Jiwang Corner :)

Selasa, 23 September 2014

Nukilan Khas UPSR 2014

Dedikasi khas buat anak-anak didikku...
Tahun 6 (2014)

UPSR ( Udah Periksa Suruh Repeat ),
Tahun ini usaha kita diuji,
Masa kita tidak dihargai,
Pengorbanan kita dipandang sepi.

'Kebocoran' berlaku bukan salah kita,
Rasa hampa, pilu dan kecewa,
Apakan daya kena hadap juga,
Kertas diulang kena jawab semula.

30 September 2014,
9 Oktober 2014,
Tarikh keramat  pasti kita ingat,
Tiga subjek jadikan kita penat,
Mengingat formula 'si cerdik' jadi tenat,
Si pandai jadi meluat.

Anak-anakku,
Perjuangan kita tak pernah henti,
Usah gentar biarpun rasa benci,
Titian kejayaan perlu dilalui,
Ingatlah mereka yang kita sayangi.

Ayah, ibu dan cikgu-cikgu,
Ayuh sepakat kita bersatu,
Matlamat kita hanyalah satu,
Pencapaian dihulur pasti maju.

Isnin, 22 September 2014

KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA BERKAITAN PEMBATALAN UJIAN MATA PELAJARAN MATHEMATICS & BAHASA TAMIL UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH (UPSR) TAHUN 2014



KENYATAAN AKHBAR

KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

BERKAITAN PEMBATALAN UJIAN MATA PELAJARAN

MATHEMATICS & BAHASA TAMIL

UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH (UPSR) TAHUN 2014

1. Pada tarikh 21.9.2014 Lembaga Peperiksaan (LP) telah mengesahkan bahawa kertas ujian Mathematics 015/1 (SK), 025/1 (SJKC), 035/1 (SJKT), Bahasa Tamil 036, 037 bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 telah didapati bocor.

2. Sehubungan dengan ini, pihak LP memaklumkan bahawa kertas ujian Mathematics 015/1, 025/1, 035/1, Bahasa Tamil 036, 037 bagi UPSR tahun 2014 yang berlangsung pada 10 September 2014 adalah DIBATALKAN. Tarikh baharu bagi ujian Mathematics 015/1, 025/1, 035/1, Bahasa Tamil 036, 037 adalah pada 9 Oktober 2014 setelah mengambilkira cuti umum Hari Raya Aidil Adha, dan aspek logistik (percetakan dan pengedaran). Selain itu, KPM menegaskan bahawa peperiksaan ini dilaksanakan semula bagi memastikan pengendalian peperiksaan awam mematuhi Prosedur Operasi Standard yang telah ditetapkan di samping menjamin integriti dan kredibiliti keputusan UPSR tersebut.

3. Saya amat memahami perasaan, keresahan dan kesulitan yang dihadapi oleh semua. Selaku Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia saya memohon maaf kepada murid-murid, ibu bapa, guru-guru dan semua yang terlibat ekoran insiden ini. Saya telahpun mengarahkan semua Guru Besar dan guru untuk mengenalpasti dan memberi khidmat kaunseling kepada murid-murid yang memerlukan.

4. Dengan itu, saya telah pun mengambil alih pengawasan seluruh proses pengendalian peperiksaan awam yang dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan sejak insiden kebocoran pertama dilaporkan pada 12 September 2014.

5. Sebagai langkah serta-merta, saya sedang mengambil tindakan untuk membuat pertukaran pegawai-pegawai di Lembaga Peperiksaan bagi memantapkan lagi pengurusan dan pengendalian peperiksaan awam. Di samping itu, saya juga mengambil langkah mengetatkan lagi semua aspek keselamatan dalam pengurusan dan pengendalian kertas peperiksaan dari peringkat Lembaga Peperiksaan sehingga ke pusat peperiksaan.

