Jiwang Corner :)

Sabtu, 31 Mac 2012

Pendidikan Negara Bertaraf Dunia

Di sini saya kongsikan pula artikel yang ditulis oleh Cikgu Abd Bashid Harun tentang Pendidikan Negara Bertaraf Dunia. Saya cuba copy dan paste pendapatnya sebagai rujukan kita bersama. Jom, kita baca sama2...


1.SAYA mulakan tulisan ini dengan mengulangi kepercayaan saya selama ini bahawa sistem pendidikan bertaraf dunia bermula daripada amalan Pengajaran dan Pembelajaran (P & P) di dalam bilik darjah itu sendiri.

2. Bagi saya sebuah bilik darjah adalah sebuah dunia kecil. Apa yang patut berlaku kepada dunia akan datang, seharusnya dimulakan dalam dunia kecil itu.

3. Guru adalah “global player” dan sebagai pemain global, taktik dan teknik guru ‘bermain’ dalam tempoh 40 minit untuk satu waktu, adalah faktor kritikal yang bakal menentukan kejayaan sebuah dunia yang kita semua idamkan.

4. Dunia itu bermula di sini, iaitu di bilik darjah di mana guru subjek memimpin sebuah pasukan yang berbeza dalam banyak hal yang jumlah ahlinya rata-rata antara 30 hingga 40 orang.

5. Sebagai guru, yang patut tertanam dalam minda tuan/puan ialah kepercayaan bahawa perubahan bermula dari dalam bilik darjah. Di sinilah sebuah dunia dan isinya didedahkan. Di sinilah juga tempatnya di mana para guru berkongsi aspirasi negara bersama pelajarnya. Dan di sinilah juga dunia diteropong daripada kaca mata yang betul. Bilik darjah adalah ruang yang di dalamnya guru beraksi dan pelajar-pelajar di dalamnya adalah peluang.

6. Saya sedar untuk membantu negara mencapai hasrat menjadikan negara ini sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dengan pendidikan bertaraf dunia sebagai matlamatnya bukanlah kerja mudah.

7. Tentu menjadi lebih sulit lagi jika guru-gurunya masih dikejar dengan masalah asas yang belum selesai-selesai seperti disiplin pelajarnya, kelemahan dalam kawalan kelas, ketidakcekapan dalam Pengajaran & Pembelajaran, motivasi guru yang ada pasang surutnya, guru-gurunya yang mudah tertekan dengan kerja lebih masa dan kurangnya kesediaan minda pelajar luar bandar untuk belajar.

8. Walau apa pun alasannya misi kerajaan ini tidak boleh dibiarkan tertangguh hanya semata-mata kerana masalah yang disebutkan tadi. Menangguhkannya umpama menutup satu masalah dengan satu masalah yang lain. Kesannya masalah sedia ada tidak selesai, masalah baru pula muncul.

9. Langkah pertama, tentulah menerima misi kementerian pelajaran untuk menjadikan sistem pendidikan negara ini bertaraf dunia menjadi misi para guru . Misi itu harus dikongsi, bukan sahaja dengan perasaan, tetapi tindakan. Maknanya para guru tidak akan membiarkan kementerian pelajaran bersendirian dalam melangsungkan misi ini.

10. Kendatipun ada guru yang akan menggunakan alasan yang kerja guru akan bertambah, namun kerja mengangkat martabat negara ke kedudukan yang sepatutnya di dunia tidak wajar diabaikan. Kaum guru bertanggungjawab meletakkan negara berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara lain. Ini adalah sebahagian tugas sakral para guru yang perlu dilakukan secara jujur dan holistik. Dan tentu semua ini bermula di bilik darjah.

11. Para guru mesti memastikan bahawa perkara-perkara asas yang menjadi bidang tugas utama dijalankan, dan langkah-langkah yang smart perlu diambil untuk membantu mencapai misi kementerian. Ini termasuklah memastikan dasar 60:40 dijalankan, dan bahasa Inggeris digunakan sepenuhnya (bukan lagi berperingkat-peringkat) dalam subjek Sains dan Matematik terutama oleh guru-guru PPSMI.

12. Apabila bercakap tentang pendidikan bertaraf dunia, itu bermakna yang kita terpaksa akur tentang kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia. Guru harus meyakinkan pelajar-pelajarnya bahawa menguasai bahasa Inggeris itu suatu kemestian pada zaman sekarang, bukan lagi satu pilihan. Guru sebagai pemudahcara mesti berupaya menunjukkan kepada pelajar-pelajarnya bahawa bahasa Inggeris mudah dikuasai.

13. Jika kita ingin menjadikan pendidikan kita bertaraf dunia, dan pada masa yang sama kita berkeras untuk mengabdi kepada satu bahasa ibunda, seperti bahasa Melayu per se, kita tidak akan ke mana-mana. Justeru, para guru mesti menjadi contoh dalam hal ini, bukan sahaja dalam penggunaan tetapi berupaya membuktikan yang mereka memang serius untuk menambahkan pengetahuan dan meningkatkan penguasaan bahasa mereka. Jika tidak, ketika orang lain telah lama mencecah permukaan bulan, kita akan tetap menjadi sang pungguk yang merenung bulan.

14. Selain itu, sebagai orang paling hadapan dalam menentukan kejayaan sesuatu dasar kerajaan, guru mesti mengikis perasaan bimbang tentang pencapaian pelajar dalam peperiksaan apabila bahasa Inggeris dikuatkuasakan. Guru-guru mesti sedar bahawa penggunaan bahasa Inggeris akan menjadikan pelajar kita akan lebih berdaya maju dan berdaya saing dalam dunia global. Oleh kerana penggunaan itu ditanam sejak awal, iaitu sejak dari sekolah rendah, saya tidak fikir, bahasa ini tidak akan dapat dikuasai oleh pelajar

15. Walaupun teraju kepemimpinan negara telah lama bertukar, namun tidak nampak petanda yang jelas bahawa dasar mewajibkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris akan diubah. Pendirian kerajaan ini sepatutnya melegakan ramai pihak. Kita memulakannya pada mata pelajaran yang tepat, iaitu Sains dan Matematik. Bukankah kejayaan negara-negara maju ditandai oleh penguasaan yang meluas dan mendalam oleh warga negaranya dalam kedua-dua bidang ini.

16. Perkembangan tamadun kebendaan yang diwarnai oleh kemunculan bangunan, perkembangan ICT, bioteknologi, perindustrian moden, perdagangan, satelit, sains angkasa, robotic, digital, telekomunikasi dan banyak lagi dikembangkan melalui Sains dan Matematik.

17. Apa yang boleh dibuat oleh guru subjek sebagai golongan pelaksana paling penting ialah menjadikan subjek sains dan matematik merentasi kurikulum. Maksudnya jika dia guru sejarah, ia harus membuktikan kepada pelajarnya tentang sejarah kemajuan sesebuah tamadun bermula dengan penguasaan ilmu pengetahuan, khususnya sains dan matematik.

18. Pembinaan monumen, kota, dan arca seperti piramid di Mesir dan Tembok Besar di China semuanya berhubungan dengan kepakaran perekanya dalam mengaplikasi pengetahuan mereka dalam bidang sains dan matematik.

19. Begitu juga halnya dalam subjek Pendidikan Islam. Para ustaz dan ustazah harus berupaya membakar semangat pelajar muslim di hadapan mereka agar mencintai sains dan matematik kerana dua mata pelajaran ini bukan sahaja akan membantu meningkatkan pencapaian orang Islam di seluruh dunia, tetapi telah terbukti mengangkat peradaban Tamadun Fatimiyah di Mesir, Sepanyol, Turki dan Baghdad sehingga berupaya menjadi rujukan dunia pada waktu itu.

20. Selain penggunaan bahasa Inggeris, penyelidikan dan pembangunan (R & D) di peringkat sekolah, khususnya dalam bilik darjah harus dijadikan agenda utama dalam organisasi sekolah. Amalan syarikat gergasi dunia sejak sekian lama ini patut diperluaskan kepada dunia pendidikan.

21. Mula-mula ia mungkin dimulakan oleh sekolah, kemudian dikembangkan di peringkat jabatan dan akhirnya diperluaskan di peringkat unit. Ini termasuklah di bilik darjah. Tetapi jika itu tidak berlaku, atas sebab skop penyelidikan terlalu luas, maka guru subjek dan guru kelas harus memulakan untuk subjeknya dan pelajarnya.

22. R & D yang dijalankan haruslah berakhir dengan satu matlamat iaitu untuk mengenal pasti keperluan sebenar kita pada masa akan datang agar setiap agenda yang digerakkan berorientasikan masa depan. Adalah menjadi tanggungjawab tuan puan untuk mengenal pasti keperluan sebenar sekolah, mempunyai fokus dalam tindakan, membuat perancangan jangka panjang atau lebih dikenali sebagai perancangan strategik dan menangani sesuatu masalah secara tekal dan bersistem.

23. Agenda lawatan ke sekolah-sekolah tertentu untuk membuat penanda patut menjadi amalan setiap sekolah. Aktiviti lawatan ke lokasi sebenar dan membuat penanda arasan memang patut dilakukan oleh para guru dari semasa ke semasa. Mereka boleh mempelajari perkara terbaik dari organisasi sekolah di luar atau daripada unit-unit di dalam sekolah itu sendiri. Ia tentunya harus bermula dengan mengenal pasti kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman atau lebih dikenali sebagai analisis SWOT.

24. Sekolah harus menumpukan tindakan strategik berasaskan petunjuk semasa bagi memenuhi tuntutan akan datang. Bukan sekadar buat apa yang hendak dibuat. Pada pendapat saya guru yang lebih memerlukan R & D dan benchmarking atau penandaarasan ini ialah guru-guru subjek dan guru-guru kelas. Alasannya kerana mereka berdepan dengan wajah pelajar yang sebenar dan merekalah yang bakal mendedahkan kandungan sebenar sesuatu ilmu. Merekalah yang lebih arif tentang keperluan sebenar murid-murid mereka, termasuk kekuatan dan kelemahan.

25. Di sinilah letaknya kepentingan TOV dan pelan taktikal. Amalan mengukur sesuatu pencapaian yang tentunya melibatkan angka dan peratusan adalah budaya negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun. Sudah sampai masanya kita menggantikan “tembakan” secara rambang kepada angka-angka dan indikator yang bersifat objektif. Kita mahukan tindakan kita tepat melalui penggunaan cara yang tepat dan terkena pada sasaran yang tepat. Kita sepatutnya menembak dengan satu peluru tetapi terkena sepuluh, daripada menembak dengan beberapa butir peluru tetapi seekor pun belum tentu kena.

26. Usaha mengangkat martabat profesion perguruan khususnya dan pendidikan di Malaysia amnya tidak akan tercapai jika para guru berpuas hati dengan pencapaian sekarang dan selesa dengan cara yang sedia ada. Input yang diperoleh daripada pelbagai kajian yang dilakukan, seperti kajian tindakan, kajian keperluan, dan soal-selidik hanya berguna jika ia dijadikan landasan untuk tindakan berikutnya. Selain follow up, follow through mesti dilakukan. Usaha untuk menambah baik dalam apa jua segmen di sekolah patut dilakukan secara berterusan. Di sinilah pengorbanan daripada para guru diperlukan dan kerjasama komuniti dialu-alukan.

27. Kita tentu ingin melihat hasil keputusan peperiksaan sekolah kita meningkat setelah usaha dibuat ke atas lompang yang benar-benar memerlukan perubahan sebagai lawan kepada agakan, sangkaan dan rasa-rasa sahaja.

28. Para guru juga mesti bersikap dinamik dan proaktif. Apabila disebut warga pendidikan yang proaktif saya bermaksud yang guru-guru dalam organisasi sekolah harus mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap apa yang akan berlaku, mengenal pasti kekuatan dan kelemahan, di samping menjana pendekatan yang bersesuaian di samping bersedia dengan segala kemungkinan.

29. Jika seorang pengetua sentiasa bertanyakan soalan apa lagi yang patut saya lakukan untuk sekolah saya, guru-guru wajar bertanya apa lagi yang patut aku lakukan untuk murid-murid dalam kelas saya. Apakah kemungkinan-kemungkinan yang akan terjadi dalam kelas. Jika semua guru memikirkan apa yang patut dilakukan untuk yang terbaik bagi anak murid mereka, saya fikir 80% masalah sekolah akan selesai.

30. Pengamatan saya mendapati kebanyakan masalah sekolah berpunca daripada pengabaian di dalam kelas. Apa yang sepatutnya diurus dalam kelas tidak diurus seperti yang sepatutnya . Apa yang sepatutnya berlaku tidak berlaku di dalam kelas. Jika gejala ini dibiarkan terus berlaku bererti sebuah dunia kecil yang dilambangkan melalui sebuah kelas akan gagal dibentuk. Oleh itu bagaimana dunia sebenar boleh dibentuk.

31. Sebab itu saya tetap mempertahankan pernyataan bahawa sistem pendidikan bertaraf dunia bermula dari dalam bilik darjah. Dan yang menentukannya ialah guru subjek itu sendiri, bukan pengetua atau guru besar per se.

32. Sebagai contoh jika pelajar didapati ponteng kelas, hal yang demikian berlaku kerana ketidakcekapan guru menguatkuasakan sistem kawalan dalam kelas dan sistem keluar masuk kelas pada waktu itu. Jika pelajar sampai bergaduh dalam kelas, jawapannya kerana ada lompang yang membolehkan mereka berbuat begitu yang antara sebabnya ialah kelewatan guru masuk ke kelas.

33. Begitu juga kalau pelajar bising. Apakah kerana pelajar bising dalam kelas yang guru-guru ada di dalamnya, kesalahan harus ditunjuk kepada pengetua atau penyelia petang. Jika bukan, maka para guru tiada pilihan lain selain menjalankan P & P secara berkesan yang turut meliputi langkah-langkah kawalan kelas. Maka Pengetua dan Guru Besar mesti memastikan hanya P & P yang terbaik dan berkualiti sahaja yang berlaku di dalam kelas.

34. Maka saya menyeru kepada barisan pemimpin sekolah agar sentiasa memastikan pembentukan sebuah dunia kecil benar-benar berlaku di dalam bilik darjah.Langkah-langkah yang diambil dalam bilik darjah itulah yang harus diperkemaskan. Ini termasuklah amalan menghormati guru yang masuk dan keluar kelas, kebersihan dan keceriaan dalam kelas, penguatkuasaan tugasan pelajar, sistem keluar masuk kelas, pematuhan kepada arahan, memberi tumpuan, pematuhan terhadap jadual waktu, dasar menjadikan buku teks sebagai pegangan utama, perkakasan belajar, dan P & P itu sendiri.

35. Ternyata sekali tugas guru subjek bukannya kecil. Jangan sampai Pengetua terlepas pandang dalam hal ini. Sebahagian tugasan guru subjek ialah mententeramkan pelajar agar pelajar memberi tumpuan terhadap pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Dalam erti kata lain ialah memastikan disiplin dipatuhi di dalam kelas itu agar pembelajaran dalam kelas itu berlangsung dengan lancar dan aman.

36. Disiplin dalam bilik darjah ini amat penting kerana pendidikan berkualiti ialah pendidikan yang bukan sahaja mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik, tetapi juga pelajar yang bermoral dan berakhlak.

37. Dalam erti kata lain, pendidikan berkualiti yang bertaraf dunia itu mestilah menurut acuan negara kita seperti yang digagaskan dalam Wawasan 2020, Islam Hadari dan modal insan.

38. Saya ingin menegaskan di sini bahawa langkah memperkasa sekolah jangan sampai melupakan guru-guru subjek. Lokasi tempat mereka beraksi begitu kecil saiznya, tetapi apa yang mereka lakukannya kesannya besar dan berpanjangan untuk dunia akan datang. Sebab itu langkah memperkasa sekolah mesti turut melibatkan aktiviti memperkasa guru subjek. Biarlah amalan yang berlaku di bilik darjah benar-benar mencerminkan amalan menjadikan sistem pendidikan kita bertaraf dunia.

39. Proaktif juga bermaksud mendahului. Guru-guru wajar terkehadapan dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Dalam hal ini guru-guru mesti menjadikan budaya ilmu sebagai cara hidup, iaitu dengan berusaha mempelajari perkara-perkara baru dalam hidupnya di samping memahirkan subjek yang diajarnya. Topik perbualan guru sepatutnya berkisar pada perkara-perkara yang berfaedah sahaja.

40. Dalam subjek yang diajarnya, guru subjek wajib menjadi pakar dan rujukan kepada anak muridnya. Tentunya amat malang jika banyak pertanyaan murid gagal dijawab dengan sempurna oleh guru yang akhirnya boleh merosakkan keyakinan pelajar kepada guru berkenaan yang implikasinya akan menjejaskan keyakinan pelajar kepada organisasi sekolah seluruhnya.

41. Dalam pengamatan saya pelajar akan lebih menghormati guru yang mempunyai kebolehan tertentu dan dapat berkongsi kebolehan itu dengan para pelajarnya daripada guru yang hanya mengulang benda yang serupa untuk beberapa tahun. Guru yang baik pada saya ialah guru yang bukan sahaja benar-benar menguasai subjek yang diajar, tetapi mampu mengaitkan isi kandungan yang diajar itu dengan ilmu-ilmu yang lain dan maklumat-maklumat terbaru bersama para pelajarnya.

42. Perancangan strategik penting, tetapi yang menentukan kejayaan pelajaran anda pada hari itu ialah taktik dan teknik yang digunakan dalam tempoh mengajar itu. Ia seumpama sebuah permainan bola sepak. Pemain dihantar selama beberapa tahun untuk berlatih di luar negeri, tetapi kejayaan pasukannya ditentukan dalam tempoh 90 minit masa bermain. Kekuatan pelan taktikal ialah kerana ia lebih diperhalusi melalui head count dan TOV.

43. Bagaimana kita menukarkan pencapaian semasa kepada target-target tertentu yang diterjemahkan kepada angka dan peratusan, menggantikan frasa yang kerap kita gunakan sebelum ini seperti lebih kurang, sebahagian besar, kebanyakannya dan selalunya. Di sinilah kuasa “angka” dan “peratus” sebenar ditunjukkan dan menjadi bukti kepada pencapaian seseorang pelajar.

44. Setiap pelajar sepatutnya adalah dalam pengetahuan kita, dan tiada yang terlepas daripada pandangan kita. Di sinilah budaya matematik bermula di mana bilangan menggunakan jari dan sempoa bertukar kepada kalkulator dan rumus matematik.

45. Sebagai guru kita tidak patut curiga tentang maklum balas klien (pelajar) terhadap kita. Sebaliknya pendekatan ini akan melatih kita agar berfikiran lebih terbuka dan berlapang dada berdepan dengan apa jua pandangan klien terhadap kita kerana dapatan berbentuk empirikal itu nanti amat berguna untuk kita mengubah taktik dan teknik kita agar P & P yang berlangsung dalam kelas akan menjadi bertambah baik dari semasa ke semasa.

46. Sebagai guru yang mahu melihat sistem pendidikan di negara kita bertaraf dunia, kita wajar mendokumenkan langkah demi langkah yang kita ambil untuk melaksanakan sesuatu program, termasuk menjalankan P & P. Pendokumentasian adalah elemen penting dalam pelaksaan ISO 9000.

47. Kita sebagai guru mesti bersedia ke arah standard antarabngsa itu jika kita inginkan pendidikan kita diiktiraf di peringkat dunia. Inilah antara langkah mencapai kualiti dalam pendidikan. Tentunya ia bukan cara untuk bermegah-megah tetapi satu keperluan untuk pengiktirafan yang implikasinya menguntungkan organisasi kita bagi jangka panjang.

48. Saya percaya tidak ada ahli yang akan menghindari organisasinya daripada diiktiraf di peringkat global kerana pengiktirafan itu sendiri akan membawa keuntungan kepada seluruh anggota organisasi. Marilah kita mulakannya dalam organisasi kelas kita sendiri.

49. Dalam merealisiasikan misi untuk menjadikan sistem pendidikan kita bertaraf dunia, kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi harus dimanfaatkan secara optimum oleh seseorang guru khususnya dalam penyampaian sesuatu pengajaran, apatah lagi jika guru itu terlibat dalam PPSMI.

50. Kemudahan makmal komputer di sekolah yang disambung dengan talian internet sepatutnya digunakan sebaik mungkin oleh guru untuk mendapatkan maklumat tentang sesuatu topik, dan menambahkan ilmu pengetahuan mereka. Terlalu banyak sebenarnya perkara yang boleh diakses melalui internet. Ia adalah talian perhubungan antara dunia kecil (kelas) kepada dunia yang lebih besar (dunia sebenar).

51. Kalau selama ini guru bergantung kepada perisian yang dibekalkan oleh PPK, sudah sampai masanya guru memperluaskannya kepada penggunaan internet dalam pengajaran. Guru terlebih dahulu sudah merancang laman-laman tertentu yang patut dilayari untuk memperkayakan maklumat pelajar.

52. Dalam hal ini guru mestilah memperuntukkan masa untuk membuat penyelidikan terlebih dahulu dan menyenaraikan URL laman-laman tertentu untuk diedarkan kepada pelajar. Pelajar mesti diberi kepercayaan untuk mengakses sendiri laman-laman itu sebagai memperkayakan maklumat yang sedia ada.

53. Tentunya matlamat ini tidak akan tercapai sekiranya guru sendiri ragu-ragu tentang kemampuan ICT dalam membantu P & P, menaruh syak yang bukan-bukan kepada ICT konon-kononnya ICT lebih banyak keburukan daripada kebaikan dan diburu rasa bimbang yang tidak berasas kepada pelajar-pelajar yang menggunakan kemudahan ICT ini.

54. Model pengkayaan kurikulum atau the curriculum enrichment model difikirkan paling tepat untuk mencapai misi menjadikan Malaysia bertaraf dunia. Model ini menekankan peri mustahaknya kesinambungan pembelajaran antara sekolah dan rumah melalui perkongsian pintar antara ibu bapa dan komuniti luar dengan pihak sekolah. Ia seolah-olah memberi gambaran kepada kita hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan meletakkan sisem pendidikan kita bertaraf dunia tidak akan berjaya jika ibu bapa sebagai tuan punya sebenar anak-anak tidak berkongsi hasrat itu.

55. Dalam perkara-perkara tertentu guru mesti akur tentang kepakaran ibu bapa yang kalau tidak melebihi pun sekurang-kurangnya menyamai kepakaran mereka. Di luar sana sebenarnya ada ibu bapa dan komuniti yang bersedia untuk membantu dalam bilik darjah tetapi kerana “perceived their involvement as not wanted or valued” atau “confused and often do not know what is expected of them or how they might contribute to their child’s schooling” seperti pandangan Davies, 1988 dan Epstein, 1990 mereka tidak bersedia untuk membantu.

56. Mereka ini mungkin terdiri daripada golongan profesional dan orang yang telah berjaya dalam bidang masing-masing. Bukan pihak sekolah tidak pernah menjemput mereka, cuma sekali sekala dalam aktiviti tertentu, tetapi apa salahnya jika mereka ini dibawa ke dalam kelas semasa sesi p & p berlangsung. Saya berpendapat dengan cara itu sumbangan mereka lebih dihargai dan menjadikan perkongsian sekolah-rumah lebih bermakna.

57. Selain yang sebutkan tadi, guru-guru hendaklah sentiasa mengekalkan etika kerja yang mantap, bersifat luhur, bersedia berkorban, bertanggungjawab dan berakauntabiliti untuk membantu mencapai hasrat ini.

58. Berkorban bermaksud bersedia untuk diberikan tugasan yang lebih, bekerja di luar masa, tidak terikat dengan tugasan rutin, tidak pernah berpada dengan pencapaian sedia ada, tidak menyerahkan tanggungjawab itu kepada orang lain, atau berdiam diri sahaja jika ada sebarang masalah.

59. Guru juga mesti berupaya menjadi contoh kepada anak muridnya dari segi ketepatan waktu, penggunaan bahasa, amalan berkomunikasi yang baik, penampilan diri dan penguasaan ilmu dan pengamalan budaya ilmu.

60. Guru-guru juga hendaklah sentiasa menambahkan ilmu pengetahuan sejajar dengan keperluan belajar sepanjang hayat. Bersama-sama mendokong sekolah sebagai institusi pembelajaran yang menjadikan budaya ilmu sebagai budaya teras di mana setiap ahlinya menjadi manusia yang menghabiskan masa dengan bercakap, bertindak berdasarkan ilmu, termasuk menghormati orang yang lebih berilmu termasuk para intelektual dan ulamak.

61. Guru hendaklah sentiasa melaksanakan penambahbaikan yang berterusan melalui muhasabah ke atas diri sendiri dan menjadi contoh terbaik kepada orang lain

62. Akhir kata, selain mampu menguasai bidangnya sendiri, para guru diharapkan berani menampilkan idea-idea terkini kepada pihak sekolah dan murid-muridnya. Mereka mesti terbuka dalam banyak perkara. Ketahuilah dengan menutup mata daripada perkembangan dunia masa kini dan mengekang diri dengan idea dan cara lama tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Hakcipta Abd Bashid Harun

Guru dan Alam Pendidikan






Konsep ilmu 
Ilmu merupakan sesuatu perkara yang berkaitan dengan kefahaman atau pengetahuan terhadap sesuatu perkara yang amat berguna kepada kita. Pengetahuan tersebut berhubungan dengan penemuan tentang sesuatu perkara di dunia ini melalui cara yang sistematik. Ilmu pengetahuan tidak hanya sebuah kumpulan pengetahuan tetapi juga sebuah proses penyelidikan. Ilmu pengetahuan juga merupakan proses yang mempunyai kesinambungan untuk mencari pengetahuan baru, penjelasan baru dan pemahaman-pemahaman yang lebih dalam. 


Peranan Guru dalam Alam Pendidikan 

1. Guru sebagai pengamal ilmu. 
2. Guru sebagai pengamal kemahiran. 
3. Agen memenuhi keperluan Negara. 
4. Guru sebagai Agen Sosialisasi. 
5. Guru sebagai Agen Perubahan. 
6. Guru sebagai Pakar Rujuk 
7. Guru sebagai Mentor. 
8. Guru sebagai Pengurus 
9. Guru sebagai Penyelidik 
10. Guru sebagai Patriot.


Ciri-ciri Seorang yang Berilmu 

Seseorang yang berilmu mempunyai ciri-ciri berikut: 
  • Memperoleh pengetahuan yang luas, mengetahui kebenaran sesuatu perkara dan mempunyai keyakinan dalam melakukan sesuatu. 
  • Mempunyai kesanggupan dalam menggunakan ilmunya untuk menegakkan kebenaran dan keadilan. 
  • Memberi sumbangan yang amat bermakna kepada diri, keluarga dan masyarakat. 
“Budaya Ilmu” 

Budaya bermaksud sesuatu perkara atau amalan baik yang diamalkan oleh seseorang, manakala ilmu pula merupakan susunan konsep sesuatu perkara yang mempunyai perkaitan dengan kehidupan dan kesejahteraan manusia. 

Berdasarkan pengertian tersebut dapatlah dijelaskan di sini bahawa budaya ilmu merupakan amalan tentang sesuatu perkara berguna yang dilakukan untuk memperkembangkan sesuatu pengetahuan atau kemahiran. Amalan ilmu tersebut akan mendatangkan kebaikan dan kesejahteraan kepada pengamalnya. 

Ilmu yang Wajar Dimiliki oleh Seseorang Guru yang Berkesan 

Ilmu yang harus dimiliki oleh seseorang guru yang berkesan ialah: 

  • Ilmu pengetahuan berkaitan dengan mata pelajaran yang diajarnya. 
  • Ilmu pengetahuan dan kemahiran-kemahiran lain selain daripada mata pelajaran yang diajarnya sendiri. 
  • Ilmu akhiran juga perlu ada pada seseorang guru. Ilmu itu akan digunakan untuk membimbing murid-murid menguasai kedua-dua ilmu tersebut. 
Cara-cara Guru dapat Memenuhi Keperluan Negara 

Keperluan negara dalam konteks ini ialah melahirkan tenaga kerja yang berkualiti tinggi dan memiliki kemahiran-kemahiran yang dapat membangunkan negara ini. Oleh itu, guru memainkan peranan penting dalam memenuhi aspirasi negara. 

Cara guru dapat memenuhi keperluan negara terbahagi kepada dua iaitu: 

1. Peranan guru kepada diri sendiri 

Guru harus sentiasa menambah dan memperkembangkan ilmu serta kemahiran-kemahiran profesional. Kemahiran yang ada pada seseorang guru akan dapat digunakan untuk melahirkan para pelajar yang juga pada suatu hari nanti akan menjadi sebahagian daripada tenaga kerja negara. 

2. Peranan guru terhadap pelajar 

Guru memainkan peranan yang amat besar bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dan memiliki kemahiran yang tinggi sebagai tenaga kerja.Untuk membentuk seorang pelajar sedemikian, guru haruslah membimbing, memotivasi, memberikan pendidikan yang sewajarnya dan mengajar kemahiran-kemahiran yang pelbagai kepada para pelajar. 

Peranan guru sebagai Agen Sosialisasi 

  • Memberi peluang kepada pelajar untuk menguasai pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang difikirkan sesuai untuk perkembangan diri dan masyarakat. 
  • Memastikan perubahan dan perkembangan tingkahlaku murid adalah mengikut nilai, norma dan kehendak masyarakat. 
  • Bukan sekadar penyampai ilmu, malah memupuk sikap, nilai dan sahsiah yang sempurna selaras dengan keperluan kendiri dan tuntutan masyarakat. 
Peranan Guru di Sekolah untuk Membawa Perubahan dalam Masyarakat 

  • Membawa ilmu pengetahuan dan mengajarnya kepada masyarakat. 
  • Mengubah cara hidup masyarakat dengan memberikan pelbagai pengetahuan yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian. 
  • Memodenkan cara hidup masyarakat setempat dengan ilmu-ilmu terkini yang diajarkan kepada mereka. 
  • Membawa perubahan-perubahan baru untuk memenuhi aspirasi dan kehendak pelajar, masyarakat dan negara yang semakin kompleks dan progresif. 
  • Mewujudkan iklim sekolah yang dinamik dan memenuhi keperluan dan cabaran masa depan yang sering berubah serta meningkat dari semasa ke semasa. 
Kriteria-kriteria Utama yang Membolehkan Guru Dianggap Sebagai Pakar Rujuk 

Pakar rujuk bermaksud seseorang guru tersebut akan menjadi bahan rujukan bagi rakan sekerja dan juga murid-murid. Oleh demikian, seorang guru yang ingin menjadi pakar rujuk mestilah mempunyai kriteria-kriteria berikut: 
  • Mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam mata pelajaran yang diajarnya. 
  • Menguasai pengetahuan mata pelajaran dan kemahiran-kemahiran yang lain. 
  • Berjaya mencari, mengenalpasti dan menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi oleh pelajar dan rakan sekerja. 
Sifat dan Kualiti Mentor (guru) yang Berkesan 

Sifat dan kualiti mentor yang berkesan ialah: 

  • Guru tersebut merupakan seorang yang berbudi pekerti, berhemah tinggi dan bersopan santun. 
  • Seseorang guru itu haruslah mudah didampingi oleh orang lain terutamanya pelajar. 
  • Mempunyai sikap ramah mesra semasa melayani pelajar-pelajarnya. 
  • Memiliki semangat berbakti yang tinggi. 
  • Bersikap jujur ketika menjalankan tugas.
  • Prihatin terhadap keperluan anak muridnya. 
Tugas-tugas Guru Sebagai Pengurus Bilik Darjah 

  • Menguruskan rutin harian dan hal-hal yang berkaitan dengan bilik darjah. 
  • Mengurus murid-murid supaya mereka dapat menjalankan tugas mengikut jadual 
  • Mengurus murid-murid supaya mematuhi peraturan bilik darjah. 
  • Menguruskan keadaan fizikal bilik darjah supaya menjadi lebih kondusif dan memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran. 
  • Mengurus bahan-bahan pengajaran supaya dapat digunakan dengan lebih berkesan. 
  • Mengurus aktiviti kumpulan supaya dapat dilaksanakan mengikut perancangan. 
Masalah-masalah yang Sering Dihadapi oleh Guru dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran 

Masalah yang sering dihadapi oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah: 

  • Kekurangan Bahan Bantu Mengajar dan Belajar. 
  • Memilih strategi dan aktiviti yang sesuai berdasarkan kemahiran yang hendak diajar. 
  • Masalah komunikasi di kalangan murid-murid dan guru. 
  • Masalah kawalan kelas 
Kajian Tindakan ke atas Amalan Bilik Darjah 

Kajian tindakan ke atas amalan-amalan bilik darjah dijalankan untuk: 

  • Mengenalpasti masalah-masalah yang wujud di dalam bilik darjah dan memikirkan cara untuk mengatasinya. 
  • Memastikan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dapat dilaksanakan dengan baik. 
  • Memastikan peraturan dalam bilik darjah dipatuhi oleh para pelajar. 
Peranan yang Dimainkan oleh Sekolah dalam Pembentukan Semangat Patriotisme di kalangan Murid-murid 

  • Melahirkan pelajar yang patuh pada undang-undang dan peraturan sistem pentadbiran negara. 
  • Menggubal kurikulum dan budaya sekolah yang dapat menyemai serta membentuk semangat patriotisme di kalangan murid-murid. 
  • Menyampaikan sesuatu ilmu pengetahuan yang tidak bertentangan dengan dasar-dasar kerajaan. 
  • Menanamkan semangat cinta dan setia kepada negara.
Tulisan kulanzsalleh.com

12 Pendekatan Memotivasikan Pelajar

Hari ini aku blogwalking terus mencari ilmu Allah yang tak pernah habis.  Terasa pulak kerdilnya aku di bumi Allah ini. Banyaknya perkara yang aku tak tahu. Subhanallah....

Carian aku terhenti seketika memberi peluang anak mata aku membaca artikel yang ditulis oleh Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad, Ph.D. Maka, aku kongsikan di sini. Ia amat berguna sebagai panduan warga pendidik dalam memotivasikan murid di sekolah. Sama-sama kita renungkan...

1. Penerangan Yang Jelas. 

Kajian menunjukkan kebanyakan pelajar tidak cemerlang dalam kerja rumah dan tugasan kerana mereka tidak tahu apa yang patut mereka lakukan. Guru sepatutnya memberikan sedikit masa untuk menjelaskan perkara berikut: 
a. Kenapa tugasan yang diberikan itu penting? 
b. Apa kaitan sesuatu subjek dengan kehidupan? 
c. Memastikan pengetahuan asas mereka mantap. 
d. Beritahu bagaimana hasil kerja mereka akan dinilai. 


2. Ganjaran. 

Pelajar yang tidak mempunyai motivasi dalaman yang kuat boleh dimotivasikan secara luaran dengan menyediakan pelbagai bentuk ganjaran. Lihat apa kebaikan dan kelebihan pelajar dan suburkannya, mereka pasti mengulangi kebaikan ini dilain masa. Pelbagai bentuk ganjaran boleh diberikan seperti hadiah, puji-pujian, pelepasan dari tugas harian, dan sebagainya. 

Ganjaran bukan sahaja diberikan terhadap pencapaian yang diperolehi tetapi juga terhadap usaha yang diberikan. Berikan insentif agar pelajar berusaha untuk menguasai pengetahuan dan maklumat bukan sekadar bersaing antara satu sama lain. Ganjaran luar yang berkesan ialah yang mampu menjana motivasi dalaman pelajar. 

3. Tetapkan Matlamat. 

Setiap pelajar mestilah disuruh menetapkan matlamat untuk setiap mata pelajaran yang diambil. Ikuti perkembangan pelajar dan pastikan setiap pelajar mampu merealisasikan matlamat masing-masing. 

4. Ambil Berat. 

Pelajar akan memberikan tindakbalas yang positif terhadap guru yang ambil berat tentang diri dan masalah mereka. Memahami adalah lebih baik dari menghukum. Ada ketikanya guru perlu bercerita kisah lampau, memberitahu kesilapan-kesilapan yang pernah mereka lakukan, dan lain-lain sebagai suatu teladan untuk pelajar. Dengan cara ini wujud kemesraan antara guru dan pelajar. Ini penting untuk mewujudkan jambatan emosi, saling mempercayai dan saling bertanggung jawab. Sekiranya mereka lakukan kesilapan, pastikan mereka faham bahawa semua orang boleh lakukan kesilapan tetapi jelaskan kepada pelajar iaitu manusia berjaya ialah mereka yang belajar dari kesilapan. Sentiasa tanya apa matlamat mereka? Apa perancangan mereka? Sejauh mana progres mereka? Apa minat mereka? Apa kerjaya pilihan mereka? Dan sebagainya. 

“Pelajar tidak prihatin sejauh mana anda tahu sehinggalah mereka tahu sejauh mana anda prihatin terhadap mereka”. 

Ada ketikanya guru perlu bertemu pelajar secara personal untuk membuktikan yang mereka benar-benar ambil berat tentang mereka. Malah usahakanlah untuk dari semasa ke semasa mengatur sessi perbincangan personal ini dengan semua pelajar. 

5. Penglibatan Pelajar. 

Salah satu kunci motivasi diri ialah penglibatan aktif pelajar dalam pembelajaran. Berdiri di depan kelas dan memberi syarahan untuk memotivasikan mereka lambat laun tidak akan meninggalkan sebarang kesan. Rangsang pelajar untuk terlibat dalam aktiviti seperti perbincangan kumpulan, penyelesaian masalah, aktiviti luar, interaksi antara pelajar dan saling membantu. Pelajar akan lebih bermotivasi apabila mereka rasa diri mereka penting dan diperlukan. Oleh itu libatkan setiap pelajar dalam pelbagai kerja guru seperti mencari bahan rujukan, mencari biografi orang tertentu, menyusun atur bilik darjah mengangkat buku dan sebagainya. 

6. Penuhi Keperluan Pelajar. 

Guru mestilah sedar bahawa setiap pelajar memerlukan daya hidup, kasih sayang, kuasa memilih, keseronokan dan kebebasan. Misalnya, memberikan peluang pelajar memilih satu dari dua tiga tajuk untuk disiapkan, atau satu dari beberapa aktiviti untuk mereka terlibat, memberikan mereka kuasa memilih. Adakan juga aktiviti pembelajaran yang mereka rasa seronok kerana bebas menyumbang sebarang ide. 

7. Lebihkan Pembelajaran Visual. 

Berikan penerangan dalam bentuk yang visual agar pelajar mampu memahami dan mengingati dengan lebih berkesan. Gunakan bahasa visual, gambar, lakaran. Graf, carta, imej 3D dan sebagainya. Berikan gambaran jelas dengan peta konsep agar pelajar tahu apa kandungan penting sesuatu bab dan dapat melihat kaitan antara satu bahagian dengan bahagian yang lain dalam bab tersebut. Ini membolehkan pelajar membentuk rangka asas terhadap satu-satu topik baru dan seterusnya menimbulkan minat dan meningkatkan pemahaman mereka. 

8. Gunakan pelbagai emosi untuk merangsang pembelajaran dan motivasi. 

Kekuatan memori ada kaitannya dengan tahap emosi yang membentuk pengalaman seseorang. Pelajar akan lebih mudah mengingat dan memahami sesuatu yang disertai dengan pendekatan emosi. Pelajar akan lebih bersedia untuk belajar apabila ada unsur-unsur kepelbagaian emosi kerana mereka tidak akan bosan. Jangan malu untuk mempelbagaikan watak, gaya dan pendekatan anda demi menarik minat pelajar terhadap apa yang mahu anda sampaikan. Sebagai guru, hakikat siapa anda tidak penting yang penting ialah siapa mereka 10 – 15 tahun yang akan datang. Setiap pendekatan emosi yang diambil sama ada marah, menghiburkan, tegas dan sebagainya tidak lain hanya sekadar lakunan yang tujuannya untuk membentuk dan mendidik. 

9. Ajarkan Mereka Strategi Dan Teknik. 

Ajarkan mereka teknik pembelajaran berkesan, pengurusan masa, kaedah membaca, kaedah mengambil nota dan sebagainya. Tanam dalam fikiran pelajar bahawa ‘Belajar Itu Mudah’. Pecahkan sebarang halangan mental terhadap mata pelajaran akibar terpengaruh oleh pendapat orang lain – Misalnya ramai pelajar percaya bahawa ‘Kimia itu susah’. 

10. Terima Pelajar Seadanya. 

Ramai guru yang berkata bahawa mereka lebih suka sekiranya pelajar mereka semuanya rajin, pandai, gigih, tekun dan berdisiplin. Mereka tidak sanggup terima kenyataan bahawa tidak semua pelajar begitu. Mereka memandang pelajar yang bermasalah ini dengan sebelah mata. Pelajar ini tidak dipedulikan sebab mereka rasa mereka sukar dibentuk. Disinilan berbezanya antara guru biasa dengan guru cemerlang. Guru cemerlang akan terima pelajar seadanya dan menjangkakan kejayaan untuk setiap pelajar ini. Hanya dengan memberikan yang terbaik sahaja maka seorang guru akan merasa puas dengan kariernya. Ramai pelajar gagal kerana guru mereka telah meramalkan kegagalan mereka. 

Guru mesti sentiasa faham, mengajar bukan sekadar memberikan maklumat dan penerangan semata-mata. Mereka juga perlu mempengaruhi pelajar dari segi budaya, pemikiran dan tingkah laku. Guru juga perlu berhati-hati dengan ucapan dan pandangan yang dilontarkan kepada pelajar kerana kesannya sangat besar dalam hidup pelajar. 
Anda hanya ada dua cara untuk membuatkan anda sentiasa diingati oleh pelajar – sebagai seorang guru yang disayangi; atau sebagai seorang guru yang paling dibenci. Mana-mana guru yang berada diantara dua kategori ini pasti akan dilupakan. Apa pilihan anda? 

11. Berikan Kata Perangsang 

Cipta beberapa kata jaya yang menjadi perangsang kepada pelajar anda. Ulangi kata-kata ini. Lekatkan kata-kata ini dalam kelas akan ia lazim dalam pemikiran pelajar. 

12. Amalkan Prinsip ‘3F’ – iaitu ‘Firm’, ‘Fair’ dam ‘Friendly’ atau Tegas, Saksama, dan Mesra. 

Oleh: Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad, Ph.D

Jumaat, 30 Mac 2012

Nota : Guru dan Kemahiran Profesional

Konsep Kemahiran Profesional

Kemahiran profesional bermaksud seseorang itu mempunyai kemahiran dan pakar dalam bidang yang diceburinya. Seseorang yang memiliki kemahiran profesional mampu melaksanakan tugasnya tanpa banyak masalah yang timbul. Bagi seseorang yang profesional, dia bukan hanya mahir dalam bidang yang diceburinya, malah juga mempunyai pengetahuan dalam bidang-bidang lain.


Tiga ciri kemahiran profesional guru. 

Selain daripada memiliki sijil kelayakan kemahiran ikhtisas yang diikhtiraf, guru juga perlu mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam banyak aspek, bukan sahaja mata pelajaran yang diajarnya. 
Bertanggungjawab dan memberikan perkhidmatan yang bermutu tinggi. 
Terlatih dan mahir dalam tugas-tugas mengajar dan membimbing murid-murid. 

Tiga bidang ilmu yang diperolehi dari kemahiran belajar melibatkan penggunaan mental 

1)Bidang kognitif 
2)Bidang afektif 
3)Bidang psikomotor 

Ciri guru yang menguasai kemahiran profesional berfikir 

1)Dapat menggunakan akal untuk menyelesaikan masalah. 
2)Mahir dalam penyusunan maklumat, konsep atau idea. 
3)Berfikir untuk menghasilkan sesuatu yang baru terutamanya dalam pengajaran. 

Peranan guru sebagai pemudahcara 

1)Memberi bimbingan, motivasi dan menggerakkan murid-murid dalam kelasnya agar  
   menjalankan serta mengikuti aktiviti pembelajaran. 
2)Memastikan penggunaan strategi pengajaran berpusatkan murid dan berpusatkan bahan 
   belajar. 

Kemahiran menggurus bilik darjah oleh guru.

1. Pengurusan rutin bilik darjah

• Kemahiran tersebut termasuklah menanda jadual kedatangan murid setiap hari persekolahan, mengutip yuran yang dikenakan kepada murid-murid, menyemak keadaan fizikal bilik darjah dan sebagainya.

2. Pengurusan peraturan-peraturan bilik darjah

• Guru harus menyediakan dan mengurus peraturan-peraturan yang perlu ada di dalam bilik darjah. Kita juga harus memastikan murid-murid mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan itu.

• Memberi ganjaran atau hukuman yang setimpal sekiranya murid-murid melanggar peraturan juga merupakan salah satu kemahiran yang perlu dalam kemahiran mengurus peraturan-peraturan bilik darjah.

Penggunaan komputer dalam pendidikan.

Tiga bidang komputer dalam konteks pendidikan ialah:

1. Komputer Membantu Pendidikan (CAE)

• Iaitu penggunaan sistem komputer yang akan digunakan oleh guru sebagai bahan bantu mengajar semasa proses pengajaran serta membantu mencapai objektif pelajaran.

2. Komputer Membantu Pengajaran (CAI)

• Merupakan penggunaan teknologi dan sistem komputer dalam proses pengajaran. Aplikasi komputer digunakan oleh pelajar terutamanya ketika mengikuti pelajaran terancang atau penggunaan modul-modul pengajaran.

3. Komputer mengurus pengajaran (CMI)

• Penggunaan teknologi dan sistem komputer bagi tujuan mengumpul maklumat data dan menganalisis serta menilai keberkesanan pengajaran di bilik darjah.

Dua kemahiran profesional yang perlu dikuasai oleh guru untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.

1. Kemahiran Belajar

• Guru hendaklah sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan mengemaskini ilmu pengetahuan dan kemahiran dari semasa ke semasa.

• Oleh yang demikian, guru haruslah mempunyai kemahiran belajar agar dapat menerima ilmu pengetahuan dengan sempurna. Sekiranya seseorang itu telah memiliki pelbagai kemahiran dan pengetahuan hasil daripada pembelajarannya, maka dia akan dapat menyampaikan ilmu tersebut kepada orang lain khususnya murid-murid.

2. Kemahiran Merancang

Guru yang mempunyai kemahiran merancang sebelum melaksanakan pengajaran akan berupaya memilih bahan-bahan pengajaran yang sesuai, memilih strategi dan kaedah mengajar serta dapat merancang aktiviti pengajaran yang sistematik.

Sekiranya guru dapat merancang pengajarannya dengan baik, ini akan menjamin keberkesanan pengajaran tersebut dan seterusnya meningkatkan mutu perkhidmatannya.

Ahad, 25 Mac 2012

Permohonan Pertukaran Guru Sesi Jun 2012

Berita baik ditujukan kepada guru-guru yang ingin bertukar sekolah,

Dimaklumkan bahawa permohonan Pertukaran Guru Antara Bahagian / Negeri, Antara Daerah dan Dalam Daerah bagi Pertukaran Sesi Jun 2012 melalui Sistem e-GTukar akan dibuka mulai 1 hingga 30 April 2012 secara online. Pemohon boleh mengakses aplikasi e-GTukar yang ditunjukkan di bawah.




http://apps.moe.gov.my/epgo (Sila pastikan anda menggunakan Microsoft Internet Explorer)


Permohonan pertukaran guru bagi sesi Jun 2012 adalah khusus untuk kes-kes seperti berikut:

i. Mengikut suami/isteri yang telah berada di negeri yang dipohon.

ii. Ancaman keselamatan (sila sertakan laporan siasatan polis)

iii. Kes kesihatan kronik bagi pemohon (sila sertakan laporan kesihatan daripada doktor pakar kerajaan)

Sila pastikan anda mengemaskini maklumat masing-masing sebelum membuat permohonan pertukaran pada bulan April.

Proses pengemaskinian maklumat boleh dilaksanakan melalui laman web e-operasi di laman sesawang berikut http://apps.moe.gov.my/eoperasi/ mulai 1 hingga 30 Mac 2012






Semakan Keputusan Ujian 1 Oleh Ibu Bapa Melalui SAPS

Berita baik untuk ibu bapa dan penjaga,


Ibu bapa penjaga sudah boleh mula melihat slip keputusan Ujian Formatif 1 2012 ( Ujian 1 ) secara online melalui Sistem Analisis Peperiksaan ( SAPS ). Bagi sekolah rendah, sistem ini hanya menyediakan semakan bagi darjah 3 hingga 6 sahaja.


Sila kunjung ke pautan ini Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah