Jiwang Corner :)

Sabtu, 31 Disember 2011

Kaji Semula Tempoh Cuti Persekolahan

Apa pendapat rakan-rakan guru bila baca surat ini ?



CUTI sekolah memang menyeronokkan tetapi kepada golongan yang kurang mampu agak membebankan. Saya rasa cuti akhir tahun sejak beberapa tahun ini agak terlalu lama berbanding sebelumnya. Cuti untuk 2012 akan bermula 10 November 2012 dan berakhir 31 Disember 2012. Ini bermakna cuti lebih dari 1 1/2 bulan. 


Saya lebih suka kalau anak saya pergi ke sekolah setiap hari bukan saja belajar tetapi dapatlah mereka bertemu dengan rakan serta guru.Selain cuti akhir tahun terdapat juga cuti penggal iaitu setiap tiga bulan. Juga akan ada cuti selama 1 hingga2 minggu termasuk cuti peristiwa atau perayaan.

Cuti perayaan biasanya pihak sekolah akan dipanjangkan dan akan diganti pada Sabtu dan biasanya sekolah ganti pada Sabtu hanya diisi dengan aktiviti padang atau persembahan di dewan saja. 


Bagi ibu bapa yang mampu cuti yang panjang ini akan diisi dengan makan angin, tetapi bagi yang tidak mampu anak-anak terpaksa duduk di rumah dan menonton televisyen atau bermain video. Lagipun zaman sekarang ini sudah jarang sangat orang menghantar anak balik ke kampung sebab anak-anak akan bosan duduk di kampung kerana tiada kemudahan seperti di bandar.

Oleh kerana ibu bapa terpaksa bekerja anak-anak pula ditinggalkan bersendirian di rumah. Apa yang saya nampak, kebanyakan cuti sekolah ini adalah medan untuk anak-anak melepak, merayau dan berpeleseran di kawasan kedai, taman dan kafe internet (bagi yang tiada kemudahan internet di rumah). Ini akan menggalakkan gejala sosial dalam kalangan kanak-kanak kerana ibu bapa tidak akan dapat memantau anak mereka setiap masa kerana bekerja. 

Saya berharap sangat sekiranya pihak kementerian pelajaran dapat meneliti serta membuat kajian mengenai tempoh cuti persekolahan yang terlalu banyak setiap tahun dan sangat lama itu. 

UTAMAKAN PELAJARAN, Kuala Lumpur. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan