<petikan dari buku>
Mengapa Rotan Tidak Berkesan
Pengarang : Mohd. Rashid Mohd. Saad
Penerbit : PTS Professional Publishing Sdn Bhd
Genre : Pendidikan | Kaunseling
Mukasurat : 194 halaman
Cetakan Pertama : 2005
Tujuan merotan yang menimbulkan kesan yang tidak men-cacatkan anggota tubuh pelajar dipilih sebagai satu tinjauan di dalam buku ini. Ini kerana, ramai di kalangan masyarakat:
Terlibat secara langsung terutama pihak ibu bapa pelajar yang dirotan. Terlibat secara tidak langsung terutama masyarakat yang tidak ada hubungan dengan pelajar yang dirotan tetapi mengambil berat berkenaan isu penderaan sebagai melanggar hak-hak asasi kanak-kanak.
Menyokong secara langsung seperti guru yang mahukan merotan itu disimbolkan seperti satu pengajaran kepada yang lain supaya tidak menjejaki perbuatan sedemikian. Menyokong secara tidak langsung seperti masyarakat yang mahukan perbuatan yang melanggar norma dihukum secara setimpal supaya ia dapat menjadi pengajaran kepada orang lain supaya tidak mengikuti jejak si pesalah.
Daripada segi logiknya, perbuatan merotan yang tidak menimbulkan kesan kecacatan fizikal selalu menjadi isu di kebanyakan sekolah di Malaysia mahupun di seluruh dunia.
Kenapa isu ini menjadi satu perbalahan besar antara pihak yang menyokong dan pihak yang menentang? Buku ini mem-berikan gambaran ringkas sama ada perbuatan merotan ini dibolehkan daripada segi hukum agama ataupun tidak dengan meninjau pendapat-pendapat ahli fikir seluruh dunia. Buku ini berdiri dengan kenyataan:
“Merotan; jika dibenarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, dilakukan secara adil ke atas seseorang murid yang melanggar peraturan yang ditetapkan oleh sekolah; dikenakan hukuman sedemikian atas dasar setelah nasihat, amaran dan denda yang dikenakan masih tidak merubah tingkah laku negatif murid tersebut; dilakukan oleh orang yang dipertanggungjawabkan oleh pihak sekolah; tidak menimbulkan sebarang kecacatan fizikal; dengan penuh rasa kepentingan menjaga keseimbangan sistem sekolah demi keselamatan murid-murid lain dan juga dilakukan oleh guru bukan mengikut emosi atau perasaan membalas dendam adalah dibolehkan.”
Tidakkah kes-kes di Sweden, Britain dan lain-lain negara maju menghapuskan hukuman berat sejak sekian lama? Tidakkah ini menunjukkan yang merotan itu sendiri tidak secara langsung melanggar hak asasi pelajar? Jawapannya adalah kenapa tidak dibolehkan? Adakah kes-kes yang dikaji di negara-negara itu dapat mengaitkan merotan dengan penderaan kanak-kanak? Adakah dengan menghapuskan hukuman merotan di sekolah-sekolah di negara-negara maju ada menunjukkan penurunan kes-kes disiplin di sekolah? Semuanya ini akan terjawab dengan sendirinya dalam buku ini yang membuktikan:
Pihak penentang hukuman merotan di sekolah men-campuradukkan isu penderaan kanak-kanak dengan penderaan pelajar di sekolah. Ini menyebabkan tidak ada satu garis pemutus antara penderaan kanak-kanak dengan merotan pelajar dengan sebab-sebab tertentu.
Kajian-kajian yang dijalankan di negara-negara maju walaupun dapat membuktikan yang penderaan kanak-kanak adalah berleluasa tetapi mereka tidak dapat membuktikan yang merotan dengan teknik yang betul dan tidak mencacatkan anggota badan pelajar dapat mem-beri tekanan mental dan fizikal ke atas pelajar-pelajar sekolah.
Tidak ada satu pun kajian yang menunjukkan, merotan dengan teknik yang betul dan dengan tujuan mendisiplinkan pelajar adalah tidak berkesan.
Kebanyakan kajian-kajian yang dijalankan oleh ahli-ahli psikologi tidak menggunakan kaedah penyelidikan yang betul. Ini menyebabkan kita dapat menolak dapatan-dapatan kajian yang dilihat sebagai berat sebelah dengan tujuan membuktikan pendapat-pendapat mereka dan bukan dapatan kajian.
Banyak kajian yang dilakukan cenderung hendak membuktikan kes penderaan kanak-kanak yang dilakukan oleh ibu bapa yang tidak bertanggungjawab dan bukannya penggunaan rotan oleh guru selepas nasihat, amaran dan denda yang digunakan tidak mengubah tingkah laku pelajar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan