Jiwang Corner :)

Ahad, 29 Oktober 2017

Teks Ucapan Restu Ilmu Penyelaras UPSR 2017

Sorry, aku pakai baju PJ hari ini. Terasa tidak rasminya aku. Huhuhu...

Yang berusaha 
Encik Che Kamarudin bin Che Mohd Zin, Guru Besar Sk Taman Molek, 

Yang dihormati,
Puan Rosni binti Gani, PK Pentadbiran
Puan Soh Rosie, PK HEM,
Puan Sinasuria binti Mohd Sikon, PK Kokurikulum,
Puan Suzni binti Kaulan, PK Petang
Ahli PIBG, rakan-rakan guru serta Anak-Anak Molek calon UPSR 2017.

Assalammualaikum dan salam sejahtera...

· Tepuk semangat, alhamdulillah

Anak-anak calon UPSR 2017,

· ( Countdown bersama murid )
Ya, peperiksaan UPSR semakin hampir. Jika kalian sedang berlari dalam acara lari pecut pasti kalian sudah menghampiri ke garisan penamat. Begitulah ibaratnya dengan keadaan kalian sekalian. Pasti mahukan kejayan di depan mata. Pasti tidak sabar mencurah idea pada kertas jawapan. 

Anak-anak calon-calon UPSR semua, 

Saya pasti kamu semua perlu telah bersedia dari segi mental dan emosi bagi menghadapi peperiksaan. Sehingga hari ini, kalian telah belajar selama 5 tahun 8 bulan 7 hari tidak termasuk alam pra sekolah. Maka inilah tahun terakhir kalian menjadi murid di sekolah rendah. Kata janji dan impian yang telah kalian tetapkan sejak awal tahun lalu, perlu dibuktikan.

Sematkan dalam diri bahawa, 

Aku boleh
Aku akan cuba sedaya upaya aku, 
Aku mahu mak dan ayah aku gembira atas kejayaan aku, 
Aku mahu cikgu bangga dengan keputusan aku. 

Anak-anak calon UPSR,
Jika kegagalan pada hari ini masih menghantui kalian, usahlah berputus asa. Kegagalan hari ini tidak bermakna kita akan gagal selamanya. Saya percaya orang yang telah Berjaya pada hari ini, pasti pernah lalui kegagalan. Saya yakin anak-anak di hadapan saya ini tidak mudah mengalah. 

Anak-anak Molek,

Suka saya ingatkan, nilailah kembali pengorbanan dan jasa ibu dan bapa masing-masing. Penat lelah bekerja mereka tak pernah hilang demi melihat kalian berjaya. Fikirkan dan kenangkan harapan semua guru yang telah ajarkan kalian sejak tahun 1 lagi. Mohon kalian tidak hampakan harapan dan impian semua guru di sini. 

Anak-anak yang saya sayang,

Anggaplah kalian barisan tentara mahu pergi berperang mempertahan negara daripada diancam. Maka usah takut, usah mengalah sebelum berjuang. Fokus dan yakin pada kemenangan dan kejayaan, inshaaAllah matlamat kalian akan tercapai.

Harapan saya, pada hari akhir-akhir menuju hari peperiksaan ini, jaga diri , jaga keselamatan dan jaga kesihatan masing-masing. Dalam pada itu, teruskan berdoa kepada Tuhan agar hajat kalian diperkenankan olehNYa.

Ingat, selangkah kalian masuk ke bilik peperiksaan, niatkan dalam hati mahukan kejayaan dan membahagiakan semua orang yang kita sayang. Tetapkan dalam diri, biar apapun yang menanti, aku tetap teguh berdiri dalam satu perjuangan yang belum berkesudahan. Jangan sesekali lupa orang yang gagal selalu member alas an tetapi orang yang berjaya berusaha dengan tindakan.

Sekian, terima kasih.

Sabtu, 28 Oktober 2017

Teks Pengacara Hari Anugerah Cemerlang Akademik






SYARIFUDDIN BIN ABU BAKAR
Mengumumkan ketibaan Encik Jumat bin Jaafar, Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan guru, diiringi barisan Penolong Kanan, dan ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru  SK Taman Molek.

PALUAN KOMPANG

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Bangsa Johor dan ke Puncak Jaya. Hadirin di minta berdiri.

LAGU BANGSA JOHOR
LAGU KE PUNCAK JAYA

Terima kasih, semua hadirin dijemput duduk.

PERSEMBAHAN SILAT
PERSEMBAHAN ZAPIN

FARHANA BINTI MOHD AMIN
Persembahan silat tadi dipimpin oleh Encik Aizat bin Hassan dan Encik Muhammad Hazim Hariz bin Mokhtar sementara persembahan Tarian Selamat Datang sebentar tadi di bawah kelolaan Puan Marziah binti Hamzah, Puan Faulina binti Pardi, Puan Nurul Khazirah binti Ramli dan Puan Noraini binti Salleh. Syabas dan tahniah atas persembahan itu tadi.

SALMI BINTI MOHD SHARIF
Bismillahhir Rahmannir Rahim...
Yang Berbahagia,
Encik Jumat bin Jaafar, NYD PIBG SK Taman Molek,
Yang dihormati,
Puan Rosni binti Gani, Penolong Kanan Pentadbiran,
Puan Soh Rosie, PK Hal Ehwal Murid,
Encik Mohd Anuar b Ab Samad, Penolang Kanan Kokurikulum,
Puan Suzni binti Kaulan, Penolong Kanan Petang,
Barisan guru,
Ahli Jawatankuasa PIBG,
anak – anak Molek, serta hadirin sekalian.

Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam Muafakat Johor...

Daun layu di tengah gurun,
Nampak jalur pohon cemara,
Tradisi Melayu turun temurun.
Pantun ditutur pembuka bicara.
Selamat datang ke, Majlis, Hari Anugerah Cemerlang, SK Taman Molek

Saya Cik Salmi binti Mohd Sharif, saya Encik Syarifuddin bin Abu Bakar, dan saya Puan Nor Farhana binti Mohd Amin akan mengacarakan majlis ini sehingga ke penghujungnya...
  
NOR FARHANA BINTI MOHD AMIN

Hari ini menugal jagung,
Hari esok memetik peria;
Hari ini kita berkampung,
Meraikan majlis penuh ceria.

Sarung ketupat berisi inti
Dibawa budak sambil berlari
Kehadiran semua sangat dihargai
Semoga majlis bertambah seri.

Terlebih dahulu, saya ingin memanjatkan rasa syukur, kerana dengan limpah dan kurniaNYA, kita dapat  sama-sama berhimpun pada pagi ini, untuk meraikan kejayaan anak-anak Molek. Hari ini anak-anak Molek akan dirai kecemerlangannya dalam tiga bidang utama proses kemenjadian murid iaitu akademik, sahsiah dan kokurikulum.

Sesungguhnya, kecemerlangan Anak-anak Molek membuktikan bahawa pengorbanan, kesungguhan dan iltizam yang tinggi daripada semua pihak memberi impak yang bermakna demi membangunkan kemajuan pendidikan di sekolah ini.

Ribuan terima kasih diucapkan kepada, Yang Berusaha Encik Jumat bin Jaafar, AJK PIBG, dan semua ibu bapa atas kesudian meluangkan masa untuk hadir ke majlis pada pagi ini.
Semoga usaha kita yang berterusan dalam memberi sokongan kepada anak-anak Molek, terus  menjadi pendorong kepada mereka, untuk terus meraih jenama cemerlang pada masa akan datang. Mudah-mudahan usaha kita semua diberkati Allah. Insya Allah.

Hadirin yang di kasihi,
Bagi memberkati majlis kita pada hari yang penuh bermakna ini, marilah sama-sama kita menadah tangan, mengaminkan bacaan doa yang akan dibacakan oleh Ustaz Mohamad Zhahirin bin Mohamad Arshad. Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan ustaz.

DOA

SYARIFUDDIN BIN ABKU BAKAR

Aamin, Aamin, Ya Robbal ’Aalamiinn...
Majlis merakamkan ucapan terima kasih, kepada Ustaz Mohamad Zhahirin bin Mohamad Arshad , atas pimpinan doa sebentar tadi.
Semoga pertemuan kita pada pagi ini mendapat perlindungan,
Dilimpahkan dengan seribu keberkatan,
Ditambahkan dengan tautan kemesraan,
Serta, berpisahnya kita nanti,
diiringi kenangan yang mencuit perasaan.
Hadirin sekalian,
Pencak silat cantik berseni,
Tersadung kaki langkah tersasar,
Majlis kita takkan berseri,
Tanpa ucapan wakil Guru Besar.