6. Saya memberi jaminan dan komitmen bahawa insiden kebocoran kertas-kertas peperiksaan awam tidak akan berulang.

7. Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dan penyebaran berita palsu, saya menyeru pihak awam untuk melayari laman web LP www.moe.gov.my/lp untuk maklumat rasmi dan terkini berhubung perkara ini. Pihak awam juga boleh menghubungi HOTLINE UPSR 2014 LP di talian 03-88893601 @ 3551 @ 3809 @ 3520 @ 3030.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

22 September 2014

Ahad, 21 September 2014

UPSR : Kertas 1 Matematik dan Bahasa Tamil Didakwa Bocor

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan sedang menyiasat dakwaan kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Matematik dan Bahasa Tamil selepas laporan polis dibuat mengenai perkara itu.
Perkara ini disahkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanatan, yang berkata Menteri Pendidikan akan menyetuai penyiasatan di peringkat kementerian.
"Ia juga telah menjadi satu perkara polis dan kami percaya mereka yang bertanggungjawab akan didakwa sepenuhnya di sisi undang-undang," katanya kepada Astro AWANI.
Petang tadi, The Malaysian Insider melaporkan bahawa Lembaga Peperiksaan telah membuat laporan polis mengenai kebocoran itu.
Mengungkap kata-kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa, laporan itu akan disiasat oleh pasukan sama yang sedang mengendalikan kes UPSR bocor bagi kertas Sains dan Bahasa Inggeris yang dilaporkan sebelum ini.
Ekoran kebocoran kertas peperiksaan Sains dan Bahasa Inggeris minggu lepas, Jawatankuasa Bebas Mengkaji Pengurusan Peperiksaan Awam ditubuhkan dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dilantik untuk mengetuainya.
Berikutan kes itu, kerajaan telah menggantung tugas Pengarah LPM Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu Dr Wan Ilias Wan Salleh sehingga siasatan mengenainya selesai.
Susulan laporan polis berhubung kebocoran kertas peperiksaan subjek Sains dan Bahasa Inggeris UPSR, polis menahan 14 orang bagi membantu siasatan.
  
Kebocoran kertas soalan itu menjejaskan hampir 470,000 murid Tahun Enam yang terpaksa mengambil semula peperiksaan bagi kedua-dua subjek yang dijadualkan pada 30 September 2014.

Jumaat, 19 September 2014

Langkawi Trip Siri 2 ( Padang Besar )

Pagi ini berpagi di Kangar. Hujan turun membasahi bumi. Udara segar dapat dirasai. Sarapan kami disediakan oleh isteri Encik Ahmad. Nasi lemak yang menyelerakan beserta sambal ikan bilis, telur rebus, ikan bilis goreng, kacang tanah, dan sambal sardin tidak kami pandang sahaja. Syukur dengan rezeki pagi ini.
Selesai makan, kami ke SK Behor Empiang semula untuk melihat aktiviti murid di sana. Khabarnya ada aktiviti yang akan disertai oleh murid-murid aku di sana. Tabik betullah kat PK HEM sekolah tersebut sebab sempat sediakan aktiviti untuk murid aku. Selesai aktiviti, kami meneruskan perjalanan ke Padang Besar, Sempadan Thailand. Ini adalah kali kedua aku menjejakkan kaki ke sana. So, adalah sedikit pengalaman aku untuk menuju ke kedai-kedai yang ada di situ.


Langkah membelek pakaian bermula. Daripada pakaian, kami beralih pula kepada selendang. Akhirnya aku sangkut juga dengan dua helai selendang gabungan daripada tiga cantuman kain chiffon. Dapatlah kami membeli dengan harga RM15 sehelai. Okle tu, sangat berbaloi dan mampu dimiliki. Seterusnya kami singgah ke gerai aneka biskut, jeruk, kekacang dan manisan. Banyak juga yang aku beli. Adoyai, barang-barang tu dah macam takde kat Johor pulak! Hahaha...


Pemerhatian terhadap barang diteruskan ke kompleks pula. Aku cuba mencari T-shirt untuk diri sendiri. Melangkah dari kedai ke kedai, menjadikan kaki semakin lenguh. Namun, pakaian masih tidak sesuai untuk dibeli. Ada juga peniaga kedai yang sombong. Melayan aku bagai endah tak endah. Huh, ko ingat aku takde duit nak bayar ke? Geram pula aku dibuatnya.

Lastly, aku temui sebuah kedai yang peniaganya amat berbudi bahasa. Kebetulan ada pula TShirt yang aku berkenan. So, aku pun tangkap 2 helai Tshirt untuk diri sendiri dan 2 helai lagi untuk abah dan mak muda. Harga yang ditawarkan pula agak murah berbanding dengan harga di tingkat atas. Sahabat aku turut membeli sehelai TShirt di kedai yang sama. Alhamdulillah, berkat senyuman dan baik bahasa, rezekinya bertambah. Macam tu lah jika jadi peniaga, bukannya berlagak sombong ! Hah, kan aku dah emo! Hehehe....

Ice Cream Yogurt Padang Besar RM 4 sahaja

Sebelum berangkat ke Kuala Perlis, aku sempat membeli aiskrim yogurt dari gerai berhampiran. Harganya hanya RM4 sebekas. Murahlah jika dibandingkan dengan yogurt yang dijual di Tutti Frutti mahupun Snogurt. Rasanya turut memenuhi tekak aku. Sedap!

Khamis, 18 September 2014

Langkawi Trip Siri 1 ( Kangar )

Seawal jam 5 pagi aku telah bangkit dari tidur. Keletihan dalam kerja-kerja pengurusan UPSR masih lagi dirasai. Aku gagahkan juga mengemas barang dan pakaian untuk  percutian ke Langkawi. Bas akan bertolak pada jam 9 pagi nanti. Actually aku tidaklah begitu teruja nak ke Langkawi kali ini kerana ini adalah kali ke-4 aku ke sana.

Selepas meletakkan kereta di ruang parkir sekolah, aku bergegas naik ke atas bas. Rupa-rupanya aku menjadi orang yang terakhir. Semua telah menunggu aku. Seramai 11 orang guru dan 19 orang murid yang mengikuti rombongan kali ini. Dengan bayaran RM350, aku cuba memenuhi pelawaan ketua rombongan agar dapat memenuhkan ruang tempat duduk bas. Khabarnya ramai murid yang menarik diri.

Perjalanan bas agak lancar ekoran cuaca yang baik. Kami sampai di Kangar kira-kira jam 11.50 malam. Murid-murid ditumpangkan di SK  Behor Empiang, Kangar atas ehsan PK Koko sekolah kami sebelum ini. PK Koko kami sebelum ini sudah mengajar kira-kira 20 tahun di Johor Bahru dan kini telah berpindah ke Kangar, negeri kelahirannya sejak 2010 gang lalu.

Aku and the gang menumpang tidur di rumah exPKKoko aku tu, Encik Ahmad yang kediamannya tidak jauh dari sekolah tersebut. Alhamdulillah, ada ruang yang selesa untuk kami yang kebetulan anak-anaknya tiada di rumah. Masing-masing mengikuti rombongan sekolah ke Universal Studio Singapore.

Khamis, 11 September 2014

PENJELASAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA BERKAITAN PENANGGUHAN UJIAN MATA PELAJARAN SCIENCE & BAHASA INGGERIS UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH (UPSR) TAHUN 2014

1. Pada tarikh 10.9.2014 pihak Lembaga Peperiksaan (LP) telah membuat kenyataan media berkaitan Peperiksaan Science 018 (SK), 028 (SJKC), 038 (SJKT) bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang dijadualkan pada 11 September 2014 telah didapati bocor.
2. Ekoran kebocoran tersebut, pihak LP telah menangguhkan peperiksaan kertas tersebut dan akan diadakan pada 30 September 2014.
3. Pada 11.9.2014, pihak LP juga telah menerima laporan bahawa Kertas Peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2, bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang berlangsung pada 11 September 2014 telah juga dilaporkan bocor. LP telah menjalankan siasatan dan mendapati perkara ini adalah benar. Kertas Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 adalah untuk Sekolah Kebangsaan sahaja dan tidak ada kesan terhadap kertas Bahasa Inggeris yang diduduki di SJKC dan SJKT.
4. Sehubungan dengan ini, pihak LP memaklumkan bahawa kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2 bagi UPSR tahun 2014 yang berlangsung pada 11 September 2014 adalah DIBATALKAN. Tarikh baharu bagi peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2 adalah pada 30 September 2014 bersekali dengan Science 018, 028 dan 038.
5. Pihak LP menyedari bahawa tindakan selepas keputusan di atas perlu dilaksanakan secepat mungkin. Tarikh 30 September 2014 adalah tarikh yang paling sesuai bagi membolehkan pihak LP melaksanakannya kerana isu logistic (percetakan dan pengedaran) dan teknikal, termasuk keselamatan soalan dan integriti. Proses ini melibatkan seramai 473,175 calon, 51,438 petugas, 8,299 pusat, dan 382 bilik kebal di seluruh Negara.
6. Dengan perkembangan terbaharu ini, KPM akan membuat siasatan dalaman atas semua dakwaan kebocoran kertas peperiksaan. KPM memandang serius insiden ini dan akan mengambil tindakan tegas untuk memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi. KPM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa (PDRM, SKMM) untuk mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab dan seterusnya membawa mereka ke muka pengadilan, termasuk kemungkinan pendakwaan jenayah di mahkamah terhadap mereka yang didapati bersalah. KPM berharap tindakan tegas dan semaksimum mungkin dikenakan kepada pengkhianat tersebut.
7. KPM amat berasa kesal dengan perbuatan tidak amanah dan tidak berintegriti yang dilakukan oleh pengkhianat ini. Sehubungan itu, laporan polis telah dibuat dan berharap satu siasatan dan tindakan keras dapat kita ambil tanpa mengira siapa pun yang bertanggungjawab dalam hal kebocoran ini.
8. Selain daripada kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dan Science 018, 028 dan 038 sepertimana yang disebut di atas, TIADA PEMBATALAN untuk mana-mana kertas peperiksaan UPSR yang lain setakat ini.
9. Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dan penyebaran beritu palsu, pihak LP menyeru pihak awam untuk melayari laman web LP www.moe.gov.my/lp untuk maklumat rasmi dan terkini berhubung perkara ini. Pihak awam juga boleh hubungi HOTLINE UPSR 2014 LP di talian 03-88893601 @ 3551 @ 3809 @ 3520 @ 3030.
10. KPM akan menubuhkan satu Jawatankuasa Bebas bagi meneliti semula Prosedur Operasi Standard (SOP), pengendalian dan pengurusan peperiksaan awam. Ahli-ahlinya akan terdiri daripada pakar pelbagai bidang antaranya teknologi maklumat, keselamatan, dan logistik.
11. Kementerian Pendidikan Malaysia ingin meminta maaf kepada mereka yang mengalami sebarang kesulitan akibat insiden ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia
12 September 2014

Rabu, 3 September 2014

Kemas Bilik Peperiksaan UPSR

Jam 11.00 pagi semua murid tahun 5 dikumpulkan sementara tahun 4 dicutikan. Aku telah pun membahagikan tugas mengikut senarai AJK yang telah ditaklimatkan. So, masing-masing menjalankan tugas mereka. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar demi keselesaan dan memenuhi peraturan peperiksaan.

Simpati juga aku tengok cikgu-cikgu lelaki dan murid-murid lelaki yang berhempas pulas mengangkat meja dan kerusi. Almari dan rak turut diubah agar kedudukan calon mengikut pelan yang telah ditetapkan. AJK minuman pula, membancuh air minuman untuk setiap kerahan tenaga yang digunakan. Syukur, alhamdulillah:)