Jiwang Corner :)

Ahad, 25 Disember 2011

Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan


Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bukanlah suatu perkara yang baru. Seingat saya, beberapa siri taklimat berkenaannya telah dibuat sekitar akhir tahun lepas (2009) lepas dan saya sendiri telah menghadiri taklimat pertama bagi seluruh negeri Sabah yang melibatkan salah satu sub-NKRA berkenaan. Taklimat berkenaan waktu itu diadakan di Labuan.
Setelah beberapa bulan pelaksanaannya, kedengaran juga perbualan tidak rasmi berkenaan beberapa isu yang berkaitan dengan NKRA (Pendidikan) ini. Bahkan saya pernah menerima pertanyaan daripada email untuk mendapatkan penerangan lebih lanjut tentang bidang yang terkandung dalam NKRA dan isu-isu yang mula dibangkitkan.
Bagaimanapun kali ini saya tidak akan terus menyentuh tentang isu-isu yang melibatkan NKRA. Lebih elok sekiranya  buat permulaan dimuatkan secara ringkas kandungan Sub-NKRA Pendidikan di blog ini dan jika ada kelapangan nanti, isu-isu yang berkenaan akan dibincangkan kemudian.
NKRA – National Key Result Area
  • “The Government is set to begin the transformation process in strengthening the efficiency of its delivery system”
  • “ The KPI / KRA are not mere acronyms as they offer clear measures designed to ensure that the government is continuously working to better serve the needs of Malaysians”
  • “ Our real work will begin as we make the transformation of government services happen”
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan
Dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan, kerajaan akan memberi tumpuan kepada 4 sub-NKRA untuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan
Sub-NKRA 1:  Prasekolah
7 teras untuk meluaskan akses kepada pendidikan prasekolah yang berkualiti dan berkemampuan:
  • Penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Prasekolah Kebangsaan dan Bahagian Prasekolah dan PERMATA Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
  • Perlaksanaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK)
  • Menyeragamkan bantuan kepada murid prasekolah kerajaan
  • Meningkatkan kualiti guru dan pembantu guru
  • Menambah bilangan kelas prasekolah di kawasan miskin Bandar, luar Bandar dan pedalaman
  • Meningkatkan Perkongsian Pintar Kerajaan-Swasta dalam pendidikan Prasekolah.
  • Mewujudkan Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan
Sub-NKRA 2: Literasi dan Numerasi
  • NKRA – Peluasan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan
  • Setiap kanak-kanak* menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi selepas 3 tahun mengikuti pendidikan rendah pada akhir tahun 2012
  • *Kanak-kanak berkeperluan khas – didefinisikan sebagai murid bermasalah pembelajaran, masalah pendengaran, masalah pertuturan, masalah penglihatan, terencat akal, mempunyai pelbagai kecacatan, dan kurang upaya secara fizikal. Kurikulum khas literasi dan numerasi dibentuk untuk kanak-kanak berkeperluan khas.
Sub-NKRA 3: Sekolah Berprestasi Tinggi
-  Mengangkat kualiti sekolah-sekolah yang terbaik
  • Meningkatkan kualiti pencapaian institusi pendidikan melalui peningkatan tahap autonomi dan akauntabiliti, membenarkan sekolah melaksanakan inovasi dalam pengurusan masing-masing (pemusatan dalam aspek kurikulum dan anggota perkhidmatan)
-  Menghasilkan pelajar yang cemerlang
  • Sebagai tempat untuk melatihkan pelajar cemerlang bertaraf antarabangsa dan yang menjadi personaliti unggul dalam semua bidang
-  Merapatkan jurang antara sekolah-sekolah di dalam sistem
  • Sebagai inspirasi kepada sekolah-sekolah lain untuk membangunkan kecemerlangan tahap yang lebih tinggi melalui bimbingan dan jaringan antara sekolah sekolah tersebut.
Sub-NKRA 4: Tawaran Baru kepada Pemimpin Sekolah
Meningkatkan kualiti keberhasilan murid menerusi peningkatan prestasi pemimpin sekolah di Malaysia:
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan

Jumaat, 23 Disember 2011

Pengalaman Menaiki KTM dari Kempas ke Wakaf Bharu

Cuti persekolahan kali ini memang begitu sunyi bagi aku memandangkan ini adalah tahun pertama cuti sekolah yang panjang tanpa arwah mak. Selalunya arwah emaklah yang sentiasa menemani aku ke sana ke mari. Ada sahaja yang kami rancang bersama. Namun, semuanya telah berakhir...Allah lebih menyanyangi arwah emak.


Baki cuti persekolahan tahun ini aku habiskan di Kelantan Darul Naim. Lebih dari 15 tahun aku tidak ke sana. Tentu sekali banyak perubahannya berbanding kunjungan aku sebelum ini. Tujuan pertama nak hadir ke majlis persandingan seorang rakan satu tempat bertugas.

 Paling tak sabar, kunjungan aku ke sana dengan menaiki kereta api. Bukannya apa, inilah pengalaman pertama aku menaiki kereta api. Hehehehe...berdebar-debar pun ada. Tapi adalah juga pengalaman menaiki komuter ( adik beradik kereta api la jugak kan ? ) 


Perjalanan dari Stesen KTM Kempas ke Wakaf Bharu yang dinanti-nantikan tiba juga masanya               ( maklumlah tiket dah beli awal-awal ). Aku ke sana ditemani oleh seorang rakan yang sama tempat bertugas. Bertanya-tanya melalui orang Kelantan, perjalanan akan mengambil masa 12+ jam.( Dalam hati, adehhhh...Patah pinggang juga aku dibuatnya nih ). Nasib baik aku mengambil jenis katil @ tempat tidur. So, bolehlah baring-baring banding duduk sahaja. Huhuhu....

Aksi aku antara 30 minit pertama. Semuanya rasa tak kena. Huhuhu...
Mula-mula kereta api bergerak, aku mula pening-penig pula. Risau jgk memandangkan masa perjalan yang agak panjang. Kalau mabuk muntah, parah aku dibuatnya...Lastly aku terlelap jugak ( tidur-tidur ayam je pun ). Setiap kali tersedar, asyik tengok jam je kerjanya. Maklumlah, tak sabar nak sampai. Hehehe...

Kira-kira jam 10.00 pagi destasi kami pun tiba jua. Alhamdulillah...Kami dijemput oleh dua orang rakan yang memang sedia menanti kami di sana...( dah lega bila nampak muka diorang dah ada di Stesen KTM Wakaf Bharu waktu itu )
  

Isnin, 19 Disember 2011

7079 Guru STT Ditawarkan Ikuti Kursus Perguruan

PUTRAJAYA: Seramai 7,079 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) akan ditawarkan mengikuti latihan dan kursus perguruan mulai Januari depan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong. 

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 4,433 GSTT akan mengikuti latihan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mulai Februari, manakala selebihnya di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), bermula 9 Januari.


Beliau berkata, adalah antara 13,184 GSTT yang sudah berkhidmat sejak Jun tahun lalu dan diberikan keutamaan kerana memenuhi syarat, antaranya sudah berkhidmat sebagai GSST lebih dua tahun serta berusia tidak lebih 35 tahun pada 31 Disember 2010.
"Kementerian Pelajaran memang memandang serius apa jua pandangan dan keluhan berhubung GSTT. Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang juga Menteri Pelajaran turut begitu prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh GSTT. 

"Ini (pengumuman hari ini) menunjukkan komitmen dan janji Timbalan Perdana Menteri kepada 13,184 GSTT yang berkhidmat dalam Kementerian Pelajaran dan dikotakan oleh beliau sendiri," katanya kepada pemberita selepas 
mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Guru Sandaran di sini hari ini. 

Daripada 13,184 GSTT, Wee berkata seramai 1,799 pula sedang mengikuti kursus dan latihan perguruan mod Kursus Dalam cuti (KDC) manakala 2,788 GSST pula tidak mengemukakan dokumen yang lengkap untuk dipertimbangkan bagi mengikuti kursus perguruan dan mereka diberi tempoh sehingga Isnin depan untuk membuat rayuan. 
"Mereka diberi tempoh sehingga 26 Disember untuk kemukakan dokumen asal dan kami akan terima mereka secara berperingkat," katanya. 

Selain itu, beliau berkata sebanyak 2,928 GSTT pula tidak layak untuk mengikuti kursus perguruan kerana melebihi had umur serta tempoh berkhidmat kurang daripada dua tahun secara berturut-turut.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan kumpulan itu komited terhadap sistem pendidikan negara, maka kementerian menawarkan mereka meneruskan perkhidmatan secara "contract of service".

"Contract of service ini tidak dibuat untuk jangka panjang...secara berperingkat dan boleh diperbaharui mengikut keperluan pada ketika itu," katanya. 

Wee turut memberi jaminan bahawa mereka yang berkhidmat secara "contract of service", pendapatan dan kebajikan mereka akan tetap sama seperti ketika menjadi GSTT. 

Wee berkata, Timbalan Perdana Menteri juga membuat keputusan bahawa semua GSST berkenaan tidak perlu membayar balik gaji yang diterima mereka sejak Oktober lalu. 

"Dengan pengumuman hari ini, isu ini dianggap sudah diselesaikan secara komprehensif dan jangan ada yang bangkitkannya lagi," katanya. - BERNAMA

Berita Harian Online: 19 Disember 2011

Guru Sambut Baik Pemansuhan

Warga guru di negara ini lega dan menyambut baik sambil mengalu-alukan keputusan kerajaan tidak meneruskan projek perintis di empat negeri yang mewajibkan guru bekerja sembilan jam sehari bermula Januari pada sesi persekolahan 2012.

Yang Dipertua Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Ahmad Malie berkata, pemansuhan cadangan itu amat wajar kerana ia tidak relevan dilaksanakan memandangkan tugas guru amat unik dan berbeza dengan para penjawat awam yang lain.

Katanya, KGBS sejak awal lagi tidak menerima serta menentang sekeras-kerasnya cadangan untuk melaksanakan masa bertugas guru selama sembilan jam yang dianggap tidak sesuai dilaksanakan di negara ini.

"Guru kerap kali ditugaskan membawa murid-murid terlibat dengan aktiviti di luar bilik darjah di samping tugasan menyemak buku latihan murid di rumah atau pada waktu malam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa projek perintis yang mewajibkan guru bekerja sembilan jam sehari itu dibatalkan.

Langkah itu menurut Muhyiddin, adalah bertujuan untuk mengelak salah sangka dan kekeliruan di kalangan masyarakat dan guru sendiri terhadap pelaksanaan program tersebut.

Katanya, ia tidak perlu perlu diteruskan jika guru sendiri tidak memahami kehendak sebenar program tersebut yang bertujuan memperkasakan perkhidmatan guru di negara ini.

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat ( KGMMB), Mohamad Sabri Mohd Arsad menyifatkan tindakan tersebut sangat wajar kerana Kementerian Pelajaran belum menyediakan prasarana lengkap bagi tujuan tambahan kerja wajib sembilan jam.

Beliau berpendapat Kementerian Pelajaran Malaysia juga perlu menyediakan pembantu guru untuk menjalankan tugas-tugas perkeranian, pusat sumber, data serta pentaksiran dan sebagainya.

"Pada masa sama kerajaan perlu mengambil kira pelbagai aspek sokongan seperti tempat persalinan yang sesuai kepada guru terutama guru perempuan, jika tidak tandas akan menjadi pilihan terakhir.

"Bagi sekolah dua sesi pula, pihak kementerian perlu memikirkan kemudahan tempat letak kereta untuk tidak menimbulkan masalah kerana masing-masing sibuk mengejar masa," katanya.

Mohamad Sabri juga berharap supaya pembekalan perabot seperti kerusi, meja, dan almari untuk keperluan seorang guru sahaja tidak mahu berkongsi yang menyukarkan pengurusan.


Tegasnya, kemudahan penghawa dingin perlu disediakan disekolah kerana kebanyakannya tidak disediakan secara menyeluruh. Ini untuk keselesaan guru menjalankan tugas sehingga petang.

Seorang Guru Penolong Kanan SMK Jengka Pusat, Mohd Rozi Mat Sani,44, berpendapat warga guru sentiasa akur dengan sistem dan dasar pelajaran yang digubal pakar dalam bidang pendidikan.

"Pihak kementerian pastinya sudah membuat kajian mendalam berkaitan rasional sistem waktu bekerja sembilan jam mulai sesi persekolahan Januari 2012 dibatalkan," katanya.

Manakala Roslaily Alias, 30, pula memuji langkah proaktif Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia yang menarik balik projek rintis 5,000 guru di empat negeri bekerja sembilan jam mulai tahun hadapan."Walau bagaimanapun guru sentiasa akur berkhidmat dengan penuh jiwa raga selari dengan sumpah keramat untuk berbakti kepada anak bangsa supaya berdaya saing diperingkat global,'' katanya.

Utusan Malaysia Online: 19 Disember 2011

Ahad, 18 Disember 2011

Jadual Pembayaran Gaji Bulanan Tahun 2012

Jadual pembayaran gaji bulanan tahun 2012 merujuk kepada tarikh pembayaran gaji kakitangan awam telah pun dikeluarkan secara rasmi oleh Jabatan Akauntan Negara (ANM).
Berikut merupakan Tarikh Pembayaran Gaji Bagi Tahun 2012

Pekeliling jadual gaji tahun 2012 SBPA ini anda boleh rujuk di sini, Jabatan Akauntan Negara Malaysia. 



Khamis, 15 Disember 2011

Abah Dilanggar !

Alhamdulillah kita dapat bertemu semula di alam maya ini. Terima kasih atas kunjungan korang menerusi blog aku yang tidak seberapa ini. Hari ini aku terpanggil untuk mencoret kisah yang berlaku tengah hari tadi. 

Selesai masak kira-kira jam 11.55 pagi, hatiku mula rasa gelisah. Tidak tahu apa yang aku fikirkan. Tidak lama kemudian, jam dinding menyanyi-nyanyi menunjukkan jam 12.00 tengah hari. 

Sambil mengelap kabinet dan dapur, tiba-tiba kendengaran, “ Dum !!! ” Saya tersentak seketika. Dalam hati berkata, “ Siapa pula yang berlanggar di depan rumah ini ? ”. Mata meliar melihat jarum jam memandangkan abah masih tidak sampai rumah lagi. Biasanya abah dah sampai untuk pulang makan di rumah. 

sumber gambar ihsan Pak Google

Saya keluar ke muka pintu rumah. Mak cik di sebelah turut keluar. Kelihatan beberapa orang ada di jalan depan rumah. Jiran-jiran yang lain mula menuju ke tempat kejadian. Anak-anak saudara pula sibuk mahu ke sana juga. 

Hatiku berdebar-debar. Namun, masih berasa di garaj rumah. Mata masih tidak dapat mengesan siapa yang dilanggar dan siapa yang melanggar. Di hadapan rumah ada pokok bunga kertas yang agak besar melindungi jalan. Jadi, terlindunglah pandangan saya. 

Tiba-tiba kakak sepupu yang merupakan jiran depan rumah melambai-lambaikan tangannya lalu berkata, “ Sini, sini, abah kena langgar !” “ MasyaAllah, abah rupanya !”. Sepantas kilat saya mencapai tudung dan segera ke jalan. 

Kelihatan abah sudah bangun. Rupa-rupanya seorang remaja lelaki yang menunggang motosikal telah melanggar abah semasa abah nak belok masuk ke jalan rumah. Abah beritahu dia memang menunggang dengan laju. Berdekatan dengan rumah aku pula ada selekoh. Mungkin abah tak perasan tetiba mamat tu dah muncul dan tak sempat brek. 

Argh…geramnya aku. Kawan-kawannya ada memberhentikan motosikalnya di situ. Namun, remaja lelaki itu telah pun beredar semasa aku berjalan menuju ke tempat kejadian. Tak sempat aku sekolahkan dia. 

Mujurlah abah tidak luka teruk. Tapi kasihan abah. Jatuh dari motor pastinya ada bahagian tubuhnya yang sakit. Namun, abah tidak mahu tunjukkan pada aku. Dipendekkan cerita, abah pun memimpin motorsikal hadiah daripada aku 7 tahun yang lalu itu. Kelihatan lampu hadapan tercabut, pedalnya bengkok, ekzosnya kemek dan rim belakang agak mereng. Huhuhu… 

Kira-kira sejam selepas kejadian, remaja itu dating bersama rakannya dalam hujan. Dia risaukan abah. Sebelum itu, abang aku sempat sekolahkan dia. Dia kelihatan pucat. Lastly, abah redha dengan kejadian dan meninggalkan beberapa pesanan pada mamat itu. Nak minta ganti rugi sekalipun, dia masih bersekolah. Erm…tak berbaloi. ( Kalau nak merempit, g la ke litar lumba. Baru best !!! )

CUEPACS Mahu Temui Najib Isnin Ini Berhubung Opsyen SBPA

KANGAR, 15 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin ini bagi membincangkan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).



Presidennya Datuk Omar Osman berkata langkah itu susulan keputusan mesyuarat khas Cuepacs yang sebulat suara membantah opsyen dalam SBPA, yang disifatkan tidak begitu adil.



Cuepacs berharap 1.4 juta penjawat awam tidak menandatangani opsyen itu sebelum beberapa perkara berbangkit dalam pelaksanaan SBPA dapat dibincangkan dengan Perdana Menteri, katanya kepada pemberita, di sini Khamis.



Omar ditemui selepas berakhirnya mesyuarat khas dua hari Cuepacs yang disertai 125 perwakilan dari seluruh negara.

Antara perkara yang akan dibangkit ialah pelarasan gaji antara tujuh dan 13 peratus seperti yang diumumkan sebelum ini, memandangkan perkara itu dibuat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tanpa berbincang dengan Cuepacs, katanya.


Katanya Cuepacs berkeyakinan segala perkara berbangkit dapat diselesaikan menerusi pertemuan itu memandangkan Perdana Menteri prihatin dengan kebajikan penjawat awam.

Beliau juga menyifatkan tempoh dua minggu bermula hari ini yang diberi JPA kepada penjawat awam untuk membuat pilihan sebagai terlalu pendek dan kurang adil.

BERNAMA

SBPA : CUEPACS Bantah, Arah Staf Kerajaan Tidak Tandatangan Borang Opsyen

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Cuepacs hari ini mengambil pendirian membantah pelaksanaan opsyen sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan menggesa kakitangan awam jangan menandatangani borang penerimaan skim gaji baru itu sehingga pihaknya mengadakan pertemuan dengan perdana menteri minggu depan.


Timbalan Presiden Cuepacs Azih Muda berkata pihaknya bukan menolak SBPA tetapi membantah pelaksanan opsyen kerana tidak cukup maklumat dan kurang penjelasan khususnya perubahan gaji.

“Kami memutuskan untuk membantah pelaksanaan opsyen SBPA, kita mahu jumpa perdana menteri pada 19 Disember ini,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider di Perlis.

Seramai 1.4 juta kakitangan awam diberi masa dua minggu mulai esok untuk menerima opsyen sistem SBPA.

Azih berkata pihaknya akan menjelaskan kepada perdana menteri alasan-alasan pihaknya membantah pelaksanaan opsyen dan beberapa perkara lain yang berkaitan.

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adakan program jelajah, tetapi tidak memberikan penerangan dan penjelasan terperinci mengenai pelaksanaan SBPA, carta perubahan gaji tidak diberikan, tiada maklumat mengenai dasar pemisah atau exit policy.

“Kakitangan awam yang menghadiri taklimat diberi borang opsyen dan diminta tandatangan terus, walaupun tidak faham dan kurang maklumat,” kata beliau.

Cuepacs mengadakan mesyuarat kongres di Kuala Perlis hari ini bagi membincangkan pelaksanaan SBPA, yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Opsyen menerima SBPA akan dibuka mulai esok. Ia telah menimbulkan rasa tidak puas hati antara lain berkaitan peratusan kenaikan gaji dan dasar pemisah atau ‘exit policy’.


Pekeliling SBPA dikeluarkan 7 Disember lalu.

Semalam, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata, “(mesyuarat) kongres (di Kuala Perlis) khusus membincangkan SBPA kerana taklimat JPA kepada kami hanya menyentuh perkara dasar.”

“Kami juga tiada maklumat tambahan selain pekeliling yang diedarkan,” katanya.

Katanya, tempoh dari 16 hingga 30 Disember ini yang diberi JPA kepada penjawat awam untuk menandatangani surat tawaran SBPA juga terlalu singkat.

“Pada pengetahuan kami tawaran JPA melalui SBPA seolah-olah penjawat awam tiada pilihan. Macam mana kita hendak setuju terima jika kandungan penuh tawaran tersebut tidak jelas,” kata Omar.

Tambah beliau, hasil taklimat Cuepacs dalam jelajahnya ke sembilan buah negeri sehingga hari ini ramai anggota-anggotanya menyatakan mereka tidak memahami dengan jelas SBPA.

Antara perkara utama dibangkitkan mereka ialah prestasi bagi yang mendapat markah tinggi adakah benar akan mendapat apa yang dijanjikan dan kesannya kepada yang mendapat markah kurang dari 70, tambah beliau.

Rabu, 14 Disember 2011

CUEPACS Bakal Buat Keputusan Penting Esok Mengenai SBPA

SUNGAI PETANI, 14 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan membuat keputusan esok sama ada menerima tawaran skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).


Presidennya, Datuk Omar Osman berkata keputusan untuk menerima atau menolak SBPA akan diputuskan oleh 135 ahli persatuan gabungan Cuepacs dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang akan menghadiri kongres penuh di Hotel Brasmana, Kuala Perlis.


"Kongres ini khusus membincangkan SBPA kerana taklimat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada kami hanya menyentuh perkara dasar. Kami juga tiada maklumat tambahan selain pekeliling yang diedarkan," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada anggota-anggota Cuepacs negeri Kedah di sini, hari ini.

Katanya tempoh dari 16 hingga 30 Disember ini yang diberi JPA kepada penjawat awam untuk menandatangani surat tawaran SBPA juga terlalu singkat.

Beliau berkata Cuepacs meminta anggota-anggotanya tidak menandatangani surat tawaran JPA sehingga mereka berpuas hati dan memahami sepenuhnya SBPA.

"Pada pengetahuan kami tawaran JPA melalui SBPA seolah-olah penjawat awam tiada pilihan. Macam mana kita hendak setuju terima jika kandungan penuh tawaran tersebut tidak jelas," kata Omar.

Katanya hasil taklimat Cuepacs dalam jelajahnya ke sembilan buah negeri sehingga hari ini ramai anggota-anggotanya menyatakan mereka tidak memahami dengan jelas SBPA.

Antara perkara utama dibangkitkan mereka ialah prestasi bagi yang mendapat markah tinggi adakah benar akan mendapat apa yang dijanjikan dan kesannya kepada yang mendapat markah kurang dari 70, tambahnya.

Omar berkata Cuepacs akan meminta JPA menyertainya dalam jelajah ke seluruh negara memberi penerangan kepada penjawat awam mengenai SBPA.

Katanya keputusan penting lain termasuk meminta JPA melanjutkan tempoh menandatangani surat tawaran SBPA juga akan diputuskan esok.

-- BERNAMA

Sabtu, 10 Disember 2011

Solat sunat: GERHANA BULAN

Bismillahirrahmaanirrahiim.. 

Rasulullah s.a.w telah bersabda:

Sesungguhnya matahari dan bulan tidaklah menjadi gerhana disebabkan kematian seseorang atau kerana dihidupkan seseorang tetapi kedua-duanya adalah termasuk ayat-ayat (tanda-tanda) dari Allah. Oleh itu apabila kamu semua melihatnya maka dirikanlah sembahyang. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Menurut hadis di atas jelas, bahawa ada suatu sunnah yang harus dijalankan ketika terjadi gerhana. Sunnah yang kini dilupakan. Bahkan terasa asing tatkala dilaksanakan ditengah kalangan masyarakat. Benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW 14 abad silam, bahawa Islam akan kembali menjadi asing sebagaimana awal kedatangannya.



Gerhana Bulan adalah tertutupnya sinar matahari oleh bumi sehingga bulan berada di dalam bayang-bayang bumi. Gerhana bulan terjadi saat matahari, bumi dan bulan berada pada garis lurus di mana bulan terletak di belakang bumi dan dan bumi berada di antara matahari dan bulan. Saat terjadinya gerhana bulan adalah pada malam purnama.


Setiap dari kejadian Tuhan itu pasti ada kelebihan padanya. Maka telah disarankan kepada kita ummat Nabi Muhammad SAW untuk berlumba lumba merebut peluang yang ada bagi sama-sama meningkatkan saham akhirat kelak. Menerusi sekian banyak hadis berkaitan gerhana, terdapat beberapa perkara sunat yang dianjurkan supaya dilakukan semasa kejadian gerhana. Di antaranya ialah:

Solat dan berdoa.

Solat gerhana matahari dan bulan ini boleh dilakukan dengan 3 cara : Bagi gerhana matahari, bacaan dalam solat dibaca dengan diperlahankan suara ; manakala gerhana bulan bacaan hendaklah dibaca dengan dikuatkan suara seperti mana-mana solat malam.

Cara Pertama: Cara yang paling ringkas. Iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat sepertimana solat sunat zuhur atau mana-mana solat sunat.

Cara Kedua: Disebut dengan “ ال أدنى ” iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat, dengan dua kali qiam dan dua ruku’ pada tiap-tiap satu rakaat, disertai dengan bacaan al-Fatihah dan surah dalam tiap-tiap qiam itu.

Bagi kita di Malaysia ini, cara yang kedua inilah yang paling mudah dilaksanakan. Selepas takbir, dibaca doa iftitah dan al-Fatihah. Selepas selesai al-Fatihah, dibaca surah (mana-mana surah yang mampu). Kemudian ruku’ dan bangkit semula (qiam kedua). Di dalam qiam kedua ini dibaca al-Fatihah dan juga surah. Kemudian ruku’ semula (dipanggil ruku’ kedua). Apabila bangkit I’tidal, terus sujud sebanyak dua kali. Apabila selesai sahaja dari sujud kedua dan bangkit barulah selesai rakaat yang pertama. Begitulah caranya bagi rakaat yang kedua.

Cara Ketiga: Cara yang paling sempurna. Caranya adalah seperti juga yang kedua akan tetapi dalam rakaat yang pertama dan qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Baqarah ataupun mana-mana surah yang sama panjang dengannya. Di dalam rakaat yang pertama juga tetapi qiam yang kedua dibaca surah ali-Imran. Dalam rakaat yang kedua qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Nisa’, dan dalam qiam yang kedua pada rakaat kedua dibaca surah al-Maaidah. Kemudian hendaklah bertasbih dalam ruku’ yang pertama dengan kadar bacaan 100 ayat, dalam ruku’ yang kedua 80 ayat, ruku’ ketiga 70 ayat dan ruku’ yang keempat 50 ayat.

Waktu

Waktu bagi solat gerhana matahari dan bulan ialah bermula dari ketika berlakunya gerhana sehinggalah selesai.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu melihat kedua-duanya (gerhana matahari dan bulan), maka dirikanlah solat dan berdoalah sehingga dihapuskan apa yang kamu hadapi”.
Syari’at Solat Kusuf (gerhana matahari) & Khusuf (gerhana bulan), hukumnya adalah sunat muakkadah atau pun sunat yang digalakkan.

Dari ’Aisyah r.a. berkata : ”Telah terjadi gerhana matahari pada zaman Rasulullah saw. Lalu Nabi mengutus seorang munadi (penyeru) mengumandangkan: “As-solatu Jami’ah”. Kemudian baginda solat 4 kali ruku’ pada 2 raka’at dan 4 kali sujud.”


Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut :

Rakaat pertama

1. Niat solat Gerhana, Takbir
2. Baca Surah Al-Fatihah dan surah
3. Rukuk
4. I’tidal
5. Baca Al-Fatihah dan surah
6. Rukuk.
7. I’tidal.
8. Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.

Rakaat kedua

1. Niat solat Gerhana, Takbir.
2. Baca Al-Fatihah dan surah.
3. Rukuk.
4. I’tidal,
5. Baca Al-Fatihah dan surah.
6. Rukuk.
7. I’tidal.
8. Sujud
9. Tahiyyat Akhir
10. Salam
11. Selepas itu dibacakan khutbah khas sempena gerhana. Dua kali khutbah (seperti khutbah Hari Raya).


Berzikir dan beristighfar.



Abu Musa berkata: “Telah berlaku gerhana matahari. Maka Rasulullah SAW berdiri dalam keadaan cemas kerana bimbang akan berlaku Kiamat. Lalu Baginda SAW tergesa-gesa pergi ke masjid dan solat dengan berdiri yang terlalu panjang serta rukuk dan sujud yang panjang, yang tidak pernah aku lihat Baginda SAW melakukan seperti itu.


Berlindung daripada azab kubur.

Diriwayatkan oleh Aisyah ra: “Setelah Nabi SAW selesai menyampaikan khutbah gerhana matahari, maka Baginda SAW memerintahkan para sahabat supaya memohon perlindungan dari azab kubur.”


Bersedekah.

Sabda Rasulullah SAW: “Apabila kalian melihat gerhana, maka hendaklah kalian berdoa kepada Allah, mengerjakan solat dan bersedekah.”


Memerdekakan hamba.

Asma’ ra berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW menyuruh memerdekakan hamba ketika berlaku gerhana matahari. “Dalam satu riwayat: “Gerhana bulan.”

Inilah sunnah Baginda SAW ketika berlakunya peristiwa gerhana bulan atau matahari. Sudah menjadi kewajiban kita selaku ummat Rasulullah saw untuk kembali menghidupkan sunnahnya. Rasulullah saw telah berwasiat kepada ummatnya agar kita sentiasa berpegang teguh pada Al-Quran & sunnah.

Persoalan gerhana hanyalah satu dari sunnah fi’liyyah (perbuatan) Rasulullah yang kini kian dilupakan. Menjadi tugas kita ummat baginda untuk kembali menghidupkan sunnahnya. Wahai sahabatku bangkitlah, kerana hanya ditangan kitalah pewaris Al-ghuraba’ itu ada.

Gerhana Bulan



Pada 10 Disember 2011 ini, kita akan dapat menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penuh sekali lagi. Kali terakhir rakyat Malaysia dan di rantau Asia Tenggara menyaksikan fenomena gerhana seperti ini ialah pada bulan Jun 2011 lepas. Fenomena ini akan berlaku pada waktu puncak, iaitu sebaik sahaja matahari terbenam dan berlarutan sehingga ke lewat tengah malam. Tidak seperti gerhana yang lepas, yang mana ia berlaku lewat tengah malam sehingga ke matahari terbit keesokan paginya, gerhana kali ini dijangka dapat disaksikan dengan mudah oleh orang ramai.

Fasa gerhana ini akan bermula pada jam 7.31 petang. Namun apabila bulan mula menghampiri kawasan bayang-bayang bumi yang lebih gelap, dikenali sebagai umbra, barulah kesan gelapnya mudah kelihatan, iaitu sekitar jam 8.30 malam.




Bulan akan berada di dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya (fasa gerhana penuh) pada jam 10.05 malam sehingga 10.57 malam.

Kemudian ia akan keluar sepenuhnya daripada bayang-bayang umbra pada jam 12.18 tengah malam.

Waktu setiap fasa gerhana boleh dirujuk seperti di bawah (kiraan Skymap Pro 8):

Moon enters penumbra: 2011 Dec 10 19:31:37
Moon enters umbra: 2011 Dec 10 20:45:11
Start of totality: 2011 Dec 10 22:05:29
Maximum eclipse: 2011 Dec 10 22:31:36
End of totality: 2011 Dec 10 22:57:45
Moon leaves umbra: 2011 Dec 11 00:18:04
Moon leaves penumbra: 2011 Dec 11 01:31:30

Jumlah masa Bulan bergelap di dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya ialah selama 52 min 16 saat. Waktu di atas merupakan waktu tempatan (Malaysia). Ia adalah sama sahaja jika anda berada di Semenanjung, Sarawak atau Sabah. Cuma yang berbeza ialah ketinggian Bulan di langit. Semakin anda berada ke arah timur Malaysia, semakin tinggi kedudukan Bulan pada satu-satu fasa gerhana itu.

Video di bawah merupakan simulasi gerhana bulan yang dibuat menggunakan perisian Stellarium.







Khamis, 8 Disember 2011

Intipati Pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)

Bagi Penjawat Awam sememangnya menantikan PekelilingSaraan Baru Perkhdimatan Awam (SPBA) yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Pelbagai tekaan dan andaian dilakukan. Dibawah ini merupakan Intipati Pelaksanaan SBPA yang dikeluarkan secara rasmi oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk makluman media sempena pelancaran SPBA hari ini.


Berikut merupakan kenyataan dari JPA:

“Antara intipati pelaksanaan SBPA yang dipersetujui oleh Kerajaan adalah seperti berikut:
1. Pelaksanaan transformasi Perkhidmatan Awam melalui lima (5) inisiatif iaitu Perkhidmatan Awam yang kejat (lean civil service), kepimpinan dinamik, modal insan berkualiti, Perkhidmatan Awam yang fleksibel dan saraan yang kompetitif;

2. pewujudan Pelan Induk Saraan Perkhidmatan Awam (PISA) bagi melaksanakan rombakan sistem saraan Perkhidmatan Awam secara tersusun.

3. pengekalan prinsip-prinsip saraan yang berkuat kuasa dengan penambahan empat (4) prinsip baru iaitu kadar upah untuk kerja mengikut Kumpulan Perkhidmatan, kadar upah untuk individu berdasarkan bakat, keupayaan dan pengalaman, kadar upah untuk kerja bagi individu (subject matter expert) serta kadar upah tambahan untuk kerja mengikut prestasi;

4. pembentukan hierarki Perkhidmatan Awam yang terdiri daripada empat (4) peringkat iaituKumpulan Premier, Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta Kumpulan Pelaksana yang menggantikan Kumpulan Sokongan;

5. peruntukan gaji secara single point tanpa Kenaikan Gaji Tahunan kepada Kumpulan Premier dan konsep Jadual Gaji Minimum-Maksimum kepada Kumpulan Pengurusan Tertinggi dengan Kenaikan Gaji Tahunan diberi mengikut pencapaian prestasi;

6. peruntukan Jadual Gaji Sebaris kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta Kumpulan Pelaksana;

7. pelaksanaan enam (6) strategi untuk merealisasi inisiatif Perkhidmatan Awam yang kejat iaitu kawalan saiz Perkhidmatan Awam (right-sizing), kajian pertindihan fungsi antara agensi (duplication), penjajaran fungsi utama perkhidmatan (realignment), perkhidmatan yang boleh diserah urus (outsourcing), perekayasaan proses kerja (business process reengineering) dan kajian semakan skim perkhidmatan (revision);

8. penambahbaikan laluan kerjaya Pegawai Perkhidmatan Pendidikan melalui pelaksanaan konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru dengan memberi fokus kepada Laluan Pengajaran dan Pembelajaran (LPDP);

9. penambahbaikan laluan kerjaya pegawai dan anggota dalam Senarai Tugas Am ATM berdasarkan subject matter expert dalam bidang-bidang kritikal dengan diberi kenaikan gred gaji tanpa bersandarkan kepada pangkat;

10. pemberian peningkatan gred gaji yang setara dengan gred kenaikan pangkat tanpa dinaikkan pangkat ke jawatan kosong kepada pegawai yang diiktiraf sebagai subject matter expert;

11. pengenalan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) yang mengandungi dua (2) komponen iaitu Penilaian Kompetensi dan Potensi (PKP), dan Program Pembangunan Kompetensi dan Potensi (BKP) bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan;

12. perluasan pemberian kemudahan Cuti Belajar Bergaji Penuh kepada pegawai dalam Kumpulan Pelaksana bagi membolehkan pegawai mengikuti latihan kemahiran di bawah program SkillsMalaysia;

13. pengekalan prinsip-prinsip pemberian elaun sedia ada dan penambatan kadar bagi empat (4) elaun yang pada ketika ini kadarnya ditentukan berdasarkan gaji iaitu Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal, Bayaran Insentif Subjek Pendidikan, Bayaran Insentif Wilayah dan Bayaran Insentif Pedalaman;

14. pengekalan prinsip-prinsip pemberian kemudahan sedia ada dengan penambahbaikan melalui Program Keseimbangan Kehidupan dan Kerjaya yang memperkenalkan pelaksanaandasar bekerja dari rumah;

15. pemansuhan dasar pelepasan dengan izin yang diganti dengan dasar pelepasan jawatan bagi mempertingkat mobiliti pegawai dalam perkhidmatan;

16. pelaksanaan Dasar Pemisah (Exit Policy) kepada penjawat awam yang berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan;

17. penyelarasan pencen kepada pesara Perkhidmatan Awam secara peratusan berasaskan kajian berkala kos sara hidup berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013;

18. peningkatan umur persaraan wajib dari 58 tahun ke 60 tahun bertujuan mengekalkan pegawai mahir di dalam perkhidmatan; dan

19. pengekalan pegawai yang menolak SBPA di bawah sistem saraannya, skim perkhidmatan dan syarat perkhidmatan sedia ada (SSM) “

Boleh muat turun initipati tersebut dari link ini Intipati Pelaksanaan SBPA dari JPAM


Rabu, 7 Disember 2011

Lembaga Peperiksaan menilai skrip jawapan calon UPSR secara adil, terbuka

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk surat di ruangan ini bertarikh 23 November 2011 bertajuk ‘Sistem pemarkahan UPSR mesti mesra pelajar’ dan 24 November 2011 dengan tajuk ‘Sokong kaji semula sistem pemarkahan’.

KPM menghargai pandangan Pensyarah Kanan, Alor Setar, Amin Ali dan Ibu Kecewa, Malaysia, yang disiarkan berkenaan pemarkahan kertas bahasa Melayu Penulisan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Lembaga Peperiksaan ingin menjelaskan tatacara pemeriksaan skrip calon dimaklumkan dengan jelas kepada semua pemeriksa dan maklumat berkaitan dimasukkan dalam bukuPeraturan Pemarkahan.

Garis panduan kepada pemeriksa seperti berikut:
  • Pemeriksaan dijalankan secara holistik iaitu melihat secara keseluruhan evidens dan penskoran dibuat mengikut kriteria ditetapkan.
  • Pemeriksa hendaklah membaca evidens dengan teliti untuk mendapat kesan (impression) daripadanya. Selepas itu, pemeriksa menilai dan menentukan tahap evidens itu berdasarkan kriteria penskoran.
  • Pemeriksa hendaklah membaca evidens itu sekali lagi sambil menurunkan tanda-tanda pemeriksaan dan menetapkan skor berdasarkan kriteria penskoran. 
  • Bagi Bahagian B, karangan yang tidak mematuhi format iaitu karangan yang tidak memerlukan format tetapi ditulis berformat atau sebaliknya atau karangan ditulis dalam format lain, pemeriksa akan membuat pemarkahan tetapi ditolak dua markah daripada markah keseluruhan kerana tidak menepati tugasan.
  • Berdasarkan garis panduan itu, jelas penilaian terhadap hasil kerja calon adalah adil dan terbuka berpandukan objektif mata pelajaran bahasa Melayu sekolah rendah dan selari dengan kandungan kurikulum.
Justeru, Lembaga Peperiksaan ingin menegaskan semua skrip jawapan calon UPSR sudah dinilai secara adil.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia.

Selasa, 6 Disember 2011

5,000 Lepasan ISMP Akan Diambil Jadi Guru Pada 2012

Kira-kira 5,000 lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dari institut pengajian tinggi awam (IPTA) akan diambil bagi mengisi kekosongan jawatan guru di sekolah menengah di bawah Kementerian Pelajaran, mulai Januari 2012.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, daripada jumlah itu, seramai 3,894 lepasan ISMP ditemuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk diserap masuk sebagai guru.


Menurut beliau, pengambilan guru dalam kalangan ISMP keluaran IPTA pada tahun depan menunjukkan peningkatan berbanding jumlah 4,318 golongan itu yang dipilih menjadi guru pada tahun ini.

Sehubungan itu, beliau menafikan graduan ISMP 'dianaktirikan' dalam pemilihan guru di sekolah di bawah kementerian itu, sebaliknya menjelaskan, pengambilan dibuat berdasarkan kelayakan dan pilihan bersesuaian.

Katanya, antara kegagalan graduan ISMP dipilih untuk menjadi guru adalah kerana penuntut itu mengambil opsyen mata pelajaran yang kurang diperlukan Kementerian Pelajaran.

"Sebenarnya, kita sudah mewujudkan jawatankuasa bersama antara Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk membincangkan dari segi unjuran iaitu berapa keperluan guru sekolah menengah mengikut opsyen yang diperlukan.

"Unjuran ini dibahagikan antara universiti. Misalnya, jika diperlukan 300 opsyen matematik, ia akan dibahagikan antara IPTA. Jadi, jika mereka menawarkan mengikut opsyen, sepatutnya tidak timbul masalah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan Ahli Parlimen Batu Pahat dan Menteri Besar Johor sebanyak RM500,000 bagi membina bangunan baru Sekolah Tinggi Chong Hwa Rengit di Batu Pahat.

Baru-baru ini, kira-kira 5,000 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meminta agar Kementerian Pelajaran tidak menawarkan program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) dan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) kepada graduan lepasan ijazah bukan pendidikan.

Mereka turut meminta agar kerajaan tidak menjadikan mereka seperti 'anak tiri' berbanding lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG).

Sementara itu, Mohd. Puad berkata, isu 'anak tiri' tidak timbul kerana lepasan IPG hanya akan diserap sebagai guru di sekolah rendah manakala graduan ISMP keluaran IPTA yang berkelayakan dipilih sebagai guru sekolah menengah, sekali gus mengelakkan persaingan antara kedua-duanya.

"Untuk IPG, sebelum masuk mereka akan disaring dan kita (Kementerian Pelajaran) akan panggil untuk ditemuduga. Yang ditemuduga itu pun belum tentu semua dapat, sebaliknya yang terpilih sahaja akan masuk IPG.

"Tetapi yang masuk universiti ini, dia mohon masuk bidang pendidikan, kemudian bila nak mohon jadi guru baru ditemuduga oleh SPP," katanya.

- UTUSAN, 6 Disember 2011