Majlis diteruskan dengan menjemput Yang Dihormati Puan Rosni binti Gani, Penolong Kanan Pentadbiran SK Taman Molek untuk menyampaikan ucapan. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

UCAPAN PK PENTADBIRAN

 SALMI BINTI MOHD SHARIF

Terima kasih diucapkan kepada Yang Dihormati Puan Rosni binti Gani, Penolong Kanan Pentadbiran SK Taman Molek atas ucapan itu tadi.

Terbang di awan burung jentayu,
Di atas papan batang jerami;
Tampillah tuan kami merayu,
Menyampai ucapan kata perasmi.

Bagi meneruskan aturcara kita pada pagi yang berbahagia ini, majlis dengan penuh takzim mempersilakan Yang Berbahagia Encik Jumat bin Jaafar untuk menyampaikan ucapan seterusnya merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan Permata Molek,  SK Taman Molek sesi 2016. Majlis mempersilakan.


PERSEMBAHAN GIMIK

Ribuan terima kasih diucapkan kepada Encik Jumat bin Jaafar atas ucapan perasmian itu tadi. Maka rasmilah sudah Hari Anugerah Cemerlang peringkat SK Taman Molek tahun 2016.

Pihak sekolah berbesar hati menyampaikan cenderamata tanda kenangan kepada Yang Berbahagia Encik Jumat bin Jaafar. Dipersilakan, Puan Rosni binti Gani untuk menyampaikannya.

Perasmian sudah persembahan pun sudah,
Tibalah masa sampaikan hadiah.

Sebelum majlis diteruskan dengan acara penyampaian hadiah, marilah sama-sama kita saksikan persembahan daripada ................................................................................. Dipersilakan.

PERSEMBAHAN MURID TAHAP 1 – CORAL SPEAKING
 

NOR FARHANA BINTI MOHD AMIN

Terima kasih kepada Anak-anak Molek Tahap 1 atas persembahan sebentar tadi. Persembahan coral speaking itu tadi adalah di bawah bimbingan Encik Abd Razak bin Abd Kadir, Puan Dayang Nadiah bt Abang Abd Salam, dan Puan Rosmazura binti Roslyi.
Syabas, atas persembahan yang menarik itu tadi.

Berkebaya batik berwarna merah,
Diserikan pula permata berlian,
Tibalah masa penyampaian anugerah,
Penerima sabar menunggu giliran.

Hadirin sekalian, kita teruskan majlis dengan Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik. Majlis dengan sukacitanya menjemput ..................................................................................... diringi ................................................ untuk menyampaikan sijil dan hadiah kepada murid-murid cemerlang tahap 1. Majlis mempersilakan.

TERBAIK DALAM ALIRAN TAHUN 1
TERBAIK MATAPELAJARAN TAHUN 1

SYARIFUDDIN BIN ABU BAKAR
 TERBAIK DALAM ALIRAN TAHUN 2
TERBAIK MATAPELAJARAN TAHUN 2

SALMI BINTI MOHD SHARIF
TERBAIK DALAM ALIRAN TAHUN 3
TERBAIK MATAPELAJARAN TAHUN 3
  
NOR FARHANA BINTI MOHD AMIN
Terima kasih diucapkan kepada ..................................,........................................... kerana sudi memyampaikan sijil dan hadiah kepada semua penerima. Tahniah diucapkan kepada semua penerima hadiah.
Majlis diteruskan dengan Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik kepada murid-murid tahap 2. Majlis dengan sukacitanya menjemput ........................................................................................................................................ diringi ............................................................................................................ Majlis mempersilakan.
TERBAIK DALAM ALIRAN TAHUN 4
TERBAIK MATAPELAJARAN TAHUN 4

SYARIFUDDIN BIN ABU BAKAR

TERBAIK DALAM ALIRAN TAHUN 5
TERBAIK MATAPELAJARAN TAHUN 5

SALMI BINTI MOHD SHARIF

TERBAIK DALAM ALIRAN TAHUN 6
TERBAIK MATAPELAJARAN TAHUN 6

ANUGERAH BINTANG LINUS

TOKOH AKADEMIK LELAKI
TOKOH AKADEMIK PEREMPUAN

TOKOH MURID LELAKI
TOKOH MURID PEREMPUAN
  
NOR FARHANA BINTI MOHD AMIN

Terima kasih diucapkan kepada ..................................,........................................... kerana sudi memyampaikan sijil dan hadiah kepada semua penerima. Tahniah diucapkan kepada semua penerima hadiah.

Pergi sekolah seawal pagi,
Melintas jalan berhati-hati,
Penyampaian hadiah diteruskan lagi,
Semua penerima sabarlah menanti.

SALMI BINTI MOHD SHARIF

Hadirin sekalian,
Selain penilaian akademik, Anak-anak Molek turut dinilai sahsiahnya. Tuan-tuan dan puan-puan, sesungguhnya “akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu.” Justeru, pembentukan sahsiah anak-anak perlulah diutamakan, bak nukilan tokoh pujangga, “ kalau asal benih yang baik jatuh ke laut, menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar.”

Acara seterusnya ialah Penyampaian Anugerah Sahsiah Terbaik sepanjang tahun. Untuk itu majlis dengan sukacitanya mempersila dan menjemput .................................................................................................................................................... diiringi ............................................................................................................................. untuk menyempurnakan majlis. Dengan sukacitanya dipersilakan.

SYARIFUDDIN BIN ABU BAKAR
TERBAIK SAHSIAH TAHUN 1
TERBAIK SAHSIAH TAHUN 2
TERBAIK SAHSIAH TAHUN 3


NOR FARHANA BINTI MOHD AMIN
TERBAIK SAHSIAH TAHUN 4
TERBAIK SAHSIAH TAHUN 5
TERBAIK SAHSIAH TAHUN 6

SALMI BINTI MOHD SHARIF
ANUGERAH KEHADIRAN PENUH
TOKOH PERPADUAN

Terima kasih diucapkan kepada ..........................................................................................
atas kesudian menyampaikan  anugerah kepada murid-murid cemerlang  sahsiah sebentar tadi.

REHAT
·         Hadirin sekalian, Majlis ditangguhkan untuk sesi rehat hingga jam 10.40 pagi
·   
   Mohon semua hadirin bersedia di tempat duduk masing-masing. Majlis akan diteruskan sebentar lagi.


SYARIFUDDIN BIN ABU BAKAR
Hadirin sekalian,
Meneruskan majlis pada pagi ini, terimalah persembahan KPop Dancer dan Tarian Zapin. Majlis mempersilakan.

PERSEMBAHAN KPOP DANCER & TARIAN ZAPIN
Begitulah persembahan daripada anak-anak Molek yang cukup  membanggakan. Buat pengetahuan hadirin, persembahan KPop Dancer dan Tarian Zapin sebentar tadi adalah dibawah pimpinan Puan Marziah binti Hamzah. Tahniah diucapkan.

Melati kuntum berhias rotan,
Tumbuh melata di tepi kali,
Anugerah cemerlang kita teruskan,
Pelajar bertuah kita hargai.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Ternyata, pihak sekolah turut tidak lupa menggilap bakat dan potensi anak-anak Molek supaya seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Bakat dan potensi Anak-anak Molek dalam bidang kokurikulum diukur melalui kecemerlangan mereka dalam pelbagai peringkat. Pengemblengan usaha dan iltizam daripada semua pihak dalam usaha mencungkit bakat Anak-anak Molek, ibarat menjelmakan sinar di hujung terowong. Justeru, anak-anak Molek berpeluang melakar kemenangan seterusnya mengharumkan nama sekolah, daerah mahupun negeri.

NOR FARHANA BINTI MOHD AMIN
Tanpa melengahkan masa, kita teruskan majlis dengan acara penyampaian anugerah cemerlang dalam bidang Kokurikulum. Untuk menyempurnakan majlis, dijemput .................................................................................................................................. diiringi ................................................................................................................................. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

ANUGERAH KOKURIKULUM
Sempurna sudah penyampaian sijil dan hadiah kepada semua murid. Terima kasih diucapkan kepada ................................................................................ kerana sudi menyampaikan sijil dan hadiah sebentar tadi.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penerima hadiah.

SALMI BINTI MOHD SHARIF
Hadirin sekalian,
Hari Anugerah Kecemerlangan Permata Molek SK Taman Molek hampir ke penghujungnya.
Bagi pihak Ahli Jawatankuasa Pengelola dan seluruh warga SK Taman Molek, saya menyusun jari sepuluh, memohon kemaafan jika terdapat sebarang kesilapan dan keterlanjuran kata sepanjang majlis ini berlangsung.

Sebelum bersurai, tirai Hari Anugerah Kecemerlangan Permata Molek ditutup dengan dua rangkap pantun.

Ucapan salam pengakhir kata
Segala yang ada dikongsi bersama
Apa yang kurang maaf dipinta
Sudilah berkunjung di lain masa.

Tuan puteri bertolak ke Rasah
Pulang semula sebelah pagi
Kita bertemu akhirnya berpisah
Diizin Tuhan bersua lagi.

Diminta semua hadirin berdiri untuk sama-sama menyanyikan lagu Negaraku.


Sekian, terima kasih...
Assalamualaikum wbt

Nampaknya hari ini aku diapit. Grrr....

Selasa, 17 Oktober 2017

1st day @ FPP Hospital Sultan Ismail & Tyroid

Hari pertama ke Hospital Sultan Ismail untuk dapatkan rawatan. Biasanya aku jejak kaki ke sini untuk melawat pesakit tapi kali ni akulah pesakitnya. Aku dah redho dengan ujian ini.
Memandangkan aku telah membuat temujanji dengan perkhidmatan FPP ( full payment patient ), aku terus ke kaunter pendaftaran. Rupanya nurse di kaunter itu telah sedia menunggu aku.
Aku duduk sebentar menanti giliran aku memandangkan nurse tadi sedang melayan pesakit lain. Tidak lama kemudian, nurse Wanie memanggil nama aku.
Aku diminta mengisi borang dan tandatangani perjanjian peraturan perkhidmatan yang telah ditetapkan. Nurse Wanie memberi aku kad rawatan dan rujukan kepada Dr Seniyah.
"Puan, nanti puan bawa kad ini dan lalu di belakang sana. Belok kanan dan nanti nak jumpa Dr Seniyah kena belok kiri. Masukkan kad dalam kotak/bakul yang disediakan." 
Aku mula keliru. Dengan penyakit yang aku ada, aku memang tidak boleh fokus dengan pelbagai arahan. Daya ingatan juga tidak tajam. Cepat sangat jadi pelupa.

Tetiba airmata aku mengalir depan nurse Wanie. Aku sebak sebab seakan tidak dapat mengikuti arahan nurse Wanie.
Aku malu tapi apakan daya aku tak mampu untuk tanggung emosi waktu itu. Nurse Wanie pegang tangan aku cuba tenangkan aku. Akhirnya aku redha. Airmata dapat ditahan.
Nurse Wanie cuba menerangkan kepada aku semula. Aku bangun lalu ke tempat yang diarahkan. Tidak lama kemudian, nurse di kaunter pembedahan memanggil aku.
Aku masuk menemui Dr Seniyah. Cergas orangnya dan begitu meyakinkan aku. Patutlah sahabat aku yang pernah berurusan dengannya rasa selesa bersama. Alhamdulillah...
Aku dan Dr Seniyah bersoaljawab tentang penyakit aku. Selesai dia rekod hasil temubual aku dengannya, dia mula menaip rekod untuk rujukan akan datang.
Aku diarah ke kaunter pendaftaran semula untuk mengambil sampel darah bagi rujukan T4 tyroid aku. Nurse Wanie diamanahkan untuk tujuan itu. Argh...aku redho. Selang seminggu darahku diambil untuk sampel rujukan doktor.
Selesai urusan pada hari ini. Kos yang dikenakan RM 10- pendaftaran, RM100 - runding Dr Seniyah, RM150 - sampel darah. Jumlah RM 260.

Ahad, 24 September 2017

Preluv Bonia @ Group Bonia Original Brand Only FB

Kali ni aku nak cerita pasal barsngan prelove. Sebelum ni aku tak peka pun tentang barang-barang prelov nih. Adik aku le punca segalanya. Ko salahkan dia plak? Kah, kah, kah...Bukan apa, kawan dia punya lah banyak produk international ngko. Loaded plak tu. Gaya shopping kat overseas. So, bila almari dah penuh dengan pelbagai koleksi, maka dilelongnya dengan harga murah.

MK, Kate Spade, Marc Jacob, Gucci semuanya dengan harga bawah RM500. Leh hutang plak tu. Itu belum lagi cerita tentang prelov pakaian. Memang dia murah hati plus pemurah. Makcik cleaner pun berebut ngko. Mana tidaknya, tudung Ariani, Nealofar yang baru pakai sekali dua, dah dilambak RM10 sehelai. Huhuhu... Ok, cukuplah aku citer pasal prelove kawan adik aku tu. So, aku tak heran jika adik aku leh pakai jenama-jenama terkenal tu sebab aku tau mana puncanya. Kalau orang tak tau, krik-krik la jawabnya kan....😁😁😁

So, kali ni aku nak share tentang pengalaman aku shopping @ group Bonia Original Prelove kat FB. Kat group ni hanya menjual barangan Bonia original sahaja. Kalau ko nak tempek kualiti 2A  or 3A, memang kena remove le dengan admin. Handbag, kasut, jam, wallet semua ada. Bukan setakat prelove, yang baharu pun ada wei. Hahaha...akhirnya aku terjebak beb. Memula aku usha-usha je lah tengok pada harga mampu.  Lepastu aku kena tengok juga kondisi barang yang ditawarkan. At least takdelah ko hampa sangat bila dapat barang yang dah lusuh. Biasanya kalau harga yang kita tengok tu jauh sekali dengan nilaian terhadap barang tu, maybe barang tu dah ada cacat celanya. Mungkin ada batu-batu pada barang tersebut dan tercabut, atau dah comot sikit.

Macam biasa aktiviti PM memPM pada penjual diusahakan. Tawar menawar dan melihat kondisi barangan dengan lebih dekat. Argh...akhirnya aku beli handbag itu dengan harga RM350 pada 18/9/2017 yang lepas. Kakaka...Actually aku tak tahu berapa harga sebenar beg itu. Menurut penjual, dia turut tidak mengetahuinya kerana terima hadiah daripada suaminya. Huntunglah coz suaminya suka belikan handbag untuk dia. Huhuhu....

Apapun, aku happy dengan pembelian tersebut. Setelah sampai, aku tilik dan tilik, kondisi handbag itu seakan baru lagi. Ada warranty card dan dusty bag sekali. Next, leh shopping lagi lah kot. Wakakaka...

Sabtu, 23 September 2017

Nasi Baryani Mohd Shah Batu Pahat

Minggu ni cuti hujung minggu yang panjang sempena Tahun Baharu 1439H. So aku ambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman ziarah abau yang kebetulan sebelum ni demam. 

On my way untik sampai rumah abah, sure aku lalu Benteng Peserai. Haah, ko tau aku mengidam. Kakaka...mengidam ngko ! 
Sesungguhnya cacing dalam perut aku yang mengidam memacam.  

Maka layankan tekak aku yang ngengada ni untuk makan Nasi Baryani Mohd Shah. Huh, actually bukan rasa mengidam sangat tapi hakikatnya macam ketagihan. Dah lama juga la aku take pekena Nasi Baryani ni. 

Memandangkan aku solo, aku pun tapau je la. Leh la makan kat umah secara berjemaah. Skang ni harga nasi lauk ayam dah jadi RM7 manakala lauk kambing RM8 termasuk GST. Sebelum ni lauk ayam RM6 manakala kambing RM7. Kalau tak silap aku la. Haa..semua mengalami kenaikan harga. Almaklum zaman semua ada caj tambahan kan. 



So, puas hatilah aku makan. Memang sedap dan berbaloi. Alhamdulillah...

Jumaat, 22 September 2017

Tahun Baharu 1439H

Setahun berlalu ;
1 Muharam 1438H - 1 Muharam 1439H

Suka duka, pahit dan manis pasti menjadi rencah dalam kehidupan bernama aku. Entahkan berapa nilainya pahala yang aku himpun. Entahkan berapa pula dosa yang aku timbun. Antara dosa dan pahala itu, hanya DIA yang menghisab akan aku. Sudah pastinya aku hanya hamba yang menjadi pendosa tanpa noktah. Ampunkan aku, Allah. 😢😢😢😢😢

Ya Rabb, berilah aku kesempatan untuk mendapatkan bimbingan dalam hidayahMu, dan jauhkanlah aku daripada kesesatan dalam setiap kali aku mengendalikan kejahilanku. Aku ingin jalani tahun ini lebih baik daripada tahun sebelum ini.

Ya Rabb, sihatkan aku dalam tempoh usia yang aku tidak tahu penghujungnya dan jauhkan aku daripada sebarang musibah yang kau cipta agar aku dapat mengatur langkah²ku dengan teratur di bumiMu ini.

Mudah²an rezeki kesihatan, harta benda dan hidayahMu pada tahun ini memihak kepada aku, keluargaku, saudara²ku, sahabat²ku sekaligus seluruh ummat Islam di bumiMu ini.

Buat keluarga dan sahabat, maafkan aku atas setiap kejahilan yang telah aku lakukan. Jom, hijrah kepada perjalanan hidup yang lebih diberkati !

SELAMAT TAHUN BAHARU 1439H.

#terimakasihAllah