Jiwang Corner :)

Jumaat, 3 Ogos 2012

Kaji semula elaun, insentif

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH

pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 2 Ogos - Kerajaan diminta mengkaji semula beberapa jenis elaun dan insentif yang dibayar kepada anggota sektor awam memandangkan bayaran elaun sekarang masih di takuk lama.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda berkata, cadangan tersebut merupakan salah satu daripada 24 cadangan dan 23 syor yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam.


Katanya, cadangan kajian semula itu berikutan kos perbelanjaan seharian telah meningkat dan untuk memberikan transformasi kepada sektor perkhidmatan awam.

“Antaranya kita meminta kerajaan mengkaji semula elaun keraian, elaun tetap perumahan dan elaun khidmat awam serta memberi penekanan terhadap isu perumahan memandangkan lonjakan harga rumah berbanding gaji diterima.

“Kita juga minta supaya elaun sara hidup (COLA) diselaraskan daripada RM150 hingga RM300 mengikut kawasan kepada RM400 untuk semua manakala elaun rumah diseragamkan kepada RM400," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat bersama Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam yang dipengerusikan Tun Zaki Azmi, di sini hari ini.

Menurut Azih, pihaknya turut mengesa supaya kadar perumahan awam diturunkan daripada empat peratus kepada satu peratus sebagai salah satu langkah mengatasi isu pemilikan rumah di kalangan penjawat awam.

Selain itu, katanya, kerajaan juga diminta untuk melihat isu tersebut dengan lebih komprehensif untuk memastikan harga rumah tidak naik begitu mendadak.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga meminta supaya beberapa perkara termasuk isu 22 klasifikasi perkhidmatan yang telah diberi persetujuan untuk dinaik taraf didahulukan.

Katanya, ia merangkumi isu kakitangan gred 17 ke 27 antaranya juruteknik, renjer hutan, pegawai pertanian, pembantu pertanian dan jawatan-jawatan lain yang tertangguh sejak pemansuhan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), baru-baru ini.

“Kita minta pelaksanaannya bermula daripada tarikh yang telah dipersetujui oleh kerajaan dahulu iaitu pada 1 Januari tahun ini manakala cadangan suruhanjaya berkaitan transformasi pula dapat dilaksanakan pada 2013," katanya.

Sementara itu, Azih berkata, pihaknya juga komited untuk melakukan perubahan drastik terhadap sistem penyampaian sedia ada supaya dapat memberikan perkhidmatan yang memuaskan kepada rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan