Jiwang Corner :)

Sabtu, 31 Disember 2011

Walimatul Urus Seorang Sahabat

Sampai di Wakaf Bharu, saya dan rakan tinggal di sebuah rumah tamu milik seorang rakan. Alhamdulillah...semuanya berjalan dengan lancar. Kebetulan rumahnya itu memang dekat sangat dengan Stesen KTM wakaf Bharu itu.

Selepas merehatkan diri beberapa jam, kami bertolak ke majlis persandingan sahabat pula di Machang. Perjalanan mengambil masa kira-kira sejam suku dari rumah. Sampai di sana, kelihatan ada juga 3 orang sahabat yang telah mendahului kami.

Selepas jumpa dengan sahabat dan ibu bapanya, kami pun terus makan. Almaklumlah, perut pun memang sedang berkeroncong. Hehehehe...memang tak senonohnya orang Johor ni. Hishk...senonoh lah. Sopan lagi tau ! 

Gulai kawah kambing segar

Jantung pisang masak pe ek ? Saya makan jerk...

Jamuan yang diberi, memang berbeza dengan jamuan yang diberi oleh orang Johor. Tapi saya tiada masalah. Asalkan namanya makanan ( yang halal ok...) saya makan jerk kecuali ada beberapa jenis lah yang saya tak boleh makan atas sebab-sebab tertentu. Menu kali ini adalah nasi putih, kambing gulai kawah, jantung pisang, serawa keledek, dan acar timun nenas. Sedap kambing tu... Memang kegemaran hamba apatah lagi kambing segar. Erm...yum,yum...( makan sampai kenyang nampaknya )

Sebelum pengantin lelaki sampai

Kira-kira jam 3.00 petang pengantin lelaki pun sampai. Mereka dijamu terlebih dahulu. Biasalah, adegan makan bersuap oleh pasangan pengantin dah jadi adat. Saya tumpang gembira...semoga jodoh mereka berkekalan dan bahagia hingga ke akhir hayat. InsyaAllah, amin...


Selepas siap makan, mereka naik ke atas pelamin lantas imam membacakan doa. Sesi bergambar terus berlangsung sementara kami mula bersiap untuk pulang semula ke Wakaf Bharu. Perancangan kami untuk aktiviti seterusnya ialah membeli belah ( lebih indah lagi jika saya gunakan istilah pergi menipiskan duit di dompet ) di Pasar Malam Wakaf Che Yeh yang dibuka hingga ke pagi.


Kerajaan Tanggung RM147j Kos Mansuh Yuran

PETALING JAYA: Kementerian Pelajaran menyediakan peruntukkan tambahan RM20 juta untuk membekal peralatan dan kemudahan bagi kegunaan pelajar apabila sesi persekolahan 2012 bermula minggu depan.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata peruntukan tambahan itu membabitkan penyediaan 122,846 kerusi, 122,675 meja dan 24.4 juta buku teks.

“Bersesuaian dengan program Satu Murid, Satu Kerusi, Satu Meja dan Satu Set Buku Teks, kerajaan menyediakan peruntukan melengkapkan sekolah dengan pelbagai peralatan untuk keselesaan.

“Langkah ini antara usaha yang dilakukan untuk memastikan musim persekolahan tahun depan berjalan lancar,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di sini, semalam. 


MUHYIDDIN  melihat kandungan buku teks ketika  mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di Petaling Jaya, semalam. 
MUHYIDDIN melihat kandungan buku teks ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di Petaling Jaya, semalam.



Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagaimanapun musim tengkujuh ketika ini menyebabkan peralatan untuk tiga sekolah di Pulau Tioman tidak dapat diserahkan mengikut jadual.

Beliau juga memaklumkan seramai 449,475 murid akan memasuki kelas Tahun Satu di seluruh negara, minggu depan, manakala seramai 437,475 pelajar akan menyambung pelajaran ke Tingkatan Satu di sekolah menengah. 

Selain itu, katanya, sebanyak 26 sekolah rendah baru dibina dan 12 daripadanya akan beroperasi mulai Januari 2012, manakala bagi sekolah menengah, 25 sekolah baru dibina dengan empat daripadanya dapat digunakan bulan depan. 

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, kerajaan menanggung RM147 juta kos pemansuhan yuran persekolahan bagi meringankan beban ibu bapa supaya tidak ada sesiapa yang ketinggalan dalam pelajaran. 

“Sebenarnya tidak ada yuran... bayaran hakiki tidak perlu dibayar,” katanya. Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang akan memohon mendapatkan sumbangan daripada ibu bapa untuk melaksanakan program sekolah. “Tetapi, jangan kenakan apa-apa lagi,” katanya. 

Beliau berkata, kerjasama dan pembabitan ibu bapa dalam kegiatan sekolah anak mereka dapat membantu mewujudkan sekolah cemerlang. “Di banyak negara dilawati, yang menyambut saya dulu bukannya guru, tetapi ibu bapa. Macam di Australia, bila ditanya mereka beritahu ‘kami datang ke sini untuk bantu sekolah kerana anak kami belajar di sekolah ini’,” katanya.

Berita Harian Online: 31 Disember 2011

Main Masak-masak dan Berkebun

Hari ini saya tinggalkan dulu isu-isu semasa dalam dunia pendidikan terutamanya SPBA. Saya nak kongsikan pula cerita santai bersama aktiviti saya semasa cuti akhir tahun persekolahan. Di kampung aktiviti saya tidak lain tidak bukan adalah memasak dan berkebun.

Seperti yang saya angankan, saya telah berjaya menanam semula pokok-pokok bunga arwah mak saya. Banyak yang telah mati disebabkan tidak ada siapa yang sempat untuk menjaganya. Kesian pokok-pokok itu. Dahulu, arwah mak memang suka menanam pokok-pokok bunga di sekitar rumah. Sayalah yang selalu membantunya.

Kali ini, cuti yang agak panjang saya manfaatkan sepenuhnya. Selain hari-hari kena jadi chef ( tapi memang tak layak masuk program MasterChef Malaysia pun ), saya usahakan membeli tanah, arang dan batu untuk tanam semula orkid arwah mak. 

 Antara menu yang saya masakkan untuk abah. Hehehe...laris nampaknya :)

Resepinya mudah je. Ni saya sertakan bahan-bahannya :

6 ekor ketam - dibelah dan dibersihkan
3 cwn santan 
2 biji bawang besar *
3 biji bawang merah *
2 inci kunyit hidup *
2 batang serai - diketuk
2 helai daun kunyit
Segenggam cili padi - jika suka pedas boleh ambil bergenggam2x
Garam
Asam keping
sedikit perasa


Dibantu oleh Mak Su yang kebetulan tidak ada kerja, pasu-pasu bunga di tepi-tepi rumah saya angkat dan kumpulkan di satu tempat. Saya punggah dan tanam semula. Alhamdulillah, siap juga projek saya. Walaupun badan terasa sakit-sakit akibat aktiviti menyangkul dan mengangkat pasu, namun saya gagahkan juga. Kalau tidak, tak jadi lah projek tanaman saya nih :)

 Walaupun tak seberapa apa yang saya hasilkan, mudah-mudahan pokok-pokok itu dapat mendoakan kesejahteraan saya kerana telah memberi nafas baru kepadanya :)


Kaji Semula Tempoh Cuti Persekolahan

Apa pendapat rakan-rakan guru bila baca surat ini ?



CUTI sekolah memang menyeronokkan tetapi kepada golongan yang kurang mampu agak membebankan. Saya rasa cuti akhir tahun sejak beberapa tahun ini agak terlalu lama berbanding sebelumnya. Cuti untuk 2012 akan bermula 10 November 2012 dan berakhir 31 Disember 2012. Ini bermakna cuti lebih dari 1 1/2 bulan. 


Saya lebih suka kalau anak saya pergi ke sekolah setiap hari bukan saja belajar tetapi dapatlah mereka bertemu dengan rakan serta guru.Selain cuti akhir tahun terdapat juga cuti penggal iaitu setiap tiga bulan. Juga akan ada cuti selama 1 hingga2 minggu termasuk cuti peristiwa atau perayaan.

Cuti perayaan biasanya pihak sekolah akan dipanjangkan dan akan diganti pada Sabtu dan biasanya sekolah ganti pada Sabtu hanya diisi dengan aktiviti padang atau persembahan di dewan saja. 


Bagi ibu bapa yang mampu cuti yang panjang ini akan diisi dengan makan angin, tetapi bagi yang tidak mampu anak-anak terpaksa duduk di rumah dan menonton televisyen atau bermain video. Lagipun zaman sekarang ini sudah jarang sangat orang menghantar anak balik ke kampung sebab anak-anak akan bosan duduk di kampung kerana tiada kemudahan seperti di bandar.

Oleh kerana ibu bapa terpaksa bekerja anak-anak pula ditinggalkan bersendirian di rumah. Apa yang saya nampak, kebanyakan cuti sekolah ini adalah medan untuk anak-anak melepak, merayau dan berpeleseran di kawasan kedai, taman dan kafe internet (bagi yang tiada kemudahan internet di rumah). Ini akan menggalakkan gejala sosial dalam kalangan kanak-kanak kerana ibu bapa tidak akan dapat memantau anak mereka setiap masa kerana bekerja. 

Saya berharap sangat sekiranya pihak kementerian pelajaran dapat meneliti serta membuat kajian mengenai tempoh cuti persekolahan yang terlalu banyak setiap tahun dan sangat lama itu. 

UTAMAKAN PELAJARAN, Kuala Lumpur. 

Khamis, 29 Disember 2011

KSSR Lengkapi Kemahiran Hadapi Cabaran

KURIKULUM Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan sebagai usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai relevan untuk memenuhi keperluan semasa serta menghadapi cabaran abad ke-21. 

Pelaksanaan KSSR menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) bermula sesi persekolahan Januari lalu bertujuan meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran bahasa Inggeris.


KSSR digubal dalam pernyataan standard terdiri daripada standard kandungan dan pembelajaran yang perlu dicapai murid dalam satu tahap persekolahan.
Standard Kandungan ialah penyataan spesifik mengenai perkara murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai, manakala Standard Pembelajaran ialah penetapan kriteria atau petunjuk kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.

Berikut adalah soal jawab KSSR bagi membolehkan kita memahami konsep diperkenalkan Kementerian Pelajaran.

Apakah perbezaan KSSR dengan KBSR?

KSSR adalah reka bentuk kurikulum berasaskan 6 tunjang iaitu Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai; Kemanusiaan, Perkembangan Fizikal dan Estetika; Sains dan Teknologi serta Keterampilan Diri. 
KSSR menggunakan Elemen Kreativiti dan Inovasi, Keusahawanan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) secara eksplisit dengan memfokuskan kepada 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul).

KBSR adalah reka bentuk kurikulum berasaskan tiga bidang iaitu Komunikasi; Manusia dan Alam Kelilingnya dan Perkembangan Diri Individu. Kaedah ini menggunakan Elemen Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif dengan fokus kepada 3M (Membaca, Menulis dan Mengira)

Adakah terdapat perubahan mata pelajaran dalam KSSR Tahap Satu? 

Dalam KSSR Tahap Satu, ada beberapa mata pelajaran baru di samping penggabungan semua disiplin ilmu dalam Modul Teras Asas, Modul Teras Tema dan Modul Elektif bagi pengurusan kurikulum lebih berkesan.

Mengapa Sains tidak dijadikan Modul Teras Asas? 

Sains tidak dijadikan Modul Teras Asas kerana Modul Teras Asas memberi fokus kepada literasi dan numerasi, kesejahteraan diri dan pembangunan rohani. Manakala Sains pula diperkenalkan dalam Modul Teras Tema bagi memberi pengetahuan asas disiplin ilmu Sains.

Adakah murid akan bosan di dalam kelas dengan penambahan waktu Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) bahasa Inggeris?

Tidak. Kaedah dan teknik yang pelbagai diperkenalkan oleh guru untuk menarik minat murid. Modul Language Arts yang menekankan pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa. P&P bahasa yang menarik dan efektif dijalankan melalui aktiviti menyanyi, jazz chants, choral speaking, drama, muzik dan bahan bantu mengajar lain yang sesuai.

Apakah usaha dilakukan bagi menyediakan guru bagi pelaksanaan KSSR?

KPM menjalankan kursus penyebaran KSSR kepada semua guru terbabit dalam pelaksanaan KSSR. Guru juga dibekalkan bahan sokongan dan boleh mengakses maklumat daripada laman web di KPM seperti berikut: http://www.moe.gov.my/bpk atau menghubungi Bilik Gerakan KSSR di nombor telefon 03-88842283.

S: Adakah KSSR mampu mendorong kreativiti guru dan murid dalam P&P?

J: KSSR mampu mendorong meningkatkan kreativiti guru dan murid melalui pendekatan P&P seperti didik hibur dan elemen nilai tambah merentas kurikulum. Guru dibekalkan dengan buku panduan kreativiti untuk membantu pelaksanaan P&P.

S: Dalam tahap 1, setakat manakah pendidikan seks diajarkan? 

J: Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) tidak diajar sebagai satu mata pelajaran tetapi sebagai komponen yang besar (75%) dalam mata pelajaran Pendidikan Kesihatan. 

Berita Harian Online: 29 Disember 2011

Selasa, 27 Disember 2011

SBPA: Skim Gaji Perkhidmatan Guru Perlu Diperbaiki

SAYA mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan yang bersetuju untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA. SBPA secara umumnya memang mendatangkan banyak kebaikan kepada semua pihak. Contoh ketara ialah peningkatan gaji mati bagi guru iaitu antara 19.34% hingga 56.78%. Perkiraan ini adalah berasaskan gaji mati P1T3 @ P1T2 mana yang berkenaan di gred gaji SSM dengan gaji mati SBPA.

Gaji mati SBPA ini berdasarkan kutipan maklumat dari blog-blog yang boleh dipercayai. Ini kerana laman web JPA setakat ini belum memaparkan jadual gaji SBPA. Namun maklumat ini sangat boleh dipercayai kerana berdasarkan pengalaman gaji saya sendiri yang          diwar-warkan di blog tersebut adalah sama dengan tawaran opsyen SBPA yang saya terima. Terima kasih kepada kerajaan dan syukur kepada Allah.


Namun, disebabkan SBPA ialah sistem ciptaan manusia pasti terdapat beberapa kekurangan. Izinkan saya berkongsi perasaan dan pendapat bersama pembaca sambil mengharapkan mendapat respons positif daripada pihak-pihak yang berkenaan.

Perkara pertama yang ingin saya kongsikan ialah perbezaan peratusan kenaikan gaji bagi guru di bawah SBPA yang sangat ketara. Kami guru DG44/ DG1-2 cuma mendapat kenaikan gaji sebanyak RM2.01 atau 0.07% iaitu dari RM2,982.99 ke RM2,985. Nilai ini terlalu rendah jika dibandingkan dengan guru DG54/DG1-6 iaitu sebanyak RM1,857.46 bersamaan 35.94% iaitu dari RM5,167.64 ke RM7,025.00.

Malah terdengar desas-desus peningkatan gaji JUSA dan kumpulan Premier pula lebih RM3,000 sebulan. Saya tidak dapat memastikan kesahihannya kerana JPA seolah-olah cuba menyembunyikan jadual gaji SBPA daripada menjadi tatapan umum.

Untuk tujuan perbandingan tersebut, saya telah menggunakan kaedah yang sangat adil iaitu berdasarkan gaji permulaan bagi kedua-dua gred yang dibandingkan.

Saya mengharapkan agar gaji permulaan SBPA bagi guru DG2-3, DG2-5, DG1-2 DG1-4 dan DG1-5 disemak semula. Jurangnya hendaklah dirapatkan. Kami mengharapkan sekurang-kurangnya 10% kenaikan.

Perkara kedua ialah mengenai tempoh kenaikan pangkat secaratime-based. Jika dihayati ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa membentangkan Belanjawan 2012, tempoh guru DG41 (DG1-1) dinaikkan pangkat ke DG44 (DG1-2) adalah tahun ke-8 dan seterusnya tahun ke-16 dikira dari pelantikan DG41 akan dilantik ke DG48 (DG1-4).

Tapi mengikut SBPA kami menunggu tahun ke-9 atau menggenapkan perkhidmatan selama 8 tahun di DG41/DG1-1 sebelum dinaikkan pangkat ke DG44/DG1-2 dan perlu menggenapkan 8 tahun perkhidmatan di DG1-2 sebelum layak dinaikkan pangkat secara time-based ke DG1-4.

Formula 8+8+6+3. Tempoh Kenaikan Pangkat. Dipetik daripada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 tahun 2011. Jika diikutkan maksud ucapan PM, formula tersebut sepatutnya jadi 7+8+6+4. Kami sangat mengharapkan agar dasar ini dikaji semula.

Perkara ketiga yang ingin saya utarakan juga berkaitan dengan perkara di atas. Sebahagian daripada guru siswazah adalah asalnya seorang guru bukan siswazah/lepasan diploma. Kami dinaikkan pangkat ke guru siswazah secara lantikan atau Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL).

Dalam SBPA kaedah ini dikenali dengan nama Peningkatan Secara Lantikan (PSL). Jika mengikut SSM kami diberi formula 3+7 iaitu menggunakan tempoh perkhidmatan sebagai guru bukan siswazah untuk diambil kira sebagai tempoh perkhidmatan untuk proses kenaikan pangkat ke DG44 atau DG48.

Formulanya ialah setiap tiga tahun perkhidmatan sebagai guru lepasan diploma sebagai setahun perkhidmatan sebagai guru siswazah dengan had maksimum yang boleh digunapakai ialah 9 tahun perkhidmatan bersamaan 3 tahun perkhidmatan guru siswazah.

Di bawah SBPA kami tidak mendapat apa-apa maklumat mengenainya. Kami mengharapkan agar dasar tersebut dipanjangkan di bawah SBPA dengan diberi penambahbaikan iaitu dengan menghapuskan had maksimum 9 tahun perkhidmatan bersamaan 3 tahun perkhidmatan guru siswazah.

Rasionalnya permintaan ini ialah, kebanyakan guru KPSL/PSL ini sudah berumur. Jika dihadkan kepada 9 tahun perkhidmatan sahaja yang diambil kira maka kebanyakan guru ini akan sentiasa ketinggalan dari segi insentif berbanding guru baru. Hargailah jasa guru lama ini.

Perkara keempat adalah cadangan baru dari saya sendiri. Saya mencadangkan agar gred gaji guru KPSL/PSL diasingkan daripada guru lantikan pertama. Saya mencadangkan diwujudkan gred baru. Contohnya DG1-1A, DG1-2A, DG1-4, DG1-5A dan DG1-6A. Jumlah gajinya dicadangkan 10% lebih tinggi berbanding gaji DG1-1, DG1-2, DG1-4, DG1-5 dan DG1-6. Cadangan ini adalah berdasarkan pengalaman saya yang dilantik pada Januari 2001 ke PPPS DG3/41 dengan mendapat kenaikan kurang daripada RM30.

Pada Julai 2007 kerajaan memberikan kenaikan gaji sebanyak 15% kepada kumpulan pengurusan dan profesional manakala kumpulan sokongan 1 (iaitu kumpulan saya sebelum itu) diberi kenaikan 25%.

Kesannya gaji saya lebih rendah berbanding dengan rakan saya yang sama-sama dilantik sebagai guru bukan siswazah dengan kelulusan SPM pada tahun 1990. Luahan kami tidak diambil tindakan yang sewajarnya.

Jawapan standard daripada Pegawai Perhubungan Korporat Kementerian Pelajaran Malaysia ialah tidak boleh membandingkan gaji PPPS DG41 dengan PPPLD DGA32 dan menyarankan kami membandingkan gaji PPPS DG41 dengan gaji PPPLD DGA29.

Suka dimaklumkan PPPS DG41 yang membandingkan gaji mereka dengan gaji PPPLD DGA32 adalah guru KPSL@PSL yang mana jika kami tidak dilantik ke PPPSDG41 maka kami sepatutnya mendapat gaji sebagaimana PPPLD DGA32.

Di sinilah wujudnya anomali iaitu di mana pegawai yang dinaikkan pangkat mendapat gaji yang kurang. Satu lagi hujah Pegawai Perhubungan Korporat KPM yang sangat kami benci mendengarnya ialah menyarankan kami melihat secara keseluruhan iaitu elaun-elaun yang diterima.

Saya akui, jika diambil kira elaun yang diterima, jumlah emolumen yang kami terima adalah lebih berbanding PPPLD32 tapi ia masih tidak berbaloi. Perlu diambil ingatan, elaun tidak diambil kira dalam pembayaran pencen dan gratuiti.

Saya sangat mengharapkan agar semua kesatuan guru mengambil tempoh lanjutan ini untuk mengadakan perbincangan dengan JPA supaya skim perkhidmatan perguruan diperbaiki.

Utusan Malaysia Online: 27 Disember 2011

Ahad, 25 Disember 2011

Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan


Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bukanlah suatu perkara yang baru. Seingat saya, beberapa siri taklimat berkenaannya telah dibuat sekitar akhir tahun lepas (2009) lepas dan saya sendiri telah menghadiri taklimat pertama bagi seluruh negeri Sabah yang melibatkan salah satu sub-NKRA berkenaan. Taklimat berkenaan waktu itu diadakan di Labuan.
Setelah beberapa bulan pelaksanaannya, kedengaran juga perbualan tidak rasmi berkenaan beberapa isu yang berkaitan dengan NKRA (Pendidikan) ini. Bahkan saya pernah menerima pertanyaan daripada email untuk mendapatkan penerangan lebih lanjut tentang bidang yang terkandung dalam NKRA dan isu-isu yang mula dibangkitkan.
Bagaimanapun kali ini saya tidak akan terus menyentuh tentang isu-isu yang melibatkan NKRA. Lebih elok sekiranya  buat permulaan dimuatkan secara ringkas kandungan Sub-NKRA Pendidikan di blog ini dan jika ada kelapangan nanti, isu-isu yang berkenaan akan dibincangkan kemudian.
NKRA – National Key Result Area
  • “The Government is set to begin the transformation process in strengthening the efficiency of its delivery system”
  • “ The KPI / KRA are not mere acronyms as they offer clear measures designed to ensure that the government is continuously working to better serve the needs of Malaysians”
  • “ Our real work will begin as we make the transformation of government services happen”
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan
Dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan, kerajaan akan memberi tumpuan kepada 4 sub-NKRA untuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan
Sub-NKRA 1:  Prasekolah
7 teras untuk meluaskan akses kepada pendidikan prasekolah yang berkualiti dan berkemampuan:
  • Penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Prasekolah Kebangsaan dan Bahagian Prasekolah dan PERMATA Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
  • Perlaksanaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK)
  • Menyeragamkan bantuan kepada murid prasekolah kerajaan
  • Meningkatkan kualiti guru dan pembantu guru
  • Menambah bilangan kelas prasekolah di kawasan miskin Bandar, luar Bandar dan pedalaman
  • Meningkatkan Perkongsian Pintar Kerajaan-Swasta dalam pendidikan Prasekolah.
  • Mewujudkan Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan
Sub-NKRA 2: Literasi dan Numerasi
  • NKRA – Peluasan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan
  • Setiap kanak-kanak* menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi selepas 3 tahun mengikuti pendidikan rendah pada akhir tahun 2012
  • *Kanak-kanak berkeperluan khas – didefinisikan sebagai murid bermasalah pembelajaran, masalah pendengaran, masalah pertuturan, masalah penglihatan, terencat akal, mempunyai pelbagai kecacatan, dan kurang upaya secara fizikal. Kurikulum khas literasi dan numerasi dibentuk untuk kanak-kanak berkeperluan khas.
Sub-NKRA 3: Sekolah Berprestasi Tinggi
-  Mengangkat kualiti sekolah-sekolah yang terbaik
  • Meningkatkan kualiti pencapaian institusi pendidikan melalui peningkatan tahap autonomi dan akauntabiliti, membenarkan sekolah melaksanakan inovasi dalam pengurusan masing-masing (pemusatan dalam aspek kurikulum dan anggota perkhidmatan)
-  Menghasilkan pelajar yang cemerlang
  • Sebagai tempat untuk melatihkan pelajar cemerlang bertaraf antarabangsa dan yang menjadi personaliti unggul dalam semua bidang
-  Merapatkan jurang antara sekolah-sekolah di dalam sistem
  • Sebagai inspirasi kepada sekolah-sekolah lain untuk membangunkan kecemerlangan tahap yang lebih tinggi melalui bimbingan dan jaringan antara sekolah sekolah tersebut.
Sub-NKRA 4: Tawaran Baru kepada Pemimpin Sekolah
Meningkatkan kualiti keberhasilan murid menerusi peningkatan prestasi pemimpin sekolah di Malaysia:
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan

Jumaat, 23 Disember 2011

Pengalaman Menaiki KTM dari Kempas ke Wakaf Bharu

Cuti persekolahan kali ini memang begitu sunyi bagi aku memandangkan ini adalah tahun pertama cuti sekolah yang panjang tanpa arwah mak. Selalunya arwah emaklah yang sentiasa menemani aku ke sana ke mari. Ada sahaja yang kami rancang bersama. Namun, semuanya telah berakhir...Allah lebih menyanyangi arwah emak.


Baki cuti persekolahan tahun ini aku habiskan di Kelantan Darul Naim. Lebih dari 15 tahun aku tidak ke sana. Tentu sekali banyak perubahannya berbanding kunjungan aku sebelum ini. Tujuan pertama nak hadir ke majlis persandingan seorang rakan satu tempat bertugas.

 Paling tak sabar, kunjungan aku ke sana dengan menaiki kereta api. Bukannya apa, inilah pengalaman pertama aku menaiki kereta api. Hehehehe...berdebar-debar pun ada. Tapi adalah juga pengalaman menaiki komuter ( adik beradik kereta api la jugak kan ? ) 


Perjalanan dari Stesen KTM Kempas ke Wakaf Bharu yang dinanti-nantikan tiba juga masanya               ( maklumlah tiket dah beli awal-awal ). Aku ke sana ditemani oleh seorang rakan yang sama tempat bertugas. Bertanya-tanya melalui orang Kelantan, perjalanan akan mengambil masa 12+ jam.( Dalam hati, adehhhh...Patah pinggang juga aku dibuatnya nih ). Nasib baik aku mengambil jenis katil @ tempat tidur. So, bolehlah baring-baring banding duduk sahaja. Huhuhu....

Aksi aku antara 30 minit pertama. Semuanya rasa tak kena. Huhuhu...
Mula-mula kereta api bergerak, aku mula pening-penig pula. Risau jgk memandangkan masa perjalan yang agak panjang. Kalau mabuk muntah, parah aku dibuatnya...Lastly aku terlelap jugak ( tidur-tidur ayam je pun ). Setiap kali tersedar, asyik tengok jam je kerjanya. Maklumlah, tak sabar nak sampai. Hehehe...

Kira-kira jam 10.00 pagi destasi kami pun tiba jua. Alhamdulillah...Kami dijemput oleh dua orang rakan yang memang sedia menanti kami di sana...( dah lega bila nampak muka diorang dah ada di Stesen KTM Wakaf Bharu waktu itu )
  

Isnin, 19 Disember 2011

7079 Guru STT Ditawarkan Ikuti Kursus Perguruan

PUTRAJAYA: Seramai 7,079 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) akan ditawarkan mengikuti latihan dan kursus perguruan mulai Januari depan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong. 

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 4,433 GSTT akan mengikuti latihan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mulai Februari, manakala selebihnya di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), bermula 9 Januari.


Beliau berkata, adalah antara 13,184 GSTT yang sudah berkhidmat sejak Jun tahun lalu dan diberikan keutamaan kerana memenuhi syarat, antaranya sudah berkhidmat sebagai GSST lebih dua tahun serta berusia tidak lebih 35 tahun pada 31 Disember 2010.
"Kementerian Pelajaran memang memandang serius apa jua pandangan dan keluhan berhubung GSTT. Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang juga Menteri Pelajaran turut begitu prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh GSTT. 

"Ini (pengumuman hari ini) menunjukkan komitmen dan janji Timbalan Perdana Menteri kepada 13,184 GSTT yang berkhidmat dalam Kementerian Pelajaran dan dikotakan oleh beliau sendiri," katanya kepada pemberita selepas 
mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Guru Sandaran di sini hari ini. 

Daripada 13,184 GSTT, Wee berkata seramai 1,799 pula sedang mengikuti kursus dan latihan perguruan mod Kursus Dalam cuti (KDC) manakala 2,788 GSST pula tidak mengemukakan dokumen yang lengkap untuk dipertimbangkan bagi mengikuti kursus perguruan dan mereka diberi tempoh sehingga Isnin depan untuk membuat rayuan. 
"Mereka diberi tempoh sehingga 26 Disember untuk kemukakan dokumen asal dan kami akan terima mereka secara berperingkat," katanya. 

Selain itu, beliau berkata sebanyak 2,928 GSTT pula tidak layak untuk mengikuti kursus perguruan kerana melebihi had umur serta tempoh berkhidmat kurang daripada dua tahun secara berturut-turut.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan kumpulan itu komited terhadap sistem pendidikan negara, maka kementerian menawarkan mereka meneruskan perkhidmatan secara "contract of service".

"Contract of service ini tidak dibuat untuk jangka panjang...secara berperingkat dan boleh diperbaharui mengikut keperluan pada ketika itu," katanya. 

Wee turut memberi jaminan bahawa mereka yang berkhidmat secara "contract of service", pendapatan dan kebajikan mereka akan tetap sama seperti ketika menjadi GSTT. 

Wee berkata, Timbalan Perdana Menteri juga membuat keputusan bahawa semua GSST berkenaan tidak perlu membayar balik gaji yang diterima mereka sejak Oktober lalu. 

"Dengan pengumuman hari ini, isu ini dianggap sudah diselesaikan secara komprehensif dan jangan ada yang bangkitkannya lagi," katanya. - BERNAMA

Berita Harian Online: 19 Disember 2011

Guru Sambut Baik Pemansuhan

Warga guru di negara ini lega dan menyambut baik sambil mengalu-alukan keputusan kerajaan tidak meneruskan projek perintis di empat negeri yang mewajibkan guru bekerja sembilan jam sehari bermula Januari pada sesi persekolahan 2012.

Yang Dipertua Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Ahmad Malie berkata, pemansuhan cadangan itu amat wajar kerana ia tidak relevan dilaksanakan memandangkan tugas guru amat unik dan berbeza dengan para penjawat awam yang lain.

Katanya, KGBS sejak awal lagi tidak menerima serta menentang sekeras-kerasnya cadangan untuk melaksanakan masa bertugas guru selama sembilan jam yang dianggap tidak sesuai dilaksanakan di negara ini.

"Guru kerap kali ditugaskan membawa murid-murid terlibat dengan aktiviti di luar bilik darjah di samping tugasan menyemak buku latihan murid di rumah atau pada waktu malam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa projek perintis yang mewajibkan guru bekerja sembilan jam sehari itu dibatalkan.

Langkah itu menurut Muhyiddin, adalah bertujuan untuk mengelak salah sangka dan kekeliruan di kalangan masyarakat dan guru sendiri terhadap pelaksanaan program tersebut.

Katanya, ia tidak perlu perlu diteruskan jika guru sendiri tidak memahami kehendak sebenar program tersebut yang bertujuan memperkasakan perkhidmatan guru di negara ini.

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat ( KGMMB), Mohamad Sabri Mohd Arsad menyifatkan tindakan tersebut sangat wajar kerana Kementerian Pelajaran belum menyediakan prasarana lengkap bagi tujuan tambahan kerja wajib sembilan jam.

Beliau berpendapat Kementerian Pelajaran Malaysia juga perlu menyediakan pembantu guru untuk menjalankan tugas-tugas perkeranian, pusat sumber, data serta pentaksiran dan sebagainya.

"Pada masa sama kerajaan perlu mengambil kira pelbagai aspek sokongan seperti tempat persalinan yang sesuai kepada guru terutama guru perempuan, jika tidak tandas akan menjadi pilihan terakhir.

"Bagi sekolah dua sesi pula, pihak kementerian perlu memikirkan kemudahan tempat letak kereta untuk tidak menimbulkan masalah kerana masing-masing sibuk mengejar masa," katanya.

Mohamad Sabri juga berharap supaya pembekalan perabot seperti kerusi, meja, dan almari untuk keperluan seorang guru sahaja tidak mahu berkongsi yang menyukarkan pengurusan.


Tegasnya, kemudahan penghawa dingin perlu disediakan disekolah kerana kebanyakannya tidak disediakan secara menyeluruh. Ini untuk keselesaan guru menjalankan tugas sehingga petang.

Seorang Guru Penolong Kanan SMK Jengka Pusat, Mohd Rozi Mat Sani,44, berpendapat warga guru sentiasa akur dengan sistem dan dasar pelajaran yang digubal pakar dalam bidang pendidikan.

"Pihak kementerian pastinya sudah membuat kajian mendalam berkaitan rasional sistem waktu bekerja sembilan jam mulai sesi persekolahan Januari 2012 dibatalkan," katanya.

Manakala Roslaily Alias, 30, pula memuji langkah proaktif Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia yang menarik balik projek rintis 5,000 guru di empat negeri bekerja sembilan jam mulai tahun hadapan."Walau bagaimanapun guru sentiasa akur berkhidmat dengan penuh jiwa raga selari dengan sumpah keramat untuk berbakti kepada anak bangsa supaya berdaya saing diperingkat global,'' katanya.

Utusan Malaysia Online: 19 Disember 2011

Ahad, 18 Disember 2011

Jadual Pembayaran Gaji Bulanan Tahun 2012

Jadual pembayaran gaji bulanan tahun 2012 merujuk kepada tarikh pembayaran gaji kakitangan awam telah pun dikeluarkan secara rasmi oleh Jabatan Akauntan Negara (ANM).
Berikut merupakan Tarikh Pembayaran Gaji Bagi Tahun 2012

Pekeliling jadual gaji tahun 2012 SBPA ini anda boleh rujuk di sini, Jabatan Akauntan Negara Malaysia. 



Khamis, 15 Disember 2011

Abah Dilanggar !

Alhamdulillah kita dapat bertemu semula di alam maya ini. Terima kasih atas kunjungan korang menerusi blog aku yang tidak seberapa ini. Hari ini aku terpanggil untuk mencoret kisah yang berlaku tengah hari tadi. 

Selesai masak kira-kira jam 11.55 pagi, hatiku mula rasa gelisah. Tidak tahu apa yang aku fikirkan. Tidak lama kemudian, jam dinding menyanyi-nyanyi menunjukkan jam 12.00 tengah hari. 

Sambil mengelap kabinet dan dapur, tiba-tiba kendengaran, “ Dum !!! ” Saya tersentak seketika. Dalam hati berkata, “ Siapa pula yang berlanggar di depan rumah ini ? ”. Mata meliar melihat jarum jam memandangkan abah masih tidak sampai rumah lagi. Biasanya abah dah sampai untuk pulang makan di rumah. 

sumber gambar ihsan Pak Google

Saya keluar ke muka pintu rumah. Mak cik di sebelah turut keluar. Kelihatan beberapa orang ada di jalan depan rumah. Jiran-jiran yang lain mula menuju ke tempat kejadian. Anak-anak saudara pula sibuk mahu ke sana juga. 

Hatiku berdebar-debar. Namun, masih berasa di garaj rumah. Mata masih tidak dapat mengesan siapa yang dilanggar dan siapa yang melanggar. Di hadapan rumah ada pokok bunga kertas yang agak besar melindungi jalan. Jadi, terlindunglah pandangan saya. 

Tiba-tiba kakak sepupu yang merupakan jiran depan rumah melambai-lambaikan tangannya lalu berkata, “ Sini, sini, abah kena langgar !” “ MasyaAllah, abah rupanya !”. Sepantas kilat saya mencapai tudung dan segera ke jalan. 

Kelihatan abah sudah bangun. Rupa-rupanya seorang remaja lelaki yang menunggang motosikal telah melanggar abah semasa abah nak belok masuk ke jalan rumah. Abah beritahu dia memang menunggang dengan laju. Berdekatan dengan rumah aku pula ada selekoh. Mungkin abah tak perasan tetiba mamat tu dah muncul dan tak sempat brek. 

Argh…geramnya aku. Kawan-kawannya ada memberhentikan motosikalnya di situ. Namun, remaja lelaki itu telah pun beredar semasa aku berjalan menuju ke tempat kejadian. Tak sempat aku sekolahkan dia. 

Mujurlah abah tidak luka teruk. Tapi kasihan abah. Jatuh dari motor pastinya ada bahagian tubuhnya yang sakit. Namun, abah tidak mahu tunjukkan pada aku. Dipendekkan cerita, abah pun memimpin motorsikal hadiah daripada aku 7 tahun yang lalu itu. Kelihatan lampu hadapan tercabut, pedalnya bengkok, ekzosnya kemek dan rim belakang agak mereng. Huhuhu… 

Kira-kira sejam selepas kejadian, remaja itu dating bersama rakannya dalam hujan. Dia risaukan abah. Sebelum itu, abang aku sempat sekolahkan dia. Dia kelihatan pucat. Lastly, abah redha dengan kejadian dan meninggalkan beberapa pesanan pada mamat itu. Nak minta ganti rugi sekalipun, dia masih bersekolah. Erm…tak berbaloi. ( Kalau nak merempit, g la ke litar lumba. Baru best !!! )

CUEPACS Mahu Temui Najib Isnin Ini Berhubung Opsyen SBPA

KANGAR, 15 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin ini bagi membincangkan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).



Presidennya Datuk Omar Osman berkata langkah itu susulan keputusan mesyuarat khas Cuepacs yang sebulat suara membantah opsyen dalam SBPA, yang disifatkan tidak begitu adil.



Cuepacs berharap 1.4 juta penjawat awam tidak menandatangani opsyen itu sebelum beberapa perkara berbangkit dalam pelaksanaan SBPA dapat dibincangkan dengan Perdana Menteri, katanya kepada pemberita, di sini Khamis.



Omar ditemui selepas berakhirnya mesyuarat khas dua hari Cuepacs yang disertai 125 perwakilan dari seluruh negara.

Antara perkara yang akan dibangkit ialah pelarasan gaji antara tujuh dan 13 peratus seperti yang diumumkan sebelum ini, memandangkan perkara itu dibuat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tanpa berbincang dengan Cuepacs, katanya.


Katanya Cuepacs berkeyakinan segala perkara berbangkit dapat diselesaikan menerusi pertemuan itu memandangkan Perdana Menteri prihatin dengan kebajikan penjawat awam.

Beliau juga menyifatkan tempoh dua minggu bermula hari ini yang diberi JPA kepada penjawat awam untuk membuat pilihan sebagai terlalu pendek dan kurang adil.

BERNAMA

SBPA : CUEPACS Bantah, Arah Staf Kerajaan Tidak Tandatangan Borang Opsyen

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Cuepacs hari ini mengambil pendirian membantah pelaksanaan opsyen sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan menggesa kakitangan awam jangan menandatangani borang penerimaan skim gaji baru itu sehingga pihaknya mengadakan pertemuan dengan perdana menteri minggu depan.


Timbalan Presiden Cuepacs Azih Muda berkata pihaknya bukan menolak SBPA tetapi membantah pelaksanan opsyen kerana tidak cukup maklumat dan kurang penjelasan khususnya perubahan gaji.

“Kami memutuskan untuk membantah pelaksanaan opsyen SBPA, kita mahu jumpa perdana menteri pada 19 Disember ini,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider di Perlis.

Seramai 1.4 juta kakitangan awam diberi masa dua minggu mulai esok untuk menerima opsyen sistem SBPA.

Azih berkata pihaknya akan menjelaskan kepada perdana menteri alasan-alasan pihaknya membantah pelaksanaan opsyen dan beberapa perkara lain yang berkaitan.

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adakan program jelajah, tetapi tidak memberikan penerangan dan penjelasan terperinci mengenai pelaksanaan SBPA, carta perubahan gaji tidak diberikan, tiada maklumat mengenai dasar pemisah atau exit policy.

“Kakitangan awam yang menghadiri taklimat diberi borang opsyen dan diminta tandatangan terus, walaupun tidak faham dan kurang maklumat,” kata beliau.

Cuepacs mengadakan mesyuarat kongres di Kuala Perlis hari ini bagi membincangkan pelaksanaan SBPA, yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Opsyen menerima SBPA akan dibuka mulai esok. Ia telah menimbulkan rasa tidak puas hati antara lain berkaitan peratusan kenaikan gaji dan dasar pemisah atau ‘exit policy’.


Pekeliling SBPA dikeluarkan 7 Disember lalu.

Semalam, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata, “(mesyuarat) kongres (di Kuala Perlis) khusus membincangkan SBPA kerana taklimat JPA kepada kami hanya menyentuh perkara dasar.”

“Kami juga tiada maklumat tambahan selain pekeliling yang diedarkan,” katanya.

Katanya, tempoh dari 16 hingga 30 Disember ini yang diberi JPA kepada penjawat awam untuk menandatangani surat tawaran SBPA juga terlalu singkat.

“Pada pengetahuan kami tawaran JPA melalui SBPA seolah-olah penjawat awam tiada pilihan. Macam mana kita hendak setuju terima jika kandungan penuh tawaran tersebut tidak jelas,” kata Omar.

Tambah beliau, hasil taklimat Cuepacs dalam jelajahnya ke sembilan buah negeri sehingga hari ini ramai anggota-anggotanya menyatakan mereka tidak memahami dengan jelas SBPA.

Antara perkara utama dibangkitkan mereka ialah prestasi bagi yang mendapat markah tinggi adakah benar akan mendapat apa yang dijanjikan dan kesannya kepada yang mendapat markah kurang dari 70, tambah beliau.