Jiwang Corner :)

Isnin, 19 Disember 2011

Guru Sambut Baik Pemansuhan

Warga guru di negara ini lega dan menyambut baik sambil mengalu-alukan keputusan kerajaan tidak meneruskan projek perintis di empat negeri yang mewajibkan guru bekerja sembilan jam sehari bermula Januari pada sesi persekolahan 2012.

Yang Dipertua Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Ahmad Malie berkata, pemansuhan cadangan itu amat wajar kerana ia tidak relevan dilaksanakan memandangkan tugas guru amat unik dan berbeza dengan para penjawat awam yang lain.

Katanya, KGBS sejak awal lagi tidak menerima serta menentang sekeras-kerasnya cadangan untuk melaksanakan masa bertugas guru selama sembilan jam yang dianggap tidak sesuai dilaksanakan di negara ini.

"Guru kerap kali ditugaskan membawa murid-murid terlibat dengan aktiviti di luar bilik darjah di samping tugasan menyemak buku latihan murid di rumah atau pada waktu malam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa projek perintis yang mewajibkan guru bekerja sembilan jam sehari itu dibatalkan.

Langkah itu menurut Muhyiddin, adalah bertujuan untuk mengelak salah sangka dan kekeliruan di kalangan masyarakat dan guru sendiri terhadap pelaksanaan program tersebut.

Katanya, ia tidak perlu perlu diteruskan jika guru sendiri tidak memahami kehendak sebenar program tersebut yang bertujuan memperkasakan perkhidmatan guru di negara ini.

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat ( KGMMB), Mohamad Sabri Mohd Arsad menyifatkan tindakan tersebut sangat wajar kerana Kementerian Pelajaran belum menyediakan prasarana lengkap bagi tujuan tambahan kerja wajib sembilan jam.

Beliau berpendapat Kementerian Pelajaran Malaysia juga perlu menyediakan pembantu guru untuk menjalankan tugas-tugas perkeranian, pusat sumber, data serta pentaksiran dan sebagainya.

"Pada masa sama kerajaan perlu mengambil kira pelbagai aspek sokongan seperti tempat persalinan yang sesuai kepada guru terutama guru perempuan, jika tidak tandas akan menjadi pilihan terakhir.

"Bagi sekolah dua sesi pula, pihak kementerian perlu memikirkan kemudahan tempat letak kereta untuk tidak menimbulkan masalah kerana masing-masing sibuk mengejar masa," katanya.

Mohamad Sabri juga berharap supaya pembekalan perabot seperti kerusi, meja, dan almari untuk keperluan seorang guru sahaja tidak mahu berkongsi yang menyukarkan pengurusan.


Tegasnya, kemudahan penghawa dingin perlu disediakan disekolah kerana kebanyakannya tidak disediakan secara menyeluruh. Ini untuk keselesaan guru menjalankan tugas sehingga petang.

Seorang Guru Penolong Kanan SMK Jengka Pusat, Mohd Rozi Mat Sani,44, berpendapat warga guru sentiasa akur dengan sistem dan dasar pelajaran yang digubal pakar dalam bidang pendidikan.

"Pihak kementerian pastinya sudah membuat kajian mendalam berkaitan rasional sistem waktu bekerja sembilan jam mulai sesi persekolahan Januari 2012 dibatalkan," katanya.

Manakala Roslaily Alias, 30, pula memuji langkah proaktif Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia yang menarik balik projek rintis 5,000 guru di empat negeri bekerja sembilan jam mulai tahun hadapan."Walau bagaimanapun guru sentiasa akur berkhidmat dengan penuh jiwa raga selari dengan sumpah keramat untuk berbakti kepada anak bangsa supaya berdaya saing diperingkat global,'' katanya.

Utusan Malaysia Online: 19 Disember 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan