercerita lagi murid itu kepada aku. " Cikgu, diorang yang gedik-gedik ni nanti masuk ke sekolah menengah, mengandung pulak !" Lagi tersentap aku mendengarnya. Dia meneruskan penceritaannya. 

" Murid sekolah menengah sebelah tu cikgu ramai yang mengandung tau, cikgu, " katanya lagi. Aku tunduk rasa malu. Aku cuba nasihatkan mereka jika mereka ingin terus berada di jalan yang benar. Sesi pembelajaran diteruskan. Namun, di hati kecil aku masih terngiang-ngiang akan cerita tadi.

Ya,Allah...ampunilah aku dan murid-murid aku. Jauhilah kami dari segala maksiat yang membuatMu murka terhadap kami. 

Selasa, 10 Julai 2012

Senamrobik 1M 1S anjuran KPM

Tahun ini Unit Bahagian Sukan, Kementerian Pelajaran Malaysia menganjurkan program 1Murid 1Sukan ( 1M 1S ). Program ini wajib dijalankan oleh semua sekolah-sekolah rendah dan menengah seluruh Malaysia pada 10 Julai 2012.

Video pergerakan senamrobik 1 Murid 1 Sukan

Di sini aku kongsikan sedikit rakaman gambar sepanjang aktivti senamrobik di peringkat sekolah aku. Jom, kita saksikan.

Setiausaha Sukan sedang memberi taklimat sebelum
senamrobik dijalankan

Instruktor yang terdiri daripada guru-guru perempuan. Patut dibanggakan dan aku tumpang bangga
dengan kebolehan rakan-rakan aku. Tahniah !

Sekitar aktiviti pergerakan semasa senamrobik dijalankan

Murid-murid PRA turut serta

Semangat awal murid-murid PRA

Sebilangan guru-guru lelaki mengambil tempat di kawasan belakang barisan murid.
Macam-macam gaya ada...

Ini pula Big Bro ( guru disiplin ) yang waktu ini disiplin bentuk
santai. Hey!

Aku mengambil tempat bersama murid-murid. Yang penting aku enjoy
bersama mereka

Sebilangan guru perempuan. Walaupun letih, semangat untuk meneruskan senam tetap ada.
Tahniah !

Sabtu, 7 Julai 2012

Sukan Siri 2

Aku cuba kongsikan rakaman majlis kejohanan sekolah aku. selebihnya aku akan kongsikan dilain masa. Buat pengetahuan kalian, setiap kawad kaki ini mempunyai formasi yang tersendiri di hadapan perasmi :)

Rumah Jengking

Rumah Helang

Rumah Jerung

Rumah Harimau
Rumah Tebuan
Rumah Seladang

Jerung lagi

Maskot Tebuan

Pasukan Pengakap 

Pasukan PBSM

Tunas Puteri


Tunas Kadet Remaja Sekolah

Puteri Islam

Silat



Khamis, 5 Julai 2012

Sukan Yang Bersejarah

Sukan yang dinanti akhirnya sampai juga. Raptai sukan yang diadakan pada hari semalam cukup buat kami seram sejuk. Mana tidaknya, belum sempat separuh drp aktiviti yang dirancangkan, hujan lebat turun membasahi bumi. Raptai terpaksa ditengguhkan hingga hujan berhenti.




Sukan pada tahun ini dirasmikan oleh En. Tuah Bin Kamisan, Penyelia Kanan Sukan PPD Pasir Gudang. Alhamdulillah acara perbarisan setiap unit uniform dan rumah pasukan berjalan lancar. Namun apakan daya, kita merancang Tuhan yang menentukan segalanya...


Hujan lebat beserta guruh petir turun tanpa diduga. Aku yang ketika itu menjadi hakim acara balapan mula rasa panik. Juruacara tetap mengumumkan acara yang perlu diteruskan. Akhirnya semua hakim mengangkat bendera merah dan beredar.



waktu ni murid-murid mula berkeliaran mencari tempat berteduh yang selesa

Semua murid diarah masuk ke khemah masing2 walaupun agak padat. Aku seakan terpinga2 melihat kejadian tersebut maklumlah murid sekolah aku jumlahnya hampir 2000 orang. Kasihan aku lihatkan mereka berpusu2 dan berdiri ketakutan di bawah khemah.




Setelah hujan agak reda sedikit, mereka diarahkan berlari ke bangunan kelas. Keadaan semua murid sudah tidak dapat dikawal lagi. Masing-masing basah kuyup. Memang kasihan. Inilah pengalaman pertama aku menyaksikan peristiwa seperti ini setelah hampir 13 tahun aku berkhidmat.




Beginilah keadaan sebenar hari sukan sekolah aku tahun ini


Dalam hujan, murid-murid membantu guru mengangkat kerusi dari astaka

Keadaan padang kami semasa hari sukan. Bagaikan bendang !

Akhirnya, sukan tahunan yang ke-11 sekolah aku ditunda pada keesokkan hari. Ibubapa yang hadir untuk menyaksikan temasya sukan dibenarkan membawa anak-anak pulang bersama.

Catatan sejarah : Sukan Siri 2