Jiwang Corner :)

Isnin, 31 Ogos 2015

Semangat UPSR 2015

Pagi tadi, kelas tambahan bagi subjek aku bermula jam 10 pagi. Aku hadirkan diri lebih awal untuk memberi peluang murid lain datang belajar dengan aku pada jam 8 pagi. Apakan daya, hanya seorang yang mahu belajar Matematik dan selebihnya ke kelas BM.

Aku tidak mahu paksa mereka. Aku selalu beritahu mereka bahawa aku lebih suka menerima murid yang nak belajar dengan niat yang ikhlas. Kehadiran murid yang ikhlas biasanya akan lebih fokus banding murid yang datang hanya untuk berjumpa kawan-kawan.



Calon UPSR tunggal aku yang hadir pagi tadi memang tidak pernah lepaskan kelas tambahan aku. Setiap Rabu selepas waktu sekolah dan pagi Jumaat pasti dia akan muncul biarpun lewat. Biarpun dia tidak pernah lulus tapi semangatnya tinggi. Aku sabar ajarkannya walaupun dia sukar untuk mengingat semula apa yang telah aku ajarkan.

Sifir masih tidak cair manakala formula pula masih dikertas walhal lebih kurang seminggu sahaja lagi peperiksaan akan dijalankan. Ditanya, 3x10 pun masih mengambil masa yang lama untuk mendapatkan jawapannya. Pada saat akhir ini, aku tidak mahu dia stress. Aku cuma banyak memberikannya semangat.

Semoga calon ini akan mendapat sinar dalam harapannya. Mungkin bukan dalam masa terdekat tetapi pada masa akan datang. Inshaa Allah, Ameen...