Jiwang Corner :)

Jumaat, 6 Januari 2012

Pend Vokasional Perlukan Perubahan Besar

BANGI: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melahirkan kebimbangan Malaysia tidak akan menjadi negara kompetitif dan terus ketinggalan sekiranya pendidikan vokasional tidak mengalami perubahan besar dan segera. 

Mengambil kira perkembangan yang berlaku di negara maju dan serantau, Timbalan Perdana Menteri berkata kejayaan negara perlu diukur bukan hanya kepada pencapaian dalam bidang akademik tetapi definisi baru kejayaan ialah melalui bidang teknikal dan vokasional.


"Tugas yang paling mencabar ialah menghasilkan tenaga kerja yang dapat memenuhi kehendak industri tempatan iaitu sekurang-kurangnya 3.3 juta pekerja mahir dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya ketika melancarkan Transformasi Pendidikan Vokasional, di Institut Jerman-Malaysia Bangi, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud. 


Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pertumbuhan ekonomi nasional menuntut peningkatan bilangan graduan dalam bidang teknikal dan vokasional. 

Beliau berkata kerajaan telah mengambil langkah proaktif sejak tahun 2009 dengan melihat pelaksanaan pendidikan teknikal dan vokasional di negara maju dan serantau. 

Katanya kadar purata kemasukan pelajar aliran teknikal dan vokasional di peringkat menengah atas bagi negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) adalah 44 peratus berbanding hanya 10 peratus di Malaysia. 
"Jika melihat kepada negara-negara maju, pendidikan teknikal dan vokasional dianggap sebagai satu kekuatan utama dalam sistem pendidikan di semua negara itu. 

"Sebagai contoh, di Jerman, Finland dan Austria hampir 50 hingga 80 peratus pelajarnya mengikuti pendidikan vokasional di peringkat menengah atas melalui program sepenuh masa (4-5 tahun) dan program perantisan," katanya. 


Muhyiddin berkata di negara-negara berkenaan pelajar diberi pilihan untuk mengikuti pendidikan vokasional pada umur 14 tahun lagi. 

Malah, katanya di negara-negara serantau seperti Indonesia dan Thailand, kemasukan pelajar yang mengambil aliran itu di peringkat menengah atas turut menjangkau 40 hingga 60 peratus. 

Justeru, Muhyiddin berkata pendidikan vokasional di negara ini juga sedang menuju ke arah konsep pendidikan untuk semua seperti yang digariskan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco). 

Selain itu, katanya program Pendidikan Asas Vokasional (PAV) juga dibentuk bertujuan memberi pilihan alternatif kepada pelajar yang cenderung kepada pendidikan bercorak 'hands on' dan berasaskan pekerjaan dari peringkat menengah rendah lagi sehingga ke tahap Kolej Vokasional (KV) atau Institusi Latihan Kemahiran Awam (LLKA) dan Swasta (ILKS). 

Katanya bagi merancakkan transformasi pendidikan vokasional, sebanyak 15 sekolah menengah vokasional di setiap negeri telah dinaik taraf mejadi KV rintis pada tahun ini. 

TEKS UCAPAN YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI - MAJLIS PELANCARAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL

"Dengan terlaksananya transformasi ini, maka aliran vokasional tidak boleh lagi dianggap sebagai pendidikan kelas kedua kerana pelajar-pelajar yang keluar nanti adalah pekerja mahir yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi," katanya. - BERNAMA 2012/01/06

Khamis, 5 Januari 2012

Syor Jadual Rehat Anjal

Masa rehat pun boleh anjal rupanya. Aku tak tahu pulak sebelum ini. Di sekolah aku, murid tahun satu bersekolah pada sesi petang. Mungkin perkara ini kurang sesius kerana mereka datang ke sekolah selepas makan tengah hari. Setakat ini aku tak pernah dengar pula ada yang menangis kerana lapar. Alhamdulillah, itu menunjukkan mereka telah kenyang :)

Berikut merupakan kata-kata saranan oleh TPM mengenai isu jadula rehat anjal murid tahun 1. Jom kita baca sama-sama. Sekolah anda bagaimana ?

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menyarankan sekolah menyediakan jadual rehat anjal murid tahun satu bagi memastikan mereka mempunyai tenaga belajar.

Beliau berkata, bagi mengelak murid memasuki bilik darjah dalam keadaan tidak bersarapan, jadual rehat sedia ada iaitu pada 9.45 pagi boleh diubah kepada jam 9 pagi atau 8.30 pagi khusus minggu pertama musim baru persekolahan. Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan sempena hari pertama persekolahan di Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Pantai di sini, semalam. 


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, saranannya itu dibuat selepas diberitahu ramai murid yang ditemui mereka tidak bersarapan pagi sebelum memasuki kelas. “Jadi saya minta sekolah, mungkin kalau ada keadaan sebegini, jadual rehat boleh dibuat lebih awal, anjal, khususnya minggu pertama supaya tiada murid memasuki bilik darjah dalam keadaan tidak bersarapan pagi. 

“Bagi saya itu tidak boleh pandang ringan kerana boleh menjejaskan proses pembelajaran. Saya sendiri pun kalau ke pejabat tanpa sarapan pagi lesu, kita semua pun begitu, apatah lagi anak kecil,” katanya. Timbalan Perdana Menteri berkata, saranan itu tidak bermaksud semua sekolah perlu mengubah jadual rehat sedia ada, sebaliknya boleh dilaksanakan berdasarkan pertimbangan sekolah. 

Mengenai bekalan buku teks, kerusi dan meja ke sekolah, Muhyiddin berkata, semua keperluan itu disediakan dengan sempurna hasil persediaan awal yang dibuat sejak tahun lepas. 

Bernama myMetro: 5 Januari 2012

Rabu, 4 Januari 2012

Minda Pengarang: Pendidikan percuma buka lembaran baru sistem persekolahan

SESI baru persekolahan 2012 yang bermula semalam di Kedah dan negeri Pantai Timur, manakala hari ini di negeri lain benar-benar mencatat sejarah, berikutan buat pertama kalinya pendidikan rendah dan menengah di sekolah kerajaan disediakan secara percuma. Perkembangan ini adalah berikutan pemansuhan bayaran RM24.50 mulai tahun ini bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2012, 7 Oktober lalu.


Hasrat kerajaan memansuhkan bayaran berkenaan adalah bagi membolehkan setiap rakyat negara ini, tanpa mengira latar sosioekonomi, mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Bayaran dimansuhkan itu membabitkan bayaran kokurikulum, kertas ujian dalaman, yuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan insurans takaful. Adalah difahamkan surat pekeliling berhubung penghapusan itu sudah dihantar ke sekolah agar tidak timbul kekeliruan apabila sesi pelajaran bermula. 

Selain pemansuhan bayaran terbabit, kerajaan juga sudah melaksanakan pemberian bantuan persekolahan RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima bagi tujuan membeli peralatan sekolah. Walaupun bantuan berkenaan menyasarkan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, mereka yang berkemampuan turut menerimanya, membuktikan keikhlasan kerajaan membantu semua rakyat. Menerusi kedua-dua langkah ini – ditambah pula dengan skim buku bantuan percuma yang dinikmati pelajar – ia sudah tentu meringankan beban perbelanjaan kira-kira 5.3 juta pelajar.

Bagaimanapun, harapan kita hasrat murni kerajaan ini tidaklah dijejaskan pula oleh tindakan segelintir sekolah mengenakan perbelanjaan tambahan tidak sepatutnya. Sebelum ini banyak rungutan didengar mengenai pembelian buku kerja, amali, selain buku tulis yang tertera cap berkaitan majlis perguruan tertentu, yang tidak pun digunakan sehingga ke akhir tahun. Bagi mengelakkan perkara ini berlaku dan terus menjadi rungutan, Kementerian Pelajaran menerusi Pejabat Pelajaran Daerah memantau bayaran tambahan ini dan memastikan ia dikenakan pada kadar berpatutan.

Bayaran yang dimaksudkan ini termasuk baju-T dan seluar trek sukan, apron, tali leher, beberapa fail tertentu, kad penilaian kurikulum, bayaran koperasi dan juga buku peraturan yang keseluruhannya boleh melebihi RM50. Langkah mengurangkan beban ibu bapa dalam memberi pendidikan kepada anak ini, membuktikan kerajaan serius memastikan setiap kelompok masyarakat mempunyai peluang saksama dalam menentukan masa depan lebih baik. Ia juga menjamin setiap rakyat akan mempunyai tempat apabila negara mencapai aspirasi negara berpendapatan tinggi kelak. 

Berita Harian Online: 4 Januari 2012

Isnin, 2 Januari 2012

Hari Persekolahan Semakin Hampir

Bermula Rabu lepas, guru-guru dah mula datang ke sekolah untuk memulakan tugas pada sesi persekolahan 2012. Kira-kira sebulan bercuti, tak sabar pula rasanya nak memulakan tugas, bertemu muka dengan anak-anak didik yang baharu yang masuk dalam kelas kita. Bagaimana pula lah agaknya ragam mereka. Hehehehe...



Hari ini, kami ke sekolah lagi untuk aktiviti mengemas. Tahun ini banyak tempat yang perlu dikemas memandangkan bilik guru ada pengubahsuaian. Kelas-kelas juga berubah kedudukannya termasuklah kelas aku. Arghhhh...

So, hari ini aku fokus kepada mengemas bilik guru terutamanya tempat duduk atau meja aku sendiri. Memandangkan aku berkongsi meja dengan guru sesi petang, aku letak barang aku berpada-padalah. Nanti orang kata gila kuasa plak !

Berlatar belakangkan bilik guru sebelum ini. Keadaan bilik guru terkini belum sempat pula aku rakamkan. 

Alhamdulillah, bilik guru telah di cat dengan warna kegemaran aku iaitu hijau, ditambah dengan kipas syiling dan sofa yang baharu. Sekerang-kurangnya kami dah tak hangat lagi. Nak pasang pendingin hawa masih belum cukup badget plak. InsyaAllah, jika ada yang taja nanti, dapatlah kami mendinginkan suhu badan. Boleh pulak camtu ek ? Ahak...

Alas meja tahun ini tema biru. Itu pun aku kirim kat seorang rakan untuk membelinya. Bukan aku nak ambil kesempatan, tapi memandangkan dia sukarela melakukannya. Hehehe...alasan semata2 plak aku ni :)

Mengangkat buku-buku dan peralatan lain dari bilik khas, sudah membuatkan badan dan kaki aku lenguh2. Almaklumlah semua jentera dalam badan ni dah lama bercuti. Tapi kena gagahkan juga memandangkan semangat kerja yang kuat datang mengatasi segala kepenatan. Alhamdulillah....

Selesai menyusun atur buku2 rujukan tengahari tu, perut mulalah menyanyi2. Entah lagu apa, aku pun tak tahu. Yang aku dapat rasa bunyinya seperti ini. Kriok...kriok...kriok...

Itu menunjukkan masa untuk makan. Jom, kita makan dulu !!!

Ahad, 1 Januari 2012

Selamat Tahun Baru 2012



Alhamdulillah...tahun baru 2012 telah menjelma. Jd bersama2lah kita berusaha memperbaiki segala kelemahan kita selama ini. Ini antara tips2 yg boleh kita lakukan. Selamat beramal. ^_^

• DELETE semua FILE kebencian & ammarah
• INSTALL anti-virus ego & putus asa
• RESTART kehidupanmu dgn kasih sayang
• REFRESH peribadi kita yg mulia
• DOWNLOAD sifat2 SABAR & TAQWA
• UPLOAD tingkahlaku yg BENAR, JUJUR & IKHLAS
• Jangan meng-'UNDO' pengalaman buruk & sedih
• LOADING semua dgn DOA & USAHA
• COPY & PASTE semua pengajaran & ilmu yg bermanafaat

Sabtu, 31 Disember 2011

Walimatul Urus Seorang Sahabat

Sampai di Wakaf Bharu, saya dan rakan tinggal di sebuah rumah tamu milik seorang rakan. Alhamdulillah...semuanya berjalan dengan lancar. Kebetulan rumahnya itu memang dekat sangat dengan Stesen KTM wakaf Bharu itu.

Selepas merehatkan diri beberapa jam, kami bertolak ke majlis persandingan sahabat pula di Machang. Perjalanan mengambil masa kira-kira sejam suku dari rumah. Sampai di sana, kelihatan ada juga 3 orang sahabat yang telah mendahului kami.

Selepas jumpa dengan sahabat dan ibu bapanya, kami pun terus makan. Almaklumlah, perut pun memang sedang berkeroncong. Hehehehe...memang tak senonohnya orang Johor ni. Hishk...senonoh lah. Sopan lagi tau ! 

Gulai kawah kambing segar

Jantung pisang masak pe ek ? Saya makan jerk...

Jamuan yang diberi, memang berbeza dengan jamuan yang diberi oleh orang Johor. Tapi saya tiada masalah. Asalkan namanya makanan ( yang halal ok...) saya makan jerk kecuali ada beberapa jenis lah yang saya tak boleh makan atas sebab-sebab tertentu. Menu kali ini adalah nasi putih, kambing gulai kawah, jantung pisang, serawa keledek, dan acar timun nenas. Sedap kambing tu... Memang kegemaran hamba apatah lagi kambing segar. Erm...yum,yum...( makan sampai kenyang nampaknya )

Sebelum pengantin lelaki sampai

Kira-kira jam 3.00 petang pengantin lelaki pun sampai. Mereka dijamu terlebih dahulu. Biasalah, adegan makan bersuap oleh pasangan pengantin dah jadi adat. Saya tumpang gembira...semoga jodoh mereka berkekalan dan bahagia hingga ke akhir hayat. InsyaAllah, amin...


Selepas siap makan, mereka naik ke atas pelamin lantas imam membacakan doa. Sesi bergambar terus berlangsung sementara kami mula bersiap untuk pulang semula ke Wakaf Bharu. Perancangan kami untuk aktiviti seterusnya ialah membeli belah ( lebih indah lagi jika saya gunakan istilah pergi menipiskan duit di dompet ) di Pasar Malam Wakaf Che Yeh yang dibuka hingga ke pagi.


Kerajaan Tanggung RM147j Kos Mansuh Yuran

PETALING JAYA: Kementerian Pelajaran menyediakan peruntukkan tambahan RM20 juta untuk membekal peralatan dan kemudahan bagi kegunaan pelajar apabila sesi persekolahan 2012 bermula minggu depan.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata peruntukan tambahan itu membabitkan penyediaan 122,846 kerusi, 122,675 meja dan 24.4 juta buku teks.

“Bersesuaian dengan program Satu Murid, Satu Kerusi, Satu Meja dan Satu Set Buku Teks, kerajaan menyediakan peruntukan melengkapkan sekolah dengan pelbagai peralatan untuk keselesaan.

“Langkah ini antara usaha yang dilakukan untuk memastikan musim persekolahan tahun depan berjalan lancar,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di sini, semalam. 


MUHYIDDIN  melihat kandungan buku teks ketika  mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di Petaling Jaya, semalam. 
MUHYIDDIN melihat kandungan buku teks ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di Petaling Jaya, semalam.



Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagaimanapun musim tengkujuh ketika ini menyebabkan peralatan untuk tiga sekolah di Pulau Tioman tidak dapat diserahkan mengikut jadual.

Beliau juga memaklumkan seramai 449,475 murid akan memasuki kelas Tahun Satu di seluruh negara, minggu depan, manakala seramai 437,475 pelajar akan menyambung pelajaran ke Tingkatan Satu di sekolah menengah. 

Selain itu, katanya, sebanyak 26 sekolah rendah baru dibina dan 12 daripadanya akan beroperasi mulai Januari 2012, manakala bagi sekolah menengah, 25 sekolah baru dibina dengan empat daripadanya dapat digunakan bulan depan. 

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, kerajaan menanggung RM147 juta kos pemansuhan yuran persekolahan bagi meringankan beban ibu bapa supaya tidak ada sesiapa yang ketinggalan dalam pelajaran. 

“Sebenarnya tidak ada yuran... bayaran hakiki tidak perlu dibayar,” katanya. Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang akan memohon mendapatkan sumbangan daripada ibu bapa untuk melaksanakan program sekolah. “Tetapi, jangan kenakan apa-apa lagi,” katanya. 

Beliau berkata, kerjasama dan pembabitan ibu bapa dalam kegiatan sekolah anak mereka dapat membantu mewujudkan sekolah cemerlang. “Di banyak negara dilawati, yang menyambut saya dulu bukannya guru, tetapi ibu bapa. Macam di Australia, bila ditanya mereka beritahu ‘kami datang ke sini untuk bantu sekolah kerana anak kami belajar di sekolah ini’,” katanya.

Berita Harian Online: 31 Disember 2011

Main Masak-masak dan Berkebun

Hari ini saya tinggalkan dulu isu-isu semasa dalam dunia pendidikan terutamanya SPBA. Saya nak kongsikan pula cerita santai bersama aktiviti saya semasa cuti akhir tahun persekolahan. Di kampung aktiviti saya tidak lain tidak bukan adalah memasak dan berkebun.

Seperti yang saya angankan, saya telah berjaya menanam semula pokok-pokok bunga arwah mak saya. Banyak yang telah mati disebabkan tidak ada siapa yang sempat untuk menjaganya. Kesian pokok-pokok itu. Dahulu, arwah mak memang suka menanam pokok-pokok bunga di sekitar rumah. Sayalah yang selalu membantunya.

Kali ini, cuti yang agak panjang saya manfaatkan sepenuhnya. Selain hari-hari kena jadi chef ( tapi memang tak layak masuk program MasterChef Malaysia pun ), saya usahakan membeli tanah, arang dan batu untuk tanam semula orkid arwah mak. 

 Antara menu yang saya masakkan untuk abah. Hehehe...laris nampaknya :)

Resepinya mudah je. Ni saya sertakan bahan-bahannya :

6 ekor ketam - dibelah dan dibersihkan
3 cwn santan 
2 biji bawang besar *
3 biji bawang merah *
2 inci kunyit hidup *
2 batang serai - diketuk
2 helai daun kunyit
Segenggam cili padi - jika suka pedas boleh ambil bergenggam2x
Garam
Asam keping
sedikit perasa


Dibantu oleh Mak Su yang kebetulan tidak ada kerja, pasu-pasu bunga di tepi-tepi rumah saya angkat dan kumpulkan di satu tempat. Saya punggah dan tanam semula. Alhamdulillah, siap juga projek saya. Walaupun badan terasa sakit-sakit akibat aktiviti menyangkul dan mengangkat pasu, namun saya gagahkan juga. Kalau tidak, tak jadi lah projek tanaman saya nih :)

 Walaupun tak seberapa apa yang saya hasilkan, mudah-mudahan pokok-pokok itu dapat mendoakan kesejahteraan saya kerana telah memberi nafas baru kepadanya :)


Kaji Semula Tempoh Cuti Persekolahan

Apa pendapat rakan-rakan guru bila baca surat ini ?



CUTI sekolah memang menyeronokkan tetapi kepada golongan yang kurang mampu agak membebankan. Saya rasa cuti akhir tahun sejak beberapa tahun ini agak terlalu lama berbanding sebelumnya. Cuti untuk 2012 akan bermula 10 November 2012 dan berakhir 31 Disember 2012. Ini bermakna cuti lebih dari 1 1/2 bulan. 


Saya lebih suka kalau anak saya pergi ke sekolah setiap hari bukan saja belajar tetapi dapatlah mereka bertemu dengan rakan serta guru.Selain cuti akhir tahun terdapat juga cuti penggal iaitu setiap tiga bulan. Juga akan ada cuti selama 1 hingga2 minggu termasuk cuti peristiwa atau perayaan.

Cuti perayaan biasanya pihak sekolah akan dipanjangkan dan akan diganti pada Sabtu dan biasanya sekolah ganti pada Sabtu hanya diisi dengan aktiviti padang atau persembahan di dewan saja. 


Bagi ibu bapa yang mampu cuti yang panjang ini akan diisi dengan makan angin, tetapi bagi yang tidak mampu anak-anak terpaksa duduk di rumah dan menonton televisyen atau bermain video. Lagipun zaman sekarang ini sudah jarang sangat orang menghantar anak balik ke kampung sebab anak-anak akan bosan duduk di kampung kerana tiada kemudahan seperti di bandar.

Oleh kerana ibu bapa terpaksa bekerja anak-anak pula ditinggalkan bersendirian di rumah. Apa yang saya nampak, kebanyakan cuti sekolah ini adalah medan untuk anak-anak melepak, merayau dan berpeleseran di kawasan kedai, taman dan kafe internet (bagi yang tiada kemudahan internet di rumah). Ini akan menggalakkan gejala sosial dalam kalangan kanak-kanak kerana ibu bapa tidak akan dapat memantau anak mereka setiap masa kerana bekerja. 

Saya berharap sangat sekiranya pihak kementerian pelajaran dapat meneliti serta membuat kajian mengenai tempoh cuti persekolahan yang terlalu banyak setiap tahun dan sangat lama itu. 

UTAMAKAN PELAJARAN, Kuala Lumpur. 

Khamis, 29 Disember 2011

KSSR Lengkapi Kemahiran Hadapi Cabaran

KURIKULUM Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan sebagai usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai relevan untuk memenuhi keperluan semasa serta menghadapi cabaran abad ke-21. 

Pelaksanaan KSSR menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) bermula sesi persekolahan Januari lalu bertujuan meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran bahasa Inggeris.


KSSR digubal dalam pernyataan standard terdiri daripada standard kandungan dan pembelajaran yang perlu dicapai murid dalam satu tahap persekolahan.
Standard Kandungan ialah penyataan spesifik mengenai perkara murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai, manakala Standard Pembelajaran ialah penetapan kriteria atau petunjuk kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.

Berikut adalah soal jawab KSSR bagi membolehkan kita memahami konsep diperkenalkan Kementerian Pelajaran.

Apakah perbezaan KSSR dengan KBSR?

KSSR adalah reka bentuk kurikulum berasaskan 6 tunjang iaitu Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai; Kemanusiaan, Perkembangan Fizikal dan Estetika; Sains dan Teknologi serta Keterampilan Diri. 
KSSR menggunakan Elemen Kreativiti dan Inovasi, Keusahawanan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) secara eksplisit dengan memfokuskan kepada 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul).

KBSR adalah reka bentuk kurikulum berasaskan tiga bidang iaitu Komunikasi; Manusia dan Alam Kelilingnya dan Perkembangan Diri Individu. Kaedah ini menggunakan Elemen Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif dengan fokus kepada 3M (Membaca, Menulis dan Mengira)

Adakah terdapat perubahan mata pelajaran dalam KSSR Tahap Satu? 

Dalam KSSR Tahap Satu, ada beberapa mata pelajaran baru di samping penggabungan semua disiplin ilmu dalam Modul Teras Asas, Modul Teras Tema dan Modul Elektif bagi pengurusan kurikulum lebih berkesan.

Mengapa Sains tidak dijadikan Modul Teras Asas? 

Sains tidak dijadikan Modul Teras Asas kerana Modul Teras Asas memberi fokus kepada literasi dan numerasi, kesejahteraan diri dan pembangunan rohani. Manakala Sains pula diperkenalkan dalam Modul Teras Tema bagi memberi pengetahuan asas disiplin ilmu Sains.

Adakah murid akan bosan di dalam kelas dengan penambahan waktu Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) bahasa Inggeris?

Tidak. Kaedah dan teknik yang pelbagai diperkenalkan oleh guru untuk menarik minat murid. Modul Language Arts yang menekankan pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa. P&P bahasa yang menarik dan efektif dijalankan melalui aktiviti menyanyi, jazz chants, choral speaking, drama, muzik dan bahan bantu mengajar lain yang sesuai.

Apakah usaha dilakukan bagi menyediakan guru bagi pelaksanaan KSSR?

KPM menjalankan kursus penyebaran KSSR kepada semua guru terbabit dalam pelaksanaan KSSR. Guru juga dibekalkan bahan sokongan dan boleh mengakses maklumat daripada laman web di KPM seperti berikut: http://www.moe.gov.my/bpk atau menghubungi Bilik Gerakan KSSR di nombor telefon 03-88842283.

S: Adakah KSSR mampu mendorong kreativiti guru dan murid dalam P&P?

J: KSSR mampu mendorong meningkatkan kreativiti guru dan murid melalui pendekatan P&P seperti didik hibur dan elemen nilai tambah merentas kurikulum. Guru dibekalkan dengan buku panduan kreativiti untuk membantu pelaksanaan P&P.

S: Dalam tahap 1, setakat manakah pendidikan seks diajarkan? 

J: Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) tidak diajar sebagai satu mata pelajaran tetapi sebagai komponen yang besar (75%) dalam mata pelajaran Pendidikan Kesihatan. 

Berita Harian Online: 29 Disember 2011

Selasa, 27 Disember 2011

SBPA: Skim Gaji Perkhidmatan Guru Perlu Diperbaiki

SAYA mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan yang bersetuju untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA. SBPA secara umumnya memang mendatangkan banyak kebaikan kepada semua pihak. Contoh ketara ialah peningkatan gaji mati bagi guru iaitu antara 19.34% hingga 56.78%. Perkiraan ini adalah berasaskan gaji mati P1T3 @ P1T2 mana yang berkenaan di gred gaji SSM dengan gaji mati SBPA.

Gaji mati SBPA ini berdasarkan kutipan maklumat dari blog-blog yang boleh dipercayai. Ini kerana laman web JPA setakat ini belum memaparkan jadual gaji SBPA. Namun maklumat ini sangat boleh dipercayai kerana berdasarkan pengalaman gaji saya sendiri yang          diwar-warkan di blog tersebut adalah sama dengan tawaran opsyen SBPA yang saya terima. Terima kasih kepada kerajaan dan syukur kepada Allah.


Namun, disebabkan SBPA ialah sistem ciptaan manusia pasti terdapat beberapa kekurangan. Izinkan saya berkongsi perasaan dan pendapat bersama pembaca sambil mengharapkan mendapat respons positif daripada pihak-pihak yang berkenaan.

Perkara pertama yang ingin saya kongsikan ialah perbezaan peratusan kenaikan gaji bagi guru di bawah SBPA yang sangat ketara. Kami guru DG44/ DG1-2 cuma mendapat kenaikan gaji sebanyak RM2.01 atau 0.07% iaitu dari RM2,982.99 ke RM2,985. Nilai ini terlalu rendah jika dibandingkan dengan guru DG54/DG1-6 iaitu sebanyak RM1,857.46 bersamaan 35.94% iaitu dari RM5,167.64 ke RM7,025.00.

Malah terdengar desas-desus peningkatan gaji JUSA dan kumpulan Premier pula lebih RM3,000 sebulan. Saya tidak dapat memastikan kesahihannya kerana JPA seolah-olah cuba menyembunyikan jadual gaji SBPA daripada menjadi tatapan umum.

Untuk tujuan perbandingan tersebut, saya telah menggunakan kaedah yang sangat adil iaitu berdasarkan gaji permulaan bagi kedua-dua gred yang dibandingkan.

Saya mengharapkan agar gaji permulaan SBPA bagi guru DG2-3, DG2-5, DG1-2 DG1-4 dan DG1-5 disemak semula. Jurangnya hendaklah dirapatkan. Kami mengharapkan sekurang-kurangnya 10% kenaikan.

Perkara kedua ialah mengenai tempoh kenaikan pangkat secaratime-based. Jika dihayati ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa membentangkan Belanjawan 2012, tempoh guru DG41 (DG1-1) dinaikkan pangkat ke DG44 (DG1-2) adalah tahun ke-8 dan seterusnya tahun ke-16 dikira dari pelantikan DG41 akan dilantik ke DG48 (DG1-4).

Tapi mengikut SBPA kami menunggu tahun ke-9 atau menggenapkan perkhidmatan selama 8 tahun di DG41/DG1-1 sebelum dinaikkan pangkat ke DG44/DG1-2 dan perlu menggenapkan 8 tahun perkhidmatan di DG1-2 sebelum layak dinaikkan pangkat secara time-based ke DG1-4.

Formula 8+8+6+3. Tempoh Kenaikan Pangkat. Dipetik daripada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 tahun 2011. Jika diikutkan maksud ucapan PM, formula tersebut sepatutnya jadi 7+8+6+4. Kami sangat mengharapkan agar dasar ini dikaji semula.

Perkara ketiga yang ingin saya utarakan juga berkaitan dengan perkara di atas. Sebahagian daripada guru siswazah adalah asalnya seorang guru bukan siswazah/lepasan diploma. Kami dinaikkan pangkat ke guru siswazah secara lantikan atau Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL).

Dalam SBPA kaedah ini dikenali dengan nama Peningkatan Secara Lantikan (PSL). Jika mengikut SSM kami diberi formula 3+7 iaitu menggunakan tempoh perkhidmatan sebagai guru bukan siswazah untuk diambil kira sebagai tempoh perkhidmatan untuk proses kenaikan pangkat ke DG44 atau DG48.

Formulanya ialah setiap tiga tahun perkhidmatan sebagai guru lepasan diploma sebagai setahun perkhidmatan sebagai guru siswazah dengan had maksimum yang boleh digunapakai ialah 9 tahun perkhidmatan bersamaan 3 tahun perkhidmatan guru siswazah.

Di bawah SBPA kami tidak mendapat apa-apa maklumat mengenainya. Kami mengharapkan agar dasar tersebut dipanjangkan di bawah SBPA dengan diberi penambahbaikan iaitu dengan menghapuskan had maksimum 9 tahun perkhidmatan bersamaan 3 tahun perkhidmatan guru siswazah.

Rasionalnya permintaan ini ialah, kebanyakan guru KPSL/PSL ini sudah berumur. Jika dihadkan kepada 9 tahun perkhidmatan sahaja yang diambil kira maka kebanyakan guru ini akan sentiasa ketinggalan dari segi insentif berbanding guru baru. Hargailah jasa guru lama ini.

Perkara keempat adalah cadangan baru dari saya sendiri. Saya mencadangkan agar gred gaji guru KPSL/PSL diasingkan daripada guru lantikan pertama. Saya mencadangkan diwujudkan gred baru. Contohnya DG1-1A, DG1-2A, DG1-4, DG1-5A dan DG1-6A. Jumlah gajinya dicadangkan 10% lebih tinggi berbanding gaji DG1-1, DG1-2, DG1-4, DG1-5 dan DG1-6. Cadangan ini adalah berdasarkan pengalaman saya yang dilantik pada Januari 2001 ke PPPS DG3/41 dengan mendapat kenaikan kurang daripada RM30.

Pada Julai 2007 kerajaan memberikan kenaikan gaji sebanyak 15% kepada kumpulan pengurusan dan profesional manakala kumpulan sokongan 1 (iaitu kumpulan saya sebelum itu) diberi kenaikan 25%.

Kesannya gaji saya lebih rendah berbanding dengan rakan saya yang sama-sama dilantik sebagai guru bukan siswazah dengan kelulusan SPM pada tahun 1990. Luahan kami tidak diambil tindakan yang sewajarnya.

Jawapan standard daripada Pegawai Perhubungan Korporat Kementerian Pelajaran Malaysia ialah tidak boleh membandingkan gaji PPPS DG41 dengan PPPLD DGA32 dan menyarankan kami membandingkan gaji PPPS DG41 dengan gaji PPPLD DGA29.

Suka dimaklumkan PPPS DG41 yang membandingkan gaji mereka dengan gaji PPPLD DGA32 adalah guru KPSL@PSL yang mana jika kami tidak dilantik ke PPPSDG41 maka kami sepatutnya mendapat gaji sebagaimana PPPLD DGA32.

Di sinilah wujudnya anomali iaitu di mana pegawai yang dinaikkan pangkat mendapat gaji yang kurang. Satu lagi hujah Pegawai Perhubungan Korporat KPM yang sangat kami benci mendengarnya ialah menyarankan kami melihat secara keseluruhan iaitu elaun-elaun yang diterima.

Saya akui, jika diambil kira elaun yang diterima, jumlah emolumen yang kami terima adalah lebih berbanding PPPLD32 tapi ia masih tidak berbaloi. Perlu diambil ingatan, elaun tidak diambil kira dalam pembayaran pencen dan gratuiti.

Saya sangat mengharapkan agar semua kesatuan guru mengambil tempoh lanjutan ini untuk mengadakan perbincangan dengan JPA supaya skim perkhidmatan perguruan diperbaiki.

Utusan Malaysia Online: 27 Disember 2011