Jiwang Corner :)

Sabtu, 29 September 2012

Ringkasan Bajet 2013



1. Pelajar dari tahun 1 sehingga tingkatan 5 akan menerima bantuan persekolahan RM100.

2. Pelajar universiti dan tingkatan 1 akan menerima Baucer Buku 1 Malaysia bernilai RM250.

3. Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 diteruskan untuk isi rumah berpendapatan bawah RM3000 sebulan. BR1M juga diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan kurang RM2000 sebulan.

4. Sebanyak 70 buah klinik 1 Malaysia lagi akan dibina di seluruh negara.

5. Sesiapa yang membayar balik pinjaman PTPTN sepenuhnya dalam tempoh setahun mulai hari ini akan diberikan diskaun sebanyak 20%.

6. Perlepasan cukai untuk anak2 yang belajar dari RM4000-6000.

7. Bonus satu bulan setengah gaji untuk penjawat awam.

8. Bonus RM500 untuk pesara kerajaan.

9. Belia dengan pendapatan bulanan RM3000 ke bawah akan menerima rebat RM200 untuk pembelian telefon pintar 3G.

10. 100 Pusat Internet 1 Malaysia akan diwujudkan di kawasan yang sesuai.

11. Pencen minimum pesara kerajaan yang berkhidmat 25 tahun ke atas dinaikkan kepada RM820 sebulan.

12. RM50 juta untuk mencari emas Olimpik di Rio.

13. Diskaun 50% tambang KTMB bagi semua rakyat yang berpendapatan RM3000 ke bawah.

14. Semua pekerja berumur 45-55 tahun akan diberikan pemeriksaan kesihatan percuma di klinik2 yang akan diluluskan Perkeso.

15. Kerajaan akan bina 21000 buah rumah mesra rakyat.

16. Kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk memulihkan 30 projek rumah terbengkalai.

17. Pencarum KWSP beragama Islam dibenarkan menggunakan simpanan dari akaun 2 untuk mencukupkan simpanan Tabung Haji tidak melebihi RM3000.

18. 57 buah Kedai Rakyat 1 Malaysia ditambah di Sabah dan Sarawak.

19. Perluasan 5 RTC dan mini RTC di seluruh negara.






Khamis, 27 September 2012

Aktiviti Selepas UPSR ( Siri 2 : 2012 )

Hari ini aku cuba kongsikan pula aktiviti yang kedua bagi murid tahun 6. Secara jujurnya aku tidak dapat menyaksikan aktiviti ini dari awal lagi memandangkan pada waktu itu aku ajarkan kelas tahun 5. Setibanya aku di ruang kantin, mereka sedang berkemas. Argh...tak sempat aku nak tengok cara mereka mendeko kek span itu. Huhuhu.......

Apapun aku masih sempat melihat hasil kerja mereka. Sebenarnya, peserta aktiviti mendeko kek ini adalah dari kalangan perempuan. Murid lelaki pula mencanting batik. Yang itu pun aku tak sempat nak rakam gambar mereka. 

Jadi, di sini aku hanya dapat kongsikan rakaman gambar-gambar kek yang telah di deko oleh murid perempuan tahun 6 sekolah aku. Sangat kreatif !!!







Rabu, 26 September 2012

Permohonan Kemasukan Tingkatan 4 MRSM 2013

Sukacita dimaklumkan Majlis Amanah Rakyat menerusi laman web rasmi http://www.mara.gov.my telah membuka tawaran untuk calon memohon kemasukan tingkatan 4 MRSM bagi tahun 2013 semenanjung Malaysia secara atas talian (online) mulai 1 Oktober 2012


permohonan mrsm tingkatan 4 2013 permohonan kemasukan tingkatan 4 mrsm 2013


Syarat Memohon

Pelajar Bumiputera tingkatan tiga di Semenanjung Malaysia dan pelajar bukan Bumiputera (tingkatan tiga yang sedang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan) di Semenanjung Malaysia

Pelajar yang sedang menuntut di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kementerian Pelajaran tidak dibenarkan memohon dan tidak akan ditawarkan ke MRSM

Pemohon hendaklah lulus Peperiksaan Percubaan PMR 2012 di Sekolah Menengah Kebangsaan dengan memperoleh sekurang-kurangnya lulus dalam subjek Matematik dan subjek Sains

Lagi perkara berkaitan permohonan,sila klik pada tajuk iklan kemasukan di bawah






Sabtu, 22 September 2012

Permohonan ke Kolej Vokasional dan SM Teknik 2013

Bagi pelajar PMR tahun ini, peluang terbuka kepada yang berminat untuk belajar ke Kolej Vokasional dan SM Teknik 2013. 


Bahagian Pendidikan Teknik Vokasional Kementerian Pelajaran menyediakan 4 aliran utama :

Pendidikan Teknikal
Pendidikan Vokasional
Latihan Kemahiran
Pendidikan Asas Vokasional

Pendidikan Teknikal

Bidang teknikal dikhususkan kepada pelajar yang cemerlang dalam akademik pada peringkat PMR. Objektif bidang teknikal adalah untuk membantu melahirkan tenaga profesional dalam bidang kejuruteraan dan bukan kejuruteraan (pertanian dan perdagangan). Setelah tamat pengajian di SMT, pelajar berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di peringkat diploma di IPTA (universiti, politeknik, kolej komuniti), kolej matrikulasi teknikal, kolej matrikulasi umum, atau Tingkatan 6.

Aliran teknikal menyediakan 5 kumpulan pakej kursus iaitu;

Kejuruteraan Mekanikal
Kejuruteraan Awam
Kejuruteraan Elektrik
Perdagangan
Sains Pertanian

Pendidikan Vokasional

Pendidikan vokasional memberikan peluang kepada pelajar yang berpencapaian baik dan sederhana dalam akademik dan berminat kepada pembelajaran bercorak vocational (berkaitan pekerjaan). Isi kandungan bidang vokasional mempunyai komponen teori dan praktikal yang seimbang. Objektif aliran ini adalah untuk membantu melahirkan separa profesional (juruteknik/pembantu teknik) dalam bidang kejuruteraan dan bukan kejuruteraan. Setelah tamat pengajian, pelajar berpeluang ke IPTA, IPTS, dan institut latihan kemahiran awam dan swasta, atau terus ke alam pekerjaan.

Pendidikan vokasional menyediakan 7 kumpulan kursus iaitu:

Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik
Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan
Teknologi Kejuruteraan Awam
Hospitaliti
Perniagaan
Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Pertanian

Latihan Kemahiran

Latihan kemahiran dikhususkan kepada murid pencapaian rendah pada peringkat PMR dan sangat cenderung kepada pembelajaran secara hands-on (amali). Isi kandungan kursus-kursus bidang kemahiran ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia. Murid yang tamat dengan jayanya mengikut peraturan yang ditetapkan oleh JPK akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf oleh industri.

Murid akan dilatih menjadi tenaga kerja mahir untuk bekerja di industri atau membuka perniagaan sendiri apabila tamat pengajian. Disamping itu juga, murid boleh melanjutkan latihan kemahiran pada peringkat yang lebih tinggi di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), kolej komuniti, dan pelbagai institut latihan kemahiran swasta.

Mulai tahun 2010, BPTV memperkenalkan program traineeship kepada murid aliran ini jika mereka berminat dan mendapat persetujuan ibubapa. Program ini membolehkan murid mengikuti pembelajaran di sekolah selama 3 hari, dan 2 hari di tempat kerja yang sesuai dengan kursus yang diikuti murid. Tempat kerja ditentukan dengan persetujuan sekolah dan ibubapa dengan kerjasama industri. Program traineeship ini memberi peluang murid mendapat pendedahan awal kepada alam pekerjaan semasa di bangku sekolah lagi.

Latihan kemahiran menyediakan 18 pakej kursus iaitu:

Pemesin Am
Jurukimpal / Juruteknik Kimpalan
Pelukis Pelan Kejuruteraan Mekanikal
Juruteknik Automotif
Mekanik Kenderaan Motor / Mekanik Automotif
Mekanik Penyejukbekuan & Penyamanan Udara
Furniture Maker
Jurubina Bangunan
Jurubina Bangunan Berasaskan Kayu
Jurupaip
Juruteknik Elektrik
Juruteknik Elektronik Industri – Peralatan
Demi Chef
Pembuat dan Mereka Pakaian Wanita
Pendandan Rambut
Jurukecantikan
Juruteknik Akuakultur
Pekerja Ladang Pertanian

Pendidikan Asas Vokasional

Kursus Rintis Program Pendidikan Asas Vokasional pula dijalankan di 15 buah Sekolah Menengah Kebangsaan dan menawarkan 11 kursus.

Kursus yang ditawarkan adalah

Pakaian dan Jahitan
Menservis Motosikal
Membuat Perabot
Automotif
Tanaman
Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara
Penyediaan dan Penyajian Makanan
Akuakultur
Pendawaian Elektrik
Hiasan Dalaman
Visual dan Animasi

Syarat Umum Permohonan

Pemohon mestilah warganegara Malaysia.

Pemohon hendaklah:

Berada di Tingkatan 3 dan akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Tahun 2012.
Telah menduduki peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Tahun 2012.

Kesihatan diri pemohon:

Mestilah sihat tubuh badan dan sesuai dari segi fizikal.
Bebas dari penyakit seperti masalah jantung, darah tinggi, kencing manis, sawan (epilepsy) dan lain-lain penyakit yang boleh membahayakan atau menghadkan pelajar daripada menjalankan kerja kursus dan kerja amali.
Pemohon kursus Kejuruteraan (Elektrikal, Mekanikal dan Awam) mestilah tidak rabun warna.

Syarat Khusus

Pendidikan Teknikal
 – Minimum B semua 8 mata pelajaran dalam peperiksaan PMR

Pendidikan Vokasional
- Kategori A – Mendapat sekurang-kurangnya Gred B pada peringkat PMR dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup.

- Kategori B – Mendapat sekurang-kurangnya Gred C pada peringkat PMR dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup.

- Kategori C – Mendapat sekurang-kurangnya Gred D pada peringkat PMR dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup.

Latihan Kemahiran – Pencapaian rendah dalam peperiksaan percubaan PMR

Permohonan

Permohonan ke SMT dan KV boleh dibuat dengan dua cara:

Secara online melalui laman web Kementerian Pelajaran di Sistem Permohonan Dalam Talian Ke Sekolah Menengah Teknik / Kolej Vokasional 2013 .

Secara manual dengan datang sendiri ke SMT atau KV yang berdekatan. Borang permohonan boleh diperolehi di situ.

Kemudahan asrama disediakan di hampir semua SMT dan KV kecuali KV Kuching dan SMK Sultan Abdul Samad. Walaupun begitu kemudahan asrama tertakluk kepada had yang ditetapkan bagi setiap sekolah.

Untuk maklumat lanjut, sila layari 

Jumaat, 21 September 2012

Aktiviti Selepas UPSR ( Siri 1 : 2012 )

Pagi tadi bermulanya program selepas UPSR bagi murid-murid tahun 6. Hari ini Panitia Matematik dan Panitia Pendidikan Seni berpeluang mengendalikan program masing-masing.

Panitia Matematik : Sandwich ( murid perempuan sahaja )
Panitia Pendidikan Seni : Membuat Wau ( murid lelaki sahaja )

Proses menghias sebelum dihidang 
Juri yang terdiri daripada chef-chef dirumah : PK 1, PK HEM dan Penyelaras Tahun 6
Di sini aku kongsikan beberapa rakaman gambar semasa program dijalankan. Bagi Panitia Matematik, aku diberi tugas untuk menjadi juruacara majlis. So, aku cuba jalankan ala-ala MasterChef gitu. Hehehe...



Juri sedang menilai
Antara hidangan yang menarik hati juri.
Mungkinkah hidangan ini jadi juara pertandingan ?


Mewarna wau mengikut kumpulan


Khamis, 20 September 2012

Pertandingan Robotik Kebangsaan (24 - 26 September 2012)


Permohonan Ke Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kawalan

Kepada ibu bapa yang hendak membuat permohonan, terutamanya untuk anak yang mengambil     UPSR 2012. 


Harap link ini http://parents.sekolahmalaysia.com/ 
dapat memenuhi carian anda. Namun, ada pengguna yang mengeluh mengadu terpaksa log in berkali-kali. Perkara ini berlaku kemungkinan disebabkan oleh kesesakan trafik. Harap dapat bersabar. Teruskan usaha anda. Semoga berjaya !!!

Rabu, 19 September 2012

Johan Dikir Barat Bahasa Arab Daerah Pasir Gudang

Pada 20hb Julai yang lalu, sekolah telah menghantar pasukan Dikir Barat Bahasa Arab ke pertandingan peringkat Zon Johor Jaya. Dengan berkat usaha yang gigih daripada ustazah-ustazah JQaf, pasukan ini telah berjaya menjadi Johan Zon.


Pada 18hb september yang lepas, pasukan ini telah mewakili zon Johor Jaya mara ke peringkat daerah Pasir Gudang. Sekali lagi, aku rakamkan ucapan tahniah kepada pasukan ini kerana bergelar Johan sekali lagi. Perjuangan mereka belum selesai di sini. Ini kerana mereka akan bertanding sekali lagi mewakili daerah Pasir Gudang ke peringkat negeri Johor pula.

Kalau tidak silap aku pertandingan peringkat Negeri Johor akan diadakan di SK Taman Damansara Aliff, Johor Bharu, Johor pada 29 September 2012 nanti.

Latihan tetap di jalankan di sekolah agar persembahan kekal mantap. Walaupun aku tidak faham dengan apa yang mereka dikirkan, namun aku bangga dengan mereka. Syabas dan tahniah buat ustazah-ustazah mereka.

Selamat berjuang, anak-anak. Cikgu yakin kalian akan membawa kemenangan. InsyaAllah :)


Isnin, 17 September 2012

Netbook 1Malaysia: Rosak sebelum sempat digunakan

TEMERLOH – Entah di mana silapnya, berdozen Netbook 1Malaysia yang diedarkan kepada pelajar di daerah ini terpaksa dihantar ke kedai komputer untuk dibaiki atas pelbagai kerosakan.

Ada antara ibu bapa yang ditemui kecewa kerana hanya sempat menggunakan produk itu dalam tempoh seminggu, malah lebih teruk ada yang mendakwa langsung tidak boleh menggunakannya sejak diterima tiga bulan lalu.


Mohd Pauzi Abdul Ghani, 32, dari Bandar Bera, berkata, dia sedikit terkilan apabila dimaklumkan anaknya, netbook berkenaan langsung tidak boleh digunakan.

Menurutnya, netbook yang diterima anaknya dalam satu majlis pengagihan Jun lalu itu cuba dihidupkan, namun langsung tidak boleh berfungsi.

“Saya sedikit terkilan kerana sudah membeli modem untuk mengakses internet tetapi netbook pula rosak, saya hantar baiki pada 19 Jun lalu dan hari ini baru siap dibaiki,” katanya sewaktu mengambil semula netbooknya di salah sebuah kedai komputer, di sini.

Mohd Pauzi berkata, sebagai bapa penerima, dia tidak menafikan sumbangan kerajaan dalam membantu pelajaran anaknya, tetapi sedikit terkilan apabila produk yang dibekalkan tidak berkualiti.

“Saya takut benda-benda macam ini dimanipulasikan pihak tertentu, mungkin pembekal sendiri tidak mengetahui produk mereka tidak berkualiti, tambahan pula ia diedarkan dalam kuantiti yang banyak dari kilang," katanya.

Mohd Pauzi berkata, dia dimaklumkan memang ramai ibu bapa yang mengeluh mengenai produk itu kerana ada yang baru pakai seminggu sudah rosak.

Sementara itu seorang lagi bapa, Wahid Ahmad Salleh berkata, anaknya juga langsung tidak sempat menggunakan netbook tersebut.

“Anak saya punya pun sama, dapat dalam keadaan sudah rosak, terpaksa hantar ke kedai untuk dibaiki,” katanya.

Sinar Harian yang melakukan tinjauan selama setengah jam semalam turut mendapati dalam tempoh itu tiga pelanggan datang ke kedai semuanya berkaitan netbook yang rosak.

Sinar Harian dimaklumkan kebanyakan ibu bapa menghantar netbook yang rosak pada Jun lalu iaitu selepas menerima pengagihan secara berkelompok di salah sebuah sekolah, di sini.

Menurut pekedai, ada juga ibu bapa yang marahkan mereka sedangkan mereka langsung tidak mengetahui hujung pangkal produk itu.

“Kami hanya bantu orang ramai, kebanyakan netbook yang dihantar mengalami masalah hardisk, motherboard dan screen rosak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memastikan produk dibekalkan itu berkualiti supaya tidak menyusahkan orang ramai.

“Kita akan usahakan penyelesaian isu ini kerana kita tidak mahu bantuan yang diberikan kerajaan menjadi bebanan pula kepada ibu bapa apabila produk tidak berkualiti,” katanya.

* Tulisan ini sebahagian daripada laporan khas dibawa oleh Sinar Harian edisi Isnin, 17 September 2012

Permohonan Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 bagi sesi persekolahan 2013 ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) serta Sekolah Kawalan, SMKA, KAA dan KRK di bawah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN)

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan mula membuka permohonan Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 bagi sesi persekolahan 2013 ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) serta Sekolah Kawalan, SMKA, KAA dan KRK di bawah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) bermula 15 September 2012. Permohonan akan dibuka kepada guru kelas dan ibubapa/ penjaga murid Tahun 6 dan Tingkatan 3 dan akan menggunakan data Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) sepenuhnya



maklumat lanjut sila layari http://www.moe.gov.my/

Ahad, 16 September 2012

Selamat Menyambut Hari Malaysia Yang Ke-49

selamat-hari-malaysia



Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan ke-6. Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.

Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Mulai tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti am di semua negeri di Malaysia.

Mencari Nilai Hari Malaysia


TANGGAL 16 September tahun ini, usia Malaysia sebenarnya baharu mencecah 46 tahun. Tarikh ini pada tahun 1963, Persekutuan Malaysia dirasmikan penubuhannya serta diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Perisytiharan dibuat di Stadium Merdeka disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30 ribu rakyat jelata.Penubuhan Persekutuan Malaysia ditentang hebat oleh Indonesia dan Filipina. Indonesia tidak senang dengan penubuhan Persekutuan Malaysia lantas, melancarkan konfrantasi ketenteraan di bawah slogan "Ganyang Malaysia" yang berlanjutan sehingga tahun 1966.

Filipina pula menuntut haknya ke atas Sabah atas hujahan perjanjian yang dimeterai antara Kesultanan Sulu dengan pihak British. Brunei yang turut termasuk dalam rancangan penubuhan Persekutuan Malaysia membatalkan penyertaannya setelah berdepan dengan pemberontakan besar-besaran di Brunei oleh Sheikh Azhari pada penghujung 1962.

Sekalipun begitu, akhirnya pada 9 Julai 1963, Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia dimeterai di London hanya setelah Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan menyatakan, lebih 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan kemerdekaan melalui penggabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu.

Tarikh perasmian pengisytiharan Persekutuan Malaysia telah ditangguhkan daripada 1 Jun 1963 ke 31 Ogos 1963 kerana menunggu Laporan Suruhanjaya Cobbold. Namun tarikh tersebut pula ditangguhkan setelah Indonesia dan Filipina emperhebatkan tentangan mereka terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia. Dan akhirnya 16 September 1963 menjadi hari secara rasminya Persekutuan Malaysia ditubuhkan.

Namun, Hari Malaysia dan sejarahnya ini akan hanyut ditelan zaman. Sekalipun tidak hilang, tetapi apalah nilai Hari Malaysia jika sejarahnya hanya tersimpan di arkib, perpustakaan dan memori generasi lama? Apakah generasi muda sedar akan kewujudan Hari Malaysia?

Jawapan yang ada mungkin ya dan mungkin tidak, kerana tiada kajian rasmi yang menunjukkan persepsi ini. Namun, cubalah kita bertanya-tanya dengan anak-anak kita, cucu-cucu kita atau tanya sahaja dengan belia remaja yang kita temui di pusat-pusat membeli belah, yang sedang meladeni diri di kaki-kaki jalan dan yang terperuk di rumah memaku matanya pada skrin TV atau komputer. Jawapan yang kita terima, mungkin boleh dijadikan sebagai gambaran persepsi di atas.

Tulisan ini gambaran persepsi yang diterima melalui jawapan-jawapan daripada belia remaja sekeliling penulis. Hasilnya, penulis kecewa dan gusar akan nasib Hari Malaysia dan sejarahnya di masa mendatang. Ya, ada yang sedar akan kewujudan Hari Malaysia, tetapi apakah nilaiannya pada mereka? Apatah lagi yang tidak sedar akan kewujudan Hari Malaysia. Ini merupakan satu fenomena tidak sihat dalam perkembangan diri generasi muda. Buta sejarah akan menjadikan mereka rapuh jati diri yang akan merendahkan semangat patriotik pada diri mereka.

Permasalahan ini tidak dapat hanya kita sandarkan penyelesaiannya melalui pengajaran dan pembelajaran subjek Sejarah dan Pendidikan Sivik di sekolah. Kesedaran tentang kewujudan Hari Malaysia tidak boleh hanya terkurung dalam kurikulum pendidikan formal di sekolah. Penghayatannya perlu dalam bentuk interpretasi dalam kehidupan realiti.

Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos saban tahun merupakan contoh terbaik kesedaran melalui kurikulum pendidikan sekolah dan penghayatan melalui interpretasi dalam kehidupan realiti. Kita belajar akan Hari Kemerdekaan di sekolah dan kita lihat betapa pentingnya tarikh tersebut melalui sambutan gilang-gemilang menyambut tarikh tersebut.

Nah, tentu sahaja memberi kesan yang membekas pada diri generasi muda untuk memahami bahawa Hari Kemerdekaan merupakan satu peristiwa penting dan sejarahnya akan terus hidup dalam diri mereka. Justeru, cadangan menaik taraf penghargaan terhadap Hari Malaysia merupakan satu cadangan yang praktikal dan signifikan demi memastikan Hari Malaysia dan sejarahnya akan terus wujud dan hidup dalam diri generasi muda.

Penarafan semula penghargaan terhadap Hari Malaysia boleh sahaja dilaksanakan melalui sambutan rasmi sama ada di peringkat negeri dan kebangsaan. Selain itu, hebahan melalui media cetak mahupun televisyen melalui pemaparan imbauan sejarah juga penting untuk menyebarkan kesedaran dan menanam penghayatan akan peristiwa penting pada tarikh tersebut. Bukan hanya setakat sebagai bahan bualan oleh hos rancangan televisyen atau tajuk rencana akhbar, Hari Malaysia perlu dijadikan sebagai tema rasmi dalam media cetak dan televisyen untuk tarikh 16 September tersebut.

NGO atau organisasi masyarakat setempat juga boleh memainkan peranan penting dalam menyebarkan kesedaran dan penghayatan Hari Malaysia di peringkat akar umbi masyarakat. Melalui penganjuran sambutan Hari Malaysia di peringkat kampung, kawasan perumahan atau dengan acara forum, ceramah, tayangan filem dan lain-lain akan membantu masyarakat khususnya generasi muda untuk memahami mesej betapa taikh 16 September merupakan tarikh penting yang mengandungi peristiwa yang cukup signifikan untuk Malaysia.

Mungkin juga pengisytiharan tarikh 16 September setiap tahun sebagai hari cuti umum untuk seluruh negeri akan menunjukkan betapa kerajaan Malaysia benar-benar serius dalam menghargai Hari Malaysia. Pengisytiharan cuti umum ini akan membuka ruang untuk sambutan gilang-gemilang sempena Hari Malaysia dilaksanakan.

Tentu sahaja rakyat di Sarawak dan Sabah akan lebih merasakan kebersamaan mereka sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia secara keseluruhan. Maka Hari Malaysia akan dirai bersama sebagai bukti kesedaran dan penghayatan seluruh rakyat daripada seluruh negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia.

Seperti mana generasi muda sedar akan Hari Kemerdekaan tanggal 31 Ogos setiap tahun, maka begitu jugalah mereka akan sedar akan peri penting tarikh 16 September dalam lipatan sejarah Malaysia melalui penghayatan yang selayaknya untuk Hari Malaysia.

Jangan biarkan generasi muda terus dilupakan tentang sejarah Malaysia yang dipenuhi dengan warna-warni perjuangan generasi terdahulu. Penghargaan yang setimpal harus diraikan untuk peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Malaysia yang membentuk Malaysia seperti yang kita lihat hari ini. Melalui kesedaran sejarah, maka generasi muda akan mampu menghayati nilai sebenar Malaysia.

PENULIS ialah Yang Dipertua, Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (Perkepis)
sumber : Berita Harian


Penubuhan Malaysia 16 September 1963 Membawa Perubahan Kepada Negara

TARIKH 16 September 1963 sememangnya memberi perubahan kepada negara khususnya dalam penyatuan 14 buah negeri sebagai Malaysia yang terdiri daripada 11 negeri Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura, Sabah dan Sarawak di samping jumlah penduduknya yang menjangkau 10 juta orang.

Menyusur semula pembentukan Malaysia yang direalisasikan oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebenarnya telah disuarakan pada bulan Mei 1961 lagi melalui satu ucapannya dalam Persatuan Wartawan Asing Asia-Tenggara di Singapura.

Dalam ucapan tersebut, beliau telah mencadangkan agar Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei digabungkan dalam satu kesatuan atau satu negara yang disebut sebagai Malaysia.Kata Tunku dalam ucapannya, “Persekutuan Tanah Melayu tidak mampu wujud secara bersendirian tanpa kerjasama politik dan ekonomi dengan Singapura, Sabah dan Sarawak.”

Selepas cadangan tersebut disuarakan oleh Tunku, pelbagai pihak mula menyuarakan pendapat mereka hinggakan penubuhan Malaysia tersebut menjadi topik perbincangan hinggalah ke peringkat antarabangsa. Ramai pihak yang menyokong cadangan tersebut khususnya pemimpin-pemimpin rakyat dalam negeri-negeri Singapura, Sarawak dan Sabah yang menganggap cadangan tersebut akan dapat membantu mereka membebaskan diri dari kuasa penjajah Inggeris.

Lanjutan dari cadangan penubuhan gagasan Malaysia ini, Tunku Abdul Rahman telah mengambil tindakan dengan mengadakan rundingan bersama Perdana Menteri British di London. Hasilnya, sebuah suruhanjaya telah ditubuhkan bagi memastikan rancangan tersebut berjaya dan mendapat persetujuan semua pihak.Suruhanjaya tersebut telah dipengerusikan oleh Lord Cobbold dengan diwakili oleh wakil-wakil dari Tanah Melayu dan Kerajaan British.

Tujuan utama suruhanjaya tersebut dibentuk adalah untuk menyiasat pendapat dan persetujuan rakyat Sabah dan Sarawak mengenai penubuhan gagasan Malaysia ini. Usaha untuk menyatukan negeri-negeri tersebut di bawah satu gagasan mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya dari para penduduk di Sabah dan Sarawak sendiri.

Menurut Penyata Tahunan Perhimpunan Agung UMNO 1963/64, pada 23 Ogos 1961, persetujuan telah dicapai di antara kerajaan Singapura dan Tanah Melayu yang meletakkan Kerajaan Pusat mempunyai kuasa autonomi dalam lapangan pelajaran dan buruh sahaja dengan persetujuan sebuah jawatankuasa antara Kerajaan Singapura dan Tanah Melayu.

Namun begitu, usaha murni untuk menuju kepada penubuhan sebuah negara baru Malaysia terhalang apabila berlaku pemberontakan yang dilakukan oleh Sheikh Azhari di Brunei pada 8 Disember 1962. Ini diikuti dengan pengisytiharan konfrantasi Indonesia yang dilancarkan oleh Presiden Sukarno sebagai tentangan terhadap gagasan Malaysia.

Manakala di Manila pula, terdapat tuntutan ke atas Sabah dikembalikan kepada Filipina atas alasan ia adalah milik keturunan Sultan Solo yang telah membuat perjanjian dengan Kerajaan British pada tahun 1878. Perselisihan pendapat dan pertikaian ini telah berlarutan dan semakin meruncing hingga memecahbelahkan keamanan yang ada di Asia Tenggara.

Konfrantasi yang dilancarkan oleh Presiden Sukarno juga telah berterusan selama tiga tahun hingga mengakibatkan berlaku pertumpahan darah dan memaksa kepada campur tangan tentera. Penubuhan Malaysia menerima tentangan keras dari Indonesia di bawah Presiden slogan “Ganyang Malaysia”. Misalnya dapat dilihat dalam pertempuran di antara Tentera Darat dengan angkatan rejim Sukarno di satu Pos Sementara tentera di Kalabakan, Tawau, Sabah.

Serangan yang berlaku pada waktu maghrib ini telah mengorbankan seramai tujuh orang dan mencederakan 16 orang yang lain. Begitu juga dengan serangan yang berlangsung di Pontian, Labis, Kota Tinggi dan Batu Pahat di Johor. Tentangan ke atas penubuhan Malaysia mengakibatkan pertempuran yang hebat antara tentera kedua-dua negara. Bagi menyelesaikan masalah berikut dan memulihkan keamanan di rantau Asia Tenggara, maka suatu persidangan kemuncak telah diadakan antara ketua-ketua tiga negara yang terlibat dalam pertikaian iaitu Tanah Melayu, Indonesia dan Filipina.

Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia ini dapat dilaksanakan dengan jayanya walaupun mendapat tentangan dalam bentuk ketenteraan dari negara lain. Dalam persidangan kemuncak di Manila yang berlangsung pada akhir bulan Julai 1963, tolak ansur telah berlaku antara negara-negara terbabit dan tarikh pengisytiharan negara baru Malaysia akan diumumkan selepas Setiausaha Agong Bangsa-bangsa Bersatu berpuas hati dengan kehendak rakyat dari wilayah Sabah dan Sarawak. Dalam pada itu, Brunei tidak turut sama dalam pembentukan Malaysia kerana gagal mencapai persetujuan mengenai negerinya.

Walaupun pembentukan Malaysia telah mendapat persetujuan PBB, tetapi Indonesia seakan berusaha untuk menggagalkan rancangan tersebut malah sengaja melewatkan ketibaan wakilnya sebagai pemerhati kerja-kerja rombongan PBB ke Sabah dan Sarawak. Akhirnya PBB telah bersetuju mengeluarkan laporannya mengakui 80 peratus dari rakyat Sabah dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman.

Tentangan dari Indonesia tidak habis di situ sahaja sebaliknya melancarkan kembali konfrontasinya dengan menarik kembali Duta Besarnya di Malaysia serta mengugut nyawa rakyat Malaysia yang ada di Indonesia. Filipina turut bertindak keras apabila cuba menurunkan taraf kedutaannya di Malaysia menjadi konsul sahaja. Akibat tindakan tersebut, maka Kerajaan Malaysia terpaksa mengambil tindakan tegas dengan memutuskan hubungan diplomatic dengan Indonesia dan Filipina dua hari selepas kelahiran negara Malaysia dilancarkan.


Konfrantasi ini berlanjutan hingga perjanjian damai dimeterai pada Ogos 1966. Perjanjian penubuhan Malaysia telah ditandatangani di London pada 9 Julai 1963 dan diisytiharkan secara rasmi pada 16 September 1963 oleh Tunku Abdul Rahman.

Pengisytiharan Malaysia dilakukan di Stadium Merdeka di hadapan DYMM Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sabah dan Sarawak dengan disaksikan kira-kira 30,000 rakyat Malaysia. Kini, setelah 46 tahun Malaysia ditubuhkan, pelbagai kemajuan dapat dilihat dari pelbagai aspek bukan sahaja dalam bidang ekonomi, politik dan sosial malah hubungan antarabangsa dengan negara-negara jiran terbabit juga telah pulih.

Seharusnya, keharmonian dan kesejahteraan yang di kecapi sejak sekian lama wajar dipelihara dan dikekalkan agar dapat terus di kecapi oleh generasi akan datang.




Penubuhan Malaysia 16 September 1963

Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra dalam satu ucapan beliau di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961, telah menggagaskan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak ke dalam satu bentuk kerjasama politik dan ekonomi.

Antara lain, kerjasama ini perlu diadakan adalah bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis yang semakin ketara yang boleh menggugat kestabilan politik serantau. Pendirian kerajaan ini adalah berdasarkan kepada perkembangan politik di Singapura yang memperlihatkan peningkatan pengaruh golongan kiri. Di samping itu juga gagasan ini bertujuan untuk mengimbangi jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak.

Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura pada 23 Julai 1961 telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia dengan dipengerusikan oleh Donald Stephen. Tujuan penubuhan Jawatankuasa ini adalah untuk menerangkan dengan lebih jelas tentang konsep Malaysia kepada orang ramai khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei. Dalam Jawatankuasa ini, perwakilan dari Tanah Melayu terdiri daripada ahli-ahli Parlimen.

Perwakilan Singapura terdiri daripada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Undangan termasuk seorang ahli parti pembangkang. Anggota perwakilan dari Sarawak adalah ahli-ahli Majlis Negeri Sarawak, begitu juga dengan Sabah. Jawatankuasa ini telah bermesyuarat sebanyak empat kali untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan penubuhan Malaysia. Mesyuarat pertama diadakan di Sabah pada Ogos 1961, seterusnya di Kuching, Sarawak pada Disember 1961 dan di Kuala Lumpur pada Januari 1962. Mesyuarat terakhir telah diadakan di Singapura pada Februari 1962. Dalam mesyuarat terakhir itu Jawatankuasa bersetuju untuk mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold supaya dibuat tinjauan mengenai pandangan penduduk di Sarawak dan Sabah terhadap gagasan Malaysia.

Memorandum yang dipersetujui Jawatankuasa tersebut mengandungi beberapa perkara penting untuk dijadikan asas kepada perlembagaan yang akan dirancang. Jawatankuasa ini bersetuju supaya perlembagaan Tanah Melayu dijadikan asas kepada perlembagaan Malaysia. Antara perkara lain yang dipersetujui ialah tentang perlunya ada sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat dan berkuasa dalam hubungan luar, pertahanan dan keselamatan juga mengenai agama Islam diterima sebagai agama rasmi.

Pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962 adalah bagi memberi kebebasan dan keadilan kepada semua pihak. Suruhanjaya ini dibentuk hasil perundingan di antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan British pada November 1961. Tujuan penubuhan Suruhanjaya ini adalah untuk meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak tentang gagasan Malaysia.

Suruhanjaya ini dianggotai oleh lima orang ahli dengan dipengerusikan oleh Lord Cobbold, bekas gabenor Bank England, ahli-ahlinya terdiri daripada Dato’ Wong Pow Nee dan Encik Mohd Ghazali bin Shafie, sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, manakala Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston, wakil kepada kerajaan British. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.

Sepanjang Februari-hingga April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri dari parti-parti politik, ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan dan Undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang memberikan pandangan.

Hasil dari laporan ini menunjukkan sejumlah 80 peratus penduduk Sarawak dan Borneo Utara menyokong kepada penubuhan Malaysia. Sokongan rakyat ini jelas dibuktikan melalui laporan Suruhanjaya Cobbold yang telah disahkan oleh perwakilan Setiausaha Bangsa-Bangas Bersatu. Selain itu, laporan itu juga memuatkan cadangan-cadangan daripada ahli-ahli Suruhanjaya berhubung beberapa perkara yang dinyatakan melalui memorandum-memorandum yang diterimanya.

Pada 21 Jun 1962 laporan ini telah dikemukakan kepada Kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Setelah dikaji, kedua-dua kerajaan bersetuju menerima hampir semua cadangan yang telah dibuat oleh Suruhanjaya tersebut. Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Tanah Melayu juga menerima laporan Suruhanjaya Cobbold.

Beliau telah membentuk sebuah Jawatankuasa untuk mengkaji laporan itu yang telah dipengerusikan oleh beliau sendiri dan anggota-anggota yang lain terdiri dari Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri), Tan Siew Sin (Menteri Kewangan), Datuk (Dr) Ismail Dato’ Abdul Rahman (Menteri Keselamatan Dalam Negeri) dan Datuk V.T. Sambanthan (Menteri Kerja Raya dan Telekom).

Kata sepakat telah dicapai oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut telah berlangsung selama 2 minggu. Pada Julai 1963 satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London.

Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Persetujuan telah di peroleh untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia yang dirancang pada tarikh tersebut terpaksa ditangguhkan kerana laporan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963. Upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Upacara gilang gemilang ini telah dihadiri oleh SPB Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Upacara ini juga dihadiri oleh anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas.

Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang turut meraikan hari bersejarah tersebut. Tunku kemudiannya melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali diselang seli dengan laungan oleh rakyat yang hadir. Upacara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Tuan Haji Ahmad bin Mohammad Said.

Rentetan Peristiwa 

27 Mei 1961

Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman semasa Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura telah menggagaskan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo, Brunei dan Sarawak kedalam satu bentuk kerjasama politik


23 Julai 1961

Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia dipengerusikan oleh Donald Stephen.


Ogos 1961

Mesyuarat pertama Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Sabah


18-20 Disember 1961

Mesyuarat kedua Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Kuching Sarawak


6-7 Januari 1962

Mesyuarat ketiga Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Selangor Legislative Assembly Chamber, Kuala Lumpur


17 Januari 1962

Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan bagi meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara(Sabah) dan Sarawak. Suruhanjaya dianggotai oleh lima orang ahli iaitu Lord Cobbold, Dato’ Wong Pow Nee, En. Mohd Ghazali Shafie, Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston. Mr H. Harris bertindak sebagai Setiausaha

3-4 Februari 1962

Mesyuarat keempat Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia


21 Jun 1962

Laporan Suruhanjaya Cobbold telah disiapkan dan dikemukakan kepada kerajaan British dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu

Julai 1962

Kata sepakat dicapai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan Tuan Harold MacMillan Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan.


9 Julai 1963

Perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British,Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.


16 September 1963

Upacara pengisytiharan Malaysia diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dihadapan lebih kurang 30 000 rakyat Malaysia



Mengiktiraf Tanggal 16 September Sebagai Hari Malaysia

SETELAH 46 tahun Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Persekutuan Malaysia, semalam adalah hari penuh sejarah bagi seluruh rakyat negara ini. Pengumuman yang dinanti-nantikan muncul jua. Berkat sabar, akhirnya tanggal 16 September diiktiraf sepenuhnya sebagai Hari Malaysia. Sejajar dengan itu ia diumumkan hari cuti umum yang bermula tahun 2010.


Rakyat Malaysia berbilang kaum harus mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita amat bersetuju tarikh itu dipilih sebagai cuti umum. Selepas ini tiada alasan lagi untuk kita lupa daripada mengingati sejarah dan tarikh pembentukan Malaysia apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963.

Tarikh terbentuknya Malaysia perlu lebih dihayati, dikenang dan dihargai bukan sahaja oleh rakyat Sabah dan Sarawak tetapi juga seluruh rakyat Malaysia. Perdana Menteri ketika mengumumkannya di Dewan Rakyat semalam berkata, Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar iaitu Hari Merdeka pada 31 Ogos bagi mengingatkan rakyat akan perjuangan mencapai kemerdekaan dan Hari Malaysia yang akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan dan persefahaman antara kaum sejajar dengan semangat 1Malaysia.

Kita percaya apabila Hari Malaysia diraikan pada tahun hadapan, banyak acara mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum menerusi aktiviti sukan, sosio-budaya dan kesenian diadakan bagi menyemarakkan lagi semangat 1Malaysia. Dengan perisytiharan cuti umum Hari Malaysia maka diharapkan kecenderungan untuk melihat Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai entiti yang berada dalam wilayah yang berasingan akan terhakis.

Jika tahun 1981 pemisahan itu dirapatkan melalui penyeragaman waktu dan kini dimantapkan dengan sambutan Hari Malaysia. Pengertian Hari Malaysia perlu disebar luaskan kepada rakyat supaya pemahaman mengenainya lebih mendalam. Kita perlu fahami, emosi menyambut Hari Malaysia adalah berlainan dengan perasaan menyambut Hari Kemerdekaan.

Pengumuman Hari Malaysia sebagai cuti umum adalah dialu-alukan, pun begitu sambutan hari tersebut perlu ada pengisian yang bermakna dan berkesan. Tanggal 16 September diraikan sebagai memperingati hari bersejarah

bagi rakyat Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak kerana pelbagai kaum dan etnik bersatu untuk mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia.

Pada hari tersebut seharusnya rakyat di seluruh negara dapat merapatkan lagi hubungan antara kaum dalam suasana muhibah. Gagasan 1Malaysia akan bertambah mudah jika semua kaum dapat bersatu menjadi sebuah masyarakat yang kukuh jati dirinya. Di samping itu kita ingin menasihatkan kepada majikan di sektor swasta supaya menghormati hari cuti umum tersebut. Mereka mesti mematuhi keputusan terbaru kerajaan menjadikan 16 September sebagai Hari Malaysia mulai 2010.

sumber : Utusan Malaysia

Sabah Bakal Jadi Tuan Rumah Hari Malaysia 16 September Ini

KOTA KINABALU: Sabah bakal menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia yang akan berlangsung di sini pada 16 Sept, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman. Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya pada pelancaran bulan kemerdekaan dan kempen mengibar Jalur Gemilang di perkarangan ibu pejabat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, di sini, Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Yahya Hussin.Pada 19 Oktober tahun lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 16 Sept sebagai cuti umum mulai tahun ini bagi menyambut Hari Malaysia. Sementara itu, sempena bulan kemerdekaan ini Musa meminta rakyat negeri ini untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang.

Kempen mengibar jalur gemilang boleh menjadi wadah untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan cintakan negara serta memupuk perpaduan di kalangan pelbagai lapisan rakyat, katanya.Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana masih banyak premis yang tidak mengibarkan jalur gemilang walaupun arahan secara bertulis telah dikeluarkan. –


sumber : BERNAMA


Empat Tokoh Terima Anugerah Tokoh Malaysia

Seramai empat tokoh akan menerima Anugerah Tokoh Malaysia pada sambutan Hari Malaysia 16 September ini, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim. Rais berkata, dua tokoh akan dipilih dari Semenanjung dan masing-masing satu dari Sabah dan Sarawak oleh jawatankuasa berkenaan. Tambah beliau lagi, mereka sedang cari tokoh-tokoh dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk menerima anugerah Tokoh Malaysia pada hari tersebut.

Rais berkata, anugerah ini adalah sesuatu yang boleh dianggap sebagai pengiktirafan kepada jasa dan sumbangan dan rekod perjuangan seseorang berkaitan dengan negara ini. Katanya, keempat-empat tokoh ini akan menerima anugerah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas beliau menyampaikan ucapan pada sambutan yang akan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah.

sumber : Bernama

Hari Malaysia

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan ke-6. Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.

Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Mulai tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti am di semua negeri di Malaysia.

sumber : Wikipedia

Blog 1Malaysia (www.1malaysia.com)

Pada hari ini (16 September) empat puluh enam tahun yang lalu, Malaysia mengalu-alukan keanggotaan negeri Sabah dan Sarawak dan mula mengatur langkah untuk menjadi salah sebuah negara terpenting di dunia. Beliau ketika itu baru berusia 10 tahun ketika ayahanda nya, Tun Abdul Razak Hussein, menjadi saksi kepada perisytiharan bersejarah kemerdekaan Sabah pada 1963, tetapi saya ingat bagaimana bangganya beliau saat peristiwa penting itu berlangsung. Sabah dan Sarawak memenuhi satu sudut yang istimewa di hati saya kerana peristiwa bersejarah itu.

Komitmen Dato' Sri terhadap 1Malaysia – kepada gagasan bahawa perbezaan pada bangsa dan agama itulah yang menjadikan negara kita lain daripada yang lain – telah diilhamkan daripada apa yang saya lihat di Sabah dan Sarawak. Kelainan rakyat kita ini telah menjadi asas kepada banyak dasar awam yang hebat-hebat yang akan dilaksanakan oleh pentadbiran saya, kesemuanya dengan matlamat memanfaatkan kekuatan rakyat kita daripada kumpulan etnik dan anutan kepercayaan yang berbeza untuk membentuk satu asas daya saing global dan identiti budaya.

Sumbangan Sabah dan Sarawak kepada Malaysia melebihi tauladan dalam perpaduan dan permuafakatan. Malaysia menjadi syurga dunia pelancongan disebabkan oleh kepelbagaian ini dan keajaiban alam semula jadi yang dipersembahkan kepada dunia oleh dua negeri ini. Banyak warisan budaya negara kita terikat kepada ikon kehidupan di Sabah dan Sarawak. Rumah-rumah panjang kekal menjadi tulang belakang kehidupan di dua negeri ini kerana ia ialah simbol kepada keperluan kita sebagai rakyat Malaysia untuk mempelajari bagaimana untuk hidup di bawah satu bumbung dan untuk membina tempat tinggal negara kita secara bersama-sama.

Apabila matahari terbit di langit Malaysia, ia menyinari Sabah dan Sarawak terlebih dahulu. Masa hadapan kita sebagai sebuah negara bergantung kepada keupayaan kita untuk bekerja dan hidup bersama-sama. Sabah dan Sarawak menunjukkan kepada kita jalan yang perlu kita lalui untuk menuju pembangunan sivil dan saya percaya kita harus membalas budi dengan melabur dengan lebih banyak lagi dalam pembangunan ekonomi di dua buah negeri ini. Apabila tiba masanya Sabah dan Sarawak mengumumkan ulang tahun ke-47 mereka pada tahun hadapan, saya harap kita dapat mengotakan janji-janji kita untuk memberikan pelaburan ekonomi, pendidikan dan prasarana yang lebih banyak di kedua-dua buah negeri ini.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila lihat kenyataan peribadi saya tentang Hari Malaysia.



16 September Diisytihar Cuti Umum Hari Malaysia

Perdana menteri hari ini mengumumkan sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September setiap tahun diisytiharkan sebagai cuti awam untuk seluruh negara mulai tahun depan. Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat berkata pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting.

Hari Malaysia diraikan pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia apabila Sabah dan Sarawak telah menyertai Malaysia pada 1963. Najib berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang bertanya sejauh mana penerimaan rakyat terhadap gagasan 1Malaysia dan jenis-jenis program yang difikirkan berkesan untuk mencapai hasrat tersebut.

Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Kedua Belas bermula tepat pukul 10 pagi ini dengan menyaksikan perdana menteri sebagai yang pertama memberikan jawapan bagi sesi pertanyaan bagi jawapan lisan pagi ini.

Perdana menteri berkata, dengan penyertaan Sabah dan Sarawak sejak 1963, maka adalah wajar rakyat di kedua-dua negeri itu menikmati kemajuan pembangunan, pendidikan, ekonomi dan sosial seperti di Semenanjung.

Beliau turut menegaskan, perpaduan antara kaum itu juga merangkumi integrasi nasional antara rakyat Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang akan terus ditingkatkan.

Untuk meningkatkan perhubungan antara tiga wilayah itu, perdana menteri berkata, kekerapan dan kapasiti penerbangan akan terus di pertingkatkan selain pembinaan prasarana asas bagi dua buah negeri itu seperti jalan, bekalan air dan elektrik, sekolah, klinik dan hospital akan terus diberi keutamaan dengan menambah lebih banyak peruntukan.

Najib berkata sesungguhnya perpaduan yang telah dicapai hingga ke saat ini telah membuahkan keamanan di dalam negara lebih lima dekad lepas. Menjawab soalan tambahan Dr Marcus mengenai identiti yang boleh dikaitkan dengan Malaysia seperti di Indonesia, Filipina atau Thailand, Najib berkata identiti Malaysia boleh dilihat berdasarkan kemampuannya menerima unsur lain yang dijadikan sebahagian daripada budaya setempat dan seterusnya kekuatan negara.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang), Najib berkata gagasan 1Malaysia dianggap sebagai kesinambungan dasar-dasar yang diperkenalkan sebelumnya. Abdul Hadi bertanya sama ada dengan penerapan gagasan 1Malaysia, bermakna kerajaan mengetepikan dasar-dasar terdahulu termasuk Islam Hadhari, Bersih Cekap dan Amanah dan Wawasan 2020.

sumber : BERNAMA

Jumaat, 14 September 2012

Pelajar belasah guru disiplin

Apa nasib guru ini ? Siapa yang bersalah? Sama-sama kita renungkan cabaran seorang pendidik di sekolah masa kini...



Pelajar belasah guru disiplin

14/9/2012

Khamis, 13 September 2012

Sistem baru jimat masa pembelajaran

Murid sekolah rendah, menengah tamat pengajian awal setahun

Pembelajaran pintas yang membenarkan murid pencapaian tinggi menamatkan pengajian sekolah menengah dan rendah setahun lebih awal adalah antara cadangan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). 

Murid akan menamatkan pengajian sekolah menengah dalam tempoh empat tahun berbanding lima sekarang, manakala peringkat sekolah rendah hanya setakat lima tahun. 
Program kurikulum pintas membolehkan murid menamatkan sekolah menengah dan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam tempoh empat tahun serta terbabit dalam aktiviti berbentuk memperkaya seperti projek kajian individu. 

Murid akan dipilih selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan diuji setiap tahun bagi memastikan program itu berfaedah kepada serta tidak menjejaskan perkembangan diri. 

Saring pelajar

Program laluan pintas pula memberi peluang kepada murid menduduki Tahun Satu dan Tahun Dua pada tahun yang sama. 

Bagaimanapun, satu saringan akan dilakukan pada peringkat awal Tahun Satu untuk mengenal pasti tahap kepintaran dan kecergasan murid menggunakan ujian standard yang dibangunkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 

Dalam pada itu, dianggarkan 10 hingga 15 peratus murid bakal berjaya melepasi standard ditetapkan bagi kemasukan setiap tahun dan selepas menjalani program, murid dinaikkan ke Tahun Tiga pada tahun berikutnya. 

Selain itu, kementerian akan mewujudkan program untuk murid pintar cerdas dan berbakat dalam aspek tertentu seperti matematik, bahasa, muzik dan pendidikan seni. 

Program perintis

Ia antara tiga program perintis yang akan dilaksanakan, iaitu dua untuk murid pencapaian tinggi yang berdasarkan kajian dianggarkan hampir 15 peratus daripada populasi murid dan program bagi murid pintar cerdas. 

Ketiga-tiga program perintis itu akan diperkenalkan dalam Gelombang Kedua (2016-2020) transformasi PPPM. 

Gelombang Pertama

Kementerian akan melaksanakan Gelombang Pertama (2013-2015) dengan dalam tempoh tiga tahun berikut, tanda aras program ditetapkan dengan program pendidikan pintar cerdas terbaik. 

Pada fasa terakhir pelan iaitu Gelombang Ketiga (2021-2025), kementerian akan memurnikan rangka kerja ketiga-tiga program rintis pintar cerdas dan berbakat, serta memperluaskannya pada peringkat kebangsaan. 


Kenyataan Akhbar Berkenaan Isu Kertas Jawapan Objektif Bermaklumat (JOB) Bagi Ujian Aptitud Tahun Enam.

Tindakan Segera Diambil Atasi Kesilapan Pada Kertas Peperiksaan Ujian Aptitud


KUALA LUMPUR: Lembaga Peperiksaan telah mengambil tindakan segera dalam mengatasi kesilapan pada kertas peperiksaan ujian Aptitud Tahun Enam yang diduduki pelajar pada Khamis.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran, semua sektor penilaian dan peperiksaan Jabatan Pelajaran negeri diarah untuk memaklumkan kepada Ketua Pengawas peperiksaan sekiranya terdapat jawapan E bagi soalan 41 hingga 61, calon peperiksaan diarah untuk menulis huruf E di kertas jawapan objektif.

Masalah ini timbul apabila ruang jawapan objektif bagi soalan 41 hingga 61yang disediakan untuk calon hanya mempunyai abjad A,B,C dan D sahaja, sedangkanpilihan jawapan pada kertas soalan itu adalah A,B,C,D dan E.

Kenyataan itu turut menyebut Lembaga Peperiksaan akan memeriksa jawapancalon secara 'hand score' dan keputusan ujian ini tidak akan menjejaskankeputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan tidak dicetak pada slipkeputusan calon.

Ujian Aptitud ini bertujuan melihat potensi diri, minat dan kecenderunganmurid dan potensi yang dilaporkan berdasarkan dua kemahiran iaitu kemahiranberfikir dan kemahiran menyelesaikan masalah serta membuat keputusan.

Minat dan kecenderungan murid dilihat dalam bidang akademik, teknik, vokasional, seni budaya dan sosial atau sukan, menurut kenyataan itu. BERNAMA


Rabu, 12 September 2012

Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) dari 2013-2025.

Sebagai gantian kepada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang dilancarkan oleh YAB Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007.

Muhyiddin menjelaskan semasa pembentangan pelan PPP bahawa ia dirangka menerusi jelajah dialog di seluruh negara dimana 7,039 syor diterima dan 12,000 peserta ambil bahagian.


Selain itu sebanyak 156 memorendum diterima dari pelbagai individu dan pertubuhan.

Muhyiddin menyifatkan PPP adalah satu referendum bersejarah yang melambangkan cita-cita dan harapan rakyat terhadap sistem pendidikan negara.

Menurut beliau pelan itu sasarkan enam aspirasi utama iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwi-bahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.

Pelan ini berbeza daripada laporan-laporan pendidikan yang terdahulu. Kementerian dimaklumkan oleh Panel Penilai Bebas Antarabangsa bahawa kajian semula sistem pendidikan ini telah dilakukan dengan amat teliti dan kualiti analisanya menepati standard antarabangsa.

Sebelas anjakan yang digariskan kementerian ialah:

1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa:

Kementerian akan melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada tahun 2017. Kementerian akan menimbang pindaan kepada peraturan sedia ada untuk memberikan kelonggaran kepada sekolah mengamalkan jadual anjal. Selain itu Kementerian akan mengkaji kemungkinan melaksanakan laluan pembelajaran pintas selain pendidikan arus perdana, termasuklah membenarkan murid berpencapaian tinggi menamatkan pengajian sekolah menengah dalam masa empat tahun berbanding lima tahun sekarang dan menamatkan sekolah rendah dalam masa lima tahun, berbanding enam tahun. Peperiksaan UPSR pada 2016 akan mengandungi 80% soalan berbentuk pemikiran aras tinggi.

2. Memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris:

Kementerian akan meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris guru dengan memastikan semua 70,000 guru Bahasa Inggeris lulus Cambridge Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun. Guru yang tidak mencapai standard ditetapkan akan mengikuti latihan intensif. Modul Sastera Inggeris akan diwajibkan kepada murid sekolah menengah. Bagi memantapkan penguasaan Bahasa Malaysia pula, Kementerian akan memperkenalkan kurikulum Bahasa Malaysia yang standard pada peringkat rendah, merangkumi semua sekolah jenis kebangsaan. Dengan perlaksanaan kurikulum ini, Kelas Peralihan di sekolah menengah kebangsaan akan dimansuhkan mulai 2017. Kerajaan juga akan menggalakkan murid mempelajari bahasa tambahan seperti bahasa Cina, India, Tamil, Arab serta bahasa ibunda atau bahasa antarabangsa yang lain.

3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai:

Bagi memupuk semangat patriotisme di kalangan murid dalam usaha membina satu identiti nasional yang kukuh dan jitu, Kementerian akan memperkukuhkan Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan elemen Sivik menjelang 2017. Pedagogi untuk Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral juga disemak semula untuk melibatkan lebih banyak aktiviti main peranan (role-play), simulasi, perbincangan dan tugasan dalam kumpulan kecil. Bagi murid bukan Islam, Pendidikan Moral akan mengandungi pemahaman tentang nilai teras semua agama utama di Malaysia. Kementerian juga akan mengkaji membolehkan murid bukan Islam berkongsi kelas yang sama apabila nilai-nilai sejagat diajar.

4. Meningkatkan kualiti guru dan menjadikan profesion keguruan sebagai profesion pilihan:

Kementerian akan mengetatkan syarat kemasukan ke latihan perguruan dengan mensasarkan hanya 30 peratus teratas dari kelompok pelajar cemerlang menyertai profesion perguruan. Bagi guru-guru yang sudah ada dalam sistem, Kementerian akan mengukuhkan pembangunan kerjaya mereka. Guru berprestasi tinggi berpeluang menikmati kenaikan pangkat bermula daripada Gred DG14 sehingga DG54 dalam tempoh yang lebih singkat, iaitu kurang daripada 25 tahun.

5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah:

Kementerian akan memperkenalkan kriteria pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan kompetensi serta memperkukuhkan proses perancangan penggantian pengetua dan guru besar mulai 2013. Kementerian juga akan menempatkan pengetua atau guru besar cemerlang di sekolah-sekolah luar bandar dan di kawasan-kawasan miskin bandar.

6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan:

Kementerian akan menempatkan Jurulatih Mata Pelajaran Khusus Program Penambahbaikan Sekolah (SISC+) dan Jurulatih Pengetua Rakan Penambahbaikan Sekolah (Si-Partners) secara sepenuh masa di Pejabat Pelajaran Daerah. Jurulatih-jurulatih berkenaan akan memberikan bimbingan secara terus kepada sekolah berprestasi rendah. Satu projek perintis akan dilaksanakan di Sabah dan Kedah mulai Januari 2013 sementara perlaksanaan di seluruh negara bermula Januari 2014.

7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran:

Kementerian akan meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui perlaksanaan 1BestariNet bagi semua 10,000 buah sekolah yang dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung 2013. Dalam masa terdekat, semua murid akan mempunyai akses kepada rangkaian 4G di sekolah yang akan menyediakan landasan untuk perlaksanaan pembelajaran secara interaktif.

8. Mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian Pelajaran:

Struktur organisasi Kementerian akan disusun semula agar fungsi bahagian tidak bertindih dan lebih ramai tenaga kerja akan ditempatkan di PPD yang akan terlibat secara langsung dalam memantau dan mengurus prestasi sekolah.

9. Memperluaskan jalinan kerjasama dengan ibubapa, komuniti dan sektor swasta: 

Kementerian akan memperluaskan capaian Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS)untuk membolehkan ibubapa memantau kemajuan anak mereka di sekolah secara atas talian. Kementerian juga akan menambah bilangan Sekolah Amanah kepada 500 buah menjelang 2025 dan turut melibatkan kumpulan alumni dan pertubuhan bukan kerajaan sebagai penganjur.

10. Memaksimumkan pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan:

Kementerian akan mengaitkan setiap program yang dilaksanakan dengan keberhasilan murid yang hendak dicapai dan merasionalisasi program berimpak rendah setiap tahun, Kementerian akan meningkatkan kecekapan dalam mengurus perbelanjaan dengan memberi keutamaan kepada bidang paling kritikal seperti peningkatan kemahiran dan latihan guru.

11. Meningkatkan Ketelusan akauntabiliti awam:

Semua pihak berkepentingan akan mempunyai akses yang tetap dan telus berkenaan tahap kemajuan setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian. Laporan Tahunan mengenai kemajuan sasaran dan inisiatif pelan ini akan ditertbitkan utntuk tatapan umum mulai 2013.

Kesimpulan:

Sekiranya semua 11 anjakan dalam pelan ini dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, untuk tempoh 13 tahun akan datang, Malaysia akan menyaksikan satu anjakan besar dalam sistem pendidikan negara, iaitu daripada sistem yang berfokuskan akses, kepada pendidikan yang berfokuskan kualiti. Kementerian akan mewujudkan Unit Penyampaian Pendidikanuntuk memacu perlaksanaan pelan ini.